Skip to content
Dua Cucuk Sate
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Dua Cucuk Sate
Dua Cucuk Sate
Cerpen

Dua Cucuk Sate

  • NOORAFIQ AZFAR MOHD NOOR
  • 22 Disember 2025
  • DBP Cawangan Sabah
  • 608
  • 4.6

PETANG itu, aku–Afik bersandar pada sebatang pokok kelapa. Bayu laut menyapa wajahku, mengusutkan rambut yang sedikit panjang. Aku duduk sambil mendakap kedua-dua lutut, merasakan hangat pasir meresap pada kedua-dua tapak kakiku. Terlalu banyak perkara yang bermain dalam benak fikiranku. Aku mendengus kecil membayangkan setiap perkara itu. Pandangan aku tertumpu pada sebuah sampan biru kecil bergaris kuning dan merah di laut, kelihatan seorang lelaki menarik tali pancingnya tergesa-gesa. Aku terus memerhatikan lelaki itu, ingin sekali aku melihat jika umpannya mengena atau habis dimakan ikan.

Bunyi tapak kaki seseorang mengalihkan pandangan aku daripada lelaki di atas sampan itu. Bunyi itu semakin kuat ke arah aku, kelihatan seorang lelaki separuh baya. Badannya berisi, memakai baju berjenama Polo serta berseluar jean biru. Pak Cik Akub tersenyum kepada aku.

“Apalah yang kaumenungkan itu? Dari jauh pak cik lihat engkau seperti ada masalah. Jika betul ada, ceritalah. Mungkin pak cik boleh tolong.” Gesa Pak Cik Akub selepas dia melabuhkan punggungnya duduk di sebelah aku.

“Tidaklah, cuma merenung itu, orang yang sedang memancing di sana.” Aku mengarahkan jari telunjuk kepada orang yang masih lagi menarik tali pancingnya itu.

“Tapi bukan itu yang sebenarnya engkau fikirkan, bukan?” Pak Cik Akub memandang aku selepas memerhatikan orang yang masih lagi menarik tali pancingnya itu. 

Aku tahu Pak Cik Akub seorang yang sentiasa mengambil berat terhadap orang lain, termasuklah aku. Aku menghela nafas panjang, cuba menyusun bait-bait kata untuk menggambarkan masalah yang sedang aku fikirkan sekarang. Aku memandang Pak Cik Akub, dia tersenyum tenang memandang hamparan laut petang itu. Wajahnya mesra dan ceria mengusik perasaan sebak di hati aku.

Dia bukanlah anak pertama nenek, tetapi watak dan tanggungjawabnya melebihi abang sulungnya. Tidak pernah sekalipun ibu menanggung masalah sendirian, Pak Cik Akub selalu ada untuk membantu ibu. Ibu ialah adik bongsu Pak Cik Akub. Setiap keluhan ibu selalu didengarnya dengan penuh perhatian dan sabar. Walaupun pak cik seorang kontraktor yang berjaya, dia tidak pernah sombong dengan sesiapa pun. Malah, pekerjaan itu membuatnya berteman dengan ramai orang dari pelbagai latar belakang. Sikap jujur dan ramah menjadikan dia seorang yang sangat disenangi oleh penduduk kampung.

Pak Cik Akub ialah kenangan termanis zaman kanak-kanak aku. Hubungan kami amat rapat, jika Pak Cik Akub hendak pergi ke pulau atas urusan kerja, pasti aku dibawa bersama-samanya. Aku kerap dibawa berjalan-jalan. Kalau bukan ke pejabat miliknya, aku akan menemani dia bekerja atau mengikut saja ke mana dia pergi. Semua itu membuatkan aku teringat suatu peristiwa.

Aku memandang wajah Pak Cik Akub, memori 15 tahun lampau menjengah ke dalam ingatan aku dengan sangat jelas. Seluruh orang yang berada di rumah nenek ketika itu huru-hara. Ibu mencari aku ke sana sini dan nenek juga mencari aku di rumah-rumah jiran. Pak cik, mak cik dan sepupuku turut sama membantu mencari aku. Namun, bayang aku masih tidak kelihatan. Ibu hampir membuat laporan polis, khuatir jika sesuatu yang tidak diingini berlaku ke atas diri aku.

Ibu menggenggam hujung tudungnya, wajahnya penuh kerisauan. Bibirnya bergetar. “Ya Allah … janganlah apa-apa yang buruk berlaku kepada anak aku, rintih ibu.” Air matanya mula mengalir membasahi pipi.

Nenek yang melihat keadaan ibu cepat-cepat memegang bahu ibu, cuba menenangkannya.

“Sabar Mas … sabar. Cuba cerita mengapa engkau menangis.” Nenek mula risau melihat ibu.

Air mata ibu mula mengalir tanpa disedarinya. “Mak nampak Afik? Dia tiada di bawah kolong rumah. Tadi dia kata mahu bermain di sana, tapi Mas pergi ke bawah, dia tiada pula.” Ibu bertanya kepada nenek dengan raut wajah cemas. Ibu memerhatikan wajah nenek dengan bersungguh-sungguh, mengharapkan jawapan nenek dapat menenangkan kerisauan ibu.

“Tidak ada pula, dia hilangkah? Ke mana pula pergi budak ini. Mak cuba pergi tanya Mak Cik Jamilah, mungkin Afik ada di rumahnya.” Nenek kelihatan risau, keningnya berkerut menampakkan kegusaran dalam hatinya. Nenek berlalu tergesa-gesa, mencapai selendangnya yang terbiar di atas meja.

Selepas puas mencari ke merata-rata tempat, semua orang yang ada di rumah nenek turut sudah kehabisan akal untuk mencari aku.

“Apa jadi ini ya Allah … mana Afik?” Mak Cik Jamariah duduk di lantai ruang tamu, mengurut dadanya.

Tangisan ibu semakin kedengaran dari arah dapur, Mak Cik Jamariah memandang ke arah dapur. Dia faham sungguh perasaan ibu ketika itu.

“Afik … anak ibu …” Ibu masih tertunduk menangis di lantai dapur. Ibu memutuskan untuk membuat laporan polis, khuatir hal-hal yang tidak baik berlaku kepada anak kesayangannya.

“Mas mahu membuat laporan polis, mak teman Mas ya?” Kesedihan jelas terpapar di wajah Ibu. Ibu memegang tangan kanan nenek, berharap nenek mahu menemaninya pergi ke balai polis.

Nenek yang tidak mendapat sebarang petunjuk daripada Mak Cik Jamariah memandang ibu.

“Baiklah, mak juga rasa itu cara terbaik. Engkau pergi bersiap dulu, bawa sekali gambar Afik.” Nenek cuba menenangkan ibu yang masih lagi bersedih.

Ibu dan nenek bersiap-siap untuk pergi ke balai polis, ibu membawa gambar aku untuk ditunjukkan kepada pihak polis nanti.

Baru saja ibu dan nenek hendak keluar dari pintu rumah, tiba-tiba bunyi hon sebuah kereta mengejutkan semua orang yang ada di rumah nenek.

Kereta Toyota Land Cruiser berwarna hijau milik Pak Cik Akub meluncur tepat di hadapan rumah nenek. Semua orang melihat Pak Cik Akub yang turun dari bangku pemandu dengan menggendong seorang budak lelaki.

Budak lelaki itu ialah aku, Afik. Nenek menggeleng-gelengkan kepalanya, memandang aku dan Pak Cik Akub. Aku tersenyum gembira sambil memegang dua cucuk sate ayam. Tiada rasa bersalah terlihat pada wajah aku. Aku tersenyum teruja melihat ramai orang sedang memerhatikan kami berdua. Aku mengangkat tangan, menunjukkan dua cucuk sate yang aku pegang kepada ibu. Air mata ibu masih belum kering, ibu hanya mampu menepuk dahi melihat tingkah laku aku yang tidak endah kerisauan semua orang. Nenek menepuk lengan Pak Cik Akub. Pak Cik Akub hanya ketawa kecil dengan rasa bersalah kepada ibu.

“Nasib baik engkau bawa balik budak ini, kalau tidak … tidak tahulah apa yang akan jadi.” Kata nenek kepada Pak Cik Akub. Pak Cik Akub meminta maaf kepada ibu kerana tidak memberitahu dahulu dia membawa aku ke pekan Tawau.

Sebelum semua menyangka aku hilang, aku sedang bermain di bawah kolong rumah nenek. Pak Cik Akub terlihat aku bermain sendiri semasa dia memandu melewati rumah nenek, dia memberhentikan kereta dan menyuruh aku masuk ke dalam keretanya. Aku yang memakai seluar pendek berbaju kemeja-T terus berlari keriangan masuk ke dalam kereta Pak Cik Akub. Tanpa pengetahuan ibu, aku mengikuti Pak Cik Akub. Rupanya dia hendak ke pekan Tawau untuk membeli bahan-bahan pembinaan rumah. Dia mengajak aku untuk menemaninya sepanjang perjalanan itu.

Semasa hendak pulang ke rumah nenek, kami singgah ke sebuah gerai makan di pekan Semporna. Pak Cik Akub memesan lima cucuk sate untuk aku, tapi aku hanya menghabiskan tiga cucuk sate, dan sebab itulah aku masih memegang dua cucuk sate. Cerita ini sudah berlaku lebih 15 tahun yang lalu, tetapi masih segar dalam ingatanku. Setiap kali aku melihat sate yang dijual di gerai-gerai, kenangan dua cucuk sate pasti terlintas semula dalam ingatanku ini.

Aku memandang semula lelaki yang berada di sampan itu, terukir senyum gembira pada bibir aku. Lelaki itu berjaya memancing ikan yang besar.

‘Aku sayang Pak Cik Akub …’ Bisik aku dalam hati. Aku sedar bahawa Pak Cik Akub sudah tiada. Tahun ini genap dua tahun pemergiannya. Pak cik yang sangat baik kepada aku, dia telah memahatkan kenangan-kenangan manis dan indah untuk aku. Tanpa sedar, air mataku mula bertakung di kelopak mata. Semakin aku cuba menahan air mata ini daripada tumpah, semakin laju pula air mata keluar. Akhirnya aku membiarkan air mata ini membasahi pipiku tanpa paksaan.

Suasana senja dengan cahaya jingga di angkasa, bayu angin terus membelai lembut wajah aku. Perasaan rindu dan sedih yang cuba aku tahan semakin tidak terbendung. Aku mendongak memandang langit jingga, membiarkan bayu laut menyapa wajah dan tubuh aku. Desiran ombak menemani aku yang masih duduk berseorangan. Aku melihat sampan biru kecil itu sudah berlabuh di jeti, lelaki di dalam sampan itu sedang berjalan di atas jeti kayu dengan senyuman lebar. Terlihat dia amat bahagia. Aku kembali memandangi laut yang kini berwarna sama seperti langit.

Perlahan tetapi jelas, suara Pak Cik Akub seakan-akan berbisik di telingaku, ‘Engkau kuat Afik, mesti suatu hari nanti engkau menjadi cikgu yang berjaya. Engkau orang pertama dalam keluarga kita mendapat peluang menjadi cikgu. Engkau jaga ibu, tinggi harapannya pada engkau. Buat keluarga kita bangga.’

Bisikan itu cukup membuatkan air mata aku mengalir semakin deras. Aku masih berusaha menjadi seperti yang dia harapkan. Aku akan berusaha sehabis baik untuk menjadi cikgu yang berjaya. Aku mengesat air mata yang meluncur di pipi, bangun dari tempat aku bersandar.

Sambil memandang mentari senja yang separuh itu, aku tersenyum. Aku sudah tahu jawapan masalah itu. Masih banyak sebab mengapa aku harus berjuang, masih banyak orang yang sebenarnya peduli tentang aku. Memori dua cucuk sate ini membuatkan aku dapat merasakan semula pelukan hangat Pak Cik Akub. Magsukul bapak, angentom aku ma kaa (Terima kasih pak cik, rindu aku dengan kau).

 

# #cerpendbp# #komsas# #penulisbaharu# #sasteramelayu# #wadahdbp# dbpcawangansabah
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Bayang Mahkota
Cerpen

Bayang Mahkota

  • 22 September 2025
  • 456
  • 4.7
ڤسن عالم
Puisi Moden

ڤسن عالم

  • 5 Mac 2025
  • 4.6
چوبا تيدق ڤوتوس
Puisi Moden

چوبا تيدق ڤوتوس

  • 5 Jun 2025
  • 4.8
Telur
Cerpen

Telur

  • 20 Januari 2025
  • 369
  • 4.5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP