Skip to content
Jeritan Membelah Deru Hujan
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Jeritan Membelah Deru Hujan
Jeritan Membelah Deru Hujan
Cerpen

Jeritan Membelah Deru Hujan

  • ZAIDIN ABADI
  • 5 Mei 2026
  • DBP Wilayah Utara
  • 146
  • 5

AIR sungai sudah melimpah, sedang hujan masih lebat mencurah, tiada tanda-tanda akan reda dalam masa yang singkat. Pandangannya tertumpu pada air yang semakin deras menghampiri dapur rumahnya lebih kurang tiga meter dari tebing sungai. Air mungkin akan memenuhi belakang rumahnya tidak berapa lama lagi. Kawasan di situ lebih rendah daripada kawasan hadapan, menghadap ke jalan.

Pak Abu sudah tidak kelihatan. Sebentar tadi jirannya itu masih berada di luar rumah, memerhati keadaan air di tebing sungai.

“Air sungai makin deras  ni!” ujar Pak Abu semasa meninjau-ninjau keadaan di bahagian belakang rumahnya, seakan memberi isyarat banjir akan melanda. “Selalunya tak macam ni,” sambung Pak Abu lagi.

Ripin hanya mengangguk, sememangnya air dari arah sungai itu semakin melimpah dan akan melanda rumah mereka. Hanya rumah mereka berdua sahaja yang ada di situ, di atas tanah rezab Sungai Sedim tidak jauh dari lombong pasir sungai yang beroperasi lebih 10 tahun yang lalu.

Hujan masih bersuara garang, menimpa bumbung rumahnya yang beratap zink. Dia sendiri tidak dapat mendengar suaranya sendiri, juga suara Imah, isterinya yang sibuk bersiap-siap di dapur. Apatah lagi suara ibunya yang sejak lima tahun lalu hanya terkedang di atas katil di dalam bilik.

Sejak ibunya ditimpa kemalangan enam tahun yang lalu, dia tidak pernah abaikan tanggung jawabnya. Apatah lagi setahun selepas itu, apabila keadaan ibunya sudah menjadi seperti al-Quran buruk, dia terus berkhidmat menjaganya sepenuh masa. Dia terpaksa berhenti kerja di kilang getah milik taukeh Ah Leng di Labu Besar. Tetapi Imah masih terus bekerja menjadi pembantu TASKA di kampung mereka.

“Biarlah abang saja yang berhenti kerja. Abang mahu jaga emak sepenuh masa. Emak sudah terlalu uzur, dah tak boleh nak urus dirinya sendiri lagi.”

Dia akhirnya terpaksa membuat keputusan walaupun dia tahu berhenti kerja bererti hilanglah punca pendapatan untuk keluarganya.

Hujan sebegini sudah berlarutan hampir empat hari, berselang-seli. Setiap kali hujan turun, lebatnya luar biasa dan sehingga beberapa jam lamanya. Seperti hari ini juga, hujan sudah mula lebat sejak selepas zohor. Kini maghrib sudah hampir habis, masih belum berhenti lagi, sekejap lebat sekejap reda. Tapi rintiknya tidak henti-henti jua.  

Dia kembali ke pintu hadapan, matanya terarah ke jalan mini tar. Jalan sempit itulah satu-satunya jalan perhubungan antara rumahnya dan rumah Pak Abu dengan kawasan luar, lebih kurang 200 meter jaraknya. Kawasan sekeliling adalah kebuh getah milik Tuk Penghulu.

Jika banjir juga, dia tidak tahu ke mana dia harus pergi. Bagaimana mahu mengusung emaknya yang sudah tidak boleh bergerak lagi itu. Dan bagaimana pula dengan sedikit sebanyak harta benda di dalam rumahnya mahu diselamatkan. Bibirnya terus terkumat-kamit, memohon ihsan belas Allah supaya menghindarkan dia dan keluarganya daripada segala petaka.

“Abang! Mari makan!” Dia terdengar suara isterinya memanggil dari arah dapur. Sekilas dia menjeling jam di dinding. Sudah pukul 8.45 malam. Pandangannya masih ke arah jalan tar mini yang lencun dicurah hujan. Perlahan-lahan dia menutup pintu dan beredar ke dapur.

“Biar abang suapkan emak dulu,” katanya kepada Imah sambil mengambil sebuah pinggan dan mengisi sesenduk nasi dan sedikit lauk. “Imah makanlah dulu.”

Begitulah kelazimannya. Ripin akan mendahulukan emaknya. Dia akan menyuap emaknya sebelum dia sendiri makan. Kadang-kadang Imah pun akan tunggu sehingga dia selesai uruskan emaknya, barulah mereka makan bersama-sama.

Dalam suasana hujan yang lebat mencurah malam itu, Ripin menyuap emaknya seperti biasa, sambil mengajak emaknya berbual-bual setakat yang terdaya oleh emaknya. Mak Leha ternyata kurang berminat untuk berbual seperti biasa. Dia seakan-akan resah dan gelisah, kerap memandang ke siling rumah. Deruan hujan seperti mengganggu perasaannya.

“Abang tau tak, kat perdu limau kasturi belakang rumah tu, ada lubang besar. Tak taulah lubang apa.”

Tiba-tiba sahaja, setelah dia suapkan emaknya dua tiga kali, dia teringat kata-kata Imah tiga hari lalu semasa dia melebarkan laluan air dari bahagian belakang rumahnya ke arah sungai. Dia harap laluan air itu akan memudahkan air mengalir ke sungai dengan lebih cepat dan mengurangkan air bertakung. Tetapi dia tidak pula segera melihat lubang besar di perdu limau kasturi yang dikhabarkan Imah itu walaupun pokok itu hanya beberapa depa sahaja dari dinding dapur rumahnya.

‘Lubang biawak agaknya,’ dia terus meneka sendirian.

Hujan terus lebat dan mencurah-curah. Emaknya sudah terlelap tanpa sempat menghabiskan nasi yang sudah digaul lauk. Dia sempat merenung wajah emaknya. Wajah tenang itu sudah kelihatan kecut, begitu juga tubuh yang sudah sekian lama hanya dibaluti kulit yang kendur.

Tiba-tiba kedengaran pintu hadapan rumahnya diketuk bertalu-talu. Curahan hujan yang bising menimpa bumbung rumahnya seakan mahu menenggelamkan bunyi ketukan itu. Dia bergegas ke pintu. Nampak silau lampu suluh dan kelibat seseorang dari luar.

“Kita kena pindah! Air sungai dah melimpah. Rumah kita akan tenggelam kalau hujan terus lebat macam ni!” Suara Pak Abu melaung melawan deru curahan hujan.

“Pindah ke mana, Pak Abu?”

“Aku dah telefon Tuk Penghulu. Dia akan minta bantuan pihak keselamatan!”

Dia mula cemas, walaupun barang-barang sudah ditelakkan di tempat yang tinggi. Tapi bagaimana dengan emak? Hati kecilnya benar-benar diburu resah.

“Imah!!!” Segera dia memanggil Imah dan khabarkan apa yang Pak Abu beritahu sebentar tadi.

“Emak?” Suara pertanyaan Imah tenggelam timbul antara bingit curahan hujan di bumbung zink. Mereka berdua sudah berada di dalam bilik emaknya. Tiba-tiba dia terasa kakinya basah.

“Air sudah masuk ke dalam bilik emak!” jerit Imah. Cemas dan kelam kabut. Inilah kali pertama banjir melanda hingga ke dalam bilik. Tentu sekali ruang dapurnya juga sudah dipenuhi air kerana paras lantainya lebih rendah.

“Abang!!! Lantai dapur dah tenggelam!!” Imah melaung dari arah dapur.

Dia bergegas keluar. Imah sedang kalut menyusun barang-barang ke tempat simpanan di atas dapur. Dia turut membantu secepat yang mungkin. Air semakin meningkat naik.

“Nanti bawa barang-barang dan dokumen-dokumen penting saja!” Dia tiba-tiba teringat pesanan Pak Abu tadi dan terus memberitahu Imah.

“Emak macam mana?” Imah bertanya lagi. Wajahnya benar-benar cemas dan risau.

“Abang akan kendong!” Pantas dia menjawab.

Ripin tahu tanggungjawabnya sebagai anak tunggal. Tiada siapa lagi yang boleh menolong, walaupun dia tahu kemampuan dirinya sendiri amat terbatas.

Menunggu pasukan bantuan terasa terlalu lambat tibanya. Dia mula berfikir sendirian. Dia mahu mengendong emaknya secepat mungkin, masukkan ke tempat barang di sisi motosikalnya. Imah akan membonceng di belakang dan dia akan memandu meredah air banjir yang sudah mula memenuhi halaman rumahnya.

Dia buka pintu hadapan rumahnya. Serentak air mendesah masuk. Seluruh ruang tamu dibasahi air. Buku lali kakinya sudah tenggelam walaupun dia masih boleh melangkah. Hujan masih belum mahu berhenti. Air jernih dari halaman makin deras menerjah ke dalam rumahnya.

Sedaya upaya dia mendekati motosikal yang diparkir di tepi rumah. Sudah tiga hari motosikal itu tidak dihidupkan kerana hujan tidak mengizinkan dia pergi ke mana-mana. Motosikal ituah yang membantu pergerakannya.

Air di halaman dan sekeliling rumah sudah makin tinggi, sudah mencecah paras betis. Arusnya deras dan jika tidak berhati-hati melangkah, dia mungkin boleh rebah, sementelahan pula dengan keadaan kakinya yang begitu sejak dia berumur 10 tahun dahulu lagi.

“Kuat-kuat bang, nanti emak jatuh!” Suara Imah penuh rasa cemas, sambil membantu mengangkat emaknya dari atas katil.

Seluruh rumah sudah dimasuki air. Setiap bilik sudah mencecah paras betis, tetapi di dapur airnya lebih tinggi. Imah sudah tidak menjenguk ke dapur lagi, dia hanya berserah kepada pertolongan Allah semata-mata.

“Jom…” ujarnya sebaik sahaja yakin emaknya sudah dikendongnya erat-erat.

Dia lihat mata emaknya memandang ke arahnya, seakan-akan bertanya ke mana mahu dibawanya pergi. Sesekali terbit keluhan berat dari mulut emaknya. Tetapi dia terus melangkah meredah air. Motosikalnya diletakkan betul-betul di depan pintu rumah tanpa mematikan enjin.

“Maaf ya mak, dalam ni mak kurang selesa sikit. Nanti sampai di masjid, keadaannya lebih selesa,” dia tak henti-henti bercakap walaupun tanpa ucap balas daripada emaknya. Sudah hampir sejam, pasukan bantuan masih belum tiba.

Imah mematikan lampu di dalam rumah tapi membiarkan lampu di depan pintu terus terpasang. Dia menutup dan mengunci pintu rumah dari luar. Arus air banjir terus mendengus seolah-olah marah kerana arah alirannya disekat. Berpusar-pusar sebentar air yang deras itu di depan pintu sebelum kembali melaju semula.

Dengan penuh berhati-hati Imah membonceng di belakang suaminya sambil memegang hujung plastik tebal warna biru yang menutup tubuh emak mentuanya supaya tidak ditimpa hujan yang masih lebat itu. “Siap, bang. Jom!” ujarnya sambil menepuk bahu suaminya.

Jalan tar mini yang menghubungkan rumahnya ke jalan besar lebih kurang 200 meter itu gelap-gelemat, hanya disuluhi lampu motosikalnya  Ripin benar-benar nekad dan bertawakal kepada Allah, apa-apa pun yang terjadi dia tidak boleh hanya menunggu. Emaknya perlu diselamatkan segera.

Tetapi lebih kurang dua minit meredah air banjir, tiba-tiba terdengar bunyi satu dentuman kuat dari arah belakang. Sepantas itu juga Ripin berhentikan motosikalnya dan menoleh. Tampak bahagian dapur rumahnya sudah condong dan roboh.

“Allahukbar, rumah kita bang!” Imah menjerit. “Rumah Pak Abu sudah tenggelam!”

“Pak Abu!” jeritan Ripin membelah deru hujan.

                                                                                                *   *   *   *   *  *  *  *  *  *

 

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Masihkah Kauingat Ismail Kassan?
Tokoh

Masihkah Kauingat Ismail Kassan?

  • 5 November 2025
  • 120
  • 5
Kata Penguat Pancaindera dalam Dialek Kedah
Bicara Bahasa

Kata Penguat Pancaindera dalam Dialek Kedah

  • 20 Januari 2026
  • 242
  • 5
HUJAN RAMADAN
Puisi

HUJAN RAMADAN

  • 27 Mac 2025
  • 56
  • 3
Mencari Metafora
Puisi

Mencari Metafora

  • 5 Februari 2026
  • 163
  • 3.5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP