Skip to content
Bah
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Bah
Bah
Cerpen

Bah

  • Husairi Hussin
  • 5 Oktober 2025
  • DBP Wilayah Utara
  • 4.9

“KERETA siapa di jalan hendak masuk ke rumah kita itu, mak?”

“Orang itu beritahu, dema nak sukat sempadan sungai itu,” mak mengengsot sedikit agar memudahkan Adib masuk ke dalam rumah.

Mak merenung ke langit. Adib perhati kelaku mak. Redup wajah mak lebih gelap daripada gumpalan awan hitam di dada langit. Mak risau. Adib juga bimbang. Dia tahu mak sangat galau. Jika hujan berterusan pasti air sungai akan melimpah ruah. Rumah mereka yang terletak berhampiran dengan Sungai Baling itu pasti akan bah. Akan menjadi mangsa amukan air Sungai Baling yang tidak pernah lupa rumah mereka. Selalu sahaja akan disapa ramah. Sama ada lembut atau kasar. Mereka sudah pasrah.

Jiran-jiran dahulu berceretek tinggal berhampiran rumah mereka di tebing sungai itu. Satu persatu telah pindah. Yang tinggal setia dan kaku hanyalah dia dan mak. Mana ada sesiapa lagi di situ? Tragedi banjir besar pada 10 tahun lepas menyebabkan ramai sudah perit. Buat apa tinggal di situ lagi, jika setiap kali hujan lebat yang berpanjangan, bah besar melanda? Rumah menjadi senget sana sini, bahana air hujan yang memenuhi Sungai Baling menyepak kiri dan kanan dinding rumah.

Tidak larat lagi hendak baiki itu dan ini. Hendak cekau duit daripada mana untuk perelok rumah? Itu belum kira kerja mencuci lumpur dan selut yang menempel di lantai rumah. Kayu, reba dan sampah jangan kiralah. Tidak tahu mari daripada mana? Berlonggok di halaman. Tetapi itulah, mak sangat tabah. Malah setia tinggal di situ sudah sekian lama.

“Mak, jom kita pindah!”

“Nak pindah gi dok celah mana dek wang, oh?” panjang saja muncung mulut mak.

Adib ketawa dengan jawapan mak. Mak turut tersenyum. Adib rasa bahagia menyerap ke seluruh jiwa melihat senyuman manis mak. Cantik.

Rumah mereka memang tiada apa-apa yang berharga. Dalam rumah pun kosong. Sofa, katil, setbot, kabinet, semua sudah tiada. Sudah rosak. Yang ada cuma tong gas dan dapur gas satu tungku. Itu pun mak guna ketika hujan lebat sahaja. Ya, ketika hujan mencurah, kayu api yang berada di bawah rumah basah lencun! Jika tidak, mak lebih suka guna dapur kayu yang terletak di bawah rumah. Mak kata masak guna dapur kayu lebih jimat. Lagipun putung-putung kayu yang dibawa oleh arus banjir ke halaman rumah banyak. Mak kumpul dan potong lalu di susun kemas untuk dijadikan kayu api.

Mak buat pelantar untuk menyusun kayu-kayu hanyut itu berbentuk tiga segi. Sekali pandang macam piramid songsang yang diperbuat daripada kayu. Mak memang ketorah. Ada sahaja yang direka dan dilakukan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Begitu juga di dalam rumah.

Eh, dalam rumah kayu kami masih ada para atau rak yang dibina tinggi di dalam rumah. Para itu hampir berlaga dengan atap untuk menempatkan tilam, selimut, bantal dan kain baju. Setakat ini masih selamat, jika berlaku bah besar. Tidak pernah lagi rumah kami ditenggelami air hingga ke bumbung. Jika air naik separuh rumah sehingga menyapa lantai itu sudah selalu terjadi.

Pada usia renta sebegitu, mak selalu kata. Biarlah dia mati di atas rumah itu. Lagipun mereka hanya berdua. Tiada sesiapa lagi. Adib tidak berniat untuk mengembalikan nostalgia mak yang berkeras untuk terus kekal berumah di tepi Sungai Baling yang ada ketikanya sangat ganas itu. Dia teringat arwah bapanya. Ketika hujan lebatlah bapanya pergi buat selama-lamanya. Juga kerana bahana banjir. Bukan dek lemas tetapi kerana demam kepialu.

 “Sudah tiga hari hujan dok rok rek. Tak lebat tapi tak moh berhenti,” mak bersuara lagi. Redup dilangit masih kelam. Langsung tidak memberi ruang untuk sinaran matahari mencelah.

Deruan motosikal Lim Keat semakin menjauh setelah menghantarnya tadi. Adib yang baru pulang dari sekolah mengangguk untuk mengiakan kata-kata mak. Dia berjalan ketika pergi ke sekolah. Apabila waktu balik dari sekolah, Lim Keat akan menghantarnya sampai ke hadapan tangga. Itupun, jika air tidak memenuhi halaman rumah.

Anak Cina itu memang degil. Tak padan dengan kaki capek. Hendak juga menghantarnya, biarpun dia sering menolak. Dia lebih suka untuk berjalan. Bukan jauh pun jarak rumahnya dengan sekolah, kurang lebih 500 meter. Pagi-pagi pun mahu juga Lim Keat menjemputnya. Adib menolak dengan keras. Alasan Lim Keat agar boleh bersama-sama ke sekolah dan dia ada kawan untuk berborak sepanjang jalan bermotosikal. Ah, selalunya mereka masing-masing diam sahaja sepanjang jalan ketika membonceng!

“Mak sudah makan ka?” dia bertanya.

“Mu, makanlah dahulu. Petang ini, tak ada kerja di sekolah ka?” mak kembali menyoal. Mak memang begitu, akan menjawab dengan soalan kepada persoalan yang diajukan kepadanya.

Daun-daun pisang yang sudah dilayur oleh mak ada setambun dalam dakapan. Persiapan untuk menyiapkan kuih tepung bungkus perlu dilakukan juga biar berpanas atau berhujan. Itulah pendapatan yang menyara mereka dua beranak. Selalunya selepas solat isyak mak akan mula menyiapkan semuanya. Adib akan membantu emak menggentel inti kuih tersebut. Persiapan itu dibuat agar pada awal pagi esoknya, mak hanya perlu mengukus sahaja kuih-kuih itu sebelum dibawa untuk berjualan.

Selain berjualan kuih tepung bungkus, mak juga banyak bercucuk tanam seperti pisang, ubi kayu, ubi kemili, kangkung, serai, kunyit, lengkuas, cabai dan lain-lain. Semuanya untuk kegunaan sendiri. Jika ada peraih yang datang untuk membeli, mak akan jual. Tanah kosong di tebing sungai itu tidak dibiarkan. Walaupun setiap kali air bah akan membongkah sesetengah tanaman mak. Yang tertinggal itulah rezeki mereka dua beranak.

 Air bah selalunya tidak sekejam kera dan babi. Binatang itu pasti akan merosakkan semuanya. Dari pucuk hingga ke umbi. Jika banjir selalunya masih bersisa. Hanya sesetengah sahaja yang rosak atau di bawa pergi oleh air deras. Mak tidak pernah merungut. Adib pernah juga bersuara, “buat apa penat-penat bercucuk tanam mak, kalau tak ada hasil?”

“Kita sudah ganggu-gugat tempat mereka, ke mana lagi binatang itu nak gi cari makanan? Hah, ke kampunglah binatang itu mari. Biarlah binatang itu nak makan, yang tinggallah rezeki kita,” itulah yang mak akan katakan.

Adib hanya mengangguk. Mak terus bercucuk tanam terutama pokok pisang. Daunnya akan digunakan oleh mak untuk membalut tepung bungkus. Pada ketika sebelum hari raya, ada juga yang datang meminta beli daun pisang untuk dibuat lemang. Rezeki mak.

Awal pagi selepas solat subuh di masjid Pekan Baling, Adib agak sibuk. Dia akan hantar kuih tepung bungkus untuk diletakkan di gerai berhampiran masjid. Ada dua gerai untuk Adib tempatkan kuihnya. 30 biji akan diletakan di gerai di hadapan masjid dan 30 biji lagi di gerai di hadapan sekolahnya. Kuih itu akan ditolak dengan harga 30 sen sebiji. Peniaga akan mengambil komisen 15 persen hasil daripada keseluruhan jualan.

Sebab hendak menghantar kuih itulah, Adib tidak mahu menyusahkan Lim Keat untuk menjemputnya. Tepung bungkus mak selalunya laris. Tak tahulah kalau penjual di hadapan masjid itu simpati kepadanya, walaupun tidak habis tetapi tetap membayar penuh kepadanya. Malah dalam bakul kuihnya akan selalu sahaja ada nasi ayam, laksa, mi rebus dan sebagainya disedekahkan kepada dia dan mak.

Adib kadang-kadang berasa malu dengan kebaikan orang kepadanya dan mak. Cukup-cukuplah hidup dengan simpati orang lain. Bukan salah pun menerima pertolongan orang tetapi dia sendiri yang berasa malu. Juga bukan dia sombong tetapi dia tahu, mak boleh menguruskan hidup mereka berdua. Sesungguhnya dia tidak pernah berlapar atau compang-camping ke sekolah. Walaupun bukan berpakaian baharu dan mahal. Mak sangat pekin untuk segala urusan tentang diri mereka. Ada sahaja duit yang mak simpan jika diperlukan. Mak memang gigih. Sukar untuk dia luahkan dengan perkataan pengorbanan mak.

 Proses membuat kuih tepung bungkus, bermula dengan daun pisang yang sudah dilayur atau dijemur akan dicarik-carik mengikut saiz tertentu untuk membalut tepung pulut dan inti daripada kelapa parut dan gula merah. Dia selalu akan tolong emak untuk gentel intinya. Semua bahan-bahan sudah rebus dan disiapkan pada waktu malam selepas solat isyak. Pagi-pagi mak cuma perlu kukus sahaja. Itupun mengambil masa juga, sebab mak lebih suka guna dapur kayunya di bawah rumah. Kata mak bau harum jika guna dapur kayu. Sejak pukul 4:00 pagi mak sudah mula mengukus kuih tepung bungkus.

 Hujan sangat lebat pada pagi itu. Jadi mak terpaksa menggunakan dapur gas di dalam rumah. Sesekali emak akan ke muka pintu untuk melihat aliran air Sungai Baling. Kerisauannya terpamer pada redup wajah mak. Mak lebih risau tunggul kayu atau batang balak yang hanyut melaju lalu merempuh tiang rumah mereka. Pernah berlaku dahulu. Cuma belum sampai tragedi rumah mereka runtuh dan dihanyutkan air bah.

“Lebat sungguh hujan pagi ini ya, mak,” Adib bersuara seperti melaung untuk melawan bingit air hujan yang menimpa atap zink rumah.

 Mak cuma angguk. “Mu nak gi sekolah gena ini?” soalan lain yang mak ajukan.

“Tak palah, tunggu hujan seriat dulu. Adib sembahyang subuh di rumah sahajalah berjemaah dengan mak.”

Dua buah bakul yang berisi kuih tepung bungkus sudah tersedia di muka pintu. Azan subuh berkumandang sayup-sayup di sebalik kebisingan bunyi hujan yang menimpa atap rumah.

Adib selesai memberi salam. Hujan masih lebat. Langsung tiada tanda-tanda untuk berhenti. Habis wirid dan zikir, Adib membaca doa. Kemudian dia bersalaman dengan maknya. Tangan mak dikucup lama. Hujan pagi itu, seperti rahmat kepadanya. Selalunya dia akan berulang-alik solat berjemaah di masjid. Kecuali waktu zuhur kerana mereka perlu solat berjemaah di sekolah sebelum pulang. Jadi, adakala tertentu dia akan membawa beg sekolah ke masjid. Apabila selesai solat maghrib dia akan terus tunggu sehingga solat isyak. Jika tiada ceramah atau kuliah, dia akan mencari bahagian-bahagian yang agak lacuk di masjid untuk menyiapkan kerja sekolah sebelum masuk waktu solat.

Segala masa yang ada dimanfaatkan. Jika pulang ke rumah sudah pasti akan culas untuk pergi semula ke masjid, walaupun rumahnya berjarak lebih kurang 100 meter sahaja. Selalunya, jika ada yang bertanya di mana dia tinggal? Dia akan maklumkan rumahnya di belakang Masjid Baling. Orang ramai mengetahui bahawa di kawasan belakang masjid itu hanya ada sungai.

“Kalau nak gi juga ke sekolah, guna payung. Pakai selipar dahulu. Kasut sekolah boh dalam plastik. Nanti sampai di sekolah … salinlah,” suara mak mengejutkan lamunannya. Sudah pasti dia perlu meranduk air di halaman rumahnya. Cuma dia belum pasti tahap kedalaman paras air yang telah melimpah itu.

Ke sekolah memang penting. Lebih penting, dia mahu menghantar kuih tepung bungkus ke gerai di hadapan masjid terlebih dahulu. Jika tidak dihantar bimbang membazir. Penat usaha mak seharian. Kuih buatan mak susah hendak basi. Boleh tahan sampai waktu malam.

Tiba-tiba rumah bergegar kuat. Terhuyung-hayang juga dia yang sedang berdiri untuk memasukkan kasut sekolah ke dalam beg plastik. Emak yang duduk bersimpuh juga terkejut. Bahagian dapur kelihatan senget. Sikit demi sikit ada pergerakan. Dia berdoa agar tidak runtuh.

“Mak lekas, jom kita turun!” tanpa berlengah lagi Adib terus menarik tangan mak agar lekas berdiri dan segera turun daripada rumah itu.

Adib mula meranduk air yang sudah separas pinggang untuk menolak potongan kayu yang tersangkut di tiang dapur. Sisa rempuhan kayu balak yang dihanyutkan arus deras itulah yang membuatkan rumah bergetar. Mak lebih pantas bertindak daripadanya, dengan menggunakan buluh lalu tangkas menolak kayu-kayu kecil agar segera menjauh daripada tiang rumah. Bertungkus-lumus Adib dan emak sehingga hari terang-terang kuku.

Hujan sudah agak reda. Langit masih gelap. Rumah itu berjaya diselamatkan untuk sekian kalinya. Namun Adib mula terfikir, entah sampai bila mereka boleh bertahan? Dapur rumahnya sudah senget. Dia perlu minta bantuan orang masjid untuk membetulkan pelapik tiang rumah itu kelak.

Tin … tin ….

Bunyi  hon motosikal mengejutkan Adib yang ralit memerhati arus Sungai Baling yang deras menggila. “Nak gi sekolah tak?” Lim Keat lengkap berbaju hujan berada di atas motosikal di atas jalan mini tar yang air sudah separas buku lali. Jika hujan berterusan pasti jalan mini itu juga akan ditenggelami. Air yang melintasi halaman dan bahagian bawah rumah juga mula surut. Air selalunya hanya melintas laju bersama-sama sampah dan reba. Lebih kurang 30 minit begitu akan perlahan-lahan surut.

Di halaman rumah sudah separas lutut. “Aku ambil baju dan beg kejap!” Adib melaung menjawab pertanyaan Lim Keat.

Mak yang berada di muka pintu menghulurkan bungkusan yang berisi pakaian sekolah dan dua buah bakul kuih tepung bungkus kepadanya. Selepas bersalaman dengan mak, Adib segera menuju ke arah motosikal Lim Keat yang sedang menunggu.

***

“Kenapa ramai orang di hadapan rumahmu itu?” Lim Kiat bertanya. Motosikal hanya diberhentikan di atas jalan mini tar sahaja. Halaman rumah masih becak, jadi Adib tidak membenarkan Lim Keat menghantarnya sehingga di hadapan tangga seperti selalu.

Adib hanya menggelengkan. Kemudian beberapa orang yang berkumpul di hadapan rumah berpapasan dengannya untuk menuju ke arah kereta yang diparkir di situ. Dia memberi salam kepada tetamu maknya itu.

“Siapa semua orang itu mak?”

“Orang masjid dan orang jabatan. Dema suruh kita pindah segera. Sungai ini hendak diperbesarkan untuk elak banjir yang boleh meruntuhkan masjid. Kita tak boleh lagi duduk di atas tanah rizab ini,” mak berlalu masuk ke dalam rumah membawa bersama bakul kosong yang Adib letak di muka pintu.

“Tanah rizab?” Seingat Adib, bapanya pernah memberi tahu bahawa sebahagian daripada masjid itu juga adalah tanah mereka yang diwakafkan untuk pembinaan masjid.

 

Glosari

dema – mereka

kelaku – tingkah laku/perbuatan

gi – pergi

dek wang – adik awang (akronim)

setbok – set perabot (akronim)

ketorah – tahu arah/ketahuan/kreatif

rok rek – bunyi hujan yang sekejap lebat dan sekejap perlahan

moh – mahu

ka – kah/ke

gena – bagaimana

seriat – berhenti

lacuk – bucu (tempat yang sunyi)

boh    – masukkan

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (4) #cerpenkehidupan (3) #dbpselatan (15) #karyasastera (17) #komsas (2) #penulis (6) #penulisbaharu (18) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (3) #puisijawi (5) #puisimoden (16) #sasteramelayu (7) #sasteramoden (3) #sasterasabah (3) #Tunanetra (3) #wadahdbp (5) abuyon (3) adie abd gani (3) bengkel (2) budaya (2) cerpen (11) dbpcawangansabah (8) dbpcawangansarawak (21) dbpsarawak (2) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (2) Gurindam (4) Ketuhanan (2) Kopi (4) palestin (2) pantun (2) pantun Melayu (2) penulis sarawak (10) puisi (27) Puisi Islam (7) Puisi Jawi (4) puisi kehidupan (7) Rasulullah (2) rindu (3) sajak (8) Sarawak (2) stephaniejuanitaahlee (3) Tuhan (2) warisan (2) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Semanis Kurma Tropika
Cerpen

Semanis Kurma Tropika

  • 3 Ogos 2023
  • 254
  • 4.2
Langit yang Menjauh
Cerpen

Langit yang Menjauh

  • 20 Mei 2024
  • 378
  • 4.8
Antologi Sajak Tongkat Putih: Peluang, Tuntunan dan Impian
Bicara Sastera

Antologi Sajak Tongkat Putih: Peluang, Tuntunan dan Impian

  • 20 September 2025
  • 8
  • 5
Saat Nadinya Terhenti
Cerpen

Saat Nadinya Terhenti

  • 20 Oktober 2024
  • 99
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2025 © WadahDBP