Skip to content
Teman di Penghujung Jalan
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Teman di Penghujung Jalan
Teman di Penghujung Jalan
Cerpen

Teman di Penghujung Jalan

  • Ilman
  • 5 September 2026
  • DBP Wilayah Utara
  • 46
  • 5

“HONNNNNNNNNN!”

Bunyi hon yang bingit bagaikan halilintar membelah bumi itu menggetarkan gegendang telinganya. Gelora awan hitam yang menyelubungi malam itu tidak berhenti mencurahkan hujan. Silauan cahaya putih daripada sebuah lori kontena tiba-tiba menerjah cermin hadapan keretanya dalam sekelip mata umpama cemeti malaikat yang membelah dada langit.

“Abang!” teriak ibu Umar sekuat-kuatnya.

Jeritan ibu Umar terus tenggelam dalam dentuman kuat yang menggegarkan kereta yang dinaikinya. Hadiah hari lahir yang dipeluknya terlepas daripada tangannya. Tubuh remaja itu terhumban ke sisi kereta. Cermin kereta yang tadinya utuh menepis hujan, sekarang berkecai seperti hujan kristal bertaburan di atas riba dan wajahnya.

Rintihan pilu ibunya. Erangan pedih ayahnya. Raungan kesakitan abangnya. Semuanya bercampur menjadi satu bunyi yang merobek-robek hidup Umar. Titisan demi titisan air matanya jatuh menitis ke bumi. Kemudian… gelap. Gelap yang panjang. Gelap yang menelan seluruh dunianya. Pada hari itu, empat nyawa direntap dan dipaksa meninggalkan jasad tetapi hanya Umar yang masih bernafas, hanya dia yang masih tinggal sehingga hari ini. Kini, dia hanya sekadar hidup tetapi tidak mempunyai kehidupan.

***

Umar tersentak bangun daripada tidur-tidur ayam dengan nafasnya yang tercungap-cungap di atas sofa di ruang tamu apartmennya. Mulutnya terus terkumat-kamit melafazkan kalimah suci. Lampu ruang tamu yang sudah malap dan berkelip-kelip masih belum ditukar mentolnya. Bunyi penyaman udara memenuhi ruang sunyi itu, namun peluh tetap membasahi tengkuknya.

Meskipun sudah lapan tahun berlalu, mimpi ngeri yang sama tentang tragedi yang menimpa keluarganya itu masih menghantui tidurnya pada setiap malam. Biarpun luka lamanya sudah menjadi parut yang kelihatan sembuh di luar, namun dalam ingatannya, luka yang sama masih kekal berdarah. Keresahan dan kesedihan mengulit dirinya tanpa iringan lagu.

Dua ekor burung tuwu berkicauan di luar tingkap yang dibiarkan terbuka malam tadi menghentikan Umar daripada menungannya. Bayu pagi menyentuh lembut wajahnya. Umar mengusap perlahan mukanya sebelum mencapai telefonnya di sisi bantal. Jam menunjukkan pukul 5.45 pagi. Azan Subuh yang mengejut segenap umat mula berkumandang dari masjid berhampiran kediamannya.

Namun anehnya, hati Umar tetap terasa kosong. Kosong seperti rumah yang ditinggalkan penghuninya. Kosong seperti halaman terakhir sebuah buku yang tidak sempat dihabiskan pembaca. 

Umar bangkit dari sofa lalu berjalan ke dapur untuk meneguk segelas air. Cawan kopi semalam masih berada di singki. Fail kerjanya bertimbun di atas meja makan. Hidupnya kelihatan normal ibarat manusia lain yang bekerja. Pulang lewat malam, kemudian mengulang perkara yang sama keesokan harinya. Perkara itu sudah ghalib dan sebati dalam diri setiap manusia.

***

Pejabat tempat Umar bekerja sibuk seperti biasa. Bunyi ketikan papan kekunci, deringan telefon tanpa henti dan deruman mesin pencetak yang tidak pernah kekeringan dakwat kerana dakwatnya sentiasa diisi semula apabila mula mengering. Peranti-peranti yang dicipta untuk membantu dan melengkapkan pekerjaan manusia itu terikat dengan rutin harian yang berulang, sama seperti manusia. Namun untuk Umar, rutin yang berulang-ulang itulah yang perlahan-lahan menutup rapat hatinya bagaikan jeruji besi yang menjerat sang jentayu dalam kurungan tanpa penghujung. Tiada ruang untuk ditembusi.

Di sebalik kesibukan pejabat itu, Umar terasa seperti orang asing di tengah-tengah himpunan manusia. Dia yang duduk di kubikel hujung pejabat, ralit menatap skrin komputer. Pandangannya beralih ke luar tingkap. Puluhan manusia dilihatnya berjejal-jejal di kaki lima seberang jalan. Masing-masing mempunyai arah tuju tersendiri. Ada yang melambai-lambai sesama sendiri. Ada yang ketawa tatkala berbual. Ada yang berpusu-pusu menuju ke warung tepi jalan. Namun ada jelingan yang tertumpu ke arahnya. Dia terus mengalihkan pandangan serta-merta. Bagi Umar, mereka kelihatan begitu bebas dan tenang dalam kehidupan. Apabila melihat mereka dari jarak sedekat itu, dia terasa seperti hidup di dunia yang berbeza. Dunia yang selama ini terasa mustahil untuk dicapainya.

“Oi,” tegur seorang lelaki yang kelihatan seusia dengannya. Lelaki itu berdiri di sebelah mejanya sambil memegang dua cawan kopi.

“Sekarang waktu rehat.” Tanpa menunggu jawapan, lelaki itu terus meletakkan satu cawan kopi di hadapan Umar sebelum duduk di kerusi sebelah.

“Aku Fahim.” Senyum manis lelaki itu sambil menghulurkan tangan untuk berjabat dengan Umar.

Umar terpaku tanpa bicara kerana lelaki itu ialah orang yang sama menjelingnya beberapa saat yang lalu. Bagaimanakah lelaki itu boleh muncul secepat itu di sebelahnya? Umar tidak mahu berfikir panjang dan terus berjabat tangan dengan Fahim.

Pada mula perkenalan, Umar menyangka Fahim sama seperti orang lain. Datang sekejap. Berbuat baik sekejap. Kemudian hilang tanpa jejak.

Namun begitu, setelah hari demi hari berlalu, Fahim tetap berada di sisinya sebagaimana burung hudhud setia kepada Nabi Sulaiman a.s. Fahim yang tinggi lampai dan berkulit kuning langsat itu kadang-kadang membebel tentang kerja. Kadang-kadang dia mengajak makan tengah hari. Kadang-kadang dia sekadar duduk diam sambil menatap telefon di sebelah Umar.

Perkara yang nampak kecil. Perkara yang kelihatan remeh. Lama-kelamaan perkara yang dianggap kecil itulah yang mengisi ruang kosong dalam hidup Umar. Mimpi ngeri yang mengganggu setiap malamnya mula menghilang seperti kepulan asap yang dibawa angin.

“Kenapa kau selalu balik lambat?” Tanya Fahim kepada Umar suatu malam ketika mereka keluar dari pejabat. Lampu jalan memantul pada lopak air di jalan yang masih basah selepas hujan.

“Tak ada apa kalau balik awal,” balas Umar.

“Keluarga?” Tanya Fahim lagi.

Umar terdiam seketika. “Tak ada,” jawabnya sambil tersenyum nipis.

Fahim tidak bertanya lebih lanjut. Dia hanya mengangguk perlahan sebelum berkata, “Kalau macam tu, jom kita makan dulu.” Sesederhana itu balasan Fahim. Tiada simpati berlebihan. Tiada pandangan kasihan. Hanya seseorang yang memilih untuk kekal bersama-samanya.

Namun perkara sesederhana itu terasa asing bagi Umar kerana baginya yang sudah lapan tahun merasai keperitan hidup, semua orang yang terlampau mengasihaninya sebenarnya menganggapnya lemah, tidak berkemampuan dan gagal. 

Masa pun bergerak pantas. Mereka mula makan bersama-sama hampir setiap malam di kedai mamak berhampiran kediaman Umar. Umar yang tidak mengenali sesiapa pada luar waktu bekerja, kini mula bergaul dan beramah mesra dengan jiran-jiran serta mempunyai kawan-kawan baharu. Senyuman manisnya mula kembali terukir pada wajahnya. Dia mula merasakan hidupnya tidak terlalu sunyi seperti sebelumnya. Akhirnya dia berasa bahawa kewujudannya penting buat orang lain.

Namun begitu, seperti tahun-tahun sebelumnya, kebahagiaan tidak menyinggah lama dalam hidup Umar. Beberapa bulan selepas dia merasai semula kehidupan, dia mengalami sakit kepala yang sangat teruk. Pada mulanya dia mengabaikan kesakitan itu tetapi semakin lama simptom itu semakin menjadi-jadi. Kadangkala penglihatannya kabur dan hidungnya tiba-tiba berdarah semasa bekerja. Keadaan itu berterusan sehinggalah pada suatu petang, telinganya berdengung dan pandangannya berpinar sebelum semuanya bertukar gelap. Tubuhnya tersungkur ke lantai.

“Umar! Oi, Umar!” Suara Fahim bergema dalam wad hospital. Umar membuka matanya perlahan-lahan dan kipas siling yang berputar tepat di atasnya menjadi benda pertama dilihatnya. Kepalanya terasa berat. Wayar-wayar berselirat melekat pada badannya. Bau antiseptik memenuhi ruang wad hospital. Di sisi katil, Fahim sedang duduk tidak keruan sambil memegang sebotol air mineral.

“Kau pengsan di pejabat tadi,” kata Fahim dengan nada kerisauan. Detak jantungnya begitu kuat hingga dapat didengari telinga sendiri.

Selepas mereka bersembang seketika, seorang doktor menghampiri lalu membelek-belek fail pemeriksaannya beberapa kali sebelum menghela nafas panjang.

“Encik Umar… Kami jumpa ketumbuhan pada otak awak.” Suara halus doktor itu memberitahu Umar perkara yang menyakitkan sekali untuk didengari. Tiada sesiapa pun meminta untuk mendengarnya. Namun, apakan daya, takdir mengatasi segalanya. Fikiran Umar ketika itu sudah menjangkakan yang bukan-bukan. Otaknya sudah berteka-teki perkara apa yang ingin doktor itu sampaikan lagi. Degupan jantungnya seakan-akan ingin berhenti sementara denyutan nadinya seakan-akan ingin berehat selamanya. Segala mimpinya yang indah lenyap begitu sahaja.

Doktor itu terus menambah. “Kemungkinan besar… kanser otak.”

Selepas hari itu, Umar berubah kepada dirinya yang dahulu. Dia kembali diam dan menyendiri. Dia semakin jauh. Dia semakin tenggelam ke dasar lautan yang diciptanya dan hanya mampu berpaut pada tali yang mengikat jiwanya untuk terus bertahan. Fahim tetap berada di sisinya seperti biasa. Ketika rawatan. Ketika dia muntah selepas kemoterapi. Ketika dia mengharungi malam-malam yang panjang dan kelam sebelum dapat menyambut kedamaian pagi keesokan harinya.

Suatu petang Umar mengadu kepada rakan baiknya itu. “Aku penat Fahim. Aku betul-betul penat. Aku rasa macam mahu mati. Tapi aku tak mahu kembali sesat dalam diri sendiri. Aku rasa macam sampah. Adakah Tuhan nak ambil aku pula selepas aku hilang keluarga dan diri aku yang sebenar? Kalau aku mati pun apa bezanya?” luahan Umar itu disertai genangan air mata yang laju membasahi pipi.

Fahim diam dan memandang Umar dengan lama. “Umar… Semalam sudah berlalu pergi, esok masih jauh dan hari ini pun kita masih tak tahu apa yang akan terjadi seterusnya. Jadi, mari kita lalui hari ini seperti hari-hari sebelumnya.” Fahim cuba memujuk Umar dengan kata-katanya.

“Kalau hari ini kau masih tiada sebab untuk terus hidup, teruskanlah hidup dan jangan berhenti. Siapa tahu, suatu hari nanti kau akan menemukan sebab yang membuatkan kau ingin terus hidup, dan aku harap saat itu dipenuhi dengan harapan yang mampu membawa kau ke masa depan yang lebih baik,” tambahnya.

Hari demi hari, kehidupan Umar menjadi semakin sukar. Kanser yang dialaminya mula merebak ke seluruh badan. Dia mula kehilangan berat badan. Rambutnya mula gugur. Wajahnya semakin pucat. Dia mula takut untuk tidur kerana setiap kali dia memejamkan mata, dia akan kembali ke malam kemalangan itu.

Beberapa minggu kemudian, keadaan Umar semakin kritikal. Doktor memberitahu rawatan berikutnya mungkin tidak berjaya. Buat pertama kali selepas sekian lama, dia benar-benar takut. Bukan takut mati namun takut ditinggalkan sekali lagi, seorang diri.

Rawatan tersebut memang gagal. Disebabkan itu, Umar tidak berfikir panjang dan memilih untuk menghentikan semua rawatan susulan. Dia dijangkakan boleh bertahan hidup selama empat bulan sahaja lagi. Dia memutuskan untuk meniti sisa-sisa hidupnya dengan berehat di apartmennya.

Suatu malam, ketika mencari dokumen lama di stor apartmennya, Umar menemukan sebuah kotak berdebu yang dibungkus dengan selendang milik arwah ibunya. Tangannya berhenti pada sekeping gambar lama keluarganya. Namun, kelihatan sosok tubuh Fahim dalam gambar itu. Umar terkejut. Dia memejamkan matanya dan menarik nafas panjang. Matanya kembali menatap gambar itu semula. Fahim tiada dalam gambar itu. Hatinya sudah mula resah.

Umar mencapai telefonnya untuk menelefon Fahim tetapi nama Fahim tiada dalam senarai kenalannya. Dadanya sesak seolah-olah serpihan cermin daripada kemalangan lapan tahun lalu kembali menusuk-nusuk dadanya. Dia membelek gambar itu semula. Di belakang gambar itu tertulis dengan tulisan tangan yang samar:

21 Mei 2018:
Untuk adikku Umar.
Jangan takut kalau abang tak ada nanti.
— Fahim

Bumi pada saat itu bagaikan berhenti berputar. Tangan Umar mula menggigil. Dunianya menjadi sunyi sepi. Tidak… Tidak mungkin jarum jam dinding di ruang tamunya bertukar arah putaran daripada bergerak ke kanan, tiba-tiba ke kiri dengan pantas. Satu demi satu memori lama mula dimainkan semula dalam fikirannya.

***

Sehari selepas peristiwa malang itu berlaku, Umar yang berumur 16 tahun ketika itu dibantu seorang jururawat menuju ke katil abangnya di wad hujung. Tangannya berbalut. Kepalanya masih berpusing dan sakit. Namun semua kesakitan itu terasa kecil untuk dibandingkan dengan ketakutannya ketika itu.

“Abang…” Suara Umar sayu memanggil abangnya, Fahim. Abangnya terbaring lemah di atas katil. Mukanya pucat. Nafasnya tersekat-sekat. Hanya dentingan monoton mesin sokongan hayat yang mengisi kesunyian di setiap penjuru wad itu. Umar bertanya kepada abangnya, “Ibu dengan ayah di mana?”

Fahim tidak mampu menjawab soalan adiknya itu. Dia terkedu. Dia hanya mampu menarik adiknya ke dalam dakapannya lalu memeluk erat adiknya sambil ditemani deraian air mata. Umar tidak berkata apa-apa seolah-olah dia mengerti maksud air mata abangnya itu.

Beberapa hari kemudian, Fahim kelihatan semakin lemah. Umar duduk di samping katil abangnya sambil menggenggam erat tangan abangnya. Dia enggan melepaskan tangan itu walau sesaat. Fahim menarik tangannya dan menghulurkan sekeping gambar yang terdapat tulisan yang baru ditulis dengan pen berdakwat biru di belakang gambar tersebut, gambar keluarga mereka.

“Tak mahu!” Umar menepis tangan abangnya. Tangisannya menghuni segenap ruangan wad itu.

“Abang jangan tinggal Umar! Umar dah tiada sesiapa.” Rayu Umar sambil menggelengkan kepalanya.

Fahim mengusap-usap kepala Umar sebelum berbisik perlahan. “Abang tak akan tinggalkan Umar. Abang tetap ada dengan Umar.”

Tiba-tiba… “Biiiiiiiip.” Bunyi monitor jantung yang nyaring dan mendatar mula bergema di seluruh pelosok hospital. Malam itu, Umar sekali lagi merasai kehilangan orang tersayang. Sekali lagi, dia perlu menanggung keperitan takdir yang telah ditentukan untuknya. Hari itulah titik permulaan cahaya tidak lagi menerangi hidupnya.

Umar tersedar kembali ke dunia realiti. Laporan hospital lapan tahun lalu terjatuh dari tangannya ke lantai.

“Ahmad Fahim bin Mohd Faizal telah meninggal dunia akibat kecederaan dalaman 5 hari selepas kemalangan.”

Badan Umar kaku. Lututnya terus jatuh terhentak ke lantai. Jarum jam kembali akur kepada prinsip masa yang tidak dapat berputar semula. Umar akhirnya sedar dari tidurnya yang lama. Fahim sudah lama pergi dan dia terpaksa melepaskan insan terakhir yang menghubungkannya dengan masa lalu.

Setelah malam itu, Fahim tidak pernah muncul semula. Tiada lagi mesej. Tiada lagi ketawa yang memenuhi apartmen kecil itu. Tiada lagi suara yang mengisi kesunyian. Yang menghairankan, kesunyian itu terasa jauh lebih menyakitkan buat Umar berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana kemunculan Fahim yang sungguh tidak diduga.

“Mengapa abang perlu muncul selepas lapan tahun?” Itulah monolog Umar dalam hatinya. Dia tidak mampu menerima kenyataan.

Pada hari-hari terakhir sisa usianya, Umar tidak mampu berdiri lagi. Dia hanya mampu bergerak dengan kerusi roda. Sesekali dia tidak mampu bangun dari katil. Tenaga yang ada hanya sekadar cukup untuk terus bernafas. Sesekali dia terbatuk sehingga darah melitupi telapak tangannya.

Umar duduk di atas kerusi roda di balkoni apartmennya. Dia menyelimuti badannya dengan selendang lama milik ibunya. Malam itu, kelibat abangnya, Fahim muncul sejenak.

“Umar. Jom ikut abang balik,” kata Fahim yang berpakaian serba putih ketika itu.

Umar tersenyum. Sekarang baru dia faham akan kehadiran abangnya setelah sekian lama. Kasih abangnya yang bitara sudah berumah dalam hatinya, menghalau kesunyian yang sudah lama bertandang dalam hatinya.

Dalam saat-saat terakhir hidupnya, mulut Umar tidak henti-henti mengucapkan dua kalimah syahadah.

“Aku bersaksi tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.”

Sesungguhnya masa yang sentiasa tunduk dan tidak pernah mengingkari hakikat al-‘Asr itu akhirnya terhenti, sekurang-kurangnya dalam perjalanan hidup Umar.

# #cerpendbp# #penulisbaharu# #wadahdbp# cerpen
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (14) #cerpenkehidupan (8) #dbpselatan (17) #karyasastera (30) #kedah (4) #komsas (3) #penulis (9) #penulisbaharu (34) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (24) #sasteramelayu (10) #sasteramoden (4) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (16) abuyon (4) adie abd gani (5) anak (3) bahasa (3) cerpen (16) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (29) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (6) Esei (5) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (14) puisi (34) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (13) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Lia
Cerpen

Lia

  • 20 Ogos 2024
  • 205
  • 4.9
اڤي اورڠ مودا
Puisi Moden

اڤي اورڠ مودا

  • 20 Januari 2026
  • 4.8
Kuatkan Aku
Puisi

Kuatkan Aku

  • 6 Januari 2026
  • 203
  • 4.8
Malaikat Digital
Cerpen

Malaikat Digital

  • 6 November 2023
  • 486
  • 4.4

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP