Skip to content
KAFE ROTI WAP KARI KAMBING NENDA
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > KAFE ROTI WAP KARI KAMBING NENDA
KAFE ROTI WAP KARI KAMBING NENDA
Cerpen

KAFE ROTI WAP KARI KAMBING NENDA

  • Khairani binti Abd Samad
  • 20 April 2026
  • DBP Wilayah Tengah
  • 398
  • 4.6

BUNYI loceng pintu kedai yang sunyi itu lebih menyakitkan hati Ilham berbanding bunyi jam loceng pada pukul 4:00 pagi. Dia mengeluh perlahan, matanya melirik ke arah deretan kerusi kosong di dalam kafe miliknya.

Jam menunjukkan pukul 12:30 tengah hari. Waktu itu ialah waktu puncak bagi para pekerja yang ingin menikmati hidangan yang lebih mengenyangkan. Namun, kafenya lengang umpama tanah perkuburan yang sunyi daripada suara manusia. Ilham tertanya-tanya. Apakah yang sedang berlaku?

Suatu ketika dahulu, Ilham merupakan jurutera perisian di sebuah syarikat ternama. Selama beberapa tahun ini dia sudah pun menikmati kehidupan yang selesa. Gajinya cukup buat kehidupannya yang masih belum berkeluarga. Namun, dia telah membuat keputusan drastik yang bakal mengubah hidupnya selama ini. Ya, Ilham meletakkan jawatan sebagai jurutera perisian!

Dia mempertaruhkan segala-galanya. Wang simpanan KWSP, pinjaman bank, dan maruahnya semata-mata ingin mengejar impian sejak kecil. Dia mengimpikan sebuah kafe yang menggabungkan resipi warisan neneknya dengan sentuhan moden. Malah, dia sudah membayangkan barisan pelanggan yang panjang, ulasan positif di media sosial, dan pastinya dengan pendapatan yang berlipat ganda. Sayangnya, tidak semua yang dibayangkan itu menjadi kenyataan.

Enam bulan pertama umpama fasa “bulan madu” yang mengasyikkan. Ramai rakan-rakan dan ahli keluarga yang datang memberikan sokongan. Ilham merasakan keputusan yang telah diambil sebelum ini suatu keputusan yang tepat.

Namun, apabila sokongan itu semakin pudar, Ilham mula berdepan dengan realiti dunia perniagaan yang sebenar. Pengunjung yang dahulunya berbaris, kini boleh dihitung dengan jari. Kemeriahan suara pengunjung berganti dengan dendangan lagu instrumental yang memenuhi ruang sepi.

Pelbagai cabaran mula menguji kesabaran Ilham. Cabaran pertama adalah dalam bentuk aliran tunai. Ilham terpaksa menanggung aliran tunai yang semakin berkurang. Ditambah pula  dengan sewa kedai yang terlalu tinggi. Kos bahan mentah pula naik mendadak setiap minggu. Dia mula buntu. Namun, masih mencari jalan untuk terus bertahan.

Langkah pertama adalah mencatu makanannya sendiri. Mi segera menjadi menu utama. Setiap malam di bilik belakang kedai, Ilham akan menyemak semula buku akaun yang penuh dengan angka. Langkah seterusnya, dia terpaksa membuang pekerja separuh masa dan mengambil alih tugas mencuci pinggan, memasak serta melayan pelanggan.

Bunyi loceng pintu kedai tiba-tiba berdenting. Ilham segera mendongak dengan harapan yang menggunung. Sangkanya beberapa orang pelanggan yang datang berkunjung. Rupa-rupanya itu hanyalah harapan palsu. Terpacul di pintu masuk ialah sahabat lamanya, Fayyad.

“Sunyi sahaja kafe kau, Ilham?” Fayyad menarik kerusi, bunyinya berdecit di atas lantai simen yang bersih.

Ilham mengelap kaunter dengan kain buruk yang sudah lembap sambil menjawab acuh tak acuh, “Waktu begini memanglah. Orang pejabat belum keluar rehat lagi.”

Fayyad mengerling jam di tangan. “Dah pukul satu, Ilham. Di luar sana, depan lori nasi bajet, orang sanggup beratur panjang. Tapi kedai kau ni macam ada ‘tembok’. Tak ada sesiapa yang nak ke sini.”

Ilham terdiam. Kata-kata Fayyad pedas, tapi dia tahu itu benar.

“Kau ada ijazah kejuruteraan, Ilham,” sambung Fayyad, dengan nada lebih lembut. “Syarikat lama kita masih bertanya tentang kau. Baliklah. Dunia niaga ni bukan untuk semua orang. Kau pun dah habiskan banyak simpanan, kan?”

Ilham berhenti mengelap. Dia memandang wajah sahabatnya dengan tenang walaupun hatinya berkocak. “Aku bukan tak suka kerja lama. Tapi setiap kali aku hidu bau kari, aku rasa macam aku sedang teruskan legasi nenek. Aku cuma perlukan sedikit masa lagi.”

“Masa tak bayar sewa kedai, Ilham,” balas Fayyad ringkas sebelum beredar.

Kemuncak segala masalah berlaku pada satu petang Jumaat. Ketika itu, hujan lebat diselangi petir yang berdentum kuat. Tiba-tiba terdengar satu letupan kecil disertai bau asap. Baunya hangit, sehangit harapan Ilham ketika itu.

Ilham segera meluru ke dapur. “Astaghfirullah! Oven!” Ketuhar industri utama dan pastinya nadi kepada operasi kafe Ilham terbakar di bahagian litar.

Ilham terduduk di lantai dapur yang panas. Dia menutup muka dengan kedua-dua belah tangannya. Esakannya pecah dalam kesunyian dapur yang kini berbau hangit. Kos membaiki pastinya mencecah ribuan ringgit, sedangkan wang simpanannya sudah habis digunakan untuk membayar kos sewa serta membeli barang mentah.

Seorang tukang baiki barangan elektrik, Pak Mat segera dipanggil. Selepas memeriksa, dia menggeleng. “Litar pintas, Ilham. Nak baiki ni modalnya dua tiga ribu juga. Barang ganti kena cari yang asli.”

Ilham menyandar pada dinding. “Pak Mat, kalau saya jual saja oven ni sebagai besi buruk, laku tak?” Suaranya jelas menunjukkan dia sudah berputus asa. Hatinya kini hancur berkecai umpama debu yang berterbangan.

Pak Mat memandang anak muda di depannya dengan penuh simpati. Dia meletakkan sepana di atas meja.

“Ilham, Pak Mat dah lama hidup. Besi ni kalau patah, kita boleh pateri. Tapi kalau semangat kau yang patah, tak ada tukang boleh baiki. Kau nak berhenti sebab oven ni, atau sebab kau memang dah penat?”

Ilham tersentak. Kata-kata Pak Mat itu menusuk tepat ke dalam jiwanya umpama ditancap pisau belati yang tajam.

Malam itu, Ilham duduk merenung dapur yang gelap, bersandar pada ketuhar yang rosak. Dia berasa gagal sepenuhnya. Tiada lagi harapan. Dia mencapai telefon untuk memaklumkan pemilik bangunan bahawa dia menyerah kalah. Sudah sampai masanya untuk dia mengakhiri perniagaan kafe impiannya selama ini.

Namun, matanya tiba-tiba terpaku pada sebuah bingkai gambar lama di dinding dapur. Gambar neneknya yang sedang tersenyum sambil menguli tepung. Ingatannya kembali terbayang wajah nenek yang pernah berniaga roti di tepi jalan selama 30 tahun semata-mata untuk membesarkan anak-anak. Nenek tak pernah ada ketuhar canggih atau modal besar. Yang ada ketika itu hanya kecekalan.

“Takkan masalah sikit ni pun kau dah lemah, Ilham? Mudahnya kau mengaku kalah! Cuba ingat semula pesanan nenek kau suatu masa dulu. Kau dah lupa?’ bisik hatinya sendiri.

Entah dari mana datangnya suntikan semangat, Ilham tiba-tiba bangkit dan berdiri. Satu semangat baharu mula membara. Dia tidak boleh menyerah kalah sekarang. Dia perlu mengubah strategi!

Ilham sedar dia terlalu mencuba untuk memuaskan hati semua orang dengan menu yang terlalu banyak. Kini, dia perlu fokus. Dia melihat semula data jualan yang sedikit itu. Ada satu menu yang sentiasa mendapat pujian walaupun jarang-jarang dipesan, “Roti Wap Kari Kambing Nenda”.

Ilham nekad. Perniagaan kafe perlu diteruskan tetapi dengan strategi baharu. Kali ini menu tak perlu banyak. Menu yang akan dipertaruhkan pasti mampu mengubah senario perniagaannya. Dia segera meminjam wang daripada abangnya untuk membaiki ketuhar. Janjinya pada diri sendiri, ‘Ini peluang terakhir. Aku tak boleh gagal.’

Ilham merombak menu sepenuhnya. Tujuh puluh peratus hidangan lain dihentikan dan memfokuskan seluruh tenaga, pemasaran dan jiwanya kepada Roti Wap sahaja. Dia menghabiskan masa berhari-hari untuk menyempurnakan teknik mengukus agar rotinya selembut awan,dan karinya pekat dengan rasa yang memikat.

Dengan dibantu oleh seorang pekerja tetap, Ilham mula mempelajari pemasaran digital dengan serius. Bukan lagi sekadar menekan butang boost post. Dia turut merakam video di balik tabir pembuatan roti itu, untuk menunjukkan keaslian dan kesungguhannya. Malah, dia mewujudkan bilik khas yang sesuai untuk mempromosikan hasil tangannya itu. Nama kafenya juga ditukar kepada nama baharu, iaitu KAFE ROTI WAP KARI KAMBING NENDA!

Minggu pertama selepas pelancaran semula kafe dengan menu baharu, respons berjalan agak perlahan. Ilham berdebar-debar. Dia bimbang jika menu terkininya itu tidak mampu menarik minat pencinta makanan. Mungkin ramai yang masih memilih menu yang lebih ringkas. Ilham pasrah jika usahanya kali ini tidak seperti yang diharapkan.

Minggu kedua, seorang pempengaruh makanan tempatan yang terkenal, secara kebetulan lalu dan singgah di kafe Ilham. Katanya dia tertarik dengan bau kari yang menusuk hidung dari luar kedai dan bercadang untuk mencuba menu baharu tersebut. Pastinya sebagai pempengaruh makanan, dia akan merakam pengalaman mencuba menu baharu itu dan dimuat naik ke beberapa platform media sosialnya.

“Hai, semua! Hari ini saya berada di sebuah kafe. Saya telah mencuba menu terbaharu kafe ini. Memang sedap! Roti wapnya sangat lembut dan dipadankan pula dengan kari kambing yang rasanya seperti nenek kita yang masak. Saya berikan 10 bintang kerana tak pernah lagi saya rasa hidangan yang sedap seperti ini. Jangan lupa untuk datang dan cuba menu ini di KAFE ROTI WAP KARI KAMBING NENDA!” ulas pempengaruh itu sambil mempromosi menu terbaharu kafe Ilham. Ternyata, dalam beberapa minit sahaja video itu tular dan ditonton oleh ribuan pengguna media sosial.

Keesokan harinya, Ilham terkejut sebaik tiba di kedai pada pukul 10:00 pagi. Beberapa orang pelanggan telah siap beratur di luar kafe biarpun ketika itu kafe belum dibuka. Menjelang tengah hari, barisan itu semakin memanjang hingga ke kaki lima kedai sebelah.

Ilham bekerja ibarat lipas kudung. Dia tak menang tangan melayan pelanggan yang datang tidak berhenti-henti. Sehinggakan dia terpaksa memanggil semula dua orang pekerja separuh masa untuk datang membantu. Mujurlah mereka duduk berdekatan kawasan kafe.

Tangannya lenguh menguli, peluh membasahi dahi, tetapi senyuman tidak lekang dari bibirnya. Bunyi riuh-rendah pelanggan menikmati makanan umpama muzik paling merdu yang didendangkan di telinganya.

Setahun kemudian, Ilham berdiri di sudut kafe yang kini ruangnya lebih luas sambil memandang ke arah empat orang pekerjanya yang sibuk melayan para pelanggan. Dia bersyukur kerana “KAFE ROTI WAP KARI KAMBING NENDA” kini disenaraikan antara destinasi wajib singgah di bandar itu. Wang simpanannya telah pulih, hutangnya hampir langsai.

Seorang pelanggan tetap, Pak Mat, menepuk bahu Ilham sebelum keluar. “Sedap macam biasa, Ilham. Tahniah, kamu dah berjaya.”

“Terima kasih Pak Mat. Kata-kata semangat Pak Mat banyak membantu kejayaan saya hari ini.” Ilham memandang Pak Mat dengan mata yang berkaca sambil memandang ke arah dapur. Kejayaan baginya hari ini bukan sekadar angka dalam akaun bank atau kedai yang penuh.

Bagi Ilham, kejayaan sebenar ialah kemampuan untuk bangkit semula dan keberanian untuk mengubah haluan apabila sesat. Bau rempah kari yang harum memenuhi ruang udara kafe. Ya, bau sebenar satu perjuangan yang diimpikan selama ini!

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Jauh boleh ditunjukkan, dekat boleh dikakokkan
Cerpen

Jauh boleh ditunjukkan, dekat boleh dikakokkan

  • 25 Oktober 2024
  • 128
  • 5
نصيحت هاتي ريندو
Puisi Moden

نصيحت هاتي ريندو

  • 5 Oktober 2024
Bara Harapan
Cerpen

Bara Harapan

  • 5 Mac 2026
  • 532
  • 4.4
رجڠ ڤوهون ايمان
Puisi Tradisional

رجڠ ڤوهون ايمان

  • 4 September 2023
  • 9
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP