Skip to content
Jejak Terakhir di Rumah Pusaka
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Jejak Terakhir di Rumah Pusaka
Jejak Terakhir di Rumah Pusaka
Cerpen

Jejak Terakhir di Rumah Pusaka

  • PUTERI NUR ALISYA AQILAH
  • 5 Ogos 2026
  • DBP Wilayah Timur

LANGIT petang di Kampung Seri Melur kelihatan muram. Hujan yang turun sejak tengah hari mulai reda, meninggalkan bau tanah basah yang sudah lama tidak dihidu oleh Aiman Hakimi. Dari dalam kereta, dia memandang ke arah rumah kayu dua tingkat yang berdiri di hujung bendang. Cat dindingnya sudah pudar dimamah usia. Beberapa keping zink bahagian dapur pula kelihatan berkarat.

Sudah hampir tiga tahun dia tidak pulang. Bukan kerana terlalu sibuk, tetapi kerana dia sendiri tidak tahu bagaimana hendak berhadapan dengan datuknya yang semakin uzur sebelum ini. Panggilan telefon semakin jarang dijawab. Kiriman wang setiap bulan dianggapnya sudah memadai sebagai tanda tanggungjawab seorang cucu.

Namun, pagi semalam, panggilan daripada Sarah benar-benar membuatkan dadanya terasa kosong.

“Abang Aiman, Tok Wan dah tak ada.”

Hanya itu yang mampu disebut oleh sepupunya sebelum tangisannya pecah.

Sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah, Aiman tidak banyak bercakap. Kata-kata terakhir datuknya yang pernah dianggap sebagai bebelan orang tua kembali bermain dalam fikirannya.

“Kalau suatu hari nanti Tok Wan dah tak ada, jangan biarkan rumah ni tinggal nama saja.”

Ketika itu dia hanya mengangguk sambil membelek telefon bimbit. Kini, rumah itu masih berdiri. Tetapi pemiliknya sudah pergi buat selama-lamanya.

Aiman menghela nafas panjang sebelum melangkah keluar dari kereta.

“Abang balik juga akhirnya.”

Sarah yang sedang menyiram pokok bunga di halaman rumah tersenyum hambar.

“Macam mana mak cik?” tanya Aiman perlahan.

“Semua okey. Orang kampung ramai datang tadi. Tinggal kita sekeluarga saja sekarang.”

Aiman mengangguk. Matanya tiba-tiba terpandang sebuah wau bulan yang tergantung di dinding serambi rumah. Kain warnanya sudah pudar. Sebahagian ekornya koyak dimakan masa.

Wau yang sama. Wau yang pernah dibuat bersama Tok Wan ketika dia berumur sepuluh tahun dahulu. Dia mengalihkan pandangan dengan cepat.

“Sarah.”

“Ya?”

“Lepas urusan ni selesai, aku ingat nak jual rumah ni sekali dengan tanah belakang tu.”

Tangan Sarah yang memegang penyiram bunga terhenti.

“Abang serius?”

“Rumah ni dah lama. Tak ada siapa pun tinggal tetap dekat sini. Lagi baik jual. Ada orang KL nak beli.”

Sarah terdiam.

“Kalau Tok Wan dengar …”

“Tok Wan dah tak ada, Sarah.”

Suasana kembali sepi.

Di luar pagar rumah, angin petang meniup perlahan bendang yang mula menghijau. Tanpa disedari oleh Aiman, kepulangannya kali ini bukan sekadar untuk menguruskan pusaka keluarga.

Ada sesuatu yang sedang menunggunya di rumah lama itu. Sesuatu yang ditinggalkan oleh arwah Tok Wan Salleh. Dan sesuatu itulah yang bakal mengubah seluruh hidupnya.

Malam pertama di rumah pusaka itu berlalu dalam suasana yang asing bagi Aiman. Bunyi cengkerik yang bersahut-sahutan dari luar rumah dan deruan angin yang menyelinap melalui celah tingkap kayu membuatkan tidurnya tidak lena. Dia terjaga sebelum subuh.

Sudah lama dia tidak mendengar kokokan ayam berselang-seli dengan laungan azan dari surau kampung. Selama ini hidupnya dipenuhi dengan bunyi hon kenderaan, notifikasi telefon dan kesibukan kota yang tidak pernah berhenti.

Selepas bersarapan, Sarah mengajaknya mengemas bilik arwah Tok Wan.

“Mak cik kata elok kita kemaskan sikit. Banyak barang Tok Wan yang tak terusik,” kata Sarah sambil melipat kain pelikat yang tersusun di dalam almari.

Aiman hanya mengangguk. Bilik itu masih seperti dahulu. Sebuah songkok hitam tergantung di belakang pintu. Di atas meja kecil berhampiran tingkap, masih tersusun cermin mata, jam tangan lama dan sebuah radio usang yang pernah digunakan Tok Wan untuk mendengar berita setiap malam.

Ketika mengalihkan beberapa kotak di bawah katil, Aiman terjumpa sebuah peti kayu kecil yang sudah pudar warnanya.

“Sarah, ini apa?”

Sarah mendekat.

“Entahlah. Aku tak pernah tengok pun.”

Aiman membuka perlahan-lahan penutup peti itu. Di dalamnya terdapat beberapa keping gambar lama yang sudah kekuningan, gulungan kertas dan sebuah buku nota yang kulitnya hampir tercabut.

Dia mengambil salah satu gambar. Dalam gambar hitam putih itu, Tok Wan berdiri sambil memegang sebuah wau bulan yang besar. Di sebelahnya, beberapa orang asing sedang tersenyum sambil mengangkat kamera.

“Tok Wan pernah masuk pertandingan ke?” tanya Aiman.

Sarah menggeleng.

“Aku pun tak tahu.”

Aiman membuka buku nota yang tersimpan kemas di bawah gambar-gambar itu. Tulisan tangan Tok Wan masih jelas.

‘Kalau Aiman jumpa buku ini suatu hari nanti, Tok Wan harap Aiman baca sampai habis.’

Aiman terdiam.

“Nama abang,” Sarah bersuara perlahan.

Dia menelan air liur.

Lembaran pertama hanya mengandungi tarikh dan catatan ringkas. Namun, semakin banyak halaman dibuka, semakin banyak kisah yang tidak pernah diketahui olehnya.

Tentang bagaimana Tok Wan belajar membuat wau daripada arwah ayahnya. Tentang tahun-tahun ketika kampung mereka menjadi tumpuan pelancong luar yang mahu melihat seni pembuatan wau. Tentang tawaran bekerja di bandar yang ditolak demi menjaga ibu bapanya. Dan tentang harapan seorang datuk yang tidak mahu warisan keluarga mereka hilang begitu sahaja.

Tiba-tiba Aiman terasa dadanya sesak.

“Kenapa Tok Wan tak pernah cerita semua ni?” bisiknya perlahan.

“Dia selalu cerita, bang,” balas Sarah.

“Tapi masa tu abang sibuk dengan telefon.”

Kata-kata Sarah membuatkan Aiman terdiam. Dia masih ingat. Ketika Tok Wan bercerita selepas isyak di beranda rumah, dia hanya menjawab sepatah dua sambil matanya melekat pada skrin telefon. Malah, ada ketika dia meminta orang tua itu berhenti bercerita kerana mahu menyambung permainan dalam talian bersama rakan-rakannya.

Kini, hanya buku usang itu yang tinggal. Dan untuk pertama kali sejak pulang ke kampung, Aiman merasakan kehilangan yang sebenar. Bukan kehilangan rumah. Bukan kehilangan tanah. Tetapi kehilangan masa yang tidak mungkin dapat diputar semula.

Petang itu, selepas Asar, Aiman duduk seorang diri di beranda rumah sambil membelek buku catatan peninggalan arwah Tok Wan. Angin yang bertiup dari sawah membawa bersama bau rumput yang baru dipotong. Sesekali kedengaran suara kanak-kanak bermain di jalan kampung.

Dia berhenti pada satu halaman yang ditulis dengan dakwat biru yang semakin pudar.

‘Wau bukan sekadar permainan. Dalam setiap buluh yang diraut, ada sabar. Dalam setiap corak yang dilukis, ada jiwa. Dan dalam setiap wau yang terbang, ada maruah orang yang membuatnya.’

