RUDI cintakan kedamaian dan keharmonian. Dia sering mencari kedamaian dan keharmonian di segenap pelosok, bermula dari rumah hingga ke jalan raya, stesen bas, pasar, sekolah, hospital, rumah perlindungan dan premis-premis kerajaan. Alangkah damai dan harmoni jika kesatuan dan perpaduan yang dibina bersama mengetepikan perbezaan fahaman politik. Kecintaan itu hadir sejak kecil, terbit dari dalam rumah bersama ahli keluarganya, lalu dizahirkan ke seluruh alam.
Rudi dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga yang autoritatif. Dia begitu faham akan sikap ayahnya yang bertanggungjawab, sentiasa mengawal dan mengambil berat perihal anak-anak. Ayahnya mengamalkan sikap demokratik. Hasil didikan ayahnya menjadikan Rudi seorang yang berkeyakinan tinggi, pandai mengawal emosi, mudah bergaul dengan orang ramai dan mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang. Kewibawaan ayahnya tidak pernah diragui. Ayahnya merupakan seorang tokoh yang dihormati dan disegani. Seorang ahli politik terkemuka.
Sejak kecil Rudi diceritakan dengan bermacam-macam cerita buruk ahli politik dan topeng politiknya. Keyakinan itu diaplikasikan kepada semua ahli politik termasuk ayahnya. Politik digambarkan sebagai sebuah kekuasaan yang beralaskan kebencian dan permusuhan. Kejam dan kotor. Meskipun begitu, sudah hampir 20 tahun ayahnya mampu bertahan dan hidup dikelilingi ahli politik dan aneka wajah politik.
Rudi tidak mengambilnya secara bulat-bulat biarpun keyakinan itu ada asasnya. Di sebalik penglibatan ayahnya dalam politik, wajah berbeza ditonjolkan oleh ayah di hadapan ahli keluarganya. Mungkin virus politik itu merebak dan meresap masuk ke dalam diri ahli politik lain, tetapi tidak bagi ayahnya. Sekalipun terdapat pelbagai tuduhan dan persepsi buruk yang dicipta, ayahnya dapat menepis semua itu dengan fakta dan orang ramai dapat menilai sejauh mana kebenarannya.
Media sosial selalu dijadikan platform untuk mencipta persepsi buruk. Umpama seperti satu tradisi apabila seseorang melibatkan diri dalam politik, pasti imej buruk akan ditimbulkan oleh warga maya dan mereka sendiri akan menjadi penilainya.
Jika dilayan, media sosial boleh menjadi toksik, terutamanya berkaitan dengan cerita-cerita politik yang berbaur hasutan dan sindiran. Jika boleh, Rudi ingin meninggalkan sejenak dunia media sosial. Mungkin bagi Rudi tempoh bertenang itu lebih baik. Apa yang berlaku di alam maya benar-benar menduga rasa cintanya pada ayah. Rudi menjadi sangsi. Kecintaannya bagai dikoyak-koyak oleh hentaman warga maya di media sosial.
Rudi melihat ayahnya dengan pandangan yang berbelah bahagi. Dua watak berbeza muncul pada wajah ayahnya. Watak seorang ayah yang penyayang dan watak seorang ahli politik yang bertopengkan kata-kata manis. Dia mengenali ayahnya sebagai seorang ayah, bukan sebagai ahli politik. Dia mahu terus mengenali ayahnya sebagai seorang ayah tanpa imej seorang ahli politik pun. Hasratnya itu seolah-olah didengari kerana semenjak dari awal penglibatan ayahnya dalam arena politik, imej seorang ayah itu tidak pernah padam.
Ayah menukar identiti diri sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam rumah. Kemampuan ayah membuatkan Rudi berasa kagum. Ayah mampu menyesuaikan diri dengan suasana dan orang di sekelilingnya. Bagi Rudi, kemampuan itu tidak menjadikan ayahnya seorang yang hipokrit. Jika ada sesiapa yang mendakwa ayahnya sebegitu, tenyata mereka belum mengenali ayahnya dan mungkin mereka terperangkap dengan imej politik yang dibawa ayahnya di luar sana.
Imej ahli politik hanya diserlahkan pada waktu tertentu sahaja. Lebih tepat lagi ketika berucap di pentas politik, berbahas di dewan rakyat atau semasa berkempen untuk pilihan raya.
Ayah meninggalkan imej seorang ahli politik di dalam peti besi dan menguncinya apabila menjejakkan kaki ke dalam rumah. Dia juga tidak membawa imej itu bersama ketika melangkahkan kaki ke masjid, menghantar anak-anak ke sekolah, menziarahi orang sakit atau menerima jemputan majlis perkahwinan.
Jika orang ramai masih menganggap dirinya sebagai ahli politik yang bermuka-muka, itu terpulang kepada mereka. Apa yang penting ialah wajah yang dipamerkan kepada orang ramai lahir dari hati yang ikhlas dan dia mahu dianggap sama seperti mereka, tanpa dibayangi imej ahli politik.
Rudi ingin membina rasa cinta dalam hati setiap insan yang dikenalinya serta dia mahu membuang segala tanggapan atau persepsi buruk yang boleh merenggangkan hubungan sesebuah masyarakat. Niat Rudi ini sememangnya sukar kerana orang awam sudah ditanam tentang persepsi buruk ahli politik yang bersifat mengadu domba dan sukakan perpecahan. Jika tidak sependapat, masing-masing akan membawa haluan baharu. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.
Tidak dinafikan apa sahaja boleh berlaku dalam dunia politik berdemokrasi. Demokrasi dilihat amat bergantung kepada persepsi orang ramai. Maka, mencipta dan menguasai persepsi orang awam merupakan sebahagian daripada kemahiran yang dimiliki oleh ahli politik. Dalam proses mengubah persepsi itulah, ramai ahli politik bertukar menjadi watak jahat tanpa kita sedar. Mereka terperangkap dalam dunia politik mereka.
Selain itu, matlamat juga tidak sesekali menghalalkan cara kita bekerja. Hal inilah yang ditegaskan dalam agama Islam. Sebaliknya, ada sebahagian ahli politik yang terpengaruh dengan idealogi dan falsafah politik Nicholo Machiavelli yang terang dan jelas bertentangan dengan roh Islam dan adab-adabnya. Kaedah ‘Matlamat Menghalalkan Cara’ kerap dikaitkan dengan cetusan idea oleh Machiavelli dalam bukunya, The Prince. Buku itu menceritakan tentang pentadbiran negara dan kesesuaian yang sepatutnya menjadi asas untuk sesuatu tindakan.
Cinta pula ialah suatu perasaan yang sukar dinilai. Cinta digambarkan sebagai perasaan suci murni manakala realiti politik sering kali dinilai dengan sikap yang buruk dan kotor disebabkan oleh tindakan sebahagian ahli politik yang mencemarinya. Tugas yang berat perlu dilakukan untuk menyemai rasa cinta dalam kalangan ahli politik atau membawa dunia politik sebagai salah medium kecintaan rakyat. Turut dibimbangi jika cinta yang suci murni ini akan dinodai oleh dunia politik yang rakus dan kejam.
Cinta itu mempunyai takrifan yang amat luas. Cinta bersifat sejagat. Cinta kepada Tuhan. Cinta kepada agama, bangsa dan negara. Cinta kepada pasangan dan ahli keluarga bahkan lebih penting cinta akan diri sendiri. Politik juga mampu menyemai nilai kecintaan dalam kalangan rakyat jika ia berada dalam tangan orang yang tepat dan dilaksanakan dengan betul.
Rudi selalu membanding-bandingkan kecintaan terhadap seseorang dengan kecintaan terhadap kedamaian atau keharmonian yang boleh melangkaui sempadan politik. Hal inilah yang diterapkan oleh ayahnya. Ayah selalu berpesan supaya jangan sesekali menjadikan politik sebagai penghalang sesebuah perhubungan dan ikatan persaudaraan.
Terjunlah sedalam-dalamnya dalam dunia tersebut tetapi jangan biarkan diri kita terus tenggelam dan lemas dalam lautan politik.
Amat tidak wajar apabila cinta sesama manusia diperjudikan demi kepentingan politik. Rudi tidak menggemari sikap sebahagian ahli politik yang bermuka-muka. Ahli politik yang suka mengeksploitasi rakyat atas agenda politiknya. Politik demagog ialah ahli politik yang cuba mendapatkan sokongan orang ramai melalui ucapan dan hujahnya yang penuh emosi tetapi tidak rasional. Mereka bijak mengolah cita-cita politik dan melaung-laungkan slogan demi rakyat, seakan-akan mereka tidak ada sebarang kepentingan politik. Kelihatan seluruh perjuangannya untuk rakyat. Pandai bermuka-muka seolah-olah mereka berfikir, merasai dan menjiwai situasi rakyat. Lantas semua itu diolah agar kelihatan majoriti rakyat bersamanya.
Sekalipun ayah seorang ahli politik dan Rudi mempunyai pandangan tersendiri tentang politik, tidak ada konflik yang tercetus antara mereka berdua. Kematangan dalam berpolitik yang diterapkan oleh ayah mengalir ke dalam dirinya. Dia tidak mudah melatah dan menghukum sesiapa yang tidak sependapat dengannya. Malah dia tidak akan sesekali mencampuradukkan hal politik dan peribadi seseorang. Baginya, politik umpama wadah perjuangan rakyat dan bukan semata-mata simbol kekuasaan sesebuah parti.
Rudi bimbang akan sikap taksub yang menular dalam kalangan ahli politik dan penyokongnya. Jika salah haruslah dikatakan salah, bukan menafikan salah tersebut. Kini, rakyat hanya bisu dan tidak berani bersuara jika kesalahan itu dilakukan oleh pihak yang tinggi kedudukannya. Suara hanya dilaungkan jika tidak sealiran pendapat dengan tujuan menjatuhkan lawan sahaja, bukan untuk membetulkan keadaan. Masyarakat menjadi tidak rasional kerana ketaksuban berpolitik.
Rudi tidak bertujuan mengangkat ayahnya sebagai figura politik sepanjang zaman. Setiap manusia ada kelemahan dan kekurangannya tersendiri, begitu juga ayah. Namun, ayah sentiasa menjadi idola dan cinta hatinya dalam dunia politik.
Sebuah perjuangan tidak seharusnya dibatasi dengan sempadan politik. Ramai orang berjuang tetapi tidak terlibat dengan politik. Politik sepatutnya menjadi lambang perpaduan dan kecintaan kepada negara, bukan merosakkan dan menjadi titik mula sebuah perpecahan dalam masyarakat.