Hening senja menelan gema landasan
untai hujan singgah di kaca gerabak
jam tua berbisik kerinduan
angin malam menyapu tiket lusuh.
Nostalgia mengalir di celah rel basah
dedaun kering rebah di bangku sunyi
ingatan manusia larut dalam hujan
siul enjin menyayat rel sepi.
Tiang besi memeluk sunyi penantian
jejak kasut memanjang di lantai basah
subuh hadir tanpa suara kepulangan
embun dingin singgah di dada insan.
Nadi rel perlahan menulis jarak
loceng tua tenggelam dalam kabus senyap
asap gerabak membawa jejak manusia
hujan memadam jejak pulang.
Nota:
Penulis ialah peserta terbaik Minggu Penulis Remaja (MPR) Peringkat Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 2026.
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
