WAKTU maghrib sudah tiba. Kelam malam perlahan-lahan menyelimuti langit. Lampu-lampu koridor di kolej menyala terang benderang. Awan mendung yang memayungi kota itu hanya menanti masa untuk mencurahkan air mata langit.
Namun, biliknya masih gelap-gelita. Hanya pantulan cahaya putih daripada komputer riba di atas meja yang masih setia menerangi sebahagian bilik itu. Draf tesisnya terpapar pada skrin putih itu. Di sebelah komputer riba, ada timbunan kertas jurnal artikel yang berselerak hingga jatuh melayang di kaki meja dan bawah katil tempat dia sedang berbaring. Dia memaksa diri untuk terlelap walaupun sudah beberapa kali dia terlelap pada hari tersebut.
Minda Aisya buntu. Hampir setiap hari, dia masih tercari-cari asbab dia melakukan semua rutin ini. Datang ke kelas semata untuk merenung skrin yang dia tidak akan faham. Menjawab kuiz yang dia tahu dia akan gagal. Menyiapkan kerja kursus yang akan menjadi bahan kritikan rakan sekelasnya. Menyiapkan tesis semata untuk diperlekehkan pensyarah pembimbingnya.
Sekuat mana pun dia berusaha, hasilnya tetap sama. Markah yang sama. Kritikan yang sama. Sindiran yang sama. Tiada apa pun yang berubah. Beginikah takdirnya? Berlari termengah-mengah di dalam bulatan yang tidak berpenghujung? Akalnya suruh dia berhenti, tetapi jasadnya masih akur seperti robot tidak beremosi. Semuanya bergerak dengan cepat dan hanya dia yang masih terkial-kial di sebalik tirai besi ciptaan sendiri.
Cahaya kilat sabung-menyabung tiba-tiba terpancar di langit lalu membebaskan bunyi dentuman seperti mahu membelah bumi. Angin bertiup kencang sehingga menerbangkan langsir di tingkap dan menghempaskan pintu-pintu di kolej. Semua itu diiringi jeritan para pelajar yang lari bertempiaran. Orang kata, kilat itu menakutkan. Namun, bagi Aisya, kilat itu mendamaikan.
Dia cuba untuk menangis, meluahkan segala rasa yang terbuku di hati. Malangnya, semua emosi itu bercampur-baur, sehingga dia tidak pasti, apa yang dia benar-benar rasakan? Adakah dia mahu menjerit sekuat hati demi melepaskan segala amarah? Adakah dia mahu menghempas semua barang yang ada kerana merasakan dunia ini sungguh tidak adil? Dia tidak tahu. Hatinya rasa kebas. Tiada perkataan yang boleh mengungkapkan rasa hati ini.
Aisya bangkit dari pembaringan lalu melabuhkan punggung di atas lantai. Lama kelamaan, tubuh Aisya bagai dipeluk kedinginan lain macam. Namun, jauh di sudut hatinya, Aisya sedar bukan semua perkara yang terjadi di sekelilingya akan berlaku mengikut kehendak hatinya.
***
Pagi itu, cahaya mentari menerjah masuk melalui jendela menerjah masuk menyimbah wajahnya. Mata Aisya celik serta-merta. Bunyi getaran telefon bimbitnya memaksa gadis itu untuk bangun. Bukan sekali dua, malah berkali-kali hingga menimbulkan rasa sakit hati.
Dia menggeliat malas sambil mengeluh berat. Telefon itu dicapai. 23 panggilan daripada lima rakan sekelas, 44 mesej dari Whatsapp yang kebanyakannya dipenuhi makian dan carutan dan empat mesej dari Telegram rasmi universiti. Salah satu daripada lambakan mesej itu adalah daripada pensyarah pembimbingnya berkaitan projek tahun akhir yang tertangguh. Aisya menarik nafas dalam-dalam. Mesej dibalas dengan selembar ayat. Dia tidak mahu pedulikan apa-apa lagi kerana dia sudah terlalu penat untuk mengambil peduli.
‘Maaf, Dr. Saya dah tak nak teruskan.’
Telefon itu dimatikan lalu dicampak ke bawah katil. Biarlah telefon di situ sampai bila-bila. Tenaganya sudah habis dek terlalu melayan sikap manusia. Terutama sekali si pensyarah yang bersikap lepas tangan itu. Sudah berkali-kali dia menghubungi pensyarah tersebut sepanjang semester tetapi diabaikan. Apabila sudah menghampiri penghujung semester, tiba-tiba sahaja dia diminta merombak sebahagian besar dalam tesisnya hingga dia tidak punyai kudrat untuk bertarung dengan lambakan kerja kursus dan kuiz yang ada. Berbakul-bakul makian dan sindiran tidak munasabah diludahkan ke atas mukanya seperti dia tidak memiliki hati dan perasaan. Seolah-olah selama ini dia langsung tidak berusaha keras untuk mengerjakan projek akhir tahun itu.
‘Meow~’
Seekor kucing putih bertompok hitam melangkah masuk ke dalam bilik, mengiau beberapa kali sehingga menarik Aisya keluar dari lamunan. Perut si kecil kelihatan bergelora menahan lapar. Dia menggeselkan tubuh pada tiang katil lalu baring terlentang di atas lantai dengan manja.
Hati Aisya sedikit tersentuh. Mungkin kucing itu sudah berhari-hari tidak makan. Tubuhnya kurus kering hingga menampakkan tulang rusuk serta ada kesan calar-balar pada bahagian perut, sepertinya baru lepas bergaduh. Aisya dapat menghidu bau air longkang yang memualkan. Nampaknya si kecil itu begitu tersiksa dengan cuaca hujan malam tadi. Celah mana dia mahu mencari makanan di kolej ini jika bukan dari pelajar di sekitarnya? Itupun jika ada yang sudi memberikan makanan.
Buat pertama kali setelah hampir seminggu di atas katil, kini dia bangun untuk mencari makanan kucing di dalam loker. Bungkusan itu digoncang-goncangkan hingga menarik perhatian si tompok yang terkedek-kedek merapatinya. Aisya menuangkan makanan ke atas lantai koridor di luar bilik. Ada satu rasa kepuasan apabila melihat makhluk kecil itu menikmati makanannya dengan lahap.
Dalam sengsara berperang dengan kecamuk emosi, dia tidak akan membiarkan kucing tersebut menderita kelaparan. Secebis senyuman terukir di bibir. Usahanya kecil tetapi memberikan harapan kepada si tompok untuk meneruskan hidup. Tidak sesukar hidup berpaksikan harapan yang ditentukan orang lain.
Tiba-tiba perut Aisya turut berkeroncong. Dia baru menyedari bahawa sudah tiga hari dia hanya meratah biskut di dalam bilik. Sebungkus nasi yang dibeli empat hari yang lalu hanya dibiarkan membasi di atas meja. Cepat-cepat dia membuangnya ke dalam tong sampah. Dia bercadang hendak turun ke kafe tetapi dia perlu mandi terlebih dahulu. Bau peluh dan hapak katil sudah melekat pada baju.
Setelah pulang dari tandas, kucing itu masih ada di luar bilik, duduk santai sambil menggoyangkan ekor. Aisya membuka dompet dan mendapati apa yang tersisa hanyalah beberapa keping duit syiling. Tiada apa yang mengejutkan kerana memang sejak beberapa minggu yang lalu, wang yang ada hanya cukup-cukup makan untuk membeli beberapa bungkus mi segera. Selebihnya sudah dibazirkan untuk mencetak kertas tesisnya yang kini sudah berakhir di dalam tong sampah. Tiada guna dia memohon bantuan sesiapa, termasuk ahli keluarga sendiri. Apa yang diterima hanyalah ceramah yang menyakitkan hati.
Semua duit syiling itu disusun bertingkat untuk memudahkan pengiraan. Aisya masih memerlukan 70 sen untuk membeli sebungkus nasi bujang yang boleh dibahagikan untuk makan siang dan malam. Dalam laci, bawah katil, atas loker, semuanya digeledah.
Tiba-tiba kucing itu mengiau kuat lalu memandang celah-celah kaki meja. Aisya menurut dan mendapati ada beberapa keping duit syiling berterabur di situ. Lebih dari cukup membeli makanan untuk hari ini. Apabila diteliti, ternyata syiling-syiling itu jatuh dari lubang laci mejanya. Aisya terketawa seorang diri. Betapa cuainya dia hingga tidak menyedari kerosakan tersebut.
“Isy, pandainya awak ni!” puji Aisya sambil mengusap kepala kecil bertompok comot itu.
Dia mendukungnya, melambung ke udara sambil ketawa kecil sebelum meninggalkan kucing di atas katil. Pintu dibiarkan terbuka. Tiada orang yang waras akan mencuri barang-barang di dalam bilik ini kerana dia tidak memiliki apa-apa barang berharga. Komputer ribanya juga sudah dalam keadaan hidup segan, mati tak mahu. Aisya pun berjalan turun ke kafe sambil tersenyum seorang diri.
****
“Mengalami depresi kononnya. Nampak elok saja berselera membeli makanan?”
Ada satu suara sumbang menyinggah telinga ketika dia sedang beratur membayar makanan. Aisya menjeling sekilas pada dua rakan sekelas yang sengaja melanggar bahunya sebelum mereka keluar dari pintu kafe. Ada beberapa pasang mata yang memerhatikan pelanggaran itu. Sipi-sipi suara ketawa sinis dapat didengari.
Aisya melegarkan pandangan ke seluruh arah. Sekumpulan pelajar di meja makan berdekatan kembali tunduk menikmati makanan masing-masing saat Aisya menangkap pandangan mereka. Hairannya, tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang mengenalinya, apatah lagi ada kaitan dengan kerja kursus kumpulannya hingga sanggup menzahirkan kebencian sedemikian rupa.
Aisya membuat pembayaran di kaunter dengan hati yang berapi-api. Kalau diikutkan hati, mungkin pertengkaran akan berlaku di tengah-tengah dewan makan itu. Ada makanan yang akan ditumpahkan. Ada pinggan mangkuk yang akan melayang dan jatuh berkecaian. Tudung yang melitupi kepala mereka akan disimbahi air teh ais hingga tiada seorang pun berani berangkat ke kelas dalam keadaan menyedihkan itu.
Namun, dia tidak perlu melakukan semua itu. Kerana kucing tadi tiba-tiba memunculkan diri, elok duduk bersantai di atas meja mereka. Teguran-teguran manja mereka dibalas dengan suara mendesis garang. Laju saja tangan si kucing menjatuhkan pinggan mangkuk di atas meja. Habis sisa-sisa makanan tumpah ke lantai dan baju masing-masing.
“Ish, kurang asam punya kucing!” gadis bertudung biru naik berang lalu cuba menampar tubuh si tompok. Namun kucing itu lebih pantas mencakar tangannya. Jeritan bergema hingga menarik perhatian pelajar di sekitar.
Aisya tertawa kecil. Begitu sahaja mereka dimalukan di hadapan orang ramai. Setelah membuat onar, si tompok dengan selambanya meninggalkan mereka lalu berjalan terkedek-kedek mendapatkan Aisya dengan ekor yang meliuk-lentuk.
Mereka pun berjalan beriringan pulang ke bilik Aisya yang terletak di tingkat tiga. Makanan disuap masuk ke dalam mulut, mengisi perut yang sudah lama kosong. Sementara kucing itu hanya duduk membulat di sisi Aisya sambil menguap malas. Kadang-kala dia mengiau manja, meminta isi ayam di dalam bekas makanannya. Senyuman Aisya melebar. Dia mengigit separuh ayam lalu selebihkan disuapkan kepada si bulu.
Entah mengapa, dia dapat merasakan separuh daripada beban di atas bahunya telah lenyap serta-merta. Dunia yang dirasakan kelam, kini mula menjadi warna-warni dengan kehadiran makhluk berbulu itu.
Buat pertama kali, Aisya bangkit dari katil. Dia berjaya membersihkan diri, memakai baju baharu dan perutnya diisi penuh. Tirai besi beransur retak lalu membebaskan Aisya daripada penjara emosi diri. Tuhan telah datangkan makhluk berbulu untuk dijadikan sinar dalam kelamnya. Kecil tetapi cukup untuk menghidupkan jiwa-jiwa yang telah mati. Si tompok itu diusap lalu didakap dengan penuh kasih sayang.
“Terima kasih sebab wujud,” luah Aisya sambil mendakapnya dengan penuh kasih sayang.
