1975, Benut
NARANG mengayuh basikalnya agak laju menuju ke Simpang. Dia tidak mahu berlama-lama meninggalkan isterinya sendirian di rumah. Dia bimbang ada lelaki yang mengintai isterinya dari celah-celah rekahan dinding kayu rumah sewaktu ketiadaannya.
Berdesing-desing telinga Narang apabila mendengar orang bercerita fasal isterinya. Sejak dia menikahi Mariam, tidak henti-henti kecantikan isterinya menjadi bualan orang kampung, lebih-lebih lagi dalam kalangan kaum lelaki. Sebahagian hatinya berasa bangga mempunyai isteri yang masih muda, cantik dan mulus kulitnya. Sebahagian lagi hatinya, berasa cemburu dan marah dengan lelaki-lelaki di kampungnya, yang tidak habis-habis membicarakan tentang kecantikan isterinya. Sementelah, kalau dibandingkan usianya dengan Mariam, dia jauh lebih tua daripada Mariam, gadis remaja yang baru sahaja habis belajar di sekolah menengah. Orang kampung beranggapan, Narang mempunyai ilmu pengasih sehingga Mariam tunduk kepadanya. Sebahagian orang pula percaya, sudah jodoh dia dengan Mariam dan tiada siapa boleh menghalang takdir dari Yang Maha Esa.
“Woi, Wagiman! Mana menghilang? Lama dah aku tak jumpa kau… .” Narang sedikit melaung apabila dilihat Wagiman juga ada di Simpang. Dengan serta-merta dia berhenti daripada mengayuh basikalnya, sehingga keadaan basikalnya terhuyung-hayang. Narang hampir-hampir jatuh menekan brek dengan mengejut.
“Lajunya! Nak ke mana tu?” soal Wagiman pula. Wajahnya berkerut memandang Narang. Sebelah kaki kirinya menongkat ke tanah, manakala kaki kanannya masih berada di pedal basikal.
“Mahu ke Tanjung mencari lauk. Walaupun tak larat buat kerja-kerja di kebun tu, makan aku berselera pula sekarang ni,” jawab Narang dengan tersenyum sambil menyeka peluh di dahi.
“Ada orang baharu, memang macam tu…,” usik Wagiman. Dia menjeling Narang.
Narang tersenyum lebar.
Mereka tertawa sama seperti beberapa puluh tahun yang lalu sewaktu mereka masih muda remaja. Sungguhpun kini sudah berusia, mereka masih sama. Bersahabat baik. Biarpun orang kampung beranggapan Narang gila, namun tidak bagi Wagiman. Narang ialah lelaki Banjar yang mempunyai banyak ilmu. Cuma, penampilannya sahaja yang membuat orang kampung mengelarnya tidak siuman atau bahasa kasarnya gila!
“Aku nak cepat ni, Giman…,” kata Narang agak tergesa-gesa.
“Yalah, aku faham…,” ujar Wagiman sambil tersenyum.
Mereka sama-sama tertawa lagi.
Semenjak menikahi Mariam, Narang jarang-jarang keluar rumah. Dia tidak mahu ada lelaki yang mengambil kesempatan mengintai isterinya. Dia hanya keluar rumah sekiranya perlu sahaja. Jika dia keluar rumah, selesai sahaja urusan dia akan pulang secepat mungkin. Dia juga hanya akan keluar bersendirian tanpa membawa Mariam bersama-sama. Pernah satu hari, Narang membawa Mariam ke pasar. Sedang Narang menawar harga ikan, seorang lelaki menegur Mariam. Hal seperti itu tidak disukai oleh Narang. Dengan lantang Narang mengherdik lelaki itu.
“Dia isteri aku! Dia bukan anak dara atau janda yang kau boleh ajak berbual sesuka hati!” Seluruh pandangan Narang dihunjamkan tajam ke arah lelaki itu.
“Huh! Kalau isteri tak boleh berbual dengan orang lain, kau simpan saja di rumah buat pekasam!” balas lelaki itu sambil berludah sinis.
Banyak orang yang berada di pasar itu tertawa memandang Narang. Narang menarik tangan Mariam dengan kasar lalu keluar dari situ. Kata-kata lelaki itu membuat hati lelaki Narang tercabar. Dia berasa seperti tiada harga diri apabila orang ramai mentertawakannya. Demi Mariam, kadang-kadang dia mencuba memekakkan telinga dan membutakan matanya. Namun, tidak semudah yang disangka. Banyak perkara yang menguji kesabarannya sebagai seorang suami. Mariam juga tidak boleh ditinggalkan bersendirian di rumah. Ada sahaja lelaki-lelaki jalang yang mengintainya. Susuk tubuh dan kecantikan Mariam hanya untuk dirinya sahaja. Lelaki lain tidak patut turut menikmati kecantikan tubuh Mariam, isterinya. ‘Tidak boleh!’ bentak hatinya marah
‘Memang cantik si Mariam ni. Patutlah Narang cemburu,’ bisik hati kecil Wagiman sewaktu pertama kali Narang memperkenalkan Mariam kepadanya. Kelelakian Wagiman juga turut tercabar apabila melihat perempuan secantik Mariam. Tubuh Mariam yang langsing sungguh indah apabila dibaluti dengan kebaya bersulam tangan di bahagian bawah bajunya. Manakala, kecantikan Mariam makin terserlah apabila dipadankan dengan kain batik singkat sehingga menampakkan buku lali dan tumitnya yang halus kemerah-merahan bak meniru telur burung. Dia berkerudung jarang, menutupi sebahagian rambut ikalnya. Hanya dengan senyuman Mariam, boleh meluruhkan iman lelaki-lelaki yang memandangnya. Hebat penampilan seorang perempuan yang bernama Mariam, isteri kepada Narang.
Wagiman tahu, Narang bukanlah tergolong dalam kalangan lelaki hidung belang. Narang tidak hairan dengan gadis-gadis cantik bagaikan kelopak pandan sekali pun. Keinginan untuk memperisterikan Mariam, pada permulaan hanyalah kerana dendam. Dirinya tercabar, apabila dengan lantang Mariam memarahinya sewaktu berselisih di kaki lima kedai kerana tersenggol bahunya.
“Eh, orang tua ni! Berjalan pun dah tak larat! Langgar-langgar orang pula,” Mariam merengus.
Kawan-kawan Mariam dan orang-orang yang ada di situ mentertawakan Narang.
Narang malu. Dia pulang ke rumah dengan satu tekad. Dia akan mendapatkan Mariam walau dengan apa-apa cara sekali pun.
“Aku akan pastikan Mariam itu jatuh ke tangan aku. Masa itu, biar orang kampung tahu, aku bukanlah lelaki bodoh yang boleh dijadikan bahan tertawa.”
Satu hari Narang memberitahu hasrat hatinya kepada Wagiman.
“Kau jangan buat gila, Rang. Mariam tu cantik… aku takut, kau kecewa nanti!” tegas Wagiman. Sebagai seorang sahabat, ada perasaan bimbang di hatinya.
Tidak berapa lama selepas Narang meluahkan perasaannya terhadap Mariam kepada Wagiman, orang kampung dikejutkan dengan berita Narang dan Mariam telah berkahwin. Mereka mengadakan majlis pernikahan secara sederhana di rumah datuk kepada Mariam, sebelah ayahnya di Kampung Belolok, Pontian, Johor. Setelah bernikah, mereka tinggal di rumah pusaka peninggalan arwah ibu bapa Narang di Kampung Parit Abdul, Benut.
***
“Tadi, aku nampak kau berbual-bual dengan lelaki di Simpang!” kata Narang yang tiba-tiba berang. Wajahnya berubah menjadi merah. Matanya terjegil bagai mata pak belang yang sedang menunggu mangsa untuk dibaham.
Mariam terjelepok di atas lantai. Dia tidak berdaya mempertahankan dirinya. Dia hanya pasrah dan menunggu takdir apa-apa sahaja yang akan dilakukan Narang terhadapnya.
“Yam ke kedai kerana membeli garam.” Dengan tutur kata yang lembut, Mariam memberitahu alasan dia keluar rumah bersendirian tanpa Narang menemaninya.
“Katakan sahaja, kau mahu mempamerkan kecantikan yang kau miliki kepada jantan-jantan yang kebulur di Simpang sana tu, kan?” Narang seperti sedang dirasuk jembalang.
Mariam hanya menangis. Dia tidak berani menentang wajah suaminya dalam keadaan begitu.
Narang mundar-mandir sambil menggosok-gosok mukanya yang berserabut dengan janggut dan kumis memutih di wajahnya.
‘Tak boleh dibiarkan perkara ini. Aku kena buat sesuatu, biar semua orang tahu, aku siapa!’ bisik Narang. Hatinya tersungkur tewas dek perasaan cemburunya.
Malam itu, Narang bersiap-siap mahu keluar rumah dengan membawa sebilah parang yang baru diasah. Mahu putus dua seandainya lalat tersasar melanggar mata parangnya yang tajam berkilat itu.
“Mahu ke mana, bang? Kalau Yam bersalah, Yam minta maaf. Yam berjanji tak akan keluar rumah lagi tanpa abang bersama,” rintih Mariam sambil memeluk kedua belah kaki Narang.
Narang diam kaku.
“Tak perlulah buat macam ni. Ingat Allah, bang. Ingat Allah,” pujuk Mariam sambil menangis.
Namun, Narang tetap membatu. Parang panjang yang diasahnya jatuh gelimpang ke atas lantai. Mata Narang merenung jauh seolah-olah sedang membuat perancangan rapi sebelum ke medan juang.
“Tapi kau terlalu cantik! Sehingga semua lelaki di kampung ini mahu memikat kau. Mahu mengambil kau daripada aku!” Narang berjalan pantas ke muka pintu. Parang panjang yang tergelimpang di atas lantai diambil dengan rakus.
Mariam beringsut ke sudut rumah. Dia memejamkan mata sambil berdoa agar suaminya tidak berbuat sesuatu yang tidak baik.
“Aku dah kata, jangan keluar rumah tanpa aku. Kau degil! Atau, kau mahu lari tinggalkan aku?” Narang semakin berang. Parang panjang yang diasah itu diayun ke kanan dan ke kiri.
Mariam pasrah. Andai dirinya dibunuh oleh Narang malam itu, semua itu adalah ketentuan daripada-Nya.
Narang berdiri di ambang pintu. Dia melompat ke tanah tanpa melalui tangga seperti kebiasaannya.
“Mariam! Aku akan hapuskan semua orang yang mengganggu kebahagiaan rumah tangga kita. Aku akan pastikan rumah tangga kita tidak diganggu gugat oleh mana-mana lelaki yang kebulurkan betina cantik macam kau di luar sana!” Narang berteriak dengan langkah yang pantas lalu menghilang di dalam kepekatan gelap malam.
Mariam bergegas ke muka pintu mahu menghalang suaminya namun, kegelapan malam menghalang pandangannya. Mariam menangis di ambang pintu dengan memanggil-manggil nama suaminya. Malam kian sunyi tanpa bulan dan bintang. Pungguk juga tidak lagi merintih menagih cinta dari sang bulan. Hanya sesekali suara cengkerik membelah kesunyian malam itu. Mariam pasrah dan menyerahkan segala-galanya kepada Yang Maha Esa. Doanya tidak putus-putus agar suaminya tidak berbuat sesuatu yang tidak direstui oleh agama dan keturunan.
***
Pagi itu, suasana di Kampung Parit Abdul sepi. Sinaran matahari pagi tidak cerah seperti selalu. Cuaca agak muram. Kicauan burung-burung tidak kedengaran seperti biasa. Seolah-olah di kampung itu sudah kehabisan madu untuk disunting. Jantung pisang juga seperti telah gersang dari kolam madu di celah-celah kelopaknya. Hanya dedaun pokok kelapa sahaja bersiul, gemeresik apabila dicumbui oleh angin pagi. Dari kejauhan kelihatan sesusuk tubuh berjalan mundar-mandir dengan sebilah parang panjang di tangannya.
“Kau semua akan mati!” Lelaki itu berteriak sambil parangnya diayun ke kanan dan ke kiri. Keadaannya tidak terurus. Rambutnya kusut-masai. Dia hanya memakai seluar panjang hingga ke paras lutut. Pinggangnya dililit dengan kain pelekat yang lusuh. Tidak memakai kasut namun, langkahnya gagah dengan mata yang meliar seperti seekor harimau sedang mencari mangsa.
“Tolooong!” Seperti suara kanak-kanak sedang menjerit minta tolong dari hujung jalan kampung. Beberapa ekor burung merbah yang sedang bertenggek di pelepah kelapa terbang bertempiaran apabila mendengar suara teriakan itu.
“Ha! Haa! Haaa!” Suara itu kedengaran berulang kali. Pak Bilak jiran sekampung Narang, sedang menurunkan kelapa di kebunnya. Pak Bilak juga mendengar suara minta tolong lalu bergegas ke tempat suara itu.
“Ya Allah! Tolong! Tolong!” Pak Bilah hampir pengsan melihat sekujur tubuh kanak-kanak berlumuran darah terbaring di tepi jalan. Dia memangku tubuh kecil yang sudah tidak bermaya itu sambil mengucapkan kalimah Allah beberapa kali. Namun tubuh kecil itu terkulai layu tanpa bernafas lagi.
“Tolong! Tolong! Tolong!” Pak Bilah meminta pertolongan. Dari jauh Pak Bilak melihat seseorang sedang berjalan pantas sambil membawa sebilah parang panjang.
Orang itu mengayun parang panjang yang dibawanya ke kanan dan ke kiri. Pak Bilak tanpa berfikir panjang lalu bersembunyi di sebalik rimbunan pokok senduduk yang tidak jauh dari tubuh kecil itu terbaring.
‘Narang?’ Pak Bilak terkejut. Tidak disangkanya lelaki yang membawa parang panjang itu adalah Narang suami Mariam. Hati Pak Bilak berdebar-debar, takut dan cemas.
Dengan riak wajah yang berang, mata yang membulat dan nafas yang merengus, Narang berjalan ke hulu-ke hilir dengan mengayun parang panjang yang tergenggam erat di tangan.
“Siapa lagi? Siapa lagi?” Narang memekik sekuat hati sehingga suaranya bergema ke segenap pelosok kampung.
Kecut hati Pak Bilak, menggigil kaki dan tangannya. Orang yang sedang mengamuk berada di hadapannya dan hanya dipisahkan oleh rimbunan pokok-pokok senduduk. Pak Bilak membaca ayat-ayat suci al-Quran, yang dihafalnya. Tidak lupa juga dia berdoa agar Narang tidak melihat dirinya yang sedang bersembunyi.
“Ha! Ha! Ha! Inilah nasib anak kepada lelaki yang selalu kelaparan bini orang. Lelaki yang gilakan isteri aku yang paling cantik di kampung ini!” Narang ketawa sambil mengangkat parang panjangnya ke atas. Kemudian, dia menguis jasad kanak-kanak yang baru sahaja ditetak dengan parang panjang miliknya.
Pak Bilak semakin gementar.
Narang mengundur ke belakang, hampir sahaja terlanggar rimbunan pokok senduduk tempat Pak Bilak bersembunyi.
Tidak lama di situ, Narang berlari ke hulu Kampung Parit Abdul.
Pak Bilak bergegas keluar dari persembunyiannya. Di pertengahan jalan, Pak Bilak bertemu dengan Wak Mori dan Wak Daeng. Masing-masing tergesa-gesa mengayuh basikal menuju ke arah yang bertentangan.
“Engkau nak ke mana tergesa-gesa ni Wak Mori, Wak Daeng?” Dengan tercungap-cungap Pak Bilak bertanya walaupun jarak di antara mereka masih jauh.
“Aku nak ke balai polis. Nak buat aduan tentang Narang mengamuk. Kita tidak boleh lawan si Narang tu. Dia sangat kuat…,” hampir tidak kedengaran suara Wak Daeng. Nafasnya kencang. Dadanya berombak-ombak menahan lelah. Kaki kirinya menongkat ke tanah dan kaki kanannya masih berada di pedal basikal.
“Engkau jangan ke hulu, Narang sedang menuju ke sana,” Wak Mori juga tercungap-cungap.
Wak Daeng terbongkok-bongkok menahan lelah.
Pak Bilak tergamam.
“Di … di… di… sanaaa, ada budak kena tetak!” suara Pak Bilak terketar-ketar.
“Budak kena tetak? Ya Allah. Bukan hanya Besah seorang saja yang menjadi mangsa tetakan si Narang?” ujar Wak Daeng.
“Besah kena tetak? Macam mana keadaan Besah?” kaki Pak Bilak lemah. Hampir sahaja dia terjelepok di atas tanah. Besah ialah kakak Pak Bilak yang berlainan ayah.
Wak Mori dan Wak Daeng hanya mendiamkan diri.
“Ya Allah, apa yang harus kita buat ni Wak Mori? Wak Daeng?” suara Pak Bilak menggigil. Pak Bilak terbayang-bayang akan wajah Besah yang tinggal sendirian, yang sedang mengerang kesakitan di rumahnya.
“Apalah dosa Besah terhadap Narang sehingga dia ditetak?” Pak Bilak separuh merintih.
“Sabar Pak Bilak, sabar! Yang penting sekarang ni, biar aku dengan Wak Daeng ke balai polis dulu. Kau pergi beritahu Ketua Kampung dan pergi ke rumah jiran-jiran kita yang lain. Beritahu mereka jangan keluar rumah dan kunci semua pintu dan tingkap,” arah Wak Mori lalu mengayuh basikal meneruskan perjalanan ke jalan besar bersama-sama Wak Daeng.
Wak Mori bersimpati dengan nasib Pak Bilak. Besah sebenarnya sudah meninggal dunia. Setiap pagi, isteri Wak Mori menghantar sarapan ke rumah Besah. Dari jauh kelihatan pintu rumah Besah terbuka luas. Isteri Wak Mori melihat Besah yang sudah tidak bernyawa terbaring kaku berlumuran darah di tengah-tengah rumah.
“Kau pun berhati-hati. Narang akan menetak sesiapa sahaja yang dia nampak!” pesan Wak Mori kepada Pak Bilak.
Sepuluh minit berkayuh, Wak Mori dan Wak Daeng sampai di jalan besar. Di simpang jalan besar, Wak Mori memberitahu orang-orang yang sedang bersarapan di warung Pak Karim agar berhati-hati kerana Narang sedang mengamuk. Ada di antara mereka yang segera meninggalkan warung dan pulang ke rumah.
“Tolong! Tolong!” Pak Bilak mendengar jeritan orang minta tolong. Pak Bilak mematikan langkah dan mencari arah jeritan itu.
“Tolong! Argh!” jeritan itu datang dari rumah Kosen. Setahu Pak Bilak, beberapa hari yang lalu, isteri Kosen baru melahirkan seorang bayi lelaki. Pak Bilak bergegas ke rumah Kosen melalui kebun kelapa. Dia tidak berani melalui jalan hadapan bimbang bertembung dengan Narang. Walaupun dia tidak seberani wira dan tidak segagah pahlawan namun, dia cekalkan hati meninjau ke rumah Kosen. Dia bersedia menerima sebarang kemungkinan kerana baginya jiran tetangga wajib dilindungi dari sebarang musibah.
“Assalamualaikum! Assalamualaikum! Kosen! Kosen!” Salam Pak Bilak tidak berjawab. Pak Bilak memberanikan diri masuk ke rumah Kosen melalui pintu belakang. Keadaan rumah Kosen tunggang-langgang seperti baru sahaja dilanda taufan.
“Pak Bilak! Pak Bilak! Tolong!” ada suara memanggil Pak Bilak dari penjuru rumah.
“Ya Allah! Kosen! Kosen!”
Lantai rumah Kosen basah disirami dengan darah. Bau hamis darah memenuhi setiap ruang rumah Kosen. Tidak beberapa jauh dari Kosen, ibunya terbaring dengan keadaan berlumuran darah. Di ruang tengah rumah, bapa Kosen tersandar ke dinding. Paha dan lengan kanannya luka parah. Beberapa helai tikar mengkuang lencun dengan limpahan darah penghuni rumah. Pak Bilak bingung. Dia berasa loya dan pandangannya menjadi gelap. Dia seolah-olah sedang dilambung gelombang yang ganas di tengah-tengah lautan.
‘Ya Allah, berikan aku kekuatan agar dapat mengatasi masalah ini,’ bisik hati Pak Bilak.
“Ya Allah, mengucap Sen. Allah! Allah!” Pak Bilak memangku kepala Kosen dengan tidak henti-henti mengucap kalimah Allah. Dengan pergerakan yang perlahan, Kosen menuding ke arah sebuah bilik.
“Ada apa Sen?” soal Pak Bilak.
“Anak aku.” Kosen masih menuding ke arah sebuah bilik yang pintunya tertutup rapat.
Pak Bilak segera membuka pintu bilik yang tertutup rapat itu.
Pintu bilik itu terbuka, terdengar suara bayi menangis dari dalam buaian. Isteri Kosen duduk di sebelah buaian bayi, tidak bermaya. Badannya menggigil, mukanya pucat dan tidak mampu berkata-kata. Belum sempat berbuat sesuatu, Pak Bilak terdengar suara orang minta tolong dari arah jalan kampung. Dari anjung rumah Kosen, Pak Bilak dapat melihat ada beberapa orang seperti sedang dikejar sesesorang. Hasrat Pak Bilak untuk mengetahui hal yang berlaku terbantut, apabila dia ternampak Narang berjalan mundar-mandir dengan mengayun parang panjang ke kiri dan ke kanan.
“Tolong!”
Pak Bilak terdengar lagi suara orang minta tolong. Kali ini suara itu dari arah pokok-pokok kelapa yang banyak di sebelah rumah Kosen. Tiba-tiba Pak Bilak seperti baru terjaga dari mimpi. Dia tersedar, jarak rumah Kosen dengan rumahnya hanya dipisahkan oleh sepetak kebun kelapa miliknya.
“Rumah aku!” jerit Pak Bilak seraya berlari seperti tidak cukup kaki menuju ke rumahnya. Dari jauh dia memanggil isteri dan anak-anaknya namun, tiada jawapan.
“Argh!” Pak Bilak meraung sekuat hati apabila melihat isteri dan anak-anaknya luka parah ditetak oleh Narang. Lantai rumahnya bermandikan darah anak dan isterinya. Pak Bilak meraung semahu-mahunya.
“Narang! Engkau memang gila! Gila!” Pak Bilak terduduk di sini isteri dan anak-anaknya. Pak Bilak menjerit minta bantuan, namun tidak ada sesiapa yang datang membantunya.
Kampung Parit Abdul sepi. Burung-burung kelicap tidak mahu lagi hinggap pada jantung pisang biarpun di kelopak bunganya dipenuhi madu. Burung-burung itu terbang jauh, seperti tahu bahaya sedang menantinya di Kampung itu. Beberapa ekor tupai yang sering berkejar-kejaran di dahan kelapa juga menjauhkan diri. Masing-masing bimbang akan menjadi mangsa amukkan Narang dengan parang panjangnya.
***
Bunyi enjin trak polis mengejutkan Mariam dari lena yang panjang. Semalaman dia tidak dapat melelapkan mata kerana menunggu Narang pulang. Mariam berasa bimbang sekiranya Narang berbuat sesuatu yang tidak baik di luar sana. Sehingga waktu syuruk, Narang tidak juga kelihatan. Akhirnya, Mariam terlena di ambang pintu sehinggalah dia dikejutkan dengan bunyi enjin trak polis di halaman rumah. Ada beberapa orang anggota polis sedang memeriksa di sekeliling rumahnya.
“Ada apa encik?” Mariam berasa pelik lalu bertanya kepada salah seorang anggota polis yang sedang menaiki tangga rumahnya.
“Ini rumah Narangkah?” tanya anggota polis itu tanpa menjawab soalan Mariam.
“Ya. Ini rumah Narang. Saya isterinya,” jawab Mariam. Dia berasa tidak sedap hati dengan kehadiran dua orang anggota polis ke rumahnya.
“Kami mendapat aduan, Narang telah mencederakan beberapa orang kampung. Ada antara mereka ada yang terbunuh,” tegas anggota polis itu.
“Hah? Ya Allah!” Mariam terkedu. Pelbagai perasaan muncul di lubuk di hatinya. Marah, kecewa dan kesal akan perbuatan suaminya. Dia benar-benar berasa sedih.
“Izinkan saya masuk ke dalam puan…,” tegas anggota polis itu lagi.
“Eeer…suami saya tidak ada di rumah. Dia keluar rumah sejak malam tadi dan tidak pulang-pulang hingga sekarang. Saya tidak tahu ke mana dia pergi.” Beberapa titis air jernih menerjah penjuru matanya. Mariam sedar, Narang terlalu cemburu akan dirinya. Sikap cemburunya sudah keterlaluan sehingga menjadikan dia seorang pembunuh.
“Saya terpaksa masuk ke dalam rumah puan, untuk melihat sekiranya suami puan ada di dalam…,” tegas anggota polis itu lagi.
“Kalau begitu kata encik, masuklah…,” Mariam hanya memerhati anggota polis itu menggeledah rumahnya kerana dikhuatiri Narang ada bersembunyi di situ. Pihak polis berpuas hati bahawa Narang tidak ada di dalam rumah mahupun di persekitaran rumahnya.
***
Orang Kampung Parit Abdul, orang kampung yang berdekatan dan seluruh perkampungan di Benut pada hari ini gempar dengan kejadian amuk oleh Narang. Polis menasihati orang kampung agar tidak keluar dari rumah masing-masing. Operasi mencari Narang diteruskan. Beberapa buah trak polis dengan anggota yang lengkap bersenjata, ada di setiap penjuru kampung. Berita Narang mengamuk tersebar sehingga kepengetahuan Wagiman yang tinggal agak jauh dari Kampung Parit Abdul. Wagiman dan beberapa orang kampung Wagiman bergegas menuju ke Kampung Parit Abdul.
“Apa puncanya sehingga menyebabkan Narang mengamuk ni?” soal Wagiman kepada salah seorang lelaki yang berada di tepi jalan besar.
“Tak tahulah. Pagi tadi, kita semua ni berada di kebun masing-masing. Anak-anak pun sudah ke sekolah. Tahu-tahu, kita dikejutkan dengan berita Narang mengamuk,” jawab orang itu.
“Kasihan Narang. Aku kenal dia tu. Kalau tidak ada sesuatu yang mengganggunya, dia tak mungkin akan berkelakuan seperti ini,” ujar Wagiman diikuti anggukan daripada beberapa orang yang bersama-samanya.
“Dia tidak kasihankan nasib dirinya sendiri. Ikutkan sangat perasaan cemburunya,” kata seorang lagi lelaki yang berada di tepi jalan besar itu lagi.
Wagiman mengeluh kesal. Beberapa hari yang lalu dia baru sahaja bertemu Narang di Simpang. Wagiman mengambil keputusan untuk mencari Narang bersama-sama anggota polis. Dia mahu memujuk Narang agar menyerah diri. Dia yakin, Narang boleh dilembutkan hatinya. Pihak polis pada awalnya menolak permintaan Wagiman dengan beberapa orang lain kerana bimbang akan keselamatan mereka.
“Tuan, seperti yang dimaklumkan oleh orang kampung, Narang ada di Kampung Parit Abdul Hulu berdekatan dengan Parit Kasan. Dia bersembunyi di kebun kelapa berdekatan tali air,” salah seorang anggota polis membuat laporan kepada Koperal Arif.
Mereka bergegas ke lokasi Narang bersembunyi. Wagiman dan beberapa orang kampung mengekori pasukan polis dari belakang. Tidak berapa lama meredah kebun kelapa menuju ke tali air, mereka melihat Narang sedang duduk bersandar di sebatang pokok kelapa.
“Tuan, izinkan saya memujuknya. Kita minta dia supaya menyerah diri,” kata Wagiman kepada Koperal Arif. Koperal Arif bersetuju dengan cadangan Wagiman.
Kehadiran pasukan polis, Wagiman dan beberapa orang kampung disedari oleh Narang. Dia berdiri gagah dengan parang panjang di tangan. Jarak di antara mereka hanya lebih kurang tiga ratus meter sahaja.
“Narang! Marilah kita balik. Mariam menunggu kau di rumah! Kau tak sayang Mariamkah?” jerit Wagiman.
Narang tidak mengindahkan pujukan Wagiman. Sebaliknya dia berjalan pantas menuju ke arah Wagiman dan pasukan polis. Parang panjangnya dijulang tinggi.
“Kau jangan sebut nama dia. Dia tu bini aku!” Narang menjerit lalu berlari pantas menuju ke arah Wagiman dan pasukan polis.
“Narang, jangan bergerak! Jangan bergerak!” Koperal Arif memberi amaran supaya Narang tidak terus mara ke arah mereka.
Amaran Koperal Arif tidak diindahkan oleh Narang. Dia tetap mara ke hadapan lalu mengayunkan parangnya ke arah Koperal Arif. Wagiman dan beberapa orang kampung cuba menghalang dengan memegang tangan Narang. Dengan pantas Narang menolak Wagiman dan orang kampung, sehingga masing-masing terpelanting jatuh.
Berlaku pergelutan antara Koperal Arif dengan Narang. Dalam keadaan yang genting itu, Narang mengayun parangnya ke belikat Koperal Arif. Koperal Arif gagal mempertahankan diri. Dia rebah dan tubuhnya berlumuran darah. Melihat keadaan yang cemas begitu, pasukan polis diarah agar menembak Narang sebelum lebih ramai lagi yang menjadi mangsa.
“Derrr!! Derrr!! Derrr!! Derrr!!”
Narang kaku. Parang panjang berdenting terlepas daripada genggaman tangannya. Dia tidak mampu berbuat apa-apa lagi. Akhirnya Narang tewas jua di hujung muncung M16.
Wagiman berasa sedih melihat seluruh badan sahabatnya berlumuran darah. Perlahan-lahan Narang rebah ke bumi di hadapan Wagiman, orang kampung dan pasukan polis. Tercatat sejarah, Kampung Parit Abdul tanahnya yang subur itu telah bermandikan darah hasil tewasnya akan perasaan cemburu di hati seorang suami.