“Eh, Haikal tengok ini! Aku teringinlah nak naik kereta ini,” ujar Fitri sambil mengunjukkan telefon pintar kepada rakan sebayanya. Memandangkan kehidupan Haikal tidak semewah Fitri, dia sering berkunjung ke rumah Fitri. Usai menyiapkan kerja sekolah, Haikal datang ke rumah Fitri untuk bermain permainan video menerusi komputer riba dan juga telefon pintar.
Meskipun mereka berdua tinggal di desa, namun ayah Fitri bekerja makan gaji. Ayah Fitri berkhidmat sebagai pensyarah. Berbeza dengan ayah Haikal. Ayahnya hanya menghabiskan masa menghadap komputer setiap hari. Sering pula menaip-naip sampai ke tengah malam. Haikal tahu, ayahnya bukanlah bermain permainan video sepertinya. Ayah Haikal seorang penulis sepenuh masa. Itulah sumber pendapatan ayahnya untuk menanggung kehidupan mereka sekeluarga.
Sesekali ayahnya meluahkan rasa rindunya terhadap ibu Haikal. Sungguh romantis percintaan ibu dan ayah Haikal. Namun, kerap kali ayah Haikal menangis di hadapan Haikal. Dahulunya, Haikal pelik juga. Ibu Haikal tidak pulang ke rumah. Setelah melangkah ke sekolah rendah, barulah ayah Haikal menceritakan perkara sebenar. Katanya, ibu Haikal telah pun meninggal dunia setelah melahirkan Haikal.
Ibu Haikal peramah orangnya. Dia tidak segan bertegur sapa, sungguhpun kehidupannya tidaklah semewah jiran-jirannya. Lebih-lebih lagi dengan ibu Fitri. Sebab itulah, ibu Fitri senantiasa menganggap Haikal seperti anaknya. Selalu juga ibu Fitri memasak lalu menghantar bungkusan makanan kepada keluarga Haikal.
“Wah, cantiknya! Siap ada lampu-lampu lagi,” lafaz Haikal. Dia kagum melihat gambar kereta yang dipamerkan oleh Fitri.
“Hah, ayah aku kata dia nak beli sebuah nanti … itu pun kalau aku dapat nombor satu dalam kelas,” balas Fitri sambil menggoyang-goyangkan kaki di atas sofa. Ralit menyeret-nyeretkan jari kecilnya pada skrin telefon pintar.
Perbualan mereka terjeda sebentar apabila kakak Fitri datang. Kakaknya yang keluar dari dapur membawa dulang mengandungi dua cawan air Milo panas. Ada beberapa keping biskut kering dihidang di atas piring. Kakak Fitri baru saja tamat persekolahan tingkatan lima. Jarak umur kakak Fitiri dengan adiknya sepuluh tahun. Kakak Fitri cantik orangnya. Putih kulitnya seperti ayah Fitri. Wajahnya pula berbentuk bujur sirih saling tak tumpah persis ibu Fitri. Cumanya, kakak Fitri akan menyinga sekiranya Fitri asyik bersama-sama peranti pintar sahaja. Barangkali kaedah inilah yang diajar oleh ayah Fitri kepada kakaknya.
Ya, ayah Fitri seorang yang tegas. Tambahan pula melibatkan pelajaran. Biarpun garang, ayah Fitri seorang baik hati. Dia akan berikan hadiah kepada anak-anaknya sekiranya cemerlang dalam peperiksaan. Begitu juga dengan Haikal, ayah Fitri tidak lokek menghulurkan hadiah sekiranya Haikal memperoleh A dalam peperiksaan.
“Kau suruhlah ayah kau beli sebuah nanti … boleh kita main sama-sama,” kata Fitri.
Wajah Haikal mula berubah. Muram.
‘Barangkali, Haikal berkecil hati dengan tutur katanya sebentar tadi,’ fikir Fitri. Namun, Fitri tahu, Haikal tidak semudah itu tersinggung dengannya. Haikal cuma kecewa dengan keperitan hidup keluarganya.
“Erm … macamlah kau tak kenal ayah aku, Fitri. Nanti aku tumpang kau sajalah. Kita naik sama-sama.” Senyuman tawar dilepaskan Haikal. Dia sudah mengerti fiil ayahnya. Sukar menunaikan permintaan Haikal. Bukan kerana ayah Haikal tidak sayangkan Haikal. Tapi, pendapatan ayahnya cukup sekadar keperluan hidup mereka. Jika ada lebihan sekalipun, ayah Haikal akan laburkan ke arah minatnya. Minatnya terhadap dunia sastera.
Ketika cuti sekolah, Ayah Haikal pasti akan membawa Haikal ke pelbagai seminar, khususnya dalam bidang sastera. Ayah Haikal sangat cinta akan sastera seperti dia cintakan Haikal. Antara teman yang selalu menyemarakkan cintanya terhadap arena sastera ialah ayah Fitri. Selaku pensyarah kesusasteraan Melayu, ayah Fitri sering mengajak ayah Haikal ke pelbagai program sastera. Malah, ayah Fitri turut berkongsi perihal perkembangan sastera tanah air serta penulisan kreatif.
“Hah, pergi siap cepat! Ayah ada seminar sastera di Ipoh,” ujar ayah Haikal yang baru sudah keluar dari bilik mandi.
Haikal berbaring-baring di ruang tamu tersentak setelah mendengar suara itu. Memang begitulah cara ayahnya jika hendak mengajak ke mana-mana. Acap kali memberitahu Haikal pada saat-saat akhir.
Sesampainya di Hotel Casuarina, Haikal terpandang seakan-akan kereta BMW hitam milik ayah Fitri menanti mereka tiba di parkir hotel. Ya, memang benarlah itu ayah Fitri. Berkemeja putih, berslek hitam. Ayah Haikal dan ayah Fitri saling berbalas senyuman, tatkala berjabat mesra. Gayanya seakan-akan menunggu rakan-rakan yang lain tiba. Saat itu, Haikal ternampak Fitri dan kakaknya turut keluar dari perut kereta. Haikal terus mendapatkan mereka, lantas melangkah ke lobi hotel.
Rasa teruja mula menujah hati Haikal. Melihat sinar berkelipan serta keindahan seni bina di dalam hotel. Haikal lebih tertarik dengan lokasi perpustakaan mini yang termuat dalam bangunan hotel tersebut. Malah, terdapat juga sebuah kedai yang menjual pelbagai jenis kain batik Melayu berteraskan flora dan fauna.
“Petang ini selepas tamat seminar bolehlah ikut Pak Cik Mi. Kita ronda-ronda pekan Ipoh, okey,” bisik ayah Fitri ke arah corong telinga Haikal. Ayah Fitri mengusap-usap kepala Haikal.
Haikal tersengih dengan pelawaan ayah Fitri. Lega jiwanya setelah dapat keluar dari kampungnya yang terceruk di hujung utara itu.
Inilah pertama kali Haikal menjejakkan kaki ke bumi Ipoh. Sebelum ini, Haikal menyangka Ipoh sekadar sebuah pekan biasa. Tidak ada yang menarik untuknya. Namun, sangkaan Haikal sememangnya menyimpang. Bandar raya Ipoh membuktikan yang pekan ini kaya dengan bangunan-bangunan kolonial. Ketika di Concubine Lane, Haikal merasakan dirinya sedang berada pusat perniagaan negara China. Begitu juga di Taman Jepun, Haikal mengamati persekitarannya seperti melangkah ke negara matahari terbit.
Malam di tingkat tujuh memberikan pengalaman baharu kepada Haikal. Bilik Haikal hanya bersebelah dengan bilik Fitri. Ayah Haikal telah memberitahunya bahawa malam ini akan diadakan majlis perasmian, dan juga makan malam bersama-sama YB. Ayah Haikal dan Ayah Fitri sudah berjanji mahu pergi bersama-sama ke majlis sebentar lagi.
“Nanti kalau ada apa-apa hal, pergi saja ke bilik Fitri. Dia ada dengan kakaknya,” kata ayah Haikal, tatkala mengenakan baju batik merah.
Haikal hanya mengangguk-angguk sambil matanya khusyuk menonton televisyen.
Jam menunjukkan pukul 9.00 malam. Sesekali Haikal menapak ke tepi jendela. Melontarkan pandangannya ke luar, lalu menumpu penglihatannya ke bawah. Dia memerhatikan keberadaan manusia serta kenderaan persis semut menghurung gula. Tatkala, dimeriahkan pula dengan pelbagai lampu yang seakan-akan Haikal pernah lihat sebelum ini. Lamunan Haikal segera bertebangan setelah terdengar pintu biliknya diketuk berkali-kali. Suara Fitri menyapa gegendang telinganya.
“Jom Haikal kita turun bawah. Kita jalan-jalan dekat bulatan sana,” ajak kakak Fitri.
Serentak itu, Haikal terlari-lari anak mencapai bajunya dalam beg. Baju biru berlambang kuda menjadi pilihan Haikal. Minyak wangi milik ayahnya berbau vanila dikenakan di sebelah kiri dan kanan bahu.
Jujurnya, malam itu Haikal merasakan hidupnya bagaikan seekor merpati terlepas dari sangkar. Usai menapak di hadapan Bulatan Sultan Azlan Shah, memang benarlah seperti mana yang Haikal perhatikan dari kamarnya sebentar tadi. Pelbagai ragam manusia ditemui Haikal. Ada yang meluangkan masa bersama-sama keluarga. Ada yang bergelak tawa bersama-sama rakan. Malah, ada juga yang berdua-duaan dengan kekasih hati. Ah, itu tak penting bagi Haikal! Yang penting Haikal bebas daripada kongkongan ayahnya!
Namun, terdapat sesuatu yang membuatkan diri Haikal tidak senang. Seakan-akan ada kuasa magnet yang menariknya ke rusuk bulatan. Barangkali perasaan itu cuma lahir dalam diri Haikal sahaja. Ataupun mungkin sudah merebak kepada Fitri. Tapi yang pasti, rasa itu sudah tidak membelenggu diri kakak Fitri. Kakak Fitri sudah besar. Kalau hadir pun untuk keseronokan adiknya semata-mata.
“Eh, Haikal! Kau ingat tak kereta berlampu yang aku tunjuk minggu lepas? Samakan macam yang tu.” Jari telunjuk Fitri sememangnya tepat dengan pandangan Haikal yang tunak dari tadi.
“Yalah, Fitri … Macam lampu raya aku tengok.” Haikal terkerenyeh. Kereta-kereta berlampu itu bergerak deras melintasi di hadapannya.
Berdekatan itu juga, pelbagai jenis mainan dijual. Kakak Fitri telah membeli lastik berlampu kepada mereka berdua untuk bermain bersama-sama. Haikal sememangnya mahir dalam melastik. Peluru lastiknya itu melonjak tinggi, tatkala memintas ketinggian peluru Fitri.
“Okey, Haikal. Kau mainlah sorang-sorang. Aku nak pergi naik kereta berlampu dengan kakak aku dulu.” Fitri berlari ke arah kakaknya. Pada awalnya, kakak Fitri menyuruh adiknya menaiki kereta berlampu bersama-sama Haikal. Namun, Fitri tetap berkeras kepala. Dia cemburu dengan Haikal kerana Haikal pandai melastik.
“Haikal jangan pergi mana-mana tau. Duduk sini saja,” pesan kakak Fitri.
Dua beradik itu telah pun bersedia dalam perut kereta berlampu. Masa yang diperuntukan bagi kereta berlampu tersebut hanyalah lima belas minit. Mungkin sebab itu ayah Fitri mahu belikan sebuah untuk anaknya. Tidak berbaloi kalau difikir-fikirkan dengan caj yang dikenakan.
Menghabiskan masa dengan menunggu dan melihat kebahagiaan orang lain bukanlah hobi Haikal. Haikal terpaksa mengingkari arahan kakak Fitri. Dia sudah tentu berkeinginan untuk merasakan bahagia itu. Malangnya, dalam kocek seluar Haikal hanya ada sekeping wang berwarna merah. Haikal berjalan-berjalan membelah himpunan orang ramai. Dia melepaskan lelah di tangga yang dibina secara bertingkat. Kelihatan bangunan hotel berdiri gagah, bahkan diapit pula dengan dua buah bangunan yang tersergam indah. Bagi Haikal, Bulatan Sultan Azlan Shah ini bukan sembarangan bulatan. Bulatan ini telah menyatukan pelbagai masyarakat, tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.
“Wah, ada kereta api berlampulah!” Haikal meluahkan rasa terujanya setelah melihat gerabak kereta api yang mengeluarkan cahaya berwarna-warni. Kereta api yang membawa penumpang itu dipacu mengelilingi penuh Bulatan Sultan Azlan Shah. Dia berlari-lari mengejar kereta api itu. Terdapat beberapa buah keluarga dalam gerabak turut berkongsi mesra bersama-sama Haikal, lantas melambai-lambai ke arahnya.
Namun, gelak tawa Haikal tidak kekal lama. Langkah kecil Haikal telah tersasar jauh dari laluan kereta api berlampu itu. Kakinya menuju ke arah litar berasfalt. Sebuah kereta Mitsubishi Xpander merah gagal mengawal kenderaan lalu menghentamnya dari arah belakang. Bunyi lengkingan brek dan geseran tayar mengejutkan pengunjung yang asyik bersuka ria. Orang ramai segera berkerumun memberikan bantuan, di samping melihat keadaan Haikal. Tak kurang juga mereka yang merakam-rakam video dan memuat naik gambar ke dalam media sosial.
“Ya Allah, Haikal! Banyaknya darah!” Cemas kakak Fitri setelah memangku tubuh kecil Haikal. Rasa bersalah mengepungnya. Terkedu dengan apa yang berlaku.
Fitri juga begitu. Masih melopong bisu melihat kepala sahabatnya mengalir darah. Haikal masih juga tidak sedarkan diri. Segera kakak Fitri membuat panggilan kepada ayah Haikal.
Haikal tersenyum sendiri. Dia dapat merasakan dirinya terbuai-buai seperti dalam sebuah kenderaan. Ya, Haikal sudah pun menaiki sebuah kereta berlampu. Biarlah Haikal berlama-lama dalam kereta berlampu itu. Haikal mahu semua orang tahu yang dia juga mampu menaikinya. Meskipun lampu yang terpancar cuma berwarna merah sahaja.
“Hah, dia dah bangun!” kata Ayah Fitri, lantas mengejutkan Ayah Haikal yang terlelap.
Kepala Haikal sudah pun berbalut. Haikal membuka mata perlahan-lahan. Cahaya pendarfluor menerpa masuk ke dalam matanya. Sesekali mukanya berkerut. Menandakan ubat biusnya telah berakhir.
“Haikal ada mana sekarang, ayah?” soal Haikal sambil menyentuh perlahan balutan di kepalanya. Haikal bingung. Katil-katil penuh berbirai di hadapan dan di sisi Haikal. Ayah Haikal serta keluarga Fitri turut berada di kiri dan kanannya.
“Haikal ada di hospital sekarang ini. Semalam Haikal ingat tak apa yang berlaku?” tanya ayah Haikal sambil menggenggam tangan anaknya.
Meskipun penglihatan Haikal sedikit kabur, dia cam itu tangan ayahnya. Haikal cuba memikirkan peristiwa semalam. Sunyi menyapa. Masing-masing menantikan jawapan yang terpancul dari mulut Haikal.
“Oh, semalam Haikal ada naik kereta berlampu! Laju, ayah …”
Suasana di dalam wad itu tiba-tiba dihurung curiga. Fitri dan kakaknya tercengang mendengar penjelasan Haikal. Walhal, mereka berdua sahaja yang naik kereta berlampu malam tadi. Ayah Haikal memalingkan muka ke arah dua beradik itu. Kening tebal ayah Haikal hampir tercantum dek wajahnya yang bimbang.
“Nanti Haikal nak naik lagi tau, ayah!” sambung Haikal, tatkala meniru-niru bunyi ekzos kereta.
Ayah Haikal tersenyum melihat gelagat anaknya. Namun, senyuman yang terpancar pada riak wajah itu mengalir bersama-sama air mata.
Ayah Fitri mengusap-usap belakang sahabatnya. Dia sedaya upaya menyembunyikan kedukaan di hadapan Ayah Haikal.
Ayah Haikal mengucup lembut tangan anaknya. Sesekali air jernih dari tubir matanya menetes. Doktor telah mengesahkan bahawa Haikal telah mengalami gegaran otak. Kata doktor, kepala Haikal telah terhempas ke permukaan konkrit longkang. Barangkali itulah yang menyebabkan Haikal kehilangan ingatan. Meskipun begitu, ayah Haikal sudah bertekad mahu membeli sebuah kereta berlampu kepada anaknya. Semua ini hanyalah untuk kebahagian mereka bersama-sama.