KATA kera sumbang memang tidak asing bagi Ashel. Ke mana pun dia pergi, dia akan dinilai sebegitu. Dia pun tidak pernah membela diri kerana sedar bahawa bidalan itu tidak salah. Dia memang tidak suka berada di tengah-tengah keramaian.
Demi memenuhi sebuah jemputan, dia terpaksa melakukan hal yang paling ingin dia hindari. Jemputan yang pastinya juga penting untuk masa depannya sendiri. Sebuah majlis makan malam yang diadakan hanya setahun sekali.
Sebelum duduk, Ashel sempat memberi satu senyuman kepada rakan-rakan semejanya. Senyum salam sejahtera yang sedikit canggung. Namun sebaik duduk, dia terus tunduk dan merenung apa sahaja yang terpapar di layar telefon pintarnya.
10 minit pertama, semua terasa biasa. Masuk 20 minit, perasaan tidak selesa mula membelenggu. Ketika masuk minit ke 30, lehernya lenguh-lenguh. Biarpun dia berusaha untuk bersabar tetapi para tulang-belulang tidak lagi mampu bertahan.
Ashel pun menegakkan kepalanya. Dia meliarkan matanya tanpa arah yang jelas. Asalkan bukan ke mana-mana mata makhluk bernyawa. Tetamu yang terdiri daripada penulis-penulis terbaik di negeri ini, sudah memenuhi semua meja.
Di celah keramaian, mata Ashel tidak sengaja menangkap senyuman dari seorang lelaki yang duduk selang satu meja di kirinya. Wajah lelaki itu sering menghiasi akhbar-akhbar tempatan. Lelaki lewat 50-an dan bermisai tipis itu sangat disegani kerana telah banyak menghasilkan karya-karya bermutu. Bukan sekadar bijak mengarang, beliau juga terlibat secara langsung dalam menggilap bakat penulis-penulis baharu.
Karya-karya para penulis ini akan dia ulas melalui esei kritikan bagi tujuan bimbingan. Dengan cara itu, para penulis baharu akan mengetahui kekurangan pada karya mereka lantas belajar untuk memperbaikinya. Salah seorang daripadanya ialah Ashel. Antara pendatang baharu yang pernah menghadiri bengkel penulisan yang dia bimbing secara maya.
“Budak ni dapat hadiah apa sampai penganjur jemput dia datang? Menulis pun banyak typo. Layak ke? Baik banyak-banyakan membaca dulu,” pertikai suara hati lelaki itu, sinis.
Cepat-cepat Ashel mengalihkan pandangannya kembali ke layar telefon pintarnya. Perkara yang paling dia takuti akhirnya terjadi juga. Inilah alasan kenapa dia tidak pernah suka berada di tengah keramaian.
Tidak siapa pun akan faham.
Dia bukan tidak suka bergaul dengan orang sekeliling tetapi setiap kali dia bertatapan secara langsung dengan seseorang, suara yang bermain di fikiran orang itu akan dia dengar seumpama telepati.
Benar, ia sangat tidak masuk akal. Entah siapalah yang mahu percaya. Walaupun istilah telepati itu wujud tetapi belum ada kajian yang berjaya membuktikan bahawa ia adalah nyata. Jadi, pernyataan apa yang boleh dia gunakan untuk membuat penjelasan akan suara-suara yang dia dengar itu.
“Saya tak tahu, cikgu,” desis hati Ashel, tersinggung.
Sejujurnya, dia sendiri pun tidak pasti adakah dia layak untuk berada di situ malam itu? Dia hanyalah seorang pendatang baharu tanpa latar belakang sastera. Selama ini dia hanya menulis berdasarkan pemerhatian dan pembacaan semata-mata. Dia tahu bahawa masih ramai penulis lain yang jauh lebih berpengalaman dan berkemahiran daripadanya.
“Aku nak balik. Aku tak ada pun, majlis ni masih boleh jalan, kan?” bisik hati Ashel sambil menjeling ke arah pintu keluar, tanda takut.
Selepas setengah jam berlalu tanpa manfaat, majlis makan malam itu pun dimulai. Bermula dari bacaan doa, persembahan syair, ucapan pengarah penganjur hingga ke ucapan perasmian dari Yang Berhormat berjalan lancar. Anehnya, Ashel langsung tidak mahu menoleh ke pentas utama.
Dia sampai sebagai tetamu terakhir di meja bulat itu malam itu. Dia tidak punya pilihan lain kerana nombor meja bagi setiap tetamu sudah ditetapkan oleh pihak penganjur. Kedudukan terbaik untuk menghadap ke pentas telah diambil rakan semeja yang lain. Alhasil, dia duduk di kerusi yang paling tidak strategik kerana harus membalikkan badan untuk memandang ke arah pentas.
Jelas, dia tidak akan melakukannya. Dia risau jika dia memandang ke pentas lalu kembali menoleh ke arah meja, dia dan rakan-rakan semejanya akan saling bertatapan tanpa sengaja. Dia tidak sanggup mendengar apa yang dibisikkan mereka tentang dirinya seperti apa yang berlaku tadi.
Acara jamuan tiba. Pengacara majlis menjemput para tetamu untuk menikmati makan malam yang telah disediakan seraya kumpulan muzik membuat persembahan. Rakan-rakan semeja Ashel yang terdiri daripada penulis-penulis sebaya dengannya pun mulai menjemput sesama sendiri untuk makan.
Mahu tidak mahu, Ashel harus mematikan layar telefon pintarnya. Ya, dia memang tidak pandai bersosial tetapi dia tidaklah sesombong itu. Dia masih punya rasa hormat kepada orang sekeliling. Lagi pula, rugi jika menolak makanan hotel yang sedap-sedap.
Dia berusaha sedaya-upaya untuk tidak melakukan kontak mata. Kepalanya tidak dia tegakkan ke depan. Matanya lurus memandang pilihan makanan. Dia rela menunggu tempat makanan dipusing oleh orang lain untuk dia mengambil hidangan yang dia ingini daripada berinisiatif untuk mencapai hidangan yang jauh dari jangkauan tangannya. Makanlah dia dengan malu-malu.
“Puan Adzana?” Panggil satu suara, lembut.
Ashel menoleh ke kiri iaitu ke arah suara yang memanggil. Tatapan mata seorang wanita dengan baju kurung tema batik dan bertudung merah jambu, tertangkap tepat oleh lensa matanya.
“Inilah budak yang lambat bagi respon tu. Dahlah emel tak balas, mesej tak buka, telefon berkali-kali baru diangkat. Aku suruh baca dokumen yang aku e-melkan, dia baca muka surat satu saja. Borang kehadiran dalam muka surat kedua, boleh pula dia cakap tak perasan. Tak pasal-pasal aku lambat hantar senarai nama tetamu pada pihak hotel untuk sedia makanan…” bebel suara hati wanita itu di balik senyuman manisnya.
“Sekejap lagi kita akan mulakan majlis penyampaian. Minta puan bersedia, ya?” beritahu wanita itu, sopan.
Ternyata wanita yang menyapa adalah salah seorang pegawai penganjur. Dia ditugaskan untuk menghubungi serta menguruskan kehadiran para jemputan termasuklah Ashel.
“Maafkan saya, puan!” rintih hatinya dengan rasa bersalah.
Sejak menerima panggilan daripada pihak penganjur seminggu yang lalu, hati gadis berwajah Timur Tengah itu diselubung rasa gelisah. Padahal majlis makan malam itu diadakan adalah untuk menghargai bakat penulis-penulis muda sepertinya. Orang muda yang rancak meneroka dunia penulisan dengan kreativiti dan kesungguhan. Begitu banyak pertimbangan yang harus dia fikirkan sebelum sekadar berkata setuju. Bukan soal etika berpakaian, selera makan atau hal-hal teknikal yang lain tetapi majlis keramaian yang dipenuhi oleh orang ramai.
“Jikalau kau tak pergi tahun ni, tahun depan belum tentu dapat jemputan lagi.”
“Tapi nanti kau juga yang pening duduk kat tengah-tengah ramai orang!”
“Eh, bukan susah! Datang, makan, ambil hadiah, lepas tu balik!”
“Macam ni sajalah. Kau tengok cuaca. Jikalau hujan, tak payah pergi. Jikalau tak hujan, kau pergi.” Riuh benar suara hatinya berbalah.
Ajaibnya, di tengah-tengah musim tengkujuh, masih ada satu hari cerah yang terselit. Hari Selasa di minggu terakhir pada bulan kesepuluh tahun itu, cerah sejak pagi. Berpegang akan pertaruhannya sendiri, Ashel pun berangkat ke Hotel Hilton sebaik selesai menunaikan solat Maghrib.
Di sepanjang perjalanan, tubuh penulis genre cerpen itu kaku persis patung kucing di tengah bandar Kuching. Dia duduk tegak di bahagian kerusi penumpang teksi atas talian yang dinaikinya. Di balik wajah gugupnya, dia sedang berdoa agar makan malam itu berjalan lancar dan tidak ada apa-apa perkara buruk atau memalukan yang akan terjadi.
Ashel cuba menutupi perasaannya itu dengan senyuman palsu. Ketakutan itu semakin mengganggu. Interaksi dengan rakan semeja, membuat celaru. Reaksi orang sekeliling langsung tidak membantu. Setelah ini, pentas utama pula akan menunggu. Entah apalah yang mungkin akan berlaku?
“Majlis akan diteruskan dengan penyampaian anugerah dan hadiah kepada para penerima,” umum pengacara majlis penuh protokol.
Tak semena-mena makanan yang sudah selamat sampai ke dalam perut, mengimbas kembali suasana di dalam kuali. Terasa seperti meletup-letup kepanasan. Diiringi pula oleh detak jantung yang tak mahu dibawa berbincang. Tangannya yang dingin seperti kekurangan darah adalah petanda gemuruhnya.
“Penerima Anugerah Penulis Muda Sarawak Kategori Cerpen yang seterusnya, kita jemput, Puan Adzana Shaliha!” panggil pengacara majlis.
Dengan tubuh menggigil, Ashel berjalan menaiki pentas dari laluan kiri. Yang Berhormat yang diiringi oleh pengarah penganjur menyambut dengan senyuman. Sijil pengiktirafan yang dikemas rapi di dalam bingkai, diserahkan kepada gadis berwajah Timur Tengah itu sebagai simbolik penghargaan.
Ketika dia diminta untuk memusingkan badan ke arah penonton atau lebih tepatnya ke kamera, dia seakan-akan mahu gila. Dia melihat semua mata sedang tertuju ke arahnya dan dia cukup terseksa. Suara-suara itu meracau di kepala.
“Penulis setahun jagung!”
“Penulis kera sumbang!”
“Penulis syok sendiri!”
“Jangan tengok aku! Jangan tengok aku! Cepatlah ambil gambar tu! Aku nak turun!” jerit hati Ashel dari kubu perasaan resah.
“Tahniah!” ucap Yang Berhormat seraya memanahkan anak matanya tepat ke bola mata Ashel.
“Cepatlah turun supaya boleh panggil penerima yang lain pula! Penat berdiri lama-lama ni, tau?” rungut Yang Berhormat di dalam hati.
“Terima kasih, tuan!” sahut Ashel lantas turun dari pentas.
Niat hati Ashel untuk cepat-cepat kembali ke tempat duduk, tertunda sesaat. Sewaktu berjalan di laluan kanan pentas, dia perlu melewati ahli-ahli kumpulan muzik yang membuat persembahan pada malam itu. Tanpa sengaja, Ashel bertatapan mata dengan pemain gitar kumpulan muzik itu pula.
“Max?” getus hati Ashel seakan-akan tidak percaya.
Pemain gitar berpakaian kemas serba hitam itu cukup dia kenal. Seandainya sahaja dia mahu menoleh ke pentas utama sejak tadi, tentu dia akan mengetahui kehadiran Max dari awal. Siapa tahu pertemuan malam itu akan mengeratkan semula hubungan yang sempat putus sebelum ini? Jika tidak pun, sekurang-kurangnya dia dapat mengubat rasa rindu yang tersimpan dengan menikmati persembahan Max sepenuh hati.
“Puan? Cepat awak dapat pengganti saya, ya? Tak apalah, saya harap awak bahagia,” kata Max, sedih lagi berat hati.
Ashel menarik satu nafas panjang. Dengan rasa kecewa, dia meneruskan niatnya untuk kembali ke meja sambil mengeluh di dalam hati, “rezeki tak pernah salah alamat tapi calon jodoh aku selalu salah maklumat.”
Pada mulanya, Ashel juga tidak selesa dengan gelaran puan. Setahunya, gelaran itu dikhususkan untuk perempuan-perempuan yang sudah bersuami sahaja. Pun begitu, sejak berkecimpung dalam dunia penulisan, pengetahuan amnya juga ikut bertambah. Ternyata panggilan puan adalah gelaran tertinggi buat para wanita dalam urusan formal. Lama-lama, dia ikut lali dipanggil puan tanpa ditapis status perkahwinannya terlebih dahulu. Mana mungkin mendapat gelaran puan selagi Max masih menetap di hatinya. Biarpun sudah berbulan-bulan tidak bertemu, perasaannya belum padam. Namun sikap tidak berani untuk memulakan dahulu, membuat Ashel diam tanpa khabar berita. Padahal kenangan-kenangan bersama selalu terimbas di benak fikirannya.
“Saya tahu yang saya ni banyak kekurangan sebab tu awak nak cari yang lebih baik daripada saya, kan?” pertikai Ashel, menjadi puncak pertengkaran.
“Saya tak pernah fikir macam tu!” bantah Max agak emosi.
Ashel memalingkan wajahnya tanda tidak percaya.
“Tolonglah! Saya minta tolong sangat-sangat!?” rayu Max, bersungguh-sungguh.
Ashel menoleh lalu terperangkap di dalam tatapan mata Max yang berbinar.
“Stop overthinking!” pesan Max yang selalu terngiang-ngiang.
Fikiran gadis itu tiba-tiba kosong. Sijil pengiktirafan yang dihadiahkan ditenungnya lama. Bukankah ini semua adalah hasil usaha kerasnya selama ini? Mengapa dia menidakkan semua itu dan hanyut dalam rasa tidak percaya diri?
“Oi, kau patut bangga dengan pencapaian kau! Bukannya peduli dengan apa yang orang lain fikirkan tentang kau!” marahnya kepada dirinya sendiri.
Umpama ditampar oleh kenyataan, Ashel mulai tersedar. Dia bagaikan terjaga dari mimpi yang dia sutradarai sendiri. Jiwanya mulai menapak ke bumi yang nyata setelah mengawang-ngawang tanpa arah.
“Allahumma inni as aluka nafsan bika muthma innah, tu’minu biliqa ika wa tardha bi qadha ika wataqna’u bi ‘atha ika. Ya Allah, aku memohon kepada-Mu jiwa berasa tenang kepada-Mu, yang yakin akan bertemu dengan-Mu, yang ridha dengan kecukupan-Mu, dan yang berasa cukup dengan pemberian-Mu…” pinta hati Ashel mengambil doa dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Thabrani.
Untuk pertama kalinya, Ashel meluruskan lehernya serta memalingkan wajah ke arah rakan-rakan semeja. Setiap mata yang memandang, dia balas dengan tatapan yang tidak lagi takut. Perlahan-lahan, satu demi satu suara yang dia anggap dia dengar dari fikiran orang lain, lenyap begitu sahaja. Cukuplah berfikiran negatif. Dia hanya terlalu bimbang akan pandangan orang terhadapnya.
“Tahniah!” ucap rakan-rakan semejanya, ramah.
“Terima kasih” sahut Ashel sambil tersenyum tenang.