PENGENALAN
Sastera merupakan sebuah seni yang wujud hasil daripada keindahan bahasa. Istilah “sastera” ini berasal daripada bahasa Sanskrit, iaitu “castera” yang membawa maksud “kitab suci”. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), sastera ialah hasil seni yang diwujudkan dalam bentuk karangan bebas atau dalam bentuk puisi. Hal ini memberi maksud bahawa sastera merupakan sebuah seni tampak atau seni yang dapat dilihat dari segi keindahan hasil gaya bebas bahasa yang digunakan. Menurut Harun Mat Piah (2006), istilah sastera yang menjadi akar kepada perkataan “kesusasteraan” pula membawa maksud pengertian dan pembacaan mahupun melalui lisan dan pendengaran. Sastera ini merupakan satu seni yang berkembang daripada satu tradisi yang dimulakan dengan kaedah lisan pada satu masa dahulu dan semakin berkembang mengikut peredaran masa.
Bagi istilah masyarakat pula, menurut Mohd Syariefudin bin Abdullah (2017), sastera berkait rapat dengan sistem sosial yang melibatkan aspek perhubungan. Bagi Hamidah Abdul Rahman (2009) pula, telah memetik bahawa Ralph Linton melihat masyarakat sebagai “kelompok manusia yang telah cukup lama hidup bersama-sama dan saling bekerjasama sehingga dapat mengorganisasikan diri dan meletakkan diri mereka sebagai satu kesatuan sosial. Menurut Kamus Dewan (2010) pula, masyarakat ialah kumpulan manusia yang hidup bersama-sama di sesuatu tempat dengan peraturan dan tatacara tertentu. Sebagai rumusan, dapat didefinisikan bahawa masyarakat merupakan sekumpulan manusia yang hidup bersama-sama, saling berhubungan dan bekerjasama, mempunyai kesatuan sosial serta sentiasa membina kebudayaan.
Esei ini akan menekankan kepada unsur yang menghubungkaitkan sastera dengan masyarakat khususnya masyarakat Nusantara. Istilah Nusantara ini telah dijelaskan dengan panjang pada awal penulisan Harun Mat Piah (2003), beliau telah mengatakan bahawa :
Daerah Nusantara atau alam Melayu yang dimaksudkan terdiri daripada tiga buah negara, iaitu Malaysia (Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak), Indonesia (meliputi seluruh kepulauan Indonesia, termasuk Jawa, Sumatera, Kalimantan, Makassar, dan lain-lain), dan Negara Brunei Darussalam
2.0 Unsur yang menghubungkaitkan kesusasteraan dengan masyarakat
Hubung kait antara kesusasteraan dengan masyarakat merupakan satu bentuk ikatan atau perkaitan yang sangat penting dan menarik. Milton C. Albrecht (1954), telah menyatakan bahawa sastera yang dinukilkan menjadi satu cerminan kepada masyarakat ataupun membentuk dan mempengaruhi masyarakat kepada perbuatan yang baik. Misalnya menurut Norazimah bt. Zakaria (2015), melalui sastera khususnya sastera Melayu tradisional telah membentuk masyarakat yang mempunyai nilai dan budaya Melayu. Tambahnya lagi keunikan masyarakat Melayu letaknya pada kesusasteraan Melayu, nilai adat serta karya sastera. Oleh hal yang demikian, dapat diperkatakan bahawa terdapat beberapa unsur yang menghubungkaitkan kesusasteraan dengan masyarakat seperti hiburan, didaktik (nilai moral), keagamaan dan imaginasi.
2.1 Hiburan yang menghubungkan sastera dengan masyarakat
Sebagaimana yang diketahui, pada masa dahulu, sastera mempunyai pelbagai hubung kait di dalam sesebuah masyarakat. Salah satu daripadanya ialah unsur hiburan yang wujud dalam sesebuah karya sastera. Menurut Muhammad Haji Salleh (2006), tugas sastera ini membawa kepada dua perkara utama, iaitu manfaat ilmu, petunjuk dan juga menghiburkan khalayaknya. Menurut beliau lagi perkara ini berlaku kerana masyarakat pada zaman dahulu tidak banyak mempunyai hiburan berbanding pada zaman sekarang. Hal ini menjadi tugas sastera dalam menyediakan hiburan kepada masyarakat pada zaman dahulu.
Apabila membincangkan mengenai sastera dan hiburan ini sukar untuk kita lari daripada hakikat bahawa sastera yang dibawa ini ialah sastera lisan ataupun sastera rakyat. Harun Mat Piah (2003) telah menerangkan dengan jelas tentang sastera rakyat ini dengan mengatakan:
…sastera rakyat ialah sebahagian daripada sastera lisan. Sastera rakyat ialah hasil sastera milik sesuatu kumpulan masyarakat yang diperturunkan daripada satu generasi ke satu generasi yang lain secara lisan. Oleh sebab sifatnya yang lisan ini, sastera rakyat dikenali juga sebagai “sastera lisan”
Hiburan yang wujud pada zaman dahulu melalui karya sastera lisan ini bukanlah sekadar hiburan yang melekakan ataupun menimbulkan kealpaan kepada sesiapa sahaja yang mendengar sesuatu penceritaan tersebut. Tetapi, hiburan yang dimaksudkan ialah hiburan yang memberikan ketenangan dan juga dapat membantu pendengar untuk melupakan kehidupan realiti seseorang. Seperti yang dinyatakan oleh Ding Choo Ming (2013) bahawa pada masa dahulu, cerita lipur lara sangat popular dalam kalangan masyarakat biasa. Mereka berkumpul dari satu malam ke malam yang lain dengan diiringi oleh pelbagai alat muzik. Menurut beliau, dengan cara itulah mereka mendapat hiburan dan juga dalam masa yang sama melupakan kepedihan hidup realiti.
Sebagai contoh, salah satu sastera rakyat yang terkenal ialah Hikayat Malim Deman. Hikayat ini merupakan salah satu cerita lipur lara yang dikarang oleh Raja Haji Yahya yang merupakan salah seorang “orang istana” yang tinggal di Chederiang, Perak. Menurut ulasan buku yang ditulis oleh Atiqah Abd Rahim (n.d.), hikayat ini sangat menghiburkan dan penulisannya penuh dengan gurindam, pantun, syair dan seloka. Dalam masa yang sama, menurut pengulas juga setiap penulisannya berperanan dalam menggambarkan sesuatu objek, perilaku manusia, rupa paras watak-watak, keadaan dan suasana dengan lebih jelas dan lebih sopan maksud tersiratnya. Ulasan yang diberikan ini menunjukkan bahawa hiburan yang wujud daripada cerita lipur lara ini merupakan salah satu unsur yang menghubungkan antara sastera dengan masyarakat.
2.2 Didaktik (nilai moral) dalam masyarakat melalui sastera
Tidak dapat disangkal lagi bahawa sastera secara tidak langsung telah membentuk nilai moral masyarakat dan seterusnya menjadikannya sebagai salah satu unsur yang menghubungkaitkan antara masyarakat dan kesusasteraan. Perkara ini seperti yang disebut oleh Fathin Noor Ain Ramli dan Azhar Hj. Wahid (2018) bahawa kesusasteraan Melayu berfungsi sebagai sumber daya dorong yang kuat ke arah perubahan sosial dan budaya masyarakat. Hubung kait sastera dengan masyarakat ini dapat dilihat apabila pengarang kepada sesuatu karya menyelit pengajaran secara langsung atau tidak langsung dan juga satu ilmu dalam sesuatu karya yang ditulis oleh mereka. Peranan pengarang secara dasarnya sangat penting dalam menjadikan sesuatu sastera itu mempunyai pengajaran hasil daripada penceritaan daripada kisah silam yang dilalui sendiri oleh pengarang. Dalam hal ini menurut Syaidul Azam Kamarudin dan Arbai’e Sujud (2017) mengatakan bahawa pengarang menulis sesuatu karya sastera adalah berdasarkan pengalaman dan tentu ada sesuatu yang berguna dari segi pengetahuan.
Kebanyakan karya sastera yang mempunyai nilai moral ini sangat berkait rapat dengan karya-karya yang bersifat historiografi ataupun sastera sejarah. Menurut Norazimah bt Zakaria (2013), sastera sejarah terdiri daripada bentuk cerita, prosa dan puisi. Sastera sejarah ini berfungsi sebagai sebuah karya yang menceritakan tentang kisah atau latar belakang sesuatu peristiwa yang berlaku pada sesuatu tempat ataupun kisah pemimpin dari zaman ke zaman. Hal ini bertepatan dengan perkara yang diperkatakan oleh Abdul Halim Ali (2012) bahawa penulisan sesuatu karya sastera didasari dan dibentuk daripada sesuatu peristiwa sejarah. Antara teks sastera sejarah seperti yang dinyatakan oleh Norazimah bt Zakaria (2013) ialah Sejarah Melayu, Tuhfat Al Nafis, Hikayat Siak, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja Pasai dan sebagainya. Kesemua karya ini mempunyai nilai moral yang mempunyai hubung kait antara sastera dan masyarakat.
Sulalatus Salatin misalnya merupakan sebuah karya sastera sejarah yang menceritakan tentang susur galur raja, di samping sejarah yang diceritakan. Karya ini juga secara langsung menceritakan tentang kehidupan masyarakat tradisional. Seperti yang telah dinyatakan oleh Abdul Rahman Haji Ismail dan Haron Daud (2012) :
… adalah jelas kitab tersebut disusun untuk mengisahkan sejarah, peri laku, kegiatan dan peranan para pemerintah dan keturunan mereka yang menerajui kepimpimpinan Kerajaan Melayu dari Palembang hingga ke Singapura, Melaka dan Johor agar kisah-kisah di dalamnya menjadi teladan bagi generasi kemudian.
Sulalatus Salatin juga telah jelas memberi pengajaran daripada beberapa peristiwa yang berlaku antaranya peristiwa “Singapura Dilanggar Todak”. Peristiwa ini bermula dengan pembunuhan Tuan Jana Khatib oleh Paduka Seri Maharaja. Peristiwa pembunuhan ini telah memberi kesan yang besar kepada Singapura apabila Singapura diserang oleh ikan-ikan todak akibat pembunuhan Tuan Jana Khatib. Menurut Siti Faridah dan Bazrul (2017), kisah ini sarat dengan pengajaran, khususnya kepada pemimpin agar tidak menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa. Tuntasnya, didaktik (nilai moral) ini menjadi salah satu unsur yang menghubungkaitkan antara sastera dengan masyarakat.
2.3 Unsur Keagamaan Membawa kepada Perkaitan Sastera dan Masyarakat
Unsur keagamaan merupakan salah satu daripada perkara yang menjadi asas dalam kehidupan masyarakat. Setiap masyarakat mempunyai pegangan agama yang tersendiri. Hal ini jelas dinyatakan oleh Rosni Samah dan Nurhasma Muhamad Saad (2012) bahawa anutan keagamaan merupakan fitrah yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia. Di Nusantara misalnya, agama Islam menjadi antara agama yang paling ramai dianuti oleh masyarakat setempat. Dalam masa yang sama, agama Islam turut meresap ke dalam bidang kesusasteraan. Proses penyerapan ini telah melahirkan satu genre sastera yang dikenali sebagai sastera Islam. Prof. Madya Dr. Adli Yaacob (2017) telah memetik definisi sastera Islam daripada el-Muhammady:
Sastera yang memancarkan faham alam, faham ilmu dan faham nilai Islam yang dimanifestasikan dalam jalinan naratif, pembentukan peristiwa, perwatakan serta keindahan bahasa, prosa atau puisi dan kebenaran perlambangan oleh penulis yang mempunyai iltizam terhadap pegangan dan kehidupan Islam serta peradabannya… .
Zahir bin Ahmad (2005) telah menggariskan beberapa contoh sastera Islam, seperti Hikayat Nabi Wafat yang menceritakan kisah-kisah yang pernah dialami oleh baginda Rasulullah SAW. Selain itu, beliau turut menyebut karya seperti Hikayat Nabi Yusuf yang mengisahkan kehidupan para nabi, serta Hikayat Sultan Ibrahim bin Adham yang menceritakan kehidupan golongan soleh. Seperti yang dikatakan oleh Zahir (2005) bahawa sastera Islam berfungsi sebagai alat untuk menyampaikan sesuatu atau menyampaikan dakwah. Selain itu, menurut beliau juga, sastera Islam ini mampu untuk membuatkan masyarakat pembaca merenung kembali apakah perkara-perkara yang dilakukan adalah berdasarkan kepada ajaran akhidah Islam yang sebenar.
Kesusasteraan tradisional nusantara memperlihatkan pengaruh unsur mitos dalam beberapa karya. Unsur-unsur imaginasi atau mitos ini berfungsi untuk menerangkan sesuatu peristiwa yang berlaku. Seperti yang dinyatakan oleh Norazimah Zakaria, Rusniyati dan Siti Nor Amira Baharudin (2013), cerita mitos merupakan cerita dongeng yang berfungsi untuk menerangkan asal usul sesuatu perkara seperti kejadian manusia, alam, binatang dan penempatan sesebuah masyarakat. Ahmat Adam (2016) turut menyatakan bahawa mitos dibentuk bagi memenuhi keperluan psikologi masyarakat, seperti mengagung-agungkan seseorang wira yang diidealkan.
Terdapat pelbagai karya kesuasteraan yang mempunyai unsur ini dan dikisahkan secara langsung untuk pelbagai tujuan. Antara karya tersebut ialah Sulalatus Salatin. Pengisahan Sulalatus Salatin ini pada permulaannya memperlihatkan pengaruh mitos dan unsur imaginasi untuk memperihalkan asal usul keturunan pemerintah Kerajaan Melaka pada ketika itu. Unsur mitos dan tokok tambah digunakan untuk memperlihatkan kebesaran pemerintah, seperti gambaran padi yang berbuah emas, berdaun perak, dan berbatang suasa ketika tiga orang anak Raja Suran turun di Bukit Siguntang Mahameru.
Kesimpulan
Sebagai kesimpulan, dapat dilihat bahawa terdapat beberapa unsur yang telah menghubungkaitkan antara kesusasteraan dengan masyarakat terutama sekali melalui kesusasteraan tradisional Nusantara. Karya-karya kesusasteraan ini perlu untuk terus dikaji dan dihayati kerana ia mampu menjadi sebahagian daripada pengajaran dan teladan kepada kita pada masa kini. Dalam masa yang sama, karya-karya yang dibincangkan dalam esei ini perlu terus diberikan perhatian agar tidak lupus ditelan peredaran zaman yang semakin maju. Unsur-unsur yang menghubungkan sastera dan masyarakat juga perlu ditekankan agar masyarakat lebih dekat dengan kesusasteraan.
Rujukan
Abdul Samad Ahmad. (2013). Sulalatus Salatin Sejarah Melayu (Edisi Pelajar). Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdul Halim Ali. (2012). “Satu Analisis Pengkisahan Semula Sastera Melayu Tradisional Dalam Perspektif Baharu”. Jurnal Perspektif, 4(2), 16-27.
Abdul Rahman Haji Ismail dan Haron Daud. (2012). Sulalat-us-Salatin (Sejarah Melayu):Cerakinan Sejarah, Budaya dan Bahasa. Penerbit Universiti Sains Malaysia.
Adli bin Yaacob. (2017). Konsep Sastera islam Mengikut Uthman El-Muhammady. Journal of Global Business and Blobal Entrepreneurship (GBSE), 1(4), 1-16.
Ahmat Adam. (2016). Antara Sejarah dan Mitos: Sejarah Melayu dan Hang Tuah dalam Historiografi Malaysia. Strategic Information and Research Development Centre (SIRD).
Atiqah Abd Rahim. (n.d.). Hikayat Malim Deman. Klik Web DBP. http://klikweb.dbp.my/?p=17040
Dewan Bahasa dan Pustaka. (2010). Masyarakat / Sastera. Dalam Kamus Dewan (Edisi Ke-4, 1004 / 1396). Dewan Bahasa dan Pustaka.
Ding Choo Ming. (2013). “Sentuhan Intelektual Membaca Karya-karya Agung Melayu”. Informika: Jurnal Peradaban Informasi dan Ilmu, 2, 1-20.
Fathin Noor Ain Ramli dan Azhar Hj. Wahid. (2018). “Pendidikan Sastera Melayu Memperkukuhkan Pembinaan Karakter Pelajar”. Jurnal Peradaban Melayu, 13, 1-14.
Hamidah Abdul Rahman, Norlin Ahmad dan Shah Rollah Abdul Wahab. (2009). Konsep-Konsep Asas Hubungan Etnik. Hubungan Etnik Di Malaysia: Perspektif Teori dan Praktik (pp. 1-15). Penerbit Universiti Teknologi Malaysia.
Harun Mat Piah. (2003). Sastera Rakyat Malaysia, Indonesia, Negara Brunei Darussalam: Suatu Perbandingan. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Harun Mat Piah, Ismail Hamid, Siti Hawa Salleh, Abu Hassan Sham, Abdul Rahman Kaeh, Jamilah Hj. Ahmad. (2006). Kesusasteraan Melayu Tradisional. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Milton C. Albrecht. (1954). “The Relationship of Literature and Society”. American Journal of Sociology, 59 (5), 425-436.
Mohd Syariefiudin bin Abdullah, Mansor Mohd Nor, Ahmad Rizal Bin Mohd Yusof & Faridah Binti Che Husain. (2017). “Konsep Komuniti Dan Perkembangannya: Suatu Tinjauan Kritikal Terhadap Penggunaannya”. Journal of Social Sciences and Humanities, 12 (3), 1-15.
Muhammad Haji Salleh. (2006). Puitika Sastera Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Norazimah bt Zakaria. (2013). “Hikayat Melayu @ Sejarah Melayu “Long Version” Versi Tengku Said: Satu Kajian Teks Sastera Sejarah”. Jurnal Melayu, 10, 36-48.
Norazimah Zakaria, Rusniyati Mahiyaddin & Siti Nor Amira Baharudin. (2013). “Cerita Mitos Dalam Dua Dunia”. Jurnal Peradaban Melayu, 8, 45-60.
Norazimah bt Zakaria. (2015). “Penghayatan Nilai Murni dalam Pembangunan Modal Insan Melalui Kesusasteraan Melayu Tradisional” . Jurnal Peradaban Melayu, 10, 25-32.
Rosni Samah dan Nurhasma Muhamad Saad. (2012). “Pendekatan Sastera Islam Moden”. Jurnal Islam dan Masyarakat Kontemporari, 5, 65-75.
Siti Faridah Leong bt Abdullah dan Bazrul bin Bahaman. (2017). “Sulalatus Salatin Sebagai Medium Mendidik Nilai Murni”. Jurnal Antarabangsa Persuratan Melayu (RUMPUN), 5, 213-232.
Syaidul Azam Kamarudin dan Arbai’e Sujud. (2017). “Jati Diri Melayu dalam Kumpulan Puisi Terpilih A. Aziz Deraman : Analisis Teori Pengkaedahan Melayu”. International Journal of Language Education and Applied Linguistics, 7, 47-63.
Zahir bin Ahmad. (2005). “Peranan Sastera Islam Dalam pembentukan Akhlak Penduduk Alam Melayu”. Jurnal Pengajian Melayu, 15, 254-265.
