i
Walaupun tangan Icah ligat menyimpul popia, namun kepalanya sarat memikir akan persiapan bagi menyambut Syawal.
“Kan elok kita bersederhana saja,” begitu ungkap suami Icah, Ted.
“Hidup kita ini dah taraf daif, bang! Saya hanya mahu anak-anak ada baju baru dan makanan sedap di pagi raya. Tak pun saya minta ‘pulut dakap’ ke, ‘labi-labi tersusun’ ke, ‘lipan’, ‘biskut tawar’. Atau baju raya saya sendiri. Tidak ada, bang.”
“Bukannya abang tak berusaha. Abang dah usaha dengan tulang empat kerat dan cucuran keringat, Cah.”
“Tapi, mana hasilnya?” tanya Icah dengan dagu sedikit naik serta mata yang terbuka luas.
Punggung Ted tak sedap duduk. Bergesar-geser.
“Judi dalam talian, kan? Abang bekerja bukan untuk kami, tapi untuk abang sendiri. Ingat bang, beras di rumah ini usaha saya sendiri.”
Bingkas Ted keluar dari rumah.
Tangan Icah berhenti apabila anaknya memaut kaki sambil merengek. Cepat-cepat Icah tutup kulit popia dengan kain lembab, dia raih pula penutup bekas inti popia lalu ditutup dengan kejap. Kemudian duduklah bersandar ke dinding dengan berlunjur. Terasa lega kakinya.
Dari tadi dia membuat kerja sambil berdiri. Mejanya adalah permukaan almari yang tingginya bawah sedikit dari dada Icah. Ini supaya anak-anak tidak dapat mengacau. Ada kakak jiran menawarkan dia pekerjaan ini. Tempahan kakak itu agak banyak, tak cukup tangan dia membuatnya sendiri. Itulah yang ditekuninya sejak awal Ramadan lalu. Dapatlah dia menyediakan makanan yang agak ‘berjenis’ untuk dua orang anaknya.
Awalnya, dia mahu datang bekerja di rumah kakak tersebut, tapi tiada siapa pula yang akan menjaga anak di rumah. Suaminya ke laut. Kalau dibawa anak bersama, takut pula kalau berlari-lari lalu memijak dulang berisi ‘simpulan-simpulan kasih’ itu, mahu biru biji mata Icah nak membayar ganti rugi.
Diusap-usap kepala si anak yang sedang asyik menyusu. Rasanya dia sendiri sudah banyak benar menolong bagi meringankan ekonomi keluarga. Anak-anak diberi susu badan. Pelapik datang bulannya juga hanya daripada potongan kain batik dan sarung yang lama.
Ada juga dia menyimpan ‘Kotex’, tapi itu cuma digunakan kalau perlu. Ke klinik ataupun ke sekolah anak. Itu pun, bukan dibeli melainkan dia meminta daripada mahasiswa yang membuat kempen pemakaian pembalut di kawasan penduduk miskin, yang dia temui di pekan semasa pulang dari pemeriksaan rutin anak bongsunya ini di klinik.
“Kau betul tak mahu tinggalkan suami kau tu?” tanya salah seorang kawan rapat tempat dia sering minta tolong kalau dah terlalu terdesak.
“Aku kenangkan anak-anak. Kasihanlah kalau mereka tak ada ayah.”
“Jadi, suami kau tu ada manfaatnya kepada anak-anak?”
Icah tak dapat menjawab. Dia sendiri berusaha keras memutar ingatan apa kebaikan yang suaminya berikan sebagai ayah kepada anak-anak. Menengking? Tak boleh didekati?
“Ataupun kau yang tak sanggup berpisah, takut tiada teman tidur!”
“Kau tu anak dara tua, kau tak faham perasaan aku!”
Itulah perbualan mereka yang terakhir. Sebulan lalu. Itulah sebabnya dia perlu mencari duit sendiri, masakan sudah menyumpah begitu, mahu minta ‘kirim’ duit pula?
‘Berdosakah aku menengking suami atau ungkit tentang belanja rumah?’ fikir Icah sendiri sambil pandang kepada anak yang mulai hanyut menuju lena.
‘Tapi, kalau aku diam saja, pendam punya pendam takut aku pula akan kemurungan. Macam mana kalau kemurungan itu sampai mencederakan anak-anak?’
Dada Icah jadi mampat dan dia menangis. “Tuhan, tolonglah aku!”
ii
“Itulah, ketika saya tak mahu menerima cinta awak, awak berkecil hati. Awak kata saya ni mata duitan. Padahal saya cuma mahu habiskan belajar, ada kerja yang baik dan membantu orang tua,” ungkit Icah pada suatu hari.
Mereka menikah semasa belajar, selepas ibu Ted datang merayu-rayu supaya Icah menerima anaknya. Kemudian Icah juga yang bersungguh-sungguh memujuk orang tuanya agar tidak meminta wang hantaran. Belum pun mereka habis belajar, ayah Ted meninggal dunia. Ted yang merupakan satu-satunya anak lelaki, mahu pulang menjaga ibu.
Icah mohon dibenarkan menghabiskan kuliah, namun Ted mengungkapkan kata ‘keramat’, iaitu ‘tempat isteri adalah di sisi suami.’ Semasa Icah berpantang anak pertama, ibu Ted pula meninggalkan dunia yang serba sempit ini. Sebagai anak lelaki yang dimanjakan ibu, fikiran Ted tidak terlalu panjang dalam usaha mencari rezeki.
Selepas terjebak dengan judi dalam talian dengan hasrat untuk menggandakan wang, tiada lagi harapan dia untuk keluar dari jurang tahi judi. Kalau Ted pulang tiada membawa wang, biasanya Icah tidak merungut. Icah diam saja walaupun Ted kerap mendengar isterinya ini menangis semasa menyusukan anak, di tengah malam yang sunyi.
Ada suatu kejadian, sepulang dari kerjanya sebagai pemandu bot kepada tauke ikan Haji Ludin, badannya penat dan wangnya sudah habis dipertaruhkan. Anaknya datang mendekat mahu bermanja. Dengan tanpa sedar, Ted menolak anak itu sehingga terlentang. Mujur saja Icah pantas menadah tapak tangan menyambut kepala anak itu daripada menghentam lantai.
Ibu muda ini menjadi berang-seberangnya, dia menerkam si suami dan memukul semahu-mahunya. Ted dapat meloloskan diri, keluar dari rumah dengan hidung berdarah dan badan lebam-lebam.
Sejak hari itu, Ted tak pernah kisah apabila Icah marah-marah ataupun mengungkit hal kewangan keluarga.
“Kalau aku beri pinjam, bagaimana kau mahu membayarnya?” tanya Haji Ludin.
“Seperti biasalah, Pak Haji.”
“Tolak gaji? Hutang yang sekarang saja belum lunas. Berapa pula yang dapat kau bawa pulang ke rumah nanti?”
Ted melepaskan keluhan sambil kaki kirinya memusar pasir dengan hujung jari-jemari.
“Suami itu bertanggung jawab mencari nafkah, bukannya membuang nafkah. Kalau kau perlu kerja di Singapura buat mencari nafkah, kau perlu pergi ke sana. Kalau kau perlu pulang hanya sekali sebulan, kau patut lakukannya. Demi memberi nafkah kepada keluarga.”
Ted menundukkan kepala, namun wajahnya menunjukkan kebosanan yang sangat.
“Asalkan kau mahu meninggalkan judi, aku sanggup menolong.”
Ted hanya gerak-gerakkan anak mata. Dia berpusing lalu pergi. Tergamam si majikan ini, padahal masih banyak nasihat yang mahu diberikan kepada Ted.
Duduklah Ted di tunggul kayu di tepi pantai. Berfikir, di mana dan bagaimana caranya dia mahu mencari modal buat berjudi?