Satu
MALEK tidak tahu di mana silapnya pilihannya itu. Setelah lama Malek mendiamkan diri dan merahsiakan calon isterinya, akhirnya Malek berterus terang dengan adik-beradiknya yang lain, iaitu Borhan, Syafiqah, Mawardi dan Suhairi.
Sebelum ini pun mereka juga menunjukkan calon isteri atau suami masing-masing kepada emak sebagai calon menantu emak. Tujuan asalnya supaya mereka bersetuju dengan calon isterinya itu sebelum dipanjangkan kepada emak. Sangkaan Malek meleset.
Malek menerima perli daripada abang dan kakaknya yang lain. Nasibnya baik kerana tidak membawa Nisah bersama untuk diperkenalkan kepada adik-beradiknya yang lain. Kalau tidak, sudah tentunya Nisah berasa rendah diri dengan sikap adik-beradiknya itu.
“Usia kau dah pun mencecah 32 tahun, Malek. Sangkaan aku, kau dah bijak membuat pilihan kau tu. Rupa-rupanya tidak,” getus Borhan.
“Aku dah nampak di celahan rambut kau yang hitam tu ada rambut putih sebagai tanda lelaki yang cukup matang dalam menilai keputusan yang kau buat tu,” gurau Syafiqah dengan ketawa yang menampakkan giginya yang bertindih.
“Begitulah akhirnya lelaki yang terlalu memilih … akhirnya terpilih buku tak sepadan dengan ruasnya,” tambah Mawardi.
Ucapan mereka itu menimbulkan rasa radang dari dalam diri Malek.
“Apa yang kau cakap ni? Aku hanya mahu mendapatkan pandangan bukannya kata-kata perli seperti ini?” balas Malek sambil meninggikan suaranya. Suhairi berpaling ke arah Malek dan memberikan petunjuk supaya Malek lebih bertenang dan mengawal perasaannya.
Perasaan Malek sungguh terkilan kerana mereka tidak menyokong pilihan hatinya. Kalaulah mereka lebih awal tidak bersetuju, masakan emaknya akan bersetuju nanti dengan pilihannya. Malek bertanya di dalam hatinya. Perasaan bimbang mulai bertapak dalam hatinya.
Malek kemudiannya meraup wajah abangnya Suhairi yang masih belum mengeluarkan pendapatnya. Sikap Suhairi nampaknya berkecuali.
“Kenapa kita tak memberikan peluang kepada Malek mencorakkan masa depannya dalam berumah tangga? Sebaiknya berilah Malek peluang memilih calon isterinya,” ujar Suhairi.
Pandangannya itu disanggah oleh Syafiqah.
“Perkahwinan ni bukan main pondok-pondok, Ri,” tingkah Syafiqah.
“Kita semua ikut keputusan mak. Kalau mak tak restukan perkahwinan itu, lebih baik tak usah diteruskan,” tambah Syafiqah. Suhairi cuba membantah cadangan Syafiqah.
“Hati emak taklah sekeras mana pun. Seorang emak mahu melihat hidup anaknya bahagia dan senang. Dulu pun mak tak suka aku berkahwin dengan Maimun. Tapi, hati mak menjadi lembut apabila kami memenuhi hasratnya menunaikan haji ke Makkah,” terang Suhairi.
Borhan, Syafiqah dan Mawardi terdiam. Mereka tidak memberikan apa-apa sumbangan pun ketika Mak Odah menunaikan haji ke Mekah. Begitu juga masing-masing tidak memberikan perhatian dan sumbangan ketiga emak menjalani pembedahan membuang batu karang dalam hempedu di sebuah hospital swasta di Senawang.
Ini berbeza dengan sikap prihatin Suhairi dan Maimun yang mengeluarkan belanja RM10,000 bagi menampung pembedahan emak di sebuah hospital swasta di Senawang itu. Bagi Suhairi, sesuai dengan keadaan zaman ini, kasih sayang tidak boleh diucapkan dengan air liur semata-mata. Ia perlukan nilai tambah yang lain.
Mereka kemudiannya beredar dari restoran kopitiam di sebuah pasar raya di Seremban 2 itu. Perasaan Malek berasa lega kerana Suhairi memihaknya.
Dua
“Dari mana kau kenal budak Nisah tu, Malek?”
“Kenapa mak tanya?”
“Aku ni mak kamu, nak tahu juga siapa calon isteri kau tu?”
“Dari muka buku. Dari Facebook,” jawab Malek.
ebelum itu Mak Odah telah berbincang dengan anak-beranaknya yang lain tentang calon Malek itu dan masing-masing mengikut keputusan Mak Odah. Kalau Mak Odah setuju dengan pilihan Malek, mereka juga akan bersetuju.
Kecuali Suhairi yang lebih banyak mendiamkan diri. Malek pun berasa hairan kenapa Suhairi bersikap lain daripada abang-abangnya yang lain.
“Apalah sangat mak nak tahu. Saya sukakan Nisah. Dalam hati saya dah tak ada perempuan lain selain daripada Nisah, ” ujar Malek.
Calon menantu lain yang dipilih oleh Borhan, Syafiqah dan Mawardi tidak pula mendatangkan tentangan kepada Mak Odah. Kecuali isteri Suhairi, ternyata Mak Odah kurang senang dengan Maimun kerana tidak pandai memasak dan mengemas rumah.
Apabila Syafiqah mengajukan soalan itu kepada Maimun, ada-ada sahaja alasan yang diberikan Maimun. Waktu itu, Suhairi dan Maimun ada di rumah menziarahi Mak Odah. Inilah peluang untuk menegur sikap Maimun yang tidak pandai memasak dan mengemas rumah itu.
“Sekarang ni dah ada banyak kedai makan dan warung. Premis makanan sekarang ni juga tumbuh macam cendawan di musim hujan. Kita boleh tapau makanan dan minuman dan bawa pulang ke rumah. Lebih jimat kalau kita memasak,” ujar Maimun.
Menurut Maimun, harga membeli bahan-bahan di pasar itu dan memasak di rumah tidak berbaloi dengan makan atau tapau yang dari kedai makan dan warung.
“Kau ‘kan tahu mak lebih suka air tangan menantunya bila datang ke rumah kau?” soal Syafiqah.
“Mak tak kisah pun. Hidup kita ni perlu berubah mengikut zaman. Sikap yang tak menguntungkan itu lebih baik kita tinggalkan,” balas Maimun.
“Jadi, mak setujulah dengan cara kau tu?” soal Syafiqah.
“Setuju. Tak ada masalah pun, ” jawab Maimun.
Sejak dulu lagi, Syafiqah kurang senang dengan sikap adik iparnya itu yang mahu mengubah tradisi yang ada dalam keluarga mereka. Tetapi apa yang pelik di hati Syafiqah, emaknya bersetuju dengan apa yang dicadangkan Maimun itu.
Syafiqah juga kurang senang dengan sikap Maimun yang menggalakkan emaknya bermalam di hotel apabila datang ke rumahnya. Syafiqah berasa pelik dengan sikap Suhairi yang memanjakan perangai isterinya itu.
“Adik-beradik aku lain tak suruh mak tidur hotel kalau mahu datang ke rumah mereka. Kenapa kau dan suami buat mak macam tu,” tegur Syafiqah.
Suhairi berdehem beberapa kali supaya Maimun tidak memanjangkan perkara itu lagi. Syafiqah juga tidak memanjangkan perkara itu. Syafiqah dan suaminya beredar dari rumah Mak Odah dengan memberikan alasan ada urusan lain.
Kebiasaannya, Suhairi dan Maimun akan berjumpa Mak Odah di hotel tempat Mak Odah menginap. Mereka berdua akan membawanya makan-makan di restoran Man Tom Yam dan membawa Mak Odah bersiar-siar di pasar raya. Kalau tidak mereka akan mengajak Mak Odah menonton wayang cerita Melayu dan minum kopi di Zuss Coffee selepas itu.
Hati Malek berdetik. Pertanyaan yang diajukan oleh Mak Odah seolah-olah tidak mahu dirinya tersalah pilih menantu seperti Maimun itu. Wanita yang berpengaruh dan berjaya menguasai suaminya.
“Kalau boleh mak tak mahu calon isteri kau tu seperti isteri Suhairi tu, Maimun,” ujar emak.
Memandangkan Suhairi “membela” Malek tempoh hari di depan Borhan, Syafiqah dan Mawardi, inilah masanya Malek “membela” kakak iparnya bernama Maimun itu.
“Apa salah Kak Maimun bawa mak menginap di hotel mak. Mungkin mereka berdua mahukan mak bertukar angin dan banyak berehat. Kalau mak berkunjung ke rumah anak-anak yang lain, mak jadi tukang masak kepada mereka. Bukankah mereka selalu puji masakan mak adalah yang paling best di kalangan masakan mereka,” jelas Malek.
“Aku dah biasa macam tu. Kalau aku tak masak sedap, boleh kau membesar dengan sihat dan berjaya melanjutkan pelajaran kau sampai ke universiti?” soal Mak Odah.
“Tapi mak, abang Suhairi dah banyak bantu mak. Banyak pula abang Suhairi keluarkan wangnya untuk membolehkan mak menunaikan haji ke Makkah. Begitu juga abang Suhairi dan kak Maimun yang mengeluarkan belanja perubatan mak di hospital swasta di Senawang tu. Mereka yang lain tu ada bantu mak?” soal Malek.
Mak Odah cuba mengalihkan pokok perbualannya dengan Malek. Mak Odah teringatkan teguran Malek terhadap dirinya yang ke pasar dan menjadi tukang masak di rumah anak-anak.
“Alah, sesekali aku belanja beli barang di pasar untuk abang dan kakak kamu, apa salahnya? Lagi pun isteri masing-masih nak makan ‘air tangan’ mak!” jerkah Mak Odah. Malek menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Saya tak mahu mereka buat macam tu. Mak tu dah tua. Saya tak suka mak tu dibuat macam bibik. Macam orang gaji. Anak dan menantu mak tu goyang kaki je,” jelas Malek.
Malek menduga pandangannya itu sedang berkocak dalam minda Mak Odah.
“Tujuan mak datang ke rumah mereka untuk bermain dengan cucu bukannya menjadi tukang masak. Sehinggakan mak sanggup keluarkan belanja beli lauk-pauk di pasar untuk mereka,” tambah Malek.
“Apa salahnya kalau aku berbelanja untuk anak menantu aku sendiri hah? Bukannya aku minta duit kau satu sen pun. Aku anggap semua tu sedekah amal jariah,” sindir Mak Odah.
“Kalau mak nak tahu, abang Hairi saja yang menghulurkan RM1,000 setiap bulan pada emak. Anak-anak mak yang lain ada buat macam tu pada mak?” soal Malek.
Mak Odah terdiam.
“Sepatutnya merekalah yang keluarkan belanja beli lauk-pauk di pasar. Isteri masing-masing bantu mak menumis di dapur. Ini tidak. Isteri masing-masing sibuk melayan anak masing-masing, mak sorang-sorang masak kat dapur. Bila mak sakit pinggang bangun duduk kat dapur, pandai pula mak cari saya,” ungkit Malek.
“Badan aku dah tua Malek. Aku ingat masa aku muda-muda dulu masak untuk anak-anak aku. Sikap begitu terbawa-bawa bila aku dah tua,” jelas Mak Odah.
Seingat Malek, apabila Mak Odah mengadu pinggangnya sakit-sakit, Malek akan membawa Mak Odah ke rumah tukang urut Mak Esah di Ampangan.
“Mak tak kisah kau jumpa Nisah di FB (Facebook), tetapi Nisah tu sudah ada anak dua hasil perkahwinan pertamanya sebelum bercerai dengan bekas suaminya itu. Kau tak malu bila dibandingkan dengan isteri-isteri abang kau yang lain. Masing-masing ada anak sendiri, bukan macam kau ada anak instant,” ujar Mak Odah.
“Mungkin antara Nisah dengan saya dah jodoh, mak,” jawab Malek lalu mengangkat punggungnya dan masuk ke dalam biliknya.
Tiga
Majlis pernikahan Malek dengan Nisah diadakan secara sederhana. Jemputan pun hanyalah dalam anggaran 100 orang sahaja. Itu pun dalam kalangan jiran-jiran dan saudara mara terdekat. Majlis pernikahannya diadakan di Masjid Biru manakala majlis resepsi diadakan di restoran Man Tom Yam.
Alasan Mak Odah, jemputan tersebut sekadar hebahan kepada penduduk setempat bahawa mereka sudah menjadi pasangan yang sah sebagai suami isteri. Tidak ada bunga manggar dan pukulan kompang meraikan majlis mereka itu.
“Abang tentu menyesal berkahwin dengan Nisah ‘kan?” soal Nisah.
Malek hanya tersenyum dan berbisik perlahan ke kuping telinga isterinya.
“Abang tak menyesal, Nisah. Dah ditakdirkan diri abang ni untuk Nisah,” balas Malek.
“Tak apalah Malek. Mungkin kau mahukan lain apa yang mak mahu. Tapi, pandai-pandailah kau mengemudikan rumah tangga kau dengan Misah. Abang doakan kau bahagia hingga ke anak cucu,” ucap Suhairi yang kekal dalam sanubari Malek dan Manisah.
Manakala dari mulut abang-abang Malek yang lain, Malek mendapat sindiran tajam daripada mereka.
“Kau kena ingat Malek, berkahwin tanpa restu ibu ni, takkan kekal lama,” ujar Borhan, Syafiqah dan Mawardi.
Selang beberapa hari kemudian, Malek dan Nisah berpindah ke sebuah rumah teres dua tingkat di Kampung Gelam. Malamnya Malek membincangkan apa yang dirancangkan oleh Nisah sebelum ini. Malek mahukan kepastian daripada Nisah.
“Sungguh-sungguhkah Nisah mahu hadiahkan perkahwinan kita dengan mengerjakan haji ke Makkah?” soal Malek pada isterinya.
“Sungguh-sungguhlah ni. Nisah pun nak buat badal haji buat arwah emak sekali,” terang Nisah.
“Macam mana dengan anak-anak kita Alyaa Khalisa dan Aufa Imani?” soal Malek.
“Itu tak usah risaulah. Nisah boleh tumpangkan pada mak saudara Nisah buat sementara waktu,” balas Nisah.
“Cara tu tak membebankan diakah?” soal Malek.
“Nisah akan dapatkan khidmat seorang bibik. Mak saudara Nisah tu hanya tengok-tengokkan anak Nisah di rumah ni ketika kita mengerjakan haji,” jelas Nisah.
Malek mengangguk-anggukkan kepalanya sebagai tanda bersetuju dengan cadangan isterinya itu. Hasrat Malek dan Nisah mahu menunaikan haji di Makkah itu tidak ada jalan yang mudah.
Prosesnya mengambil masa dan perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Tempoh pendaftaran sebagai bakal haji belum cukup tempohnya lagi.
“Terpaksalah kita tangguhkan niat kita berbulan madu untuk mengerjakan haji tu, Nisah,” ujar Malek.
“Tak apa, Nisah ada cara lain,” balas Nisah.
Malek meraup wajah isterinya.
“Cara bagaimana yang membolehkan kita pergi haji?” soal Malek.
“Kita gunakan visa furada. Visa yang dikeluarkan oleh Kerajaan Arab Saudi,” balas Nisah.
Empat
Sewaktu kapal terbang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA, perasaan Nisah tidak sabar mahu pulang ke rumah mereka untuk berjumpa kedua-dua anak perempuannya, Alya Khalisa dan Aufa Imani.
Masing-masing berusia enam dan lima tahun. Malek dan Nisah bercadang membawa mereka bersiar-siar bagi melepaskan rasa rindunya itu. Sewaktu keluar dari pintu keluar Balai Ketibaan, Malek dan Nisah terpandang kelibat Mak Odah bersama dua orang cucunya menyambut kepulangan mereka dari Tanah Suci Makkah.
Nisah dan Malek bersalaman dengan Mak Odah.
“Mana Mak Cik Leha? Mana bibik yang menjaga Alyaa Khalisa dan Aufa Imani?” soal Nisah.
“Leha membenarkan mak jaga anak-anak kamu ni. Leha tak sihat kerana penyakit lelahnya dan bibik kamu dah berhenti kerja kerana mahu pulang ke kampung halamannya di Lombok,” terang Mak Odah.
Sejurus kemudian datang Borhan, Syafiqah, Mawardi dan Suhairi bersama pasangan masing-masing menyambut kepulangan mereka. Malek dan Nisah mengucapkan rasa syukur kerana Mak Odah dan anak-anaknya yang lain sudah boleh menerima kehadiran Nisah dalam keluarga mereka. Bagi Malek, Nisah sudah boleh diterima calon menantu mak.