Skip to content
Satu Nyawa, Sembilan Syurga
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Satu Nyawa, Sembilan Syurga
Satu Nyawa, Sembilan Syurga
Cerpen

Satu Nyawa, Sembilan Syurga

  • EMELIA ISHAK
  • 20 April 2026
  • DBP Wilayah Selatan
  • 162
  • 5

DR. ABIA berdiri di hadapan puing-puing rumah yang dahulu dihiasi lukisan tangan kecil, peta impian anak-anaknya. Dinding yang mereka cat bersama-sama dengan warna pastel, kini berubah menjadi debu kelabu yang melekat pada kulit dan paru-paru. Rumah itu bukan sekadar bangunan. Rumah ini adalah rahim kedua bagi sembilan cahaya yang kini telah pun padam.

“Ya Allah… andai Kau sedang menguji, tunjukkan aku kekuatan untuk tidak benci pada takdir-Mu…”

Tangannya menyentuh batu bata yang hangus. Di celah serpihan dinding itu, dia menemui cebisan kertas lukisan seorang gadis bertudung sedang berdiri di hadapan masjid, bunga-bunga kecil bertebaran di langit. Di hujungnya, tercatat tulisan halus, Aasyah:

“Syurga itu pabila kita semua ada, walau cuma dalam mimpi.”

Dada Dr. Abia bagai ditikam dari dalam. Air mata tidak cukup untuk membasuh luka itu. Ini luka yang bukan hanya menggugurkan jiwa tetapi menggugat asas kepercayaan seorang ibu kepada makna dunia.

Ada suara kecil terngiang-ngiang di telinga. Suara Naijm yang sering menyanyi lagu yang dia cipta sendiri. Suara Yasser ketawa apabila tertumpahkan susu. Suara Haider memanggil, “Ummi! Ummi!” seolah-olah masih hidup di dalam serpihan batu-bata itu.

Dr. Abia duduk perlahan di atas tanah. Debu menyaluti hujung jubahnya. Waktu seolah-olah terhenti. Dia mengorek tanah dengan jari-jemarinya. Bukan untuk mencari  sesuatu yang hilang tetapi untuk mencari bukti bahawa yang hilang sememangnya pernah benar-benar wujud dan bukan hanya bayangan dalam mimpi yang menakutkan. Seekor burung kecil hinggap pada tiang serpihan bumbung, berkicau perlahan, seperti meratapi. Langit di atas Gaza tidak pernah benar-benar cerah. Bahkan, mentari pun kelihatan malu untuk menyinari tanah yang penuh dengan darah dan kemusnahan.

Orang ramai memanggilnya untuk pergi, tetapi dia terus membatu. Akhirnya dia berkata perlahan, “Biar aku di sini. Rumah ini masih menyimpan degup jantung mereka.”

Dia tunduk, mencium tanah.

“Wahai tanah, simpanlah mereka dalam pelukanmu. Aku sudah tidak punya mereka lagi.”

Dan pada hari itu, seorang ibu kehilangan sembilan anak. Namun, bumi Gaza mendapat sembilan bintang baharu yang akan terus bersinar meskipun langitnya mulai suram.

 

***

Hospital bukan lagi menjadi tempat penyembuhan. Hospital kini menjadi markas antara hidup dengan mati. Antara degup yang bertahan dengan yang sudah terhenti. Bau antiseptik bersaing dengan bau hangus dan jeritan bayi berselang-seli dengan dentuman di kejauhan. Namun, terasa benar-benar dekat.

Dr. Abia kembali bertugas seminggu selepas pengebumian sembilan nyawanya yang kini didakap tanah. Rakan-rakan doktor membantah. Memujuknya untuk berehat. Menangislah secukupnya dan ambil masa seketika untuk menyembuhkan luka di hatinya.

Dia cuma menjawab dengan suara yang perlahan, “Jika aku berhenti, aku akan mati sebelum maut menjemput.”

Setiap hari dia berjalan seperti hantu yang berpakaian manusia. Wajahnya tenang, tangannya cekap tetapi matanya kosong. Seolah-olah masih memandang ke arah rumahnya yang sudah hilang daripada peta dunia.

Di atas meja kecil di tepi katil pesakit, dia meletakkan sembilan keping gambar. Satu katil untuk setiap gambar anaknya. Ini bukan sekadar peringatan. Ini ialah nazarnya. Setiap nyawa yang diselamatkan seperti seorang anaknya  kembali hidupdi dalam dunia orang lain.

Seorang bayi perempuan, bersalut darah dan debu, diletakkan di dalam dakapannya oleh seorang petugas.

“Mereka temui dia sendirian, di bawah runtuhan klinik. Tiada siapa yang tahu siapa dia. Tiada nama. Tiada sejarah.”

Bayi itu kecil. Terlalu kecil. Belum sempat mengenal dunia. Matanya separuh terbuka. Tangannya menggenggam udara seperti mencari sesuatu yang telah hilang. Dr. Abia mendukung bayi itu. Jantungnya yang beku seketika terasa bergetar.

“Namakan dia, doktor,” kata jururawat muda sambil menahan air mata. “Dia perlukan identiti untuk hidup,” sambungnya lagi dengan nada yang bersemangat dan penuh harap.

Dr. Abia menoleh. Dia melihat wajah bayi itu dan pada wajah kecil itu dia melihat ada sedikit iras daripada setiap orang anaknya. Kening Fayez, pipi bulat Fathaan dan bibir kecil Haneen.

“Namanya Layla Haneen,” bisik Dr. Abia, suaranya retak. “Sempena anak perempuanku. Yang juga mati tertimbus di dalam rumah yang kami bina bersama-sama.” Dia tidak tahu sama ada bayi ini akan hidup atau mati. Namun, untuk pertama kali sejak tragedi itu, dia berasa hatinya bergetar bukan kerana kehilangan, tetapi kerana cinta yang belum mati.

Dalam hatinya dia berkata:

“Ya Allah, jika Engkau telah mengambil segalanya, izinkan aku menyemai sesuatu yang baharu. Walaupun ia cuma sekuntum bunga di atas padang perang.”

***

Daoud, suami Dr. Abia masih dalam fasa pemulihan. Tubuhnya yang dahulu gagah kini tinggal tulang dan luka. Setiap malam, ketika semua orang tidur, dia duduk diam sambil menatap jendela, mencari bayang-bayang sembilan suara yang biasa mengganggu tidur malamnya.

“Abia,” katanya perlahan suatu malam, “Aku mimpikan Naijm. Dia berada di dalam sebuah taman. Penuh cahaya. Dia senyum dan berkata, Abi, jangan cari kami. Kami sudah selamat. Tapi jaga Ummi, ya?’”

Dr. Abia menggenggam tangan suaminya.

“Kau tahu, dalam sembilan orang anak kita, Naijm paling kuat berdoa. Dia pernah bertanya kepadaku, kalau mati syahid, kita jumpa semula tak, Ummi? Aku jawab, ya. Dan sekarang… aku takut pada janji yang aku sendiri tak mampu faham sepenuhnya.”

“Jangan takut,” balas Daoud. “Kita hidup sekarang bukan kerana tidak mati, tetapi kerana mereka yang sudah mati mahu kita terus hidup.”

Setiap malam adalah peperangan. Bukan dengan peluru atau misil tetapi dengan sunyi yang lebih tajam daripada serpihan besi. Di ruang kecil rumah sementara, Dr. Abia tidur di sisi Adam, satu-satunya anak yang terselamat. Tidur mereka bukan lena, tetapi rehat seketika daripada kenangan yang tidak henti-henti menyerang dari dalam. Setiap kali Adam menggeliat atau terjaga, Dr. Abia terbangun seperti askar yang mendengar tembakan.

“Ummi, kenapa Abang Naijm tak datang jenguk kita?” Adam bertanya suatu malam, suaranya separuh mengantuk.

Dr. Abia diam. Mulutnya kelu. Hatinya bergolak. Dia sudah tidak tahu bagaimana menjelaskan tentang mati kepada anak yang belum pun memahami hidup sepenuhnya.

“Abang Naijm jaga adik-adik di tempat lain,” katanya perlahan. “Tempat yang tak ada bom, tak ada jeritan… tempat yang tenang.”

“Di mana tu, Ummi?”

Dr. Abia memandang ke siling, menahan air mata yang mulai penuh agar tidak menitis di pipi.

“Syurga, Adam. Mereka tunggu kita di sana.” Perlahan air matanya gugur tanpa mampu dia menahannya lagi. dia menyapunya perlahan. Dia berusaha untuk tidak membiarkan Adam melihatnya sebegitu rapuh. 

Adam mengangguk. Kemudian, dengan suara yang lebih kecil daripada bisikan, dia bertanya,

“Kalau mereka semua di sana, kenapa Allah tinggalkan kita di sini? Adam rindu suara Abang Naijm membaca al-Quran.” Pertanyaan itu merobek jiwa Dr. Abia lebih daripada tragedi yang berlaku pada mereka. Ini bukan sekadar persoalan kanak-kanak tetapi jeritan batin manusia yang sedang bergelut dengan makna penderitaan. Dr. Abia tidak mampu menjawab. Dia hanya memeluk Adam lebih erat. Di pelukannya, tubuh kecil itu bergetar bukan kerana sejuk tetapi kerana rindu yang tiada tempat untuk dituju.

Setiap malam, Dr. Abia akan bangun dan menatap gambar-gambar anaknya di telefon. Dia tahu, satu hari nanti mungkin telefon itu juga akan hancur. Mungkin dirinya juga akan hilang. Tetapi, memori itu… dia mahu semuanya kekal. Biarpun hanya di langit Tuhan. Di luar dentuman masih kedengaran. Debu masih berterbangan. Namun, dalam hati Dr. Abia yang paling menggoncang bukanlah bunyi perang, tetapi kesunyian selepasnya.

***

Suatu pagi, suara azan Subuh bergema lemah dari celahan sisa masjid yang tinggal tiang dan lantai marmar. Dr. Abia membawa Adam keluar. Kini, dia sudah boleh berjalan perlahan-lahan walaupun dengan kaki yang berbalut simen dan di dalamnya ditanam sebatang besi. Mereka berdiri di tepi pantai Gaza. Memerhati dan menikmati bunyi hempasan ombak yang tidak pernah berhenti berbicara kepada bumi. 

“Ummi… kalau Allah sayang kita, kenapa kita kena hilang orang yang kita sayang?”

Dr. Abia tunduk. Anak kecilnya ini sudah pandai bertanya seperti seorang lelaki dewasa.

“Sayang itu… ” suara Dr. Abia seperti tersekat di kerongkongnya. Lama dia terdiam. cuba mengawal rasa sebak yang begitu menyakitkan.

“Adam… sayang itu bukan untuk kita simpan. Ia seperti air. Kalau disimpan terlalu lama di dalam sebuah bekas, air akan menjadi kotor dan berkeladak. Allah sayang kita, jadi Allah ambil semula yang kita sayang, untuk ajar kita bahawa cinta yang sebenar tidak pernah musnah tapi cinta hanya berubah bentuk. Daripada pelukan kepada doa. Daripada suara kepada kenangan.”

Adam terdiam. Kemudian dia berkata, “Kalau begitu, Ummi… malam nanti, boleh kita kirimkan peluk kita melalui doa?”

Dr. Abia tersenyum, walaupun senyuman itu rapuh.

“Kita boleh kirim setiap malam, anakku. Setiap malam.”

 

***

Ada ketika, lidah Dr. Abia kelu. Bukan kerana hilang kata-kata, tetapi kerana terlalu banyak hal yang mahu dikatakan hingga tiada satu pun kata-kata yang mampu keluar dari mulutnya. Doa-doa yang dahulu mengalir lancar kini tersekat. Seperti air yang cuba menyusur dicelah-celah batu besar.

Di tikar sejadah, dia duduk lama. Sujudnya lebih panjang, bukan kerana khusyuk semata-mata tetapi kerana tubuhnya berat menanggung beban yang tiada nama. Air matanya gugur di tikar sejadah yang telah lusuh, bercampur debu dan darah yang entah milik siapa.

Dr. Abia mencuba untuk melafazkan surah-surah hafalan yang selalu dibacanya. Namun, setiap kali ayat “Allahu Akbar” disebut, hatinya terbelah dua. Antara reda dengan amarah, antara pasrah dengan protes. Mampukah seorang hamba mencintai Pencipta-Nya dalam kehilangan yang begitu mutlak?

Namun demikian, dalam diam dia tersedar akan khilaf dirinya. Tidak seharusnya dia mempersoalkan takdir Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyanyang. Tangannya tetap diangkat. Demikian emosi seorang ibu yang tinggal cuma satu anak yang tidak pernah berhenti berharap. Harapan walaupun setipis helaian tisu, masih lebih berat daripada kehampaan.

Dr. Abia terlena di atas sejadah rindu. Dia terjaga selepas mendapat mimpi yang pelik. Dia berada di kawasan padang yang putih dan luas. Kesembilan orang anaknya yang syahid berlari ke arahnya. Berpakaian putih bersih. Tertawa seperti dahulu tetapi lebih tenang, lebih bercahaya. Naijm menggenggam tangannya.

“Ummi jangan sedih,” katanya. “Kami semua baik-baik di sini. Tugas ummi belum selesai. Allah sedang melihat.”

Dr. Abia terjaga dengan dada yang berombak. Itu bukan mimpi, fikirnya. Ini sebuah peringatan. Bahawa Allah masih mendengar akan doa-doanya, walaupun dia tidak mampu bersuara. Sejak malam itu, dia menulis doa di atas kertas. Satu demi satu.

Ya Allah,

Simpanlah mereka dalam penjagaan-Mu,

Dan, simpan aku dalam tugas yang belum selesai.

Kertas itu diselitkan di dalam poket jubah. Seperti jampi penawar yang bukan untuk dunia, tetapi untuk mengikat semangatnya yang hampir putus. Kadangkala, doa bukanlah apa-apa yang kita lafazkan. Doa ialah apa-apa yang kita lakukan dalam diam, dalam duka, dalam usaha yang kecil tetapi terus hidup.

 

***

Pasukan bantuan membawa masuk beg-beg mayat kecil. Mereka meletakkan kesemua mayat tersebut di lorong belakang hospital kerana tiada lagi ruang di dalam bilik mayat untuk disimpan, dan tiada sesiapapun yang datang untuk menuntut. Tiada nama. Tiada keluarga.

Dr. Abia berjalan di sepanjang lorong itu. Bau mayat bukan lagi sesuatu yang asing. Di antara jasad-jasad kecil itu, dia merasakan sesuatu yang lain. Seakan-akan jiwanya disentuh oleh udara yang beku dan sunyi.

Dia mencangkung di sisi satu mayat yang hanya berbalut kain putih nipis. Lalu, dia berbisik sendiri:

“Engkau tidak mati tanpa nama, wahai anak. Engkau ialah Tamin. Engkau ialah Yusuf. Engkau ialah anak-anak yang telah kami lahirkan dan hilang akibat tangan-tangan manusia yang kejam.”

Sejak hari itu, Dr. Abia mencatat nama setiap bayi yang tidak bernyawa dalam kepalanya. Nama anak-anak yang tidak sempat dikenali, yang tidak sempat menangis panjang. Setiap nama itu menjadi doa. Setiap nama itu menjadi asbab untuk dia bertahan.

Di hospital, Layla Haneen semakin sihat. Setiap kali dia menangis, Dr. Abia akan menggendongnya dan berbisik, “Kau bukan anak kandungku, tetapi di dalam dakapanku, kau ialah sisa cahaya yang Tuhan tinggalkan.”

Seorang wartawan antarabangsa datang mewawancara Dr. Abia. “Bagaimanakah seorang ibu yang kehilangan sembilan anak masih mampu merawat anak-anak orang lain?”

Dr. Abia diam seketika. Kemudian dia menjawab perlahan,

“Kerana kasih sayang tidak akan musnah walaupun kehilangan. Hanya saja bertukar bentuk. Seorang ibu kembali ‘beranak’ setelah kehilangan.”

Air mata wartawan itu tiba-tiba mengalir panas di pipi ketika mendengar kata-kata Dr. Abia.

Dr. Abia tahu, dia tidak akan menjadi seperti dirinya yang dahulu lagi. Hatinya telah hancur. Tuhan tidak menjanjikan akan membina semula sebuah kehilangan dengan bahan-bahan yang sama. Namun, daripada serpihan itu, tumbuh sesuatu yang baharu. Bukan kegembiraan, tetapi keteguhan.

“Setiap anakku yang gugur, aku tanamnya dengan doa. Dan, daripada doa itu, lahirnya tekad. Sungguhpun satu nyawa yang tinggal, tetap boleh mengoncang dunia,” katanya kepada dirinya sendiri, sambil mendukung Layla Haneen di bawah langit Gaza yang sentiasa berdebu.

Di kejauhan, langit berwarna jingga. Matahari terbenam bukan sebagai tanda akhirnya kehidupan, tetapi sebagai janji bahawa esok tetap akan menjelma walaupun penuh luka dan duka. Walaupun hari-hari yang dilalui penuh tangisan dan air mata.

Dalam diam, Dr. Abia menulis nama sembilan anaknya di sekeping kertas, Naijm, Yasser, Haider, Fayez, Aasyah, Haneen, Yusuf, Fathaan, dan Tamin. Lalu menanamnya di bawah sebatang pohon zaitun kecil di halaman hospital. Di situ, dia membisikkan:

“Tidurlah, wahai sembilan syurga

kerana ummi akan terus hidup

agar dunia tahu, kasih seorang ibu

tidak pernah gugur

walau bumi sendiri rebah.”

 

***

Adam, satu-satunya anak yang tinggal, mulai melukis lagi. Hari ini lukisannya penuh warna. Tiada lagi kelam. Dia melukis sembilan tangga menuju ke langit. Di puncaknya, sembilan wajah tersenyum. Di bawahnya, seorang wanita memegang tangan anak kecil.

“Ini apa, Adam?” tanya Dr. Abia kepada anaknya itu.

“Ini tangga ke syurga. Mereka tunggu kita. Tapi, Ummi kata tugas kita belum selesai. Jadi… kita bina tangga ini perlahan-lahan. Biar satu hari nanti, kita panjat bersama-sama.” Adam menjawab dengan begitu tenang.

Dr Abia memeluk erat Adam. Lukisan itu digantung pada dinding hospital, menjadi peringatan buat semua pesakit bahawa Gaza tidak pernah kalah.

Tahun berlalu. Runtuhan dibersihkan, tetapi tidak semua luka dapat dibasuh. Namun orang seperti Dr. Abia tidak tinggal diam. Dia berjaya membuka sebuah pusat perlindungan untuk kanak-kanak mangsa perang. Baitul Naijm Rumah Harapan, bersempena dengan nama anak sulungnya, Naijm yang meninggal dunia ketika menyelamatkan adik-adiknya daripada runtuhan.

Di pintu pusat itu, tertulis “Untuk setiap nyawa yang hilang, kami berjanji akan menyelamatkan sepuluh nyawa lagi. Dalam setiap tangisan kami bina sebuah ruang untuk ketawa kembali.”

Sesungguhnya, dalam hati seorang ibu, nama sembilan orang anaknya tidak akan pernah hilang kerana mereka bukan sengaja dihilangkan. Mereka ialah syurga yang dijanjikan. Syurga yang ditenun daripada cinta, kehilangan, dan keteguhan iman seorang wanita.

# #cerpendbp# #dbpselatan# #karyasastera
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (11) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (26) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (29) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (6) #puisimoden (22) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (11) abuyon (4) adie abd gani (4) cerpen (13) dbpcawangansabah (9) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Dialek (2) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Kelantan (2) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (32) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

جاتي ديري بڠسا دري سجاره نن توا
Puisi Moden

جاتي ديري بڠسا دري سجاره نن توا

  • 5 Disember 2024
  • 4
تصوف تيدق ترجامه
Puisi Moden

تصوف تيدق ترجامه

  • 5 Jun 2024
  • 5
Anai-anai dalam Kayu
Cerpen

Anai-anai dalam Kayu

  • 24 April 2025
  • 288
  • 4.8
Tahun Ini Biru Teal
Cerpen

Tahun Ini Biru Teal

  • 5 April 2026
  • 227
  • 4.3

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP