SEBAIK-BAIK sahaja dia selesai mengikat tali kasut jenama antarabangsa, satu tubuh muncul di hadapannya. Segera dia mencapai gitar kesayangannya lalu berdiri. Di hadapannya seorang gadis muda. Cantik. Berusia awal 20-an, sedang tersenyum memandangnya.
“Saya Mikayla.” Wanita muda itu memperkenalkan diri tanpa dipinta.
Mike sedikit gugup. Mana tidaknya, tiba-tiba gadis cantik menyapa dirinya sambil tersenyum manis.
“Saya Mikail. Panggil saja Mike. Awak dari Malaysia? Indonesia?” tanya Mike apabila mendengar bicara wanita ini. Dia pasti bukan dari Australia.
“Saya dari Malaysia. Orang Merlimau, Melaka.” Gadis muda itu masih tersenyum. Pandangan tepat dari Mikayla membuatkan Mike sedikit tertunduk, namun dia kembali merenung wajah anak Melaka itu dengan tenang.
“Saya orang asal sini. Melbourne. Apa yang saya boleh bantu?” tanya Mikail.
“Saya selalu lihat awak menyanyi di sini. Setiap hari sebenarnya. Dari jauh. Saya tertarik dengan lagu yang awak nyanyi tu. Emmm… lagu Dari Merlimau ke Melbourne.” Mikayla berterus terang.
Mike sedikit jeda. tidak sangka ada yang suka lagu itu. Satu-satunya lagu Melayu yang dia nyanyikan di jalanan setiap petang hingga ke malam. Setelah selesai kelas muzik, dia dengan sengaja, suka-suka menyanyi sambil memetik gitar di tepi jalan untuk menarik perhatian pelancong.
“Lagu itu saya buat sendiri, tapi lirik lagu itu asalnya sebuah sajak. Ditulis datuk saya. Orang Merlimau juga tapi menetap di sini,” jelas Mike.
Wajah Mikayla sedikit berubah. Lantas dia membuka beg jinjing dari bahu dan membukanya. Sepantas kilat dia mengeluarkan sekeping kertas lusuh yang berwarna coklat dan sedikit lunyai. Kertas yang berlipat dua itu disuakan kepada Mike.
Mike teragak-agak untuk menyambutnya. Dengan perlahan-lahan dia membuka. Pada mulanya tenang wajahnya membaca lalu berkerut-kerut dahinya. Wajah Mike terus berubah apabila melihat nama pada baris paling bawah. Nama datuknya, Malek Rahman.
“Malek tu atuk awak?” tanya Mikayla ingin tahu.
Mike mengangguk laju, “Ya, atuk saya. Tapi atuk dah meninggal dunia.”
Mereka berdua senyap. Suasana sunyi seketika. Mereka berdua bagaikan berfikir sesuatu.
“Maryam tu nenek awak?” tanya Mike pula.
Mikayla mengangguk.
“Jadi sajak tu atuk saya tulis untuk nenek awak?”
“Mungkin. Saya pasti Malek dan Maryam ada kisahnya.”
“Jom, kita cari tempat selesa untuk bercerita panjang! Pasti ada cerita kita tak tahu tentang atuk saya dan nenek awak,” cadang Mike.
Dia ingin tahu sejarah hidup Tuk Malek. Dia masih ingat lagi setiap kali mama mengajak atuk pulang ke Melaka, atuk akan menggelengkan kepala menolak cadangan mama. Katanya Merlimau sudah menjadi sejarah dalam hidupnya. Mike tahu, mana mungkin atuk melupakan tanah kelahirannya sendiri. Dia dan mama ingin sekali pulang ke Merlimau tetapi dia dan mama tidak mengenali seorang pun saudara mara atuk di Merlimau.
“Jom, kita ke Kafe Masa. Kopi latte di situ sedap!” kata Mikayla tersenyum.
“Boleh. Saya pun selalu minum kopi di Kafe Masa. Saya kenal pemiliknya, Pak Cik Bob dari Singapura. Kopi di kafenya dibeli dari Indonesia. Saya paling suka kopi Acheh. Sedap,” beritahu Mike tanpa segan silu. Mereka berdua berjalan beriringan.
Sebaik-baik sahaja pintu dibuka, mereka berdua tersenyum disambut oleh Pak Cik Bob, lelaki kacukan Cina-Singapura-Australia. Kafe yang menjadi kegemaran penduduk tempatan juga pelancong dari luar, terutama dari Asia. Suasana kafe dihidangkan dengan lagu-lagu lama termasuklah lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.
Mikayla teringat bahawa Pak Cik Bob pernah memberitahunya. “Pak cik sangat suka P. Ramlee. Jangan terkejut haaa lagu-lagu P Ramlee pun ada di sini. ”Tersenyum Mikayla mendengarnya. Orang sentiasa ceria. Bahagia.
Mereka berdua mengambil tempat di satu sudut yang agak jauh dari pintu masuk. Mereka ingin bercerita dan bersembang panjang tentang hubungan antara Tuk Malek dengan Nek Maryam. Selesai memesan kopi dan hidangan snek, mereka diam seketika seolah-olah mencari sesuatu agar kisah Malek dan Maryam dapat dimulakan.
“Saya ada baca jurnal atuk. Jurnal tu mama yang simpan. Atuk kecewa apabila tunangnya berkahwin dengan orang lain.” Mike memulakan bicara sambil meneguk kopi latte kesukaannya. Dia tersenyum memandang gadis Melayu yang sopan di hadapannya.
Mikayla tersentak. Bagaikan tidak percaya. Dia masih ingat lagi sehari sebelum Nek Yam meninggal dunia, dia tidur sebelah Nek Yam. Ketika itu Nek Yam ingat-ingat lupa. Kadang kala nama anak cucu pun dia lupa. Namun, Mikayla tidak lupa pada malam itu. Dia mendengar Nek Yam menangis di sebelahnya.
“Malam itu Nek Yam menangis. Saya menyentuh bahunya terkejut. Dia berpusing dan memandang saya. Dia tanya, nak dengar satu cerita tak? Kisah cinta nenek dengan bekas tunang nenek.”
Mikail khusyuk mendengar. Dia merenung wajah gadis Melayu di hadapannya. Cantik. Berambut ikal mayang hitam pekat. Matanya tidak begitu galak, bibirnya nipis tetapi hidungnya mancung. Dia dapat mengagak gadis di depannya pasti berdarah Bugis.
“Nenek bangun. Dia buka peti kayu di sebelah katil. Peti lama peninggalan arwah ayah Nek Yam. Nek Yam marah kalau ada yang menyentuh atau membuka peti tu. Nek Yam boleh mengamuk dan merajuklah,” cerita Mikayla bersungguh-sungguh.
“Nek Yam berikan kepada saya beberapa keping surat. Banyak. Surat tu surat lama tapi Nek Yam simpan sebab sayang. Surat daripada bekas tunangnya yang tak pernah pulang. Tak pernah bertemu lagi sejak mereka berpisah kerana tunangnya memilih bekerja di kapal.”
Mikayla sempat membaca kesemua surat-surat itu. Bersetem dari pelbagai negara. Bekas tunang Nek Yam pastinya singgah di banyak negara sepanjang belayar dan sambil duduk menghirup kopi, menulis surat cinta yang penuh dengan rasa rindu dan sayang yang sepenuh hati untuk tunangnya, Maryam Kassim.
“Surat terakhir bila?” tanya Mikail ingin tahu.
“Tahun 1960 bulan Mac. Tunang nenek beritahu dia akan ke Australia. Destinasi terakhir sebelum pulang ke Singapura. Tarikh perkahwinan mereka makin hampir,” jelas Mikayla.
“Ya. Ketika mereka hampir tiba di pelabuhan Australia, kapal dipukul ribut. Kuat. Taufan Tropika di Laut Coral. Banyak anak kapal yang meninggal dunia. Kapal mereka tenggelam,” kata Mikhail. Sebak. Kalau takdirnya sudah tertulis begitu, hendak tiba pun tidak akan tiba.
“Orang kampung kata tunang Nek Yam mati. Tiada sebarang khabar berita. Bukan berbulan bahkan bertahun-tahun Nek Yam tunggu. Moyang saya, Tuk Hassan jumpa bomoh minta tengokkan keberadaan Tuk Malek. Kata ibu, tuk bomoh minta telur ayam jantan berkokok tiga kali pun masih tak nampak Tuk Malek,” sambung Mikayla.
“Tuk Malek sebenarnya selamat. Dia dihanyutkan arus deras dan terdampar di Pulau Christmas. Tuk Malek diselamatkan oleh nelayan. Bertahun juga dia di sana sebelum datang ke Australia. Sebenarnya, Tuk Malek pulang ke Merlimau mencari tunangnya tapi ketika dia tiba di rumah tunangnya, dia lihat Nek Maryam yang berkahwin. Tuk Malek kecewa dan tak mahu pulang ke Merlimau lagi.”
Mulut Mikayla ternganga. Terkejut.
Suasana jeda seketika. Sepi. Masing-masing menghirup minuman yang masih hangat.
“Lagu yang awak nyanyi tu daripada sajak yang atuk awak tulis untuk nenek saya,” katanya perlahan.
Mikail mengangguk. Lama juga saya mencari muzik yang sesuai. Rupa-rupanya sesuai dengan muzik sentimental begitu. Lagu yang menyedihkan. Pasangan kekasih yang akhirnya terpisah. Dari Merlimau ke Melbourne.” Mikail mencuba untuk tersenyum. Saat dia menyanyikan lagu itu, dia bagaikan berada dalam jiwa Tuk Malek yang sakit merindu dan mencintai seseorang.
“Suatu hari saya nak ke Merlimau. Nak bawa mama saya ke sana, tanah kelahiran papanya,” kata Mikail tiba-tiba mengejutkan Mikayla.
Mikayla tiba-tiba mengangguk suka, “Pulanglah ke Merlimau. Kami menanti!”