Aiman menutup buku itu perlahan-lahan.

“Tok Wan memang tak pernah berubah.”

Suara itu datang dari arah tangga.

Pak Su Rahim berdiri sambil tersenyum nipis. Lelaki berusia hampir enam puluh tahun itu masih cergas. Tangan kanannya memegang topi lusuh yang sudah lama menjadi kebiasaannya.

“Pak Su.”

“Baca buku abang Salleh tu?”

Aiman mengangguk.

“Pak Su tahu pasal buku ni?”

“Pak Su yang suruh dia tulis. Dulu dia kata, kalau satu hari nanti semua orang dah tak peduli pasal wau, sekurang-kurangnya tulisan tu masih ada.”

Mereka duduk bersebelahan.

“Pak Su, Tok Wan memang terkenal ke dulu?”

Pak Su ketawa kecil.

“Bukan terkenal sangat. Tapi orang dari Jepun, Thailand, Singapura pun pernah datang cari dia. Tahun sembilan puluhan dulu, rumah ni tak pernah sunyi. Kalau musim pertandingan wau, bersepah orang duduk bawah pokok rambutan tu.”

Aiman memandang halaman rumah. Sukar untuk dia membayangkan suasana yang diceritakan oleh Pak Su.

“Kenapa Tok Wan tak pindah ke bandar? Lagi senang hidup.”

Pak Su terdiam seketika.

“Pernah ada orang tawarkan kerja dekat Kuala Lumpur. Gaji besar. Tapi dia tolak.”

“Kenapa?”

“Sebab arwah ayah dia sakit masa tu. Dia tak sanggup tinggalkan orang tua. Lepas tu, dia kata kalau semua orang lari ke bandar, siapa nak jaga warisan kita?”

Aiman tunduk. Kata-kata itu terasa seperti ditujukan kepadanya.

Belum sempat mereka menyambung bicara, sebuah kereta SUV hitam berhenti di depan rumah. Seorang lelaki berkemeja biru keluar sambil tersenyum.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,” jawab Pak Su.

“Aiman Hakimi?”

“Ya.”

Lelaki itu menghulurkan tangan.

“Saya Firdaus. Kita pernah bercakap melalui telefon minggu lepas.”

Aiman terus teringat.

Firdaus merupakan wakil syarikat pembangunan yang berminat membeli tanah pusaka keluarga mereka.

“Maaf datang tiba-tiba. Kebetulan saya ada urusan dekat sini.”

Pak Su hanya memerhati.

Firdaus mengeluarkan satu fail nipis dari dalam keretanya.

“Macam yang saya cakap sebelum ni, syarikat kami memang serius. Kawasan ni sesuai untuk projek inap desa moden. Harga yang kami tawarkan pun lebih tinggi daripada harga pasaran.” Aiman mengangguk perlahan.

“Boleh bincang.” Firdaus tersenyum.

“Bagus. Sayang kalau tanah ni dibiarkan macam ni saja. Rumah lama ni pun dah banyak rosak. Kalau dijual sekarang, encik boleh dapat keuntungan yang besar.”

Pak Su Rahim yang sejak tadi diam akhirnya bersuara.

“Rumah lama ni tak pernah minta untung daripada sesiapa.”

Firdaus tersenyum tawar.

“Pak cik, zaman sekarang orang tengok masa depan.”

Pak Su membetulkan duduknya.

“Anak muda macam kamu tengok masa depan dengan duit. Orang tua macam kami tengok masa depan dengan kenangan.”

Suasana menjadi sunyi seketika.

Firdaus ketawa kecil.

“Tak apa. Saya tak nak ganggu lama. Encik Aiman fikir-fikir dulu.”

Dia menghulurkan kad nama sebelum beredar.

Sebaik kereta itu hilang di selekoh jalan, Pak Su memandang Aiman.

“Pak Su tak marah kalau hang nak jual.”

“Pak Su ….”

“Tanah tu hak hang.”

Lelaki tua itu bangun perlahan-lahan.

“Tapi satu benda hang kena fikir. Duit boleh dicari balik. Rumah boleh dibina semula. Tapi apabila sesuatu warisan hilang, belum tentu cucu-cicit kita nanti tahu apa yang pernah kita ada.”

Pak Su melangkah turun dari rumah. Aiman masih duduk membisu. Kad nama Firdaus berada di tangan kirinya. Manakala buku catatan Tok Wan pula berada di tangan kanannya. Dan untuk pertama kali dalam hidupnya, dia benar-benar tidak tahu pilihan mana yang harus dibuat.

Keesokan harinya, selepas membantu Sarah menyusun semula barang-barang di dapur, Aiman berjalan ke belakang rumah. Di situ masih berdiri sebuah bangsal kecil beratapkan zink yang hampir dilitupi semak. Dia berhenti seketika.

“Bangsal ni masih ada lagi?” tanya Aiman kepada Sarah yang sedang menyidai kain.

Sarah memandang sekilas.

“Pak Su selalu bersihkan sikit-sikit. Tapi lepas Tok Wan sakit, tak ada sesiapa masuk sangat.”

Aiman melangkah perlahan. Pintu kayu yang sudah reput itu berkeriut apabila ditolak. Bau buluh kering dan habuk lama memenuhi ruang kecil itu.

Cahaya matahari petang yang masuk melalui celah dinding menerangi beberapa batang buluh yang masih tersusun di satu sudut. Di atas meja kerja, terdapat pisau kecil, berus lukisan, beberapa botol warna dan kepingan kertas yang sudah kekuningan. Semuanya seolah-olah masih menunggu tuannya pulang.

Tangan Aiman menyentuh perlahan sebuah rangka wau yang belum siap. Dia masih ingat. Dulu, ketika berumur sepuluh tahun, dia pernah menangis kerana buluh yang dirautnya patah. Tok Wan hanya ketawa.

“Kalau patah, buat semula. Wau dengan manusia sama, Man. Bukan semua benda jadi elok kali pertama.”

Ketika itu, dia tidak memahami maksud kata-kata itu. Kini, baru dia mengerti.

Sedang dia leka memerhati, kedengaran suara dari luar bangsal.

“Assalamualaikum!”

Aiman keluar.

Seorang lelaki dan isterinya bersama-sama seorang kanak-kanak perempuan berdiri di halaman rumah.

“Waalaikumussalam.” Aiman membalas.

“Maaf, kami nak tanya. Tok Wan Salleh ada?”

Aiman terdiam seketika.

“Tok Wan dah meninggal dunia bulan lepas.”

Wajah lelaki itu berubah.

“Innalillah … saya tak tahu.” Dia menghela nafas panjang.

“Saya orang Perak. Dulu masa kecil, arwah ayah saya pernah bawa saya datang sini. Tok Wan buatkan wau untuk saya. Sampai sekarang saya masih simpan.”

Aiman hanya mendengar.

“Kebetulan kami lalu kawasan ni. Anak saya asyik minta tengok tempat orang buat wau.”

Kanak-kanak perempuan yang berusia sekitar lapan tahun itu tersenyum malu.

“Pak cik, betul ke datuk pak cik buat wau yang besar sangat?”

Aiman tersenyum kecil.

“Dulu, ya.”

Budak kecil itu memandang ke arah bangsal lama.

“Sekarang tak buat dah?”

Soalan mudah itu membuatkan Aiman terdiam.

Dia memandang bangsal usang di belakang rumah.

“Tak ada orang buat dah.”

Kanak-kanak itu mengangguk perlahan.

“Sayanglah.”

Hanya satu perkataan. Tetapi perkataan itu terasa berat di hati Aiman.

Selepas keluarga itu beredar, dia kembali duduk di dalam bangsal. Matanya tertumpu kepada sebuah rak kayu yang hampir tumbang.

Di celah timbunan kertas, dia menemui satu sampul surat yang belum pernah dibuka. Di bahagian hadapannya tertulis dengan tulisan tangan yang dikenalinya.

‘Untuk Aiman, kalau satu hari nanti kamu kembali.’

Dadanya berdegup perlahan. Dengan tangan yang sedikit menggigil, dia membuka sampul itu. Sekeping surat dan gambar lama terjatuh ke atas lantai. Dalam gambar itu, seorang budak lelaki yang sedang tersengih memegang sebuah wau bulan berdiri di sebelah Tok Wan Salleh.

Budak itu ialah dirinya sendiri. Aiman tersenyum kecil tanpa sedar. Kemudian, dia mula membaca surat tersebut.

“Assalamualaikum cucu Tok Wan. Kalau Aiman baca surat ini, maknanya Tok Wan mungkin dah tak ada. Tok Wan tak pernah marah kalau Aiman tak minat buat wau. Setiap orang ada jalan hidup masing-masing. Tok Wan cuma harap, jangan malu dengan asal usul kita. Rumah ini bukan sekadar kayu. Tanah ini bukan sekadar tanah. Dan wau-wau ini bukan sekadar permainan. Semua ini menyimpan cerita tentang siapa kita. Kalau satu hari nanti Aiman rasa penat dengan dunia, pulanglah. Sebab rumah ini akan sentiasa menunggu.”

Tanpa sedar, air mata yang ditahan sejak hari kematian Tok Wan akhirnya jatuh. Buat pertama kali sejak pulang ke Kampung Seri Melur, Aiman menangis. Bukan kerana kehilangan, tetapi kerana penyesalan.

Dan di luar bangsal kecil itu, angin petang yang bertiup perlahan menggerakkan rangka wau yang tergantung di dinding. Seolah-olah seseorang sedang tersenyum dari jauh.

Malam itu, Aiman tidak dapat melelapkan mata. Surat peninggalan Tok Wan masih terletak di atas meja kecil di dalam biliknya. Sudah beberapa kali dia membacanya, namun setiap kali sampai pada ayat terakhir, dadanya tetap terasa sesak.

“Kalau satu hari nanti Aiman rasa penat dengan dunia, pulanglah.”

Dia memandang siling. Selama ini dia menyangka kejayaan itu hanya ada di bandar. Bangunan tinggi, gaji besar dan kehidupan yang serba pantas. Namun, sejak pulang ke kampung, ada sesuatu yang tidak dapat dijelaskan sedang tumbuh perlahan dalam dirinya.

Keesokan paginya, telefon bimbitnya berdering.

“Encik Aiman? Saya Firdaus.”

“Ya.”

“Saya ada dekat pekan. Kalau encik lapang, saya nak jumpa sekejap.”

Petang itu, mereka bertemu di sebuah kedai kopi berhampiran sawah. Firdaus membuka fail yang dibawanya.

“Saya terus terang saja, encik. Pihak syarikat sangat berminat dengan kawasan rumah pusaka encik. Bos saya sendiri suruh saya naikkan tawaran.”

Aiman hanya mendengar.

“Kalau encik setuju, urusan boleh selesai dalam masa sebulan.”

Firdaus menyebut jumlah yang membuatkan Aiman terdiam seketika.

Jumlah itu cukup untuk melangsaikan pinjaman pelajar, membeli sebuah kereta baharu dan menyewa rumah yang lebih selesa di Kuala Lumpur.

“Saya tak paksa. Tapi peluang macam ni bukan selalu datang.”

Aiman memandang keluar kedai. Sawah yang terbentang luas bergoyang ditiup angin petang.

“Encik Firdaus.”

“Ya?”

“Kalau itu rumah keluarga Encik Firdaus, Encik Firdaus jual tak?”

Firdaus tersenyum kecil.

“Kalau saya? Saya jual.”

“Tak rasa sayang?”

“Kenangan tak boleh bayar bil, Encik Aiman.”

Jawapan itu membuatkan Aiman terdiam. Mereka berpisah sebelum maghrib.

Malamnya, Aiman duduk di beranda bersama Pak Su Rahim. Lelaki tua itu sedang mengupas buah rambutan.

“Pak Su.”

“Hmm …?”

“Kalau Pak Su di tempat saya, Pak Su jual tak rumah ni?”

Pak Su tersenyum kecil.

“Pak Su tak boleh jawab.”

“Kenapa?”

“Sebab hidup setiap orang lain.”

“Tapi ….”

Pak Su meletakkan rambutan yang dikupas ke dalam pinggan.

“Dulu masa ayah hang meninggal, Abang Salleh pernah cakap pada Pak Su.”

Aiman memandang wajah lelaki tua itu.

“Dia kata, kalau satu hari nanti Aiman tak mahu teruskan warisan ni, jangan paksa dia. Biar dia cari bahagia dia sendiri.”

“Tok Wan cakap macam tu?”

Pak Su mengangguk.

“Atuk hang tu tak pernah paksa sesiapa.”

Aiman tunduk.

“Pak Su takut saya jual?”

“Tak.”

“Tak?”

Pak Su tersenyum.

“Pak Su takut hang buat keputusan masa hati hang tengah kosong.”

Angin malam bertiup perlahan.

Buat seketika, mereka hanya ditemani bunyi cengkerik.

“Hang tahu kenapa bangsal belakang tu tak pernah Pak Su robohkan?” soal Pak Su.

Aiman menggeleng.

“Sebab setiap kali Abang Salleh buat wau, dia selalu cakap satu perkara.”

“Apa dia?”

“Bukan semua yang lama perlu dibuang. Kadang-kadang yang lama itulah yang mengingatkan kita tentang siapa diri kita.”

Malam itu, Aiman termenung lama. Buat pertama kali sejak dia menerima tawaran daripada Firdaus, dia tidak lagi memikirkan jumlah wang yang bakal diperoleh. Sebaliknya, fikirannya tertumpu kepada satu perkara yang lebih menakutkan.

Bagaimana kalau selepas rumah ini dijual, tiada lagi apa-apa yang tinggal daripada Tok Wan Salleh?

Dan bagaimana kalau suatu hari nanti, anak-anaknya sendiri bertanya, “Ayah, dulu datuk kita buat apa?”

Sedangkan ketika itu, dia sendiri sudah tidak mempunyai jawapan.

Beberapa hari kemudian, ketika Aiman sedang membantu Sarah menyusun barang-barang di kedai runcit kecil milik mak ciknya, Pak Su Rahim datang dengan wajah yang sedikit ceria.

“Esok pesta wau di pekan.”

Sarah tersenyum.

“Masih buat lagi ke, Pak Su?”

“Buatlah. Walaupun tak semeriah dulu.”

Pak Su memandang Aiman.

“Ikut Pak Su?”

Aiman ketawa kecil.

“Saya tak tahu apa-apa pasal wau dah.”

“Siapa suruh hang masuk pertandingan? Pergi tengok pun jadilah.”

Entah mengapa, Aiman mengangguk.

Padang besar di pekan itu dipenuhi orang ramai. Gerai makanan, permainan kanak-kanak dan pelbagai jenis wau menghiasi ruang yang luas itu.

Kanak-kanak berlari sambil ketawa. Beberapa orang tua duduk berbual di bawah khemah. Aiman sekadar mengikut Pak Su dari satu gerai ke satu gerai.

“Pak Su!”

Seorang lelaki berusia lingkungan 50 tahun melambai dari jauh.

“Rahim,  lama tak jumpa!”

Mereka bersalaman.

“Ini anak Salleh?” soal lelaki itu sambil memandang Aiman.

“Cucu.”

Lelaki itu terus tersenyum.

“Tok Wan hang orang hebat. Dulu kami selalu kalah pertandingan kerana dia.”

Mereka ketawa bersama.

Sepanjang hari itu, Aiman mendengar cerita demi cerita daripada orang yang pernah mengenali Tok Wan. Ada yang masih mengingati hasil tangan lelaki tua itu. Ada yang masih menyimpan wau yang dibuat lebih 20 tahun dahulu.

Sepanjang hari itu, barulah dia benar-benar memahami bahawa datuknya bukan sekadar seorang pesara tua yang menghabiskan usia di kampung. Dia sebenarnya telah meninggalkan sesuatu yang jauh lebih besar daripada yang disangkakan.

Ketika mereka hendak pulang, seorang budak lelaki berusia sekitar sepuluh tahun berdiri di hadapan sebuah gerai kosong sambil memegang rangka wau yang patah. Wajahnya muram.

“Ayah tak pandai buat.”

Budak itu bercakap kepada ibunya.

“Tak apa, lain kali kita beli baharu.”

“Tapi saya nak yang ni.”

Pak Su memandang Aiman.

“Aiman.”

“Hmm ….”

“Hang ingat lagi tak Tok Wan ajar dulu?”

Aiman tersenyum hambar.

“Dah lupa.”

“Tak apa.”

Pak Su mengambil rangka wau itu.

“Kalau lupa, belajar balik.”

Mereka bertiga duduk di bawah sebatang pokok. Dengan tangan yang sudah berkedut dimakan usia, Pak Su mula menunjukkan cara menyambung buluh yang patah.

“Macam ni.”

Aiman memerhati.

“Pegang sini.”

Tanpa sedar, tangannya mula mengikut gerakan Pak Su.

Sedikit demi sedikit. Seperti ketika dia berumur sepuluh tahun dahulu. Budak kecil itu memandang mereka dengan mata yang bersinar.

Sejam kemudian, rangka yang patah itu kembali sempurna. Budak itu tersenyum lebar.

“Terima kasih, abang!”

Dia terus berlari mendapatkan ibunya. Pak Su hanya tersenyum kecil.

“Nampak?”

“Nampak apa?”

“Bukan semua benda hilang.”

Aiman memandang tangan sendiri. Tangan yang sudah bertahun-tahun memegang komputer riba dan telefon pintar.

Dan hari itu, buat pertama kalinya selepas sekian lama, tangannya kembali menyentuh buluh dan kertas warna.

Malam itu, dia duduk seorang diri di bangsal lama Tok Wan. Telefon bimbitnya berdering. Nama Firdaus tertera di skrin.

“Macam mana, Aiman?”

Lama Aiman terdiam.

“Maaf, Firdaus.”

“Maksud kau?”

“Saya tak jual.”

Di hujung talian, lelaki itu turut diam.

“Kau pasti?”

Aiman memandang sekeliling bangsal yang diterangi lampu malap.

Pisau kecil Tok Wan. Berus warna yang sudah kering. Dan surat yang masih tersimpan kemas di dalam laci.

“Saya tak tahu apa akan jadi lepas ni.”

“Jadi?”

“Tapi saya rasa ada benda yang lebih mahal daripada duit.”

Dia tersenyum kecil.

“Dan saya baru sedar perkara tu.”

Selepas talian dimatikan, Aiman menarik nafas panjang. Dia masih belum tahu bagaimana hendak menghidupkan semula bangsal itu. Dia juga tidak tahu sama ada masih ada orang yang berminat dengan seni membuat wau.

Tetapi buat pertama kali sejak sekian lama, dia tidak lagi berasa kosong. Di luar bangsal, angin malam bertiup perlahan. Pada dinding kayu yang sudah tua itu masih tergantung sebuah wau bulan yang warnanya telah pudar dimakan waktu. Wau yang pernah dibuat bersama Tok Wan Salleh ketika dia berumur sepuluh tahun.

Aiman tersenyum sendirian.

“Rumah ni masih menunggu, Tok Wan.”

Dan kali ini, dia sudah benar-benar pulang.

 

# #cerpendbp# #cerpenkehidupan# #karyasastera# #kehidupan #anakmuda# #penulisbaharu# #sasteramelayu# #sasteramoden# #wadahdbp# cerpen# Keluarga# rumahpusaka# warisankeluarga
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (13) #cerpenkehidupan (8) #dbpselatan (17) #dewanbahasadanpustaka (2) #karyasastera (29) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (33) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (24) #sasteramelayu (10) #sasteramoden (4) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (14) abuyon (4) adie abd gani (5) anak (3) cerpen (14) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (28) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (6) Esei (5) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (14) puisi (34) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (13) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

جاتي ديري بڠسا دري سجاره نن توا
Puisi Moden

جاتي ديري بڠسا دري سجاره نن توا

  • 5 Disember 2024
  • 4
Bisikan Pulau Tiga
Puisi

Bisikan Pulau Tiga

  • 21 November 2025
  • 140
  • 5
Dua Cucuk Sate
Cerpen

Dua Cucuk Sate

  • 22 Disember 2025
  • 616
  • 4.6
Pulangnya Sang Pelaut
Puisi

Pulangnya Sang Pelaut

  • 20 Oktober 2025
  • 129
  • 4.7

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP