Skip to content
Ganjaran
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Ganjaran
Ganjaran
Cerpen

Ganjaran

  • Intan Zubaidah
  • 7 September 2026
  • DBP Cawangan Sarawak
  • 11

MAIRA keluar rumah seawal pagi untuk mencari kerja. Dia berjalan dari satu blok bangunan ke blok bangunan yang lain dan berhasrat untuk mendapatkan apa-apa sahaja pekerjaan yang ada. Sambil-sambil mencari kerja, dia mengincar kebaikan yang boleh dilakukan. Niatnya adalah untuk menuntut nasi ayam percuma yang dijanjikan.
Kedai Nasi Ayam Sehati baru dibuka, tular kerana promosinya yang luar biasa. Sesiapa pun boleh menuntut nasi ayam percuma setiap hari selama sebulan, dengan syarat penuntut haruslah menyatakan apa-apa sahaja perkara baik yang telah dia lakukan hari ini.

Promosi itu menarik minat penduduk bandar terutamanya anak-anak muda seperti Maira. Keperluan yang semakin meningkat, membuatkan mereka buas mengejar apa-apa sahaja yang memiliki potongan harga. Inikan pula sesuatu yang percuma.

Sejak iklan itu tersebar luas, penduduk bandar giat turun ke jalan untuk mencari apa-apa sahaja yang boleh membantu. Semua orang tajam memerhatikan kawasan sekeliling. Pantang ada kesempatan, mereka akan berlumba-lumba menghulurkan bantuan.

Maira tiba di hadapan kedai. Wajahnya pucat akibat lelah. Perutnya berkeroncong, mendendangkan kekosongan. Dompetnya tipis sejak memegang jawatan sebagai penganggur setelah tamat pengajian beberapa bulan lalu.
Pintu tembus pandang, dia tolak. Bau nasi ayam langsung menyerbu deria hidu. Perut bukan lagi berkeroncong tapi sudah berkonsert.

“Selamat datang! Boleh saya dapatkan pesanan cik?” sapa pelayan dengan senyuman.

“Nasi ayam percuma.” Jawab Maira agak lemah.

“Oh, set nasi ayam percuma? Baik!” sahut pelayan, tenang.

Pelayan bergincu merah cili itu meletakkan sebuah mesin pengimbas kecil di hadapan Maira. Maira diarahkan untuk meletakkan ibu jarinya ke bahagian berlampu merah. Lampu pada pengimbas berubah menjadi warna kuning.
Paparan yang bersambung pada mesin pengimbas mengeluarkan satu rakaman video. Maira tercengang. Tarikh dan masa turut dinyatakan di sudut kanan bawah paparan. Dia melihat dirinya sendiri di dalam rakaman itu.

Jam 2.17 petang:
Semasa hendak melintas untuk pergi ke bangunan di seberang jalan, Maira ternampak satu botol kosong tergeletak di tengah jalan. Fikirnya, tidakkah bahaya sekiranya penunggang motorsikal terlanggar botol itu? Biarpun bentuknya kecil, ia mungkin sahaja akan membawa bahaya besar.

“Hish, siapalah yang buang sampah merata tempat ni? Tong sampah kan ada banyak, nak juga buang di tengah jalan. Menyusahkan orang betul!” bebel Maira seraya mengambil botol itu sebelum membuangnya ke tong sampah di seberang jalan.

Rakaman video yang dipaparkan melalui ingatan itu berhenti tepat di saat satu bunyi denting kecil terdengar. Kebaikan disahkan, terpapar di layar. Lampu kuning kembali menjadi warna merah. Pelayan bergincu merah cili menarik mesin pengimbas lantas menyiapkan pesanan.

Mata Maira berbinar penuh harapan. Bau nasi ayam semakin dekat. Tangannya mulai bergetar sewaktu pelayan bergincu merah cili memalingkan badan ke arahnya. Sepinggan hidangan beralas talam cokelat gelap, diberikan kepadanya.

Raut Maira sedikit bingung. Muka pinggan ditatapnya lama. Nasi ayam yang diidam-idam, tidak seperti bayangan. Isi pinggan tidak lengkap seperti gambar nasi ayam yang dipaparkan di layar menu mahupun pada poster iklan.

“Hidangan ditentukan berdasarkan tahap kebaikan.” Jelas pelayan seolah-olah mendengar isi fikiran Maira.

Maira hanya mampu mengangguk tanda faham.

“Selamat menjamu selera!” ucap pelayan bergincu merah cili, meminta Maira beralih dengan kata-kata halus.

Mahu tidak mahu, terpaksalah Maira beredar. Dia lantas berjalan di antara meja dan melihat hidangan nasi ayam pelanggan yang lain. Ternyata, hidangan yang diberikan tidak sama. Ada yang mendapat nasi, salad dan sup. Ada pula yang mendapat nasi berlauk ayam dan salad tetapi tanpa sup. Ada juga yang lengkap mendapat nasi, ayam, salad dan sup. Sedangkan Maira, mendapat nasi, salad dan sup.

“Mungkin sebab kebaikan aku kecil sahaja…” tekanya.

Keesokan harinya, Maira hadir lagi ke Kedai Nasi Ayam Sehati. Hari ini dia datang pada jam pulang kerja. Satu barisan panjang menjalar menyambutnya dari luar muka pintu. Selepas lebih setengah jam berdiri penuh kesabaran, Maira sampai di hadapan kaunter. Seorang pelayan lelaki bercermin mata bulat, menyapa Maira. Soalan lazim seorang pelayan restoran, keluar ramah dari mulut pelayan bercermin mata bulat itu.

“Boleh saya dapatkan pesanan cik?”

“Nasi ayam percuma.”

Pelayan bercermin mata bulat tersenyum tipis. Mesin pengimbas yang mampu menayangkan memori pelanggan melalui cap jari, ditempatkan tepat di depan Maira. Lampu merah pada tempat cap jari, menyala seakan-akan memberi arahan kepada Maira.

Sebaik Maira meletakkan ibu jari kanannya di situ, layar pengimbasan berproses. Tepat di saat lampu pengimbas bertukar kuning, memori Maira pun terpapar pada layar.

Maira keluar dari rumah sejak jam 9.00 pagi. Dia berjalan ke hulu dan ke hilir untuk mencari kebaikan yang lebih besar yang boleh dilakukan. Dia berhasrat untuk mendapatkan hidangan nasi ayam lengkap hari ini. Berjam-jam dia berjalan tetapi belum mampu berbuat apa-apa.

Bukan tidak ada kebaikan yang boleh dibuat namun kerana semua orang berlumba-lumba untuk berbuat kebaikan hingga dia tidak sempat untuk merebut sebarang kebaikan itu. Langkah Maira semakin longlai. Ternyata, berbuat kebaikan tidak seringan yang dijangka.

Jam 3.48 petang:

Pung! Satu suara dentuman terdengar deras dari arah belakang.

“Aduh!” Rintih seseorang, kesakitan.

Maira menoleh ke arah suara.

Seorang pemuda berbeg sandang hitam, jatuh terduduk betul-betul di tepi tiang. Pemuda itu meraba-raba mencari tongkat putih yang sebenarnya berada hanya beberapa jengkal dari tubuhnya.

Mata Maira bulat. Senyumnya merekah umpama bunga mawar yang merah mekar. Inilah kebaikan yang dia cari sejak tadi. Sepantas kilat Maira berlari ke arah pemuda buta itu. Dia membantu pemuda itu berdiri perlahan-lahan. Tongkat putih yang tergeletak di atas lantai, Maira ambil dan serahkan semula kepada pemuda itu.

“Terima kasih.”

“Awak nak pergi mana? Saya boleh tolong tunjukkan jalan.”

“Saya nak ke perpustakaan dekat hujung simpang sana. Cik jangan risau, saya dah biasa di sini. Saya boleh jalan sendiri. Saya mengelamun tadi sebab tu terlanggar tiang tu.”

“Tak apa. Saya pun nak ke arah yang sama. Jomlah!”

Biarpun pemuda buta itu sudah menolak, Maira tetap ingin membantu. Demi berbuat kebaikan. Dia lantas menarik tongkat putih pemuda buta itu dan menuntun jalannya. Dia melangkah dengan sangat berhati-hati untuk memastikan pemuda itu sampai dengan selamat.

Bunyi dentingan mesin pengimbas, bergema perlahan. Kalimat kebaikan disahkan tertera pada layar. Maira dan pelayan bercermin mata bulat saling berbalas senyum. Sepinggan nasi ayam percuma, diberikan sebagai ganjaran.

“Apa ni?” Pertikai Maira saat melihat nasinya Cuma berlauk semangkuk kecil sup kosong.

Pelayan bercermin mata bulat membalas dengan senyum tanda sebarang bantahan tidak akan dilayan. Ekor matanya pula mengajak Maira untuk menoleh ke belakang yakni ke barisan panjang yang sedang menunggu giliran.

Terpaksalah Maira beransur. Dahinya berkerut umpama kain tidak berseterika. Sungguh dia tidak habis fikir, kenapa hidangannya bukan bertambah namun berkurang?

“Entah-entah, esok aku Cuma boleh dapat nasi saja! Jangan-jangan promosi ni semua cuma penipuan! Hish, nasib baik aku lapar. Jikalau tidak, tak kuasa aku nak makan nasi lauk sup kosong ni!” bebel Maira seraya terus-menerus menyuap nasi ke mulut.

Hari yang kurang beruntung itu pun berlalu pantas. Pagi yang cerah menyapa Maira. Cerahnya bagai ingin menyulut semangat untuk gadis itu memulakan hari. Maira keluar rumah hari itu tanpa arah yang jelas. Hendak mencari kerja, dia bingung mahu ke arah mana lagi? Hendak berbuat kebaikan, dia ragu akan kebenaran promosi kedai nasi ayam itu. hendak diturut hati kesal, kebuluran pula nanti.

Dia pun berjalan selagi kakinya mampu berjalan. Begitu ramai orang terlihat membuat kebaikan. Soalnya, kenapa dia tidak pernah tahu tentang hal itu selama ini? Hiruk-pikuk bandar menutup matanya dari melihat semua kebaikan yang ada. Hanya ketakutan, kegelapan serta kekacauan jiwa manusia yang selalu terlintas setiap kali turun ke jalan seperti ini.

“Kakak! Kakak!” Panggil satu suara.

Maira menoleh ke arah suara. Seorang budak lelaki berbaju kuning lusuh, berseluar pendek hitam dan berkasut sebelah putih sebelah biru, memandang sayu ke arahnya.

Maira menghela nafas panjang. Biarpun budak itu belum berkata apa-apa, dia sudah menyelok-nyelok poket seluar yang dia tahu tidak berisi apa-apa.

“Buka,” pinta budak itu lalu menghulurkan sebungkus snek ikan kecil berwarna merah.

Satu lagi nafas Maira hembus kasar. Nampaknya, dia sudah salah faham. Bungkus snek ikan yang renyok dan sedikit melekit itu pun diambil. Dalam hitungan saat bungkus snek ikan itu berjaya dibuka. Maira pun menyerahkannya semula.

“Terima kasih, kakak…” ucap budak itu lalu berlari begitu sahaja.

Bayang budak lelaki itu hilang begitu pantas. Bunyi gesekan tapak kasutnya membuat Maira sedar kembali.

Matahari sudah condong ke arah barat. Langkah kaki sudah semakin berat. Bekalan tenaga dalam tubuh kian sekarat. Isi dompet pula tidak bersahabat.

“Laparnya… Tak ada pilihan lain…” keluh Maira sambil menggenggam hujung bajunya untuk meredakan pedih di perut.

Suasana lengang menyambut Maira di Kedai Nasi Ayam Sehati. Berbekal kebaikan membantu seorang budak membuka bungkus snek ikan, Maira masuk ke kedai dengan wajah pucat. Saat berjalan ke kaunter, dia melihat budak lelaki berkasut sebelah putih sebelah biru, sedang menghadap pelayan berambut kerinting.

Sama seperti penuntut nasi ayam percuma yang lain, pelayan berambut kerinting meminta budak lelaki berkasut sebelah putih sebelah biru untuk meletakkan ibu jarinya pada mesin pengimbas. Dalam beberapa detik, memori budak lelaki itu muncul di layar.

Budak lelaki berkasut sebelah putih sebelah biru itu kelihatan telah memberi seekor kucing makan. Dari pengamatan Maira, makanan yang disuapkan itu ialah snek ikan yang dia buka tadi.

“Tettt! Kebaikan tidak disahkan.” Terpapar di layar.

“Kenapa?” tanya budak lelaki itu, kecewa.

Pelayan berambut kerinting tersenyum hiba. Sementara ibu jari budak itu masih menempel pada mesin pengimbas, memorinya masih dapat diakses.

Ketika dia sedang duduk-duduk di tepi jalan sambil bermain dengan kucing, Maira datang dari arah seberang jalan. Maira berlari begitu laju dan tanpa sedar sebungkus snek ikan telah terjatuh dari zip beg galasnya yang setengah terbuka. Budak itu berlari sepantas kilat menyambar snek ikan itu di belakang Maira.

“Adik, mengambil sesuatu tanpa izin adalah satu kesalahan walaupun adik ambil untuk tujuan yang baik. Maaf, abang tak boleh bagi nasi ayam percuma kepada orang yang melakukan kebaikan dengan menzalimi orang lain…” jelas ppelayan itu, lemah-lembut.

“Tapi saya tak mencuri. Kakak tu sendiri yang bukakan snek ikan tu untuk saya…” bidas budak berkasut sebelah putih sebelah biru itu, membela diri.

Maira mematung. Dia benar-benar tidak sedar akan semua yang terjadi. Dia sendiri pun sudah lupa akan kewujudan snek ikan itu di dalam beg galasnya. Hatinya tersentuh. Seandainya saja budak lelaki itu jujur sejak awal, dia pasti akan memberikan snek ikan itu dengan rela hingga kebaikannya tidak ditolak.

“Adik mungkin boleh tipu saya tapi adik tak boleh tipu diri adik sendiri. Mesin pengimbas ni beri jawapan dari kejujuran hati adik…” terang pelayan berambut kerinting dengan senyuman.

Budak lelaki itu tertunduk kecewa. Riak sesal terpampang di wajah polosnya.

“Encik, saya nak bagi nasi ayam percuma saya pada adik ni!” beritahu Maira, pantas menerjah ke depan kaunter.

Satu tatapan penuh pengharapan Maira panahkan tepat ke anak mata pelayan itu. entah dari mana keyakinan itu datang, dia pun tidak tahu. Bagaimana jika kebaikannya juga tidak disahkan? Lebih baik mencuba daripada menyerah tanpa usaha.

Prosedur mengimbas kebaikan pun dilakukan. Degupan jantung Maira begitu laju seakan-akan mampu memacu dentingan mesin pengimbas. Pun begitu, layar mesin itu malah memberi riaksi aneh. Ia tidak memutarkan memori kebaikan yang Maira lakukan tetapi menunjukkan wajahnya dan wajah budak lelaki berkasut sebelah putih sebelah biru. Layar pengimbas seolah-olah terlekat dan tidak bergerak ke rakaman yang lain.

“Ting! Kebaikan disahkan!” Respon mesin pengimbas itu, tiba-tiba.

Tanpa basa-basi, pelayan pun menyerahkan ganjaran yang dijanjikan kepada Maira. Alangkah terkejutnya Maira tatkala melihat sepinggan nasi ayam lengkap dengan nasi, ayam, salad dan sup , diletakkan di hadapannya. Hidangan itu cukup menggugah seleranya tetapi janji tetap harus ditepati.

“Ini untuk adik…” kata Maira sambil menyerahkan pinggan penuh itu kepada budak lelaki berkasut sebelah putih sebelah biru.

Tiba-tiba, mesin pengimbas berdenting sekali lagi. Mereka semua terkejut dan kebingungan. Pelayan pin berlari ke belakang untuk mendapatkan penjelasan.

Tidak lama kemudian, pelayan itu keluar dan membawa sepinggan lagi nasi ayam. Hidangan kali ini malah lebih istimewa kerana menggunakan ayam yang lebih besar serta dihidangkan bersama secawan minuman.

“Ini istimewa untuk Cik Humaira.” Kata pelayan sambil menyerahkan hidangan itu kepada Maira.

“Betul ke ni, encik?” soal Maira, tidak percaya.

“Hidangan istimewa ini untuk orang-orang yang berhati tulus seperti Cik Humaira. Kebaikan tidak semata-mata tentang berbuat baik tetapi tentang berbuat baik dengan niat yang baik bukan untuk mengejar ganjaran. Semua kebaikan pasti akan dibalas dengan kebaikan tanpa kita minta. Selamat menjamu selera!” kata pelayan dalam senyuman.

Maira menerima hidangan itu dengan senyum yang paling lebar yang boleh dia ukirkan. Dia menikmati hidangan itu dengan penuh syukur. Semua prasangka sudah terjawab. Kebaikannya beberapa hari sebelum ini bukan tidak dihargai namun harga ikhlas terlalu mahal untuk dia tebus tanpa ada rasa tulus di hatinya.

# cerpen# dbpcawangansarawak
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (14) #cerpenkehidupan (8) #dbpselatan (17) #karyasastera (30) #kedah (4) #komsas (3) #penulis (9) #penulisbaharu (34) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (24) #sasteramelayu (10) #sasteramoden (4) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (16) abuyon (4) adie abd gani (5) anak (3) bahasa (3) cerpen (16) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (29) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (6) Esei (5) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (14) puisi (34) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (13) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Semalaman
Puisi

Semalaman

  • 5 Mei 2026
  • 342
  • 4.6
Puisi

Selamat Malam Cinta Pertama

  • 6 Mac 2024
  • 251
  • 4.7
Laras Bahasa Sains dalam Habuk Bintang
Bicara Sastera

Laras Bahasa Sains dalam Habuk Bintang

  • 20 Februari 2025
  • 498
  • 5
ممڬڠ امانه
Puisi Moden

ممڬڠ امانه

  • 20 Januari 2024
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP