LANGIT yang tiada batas itu, dipandang sepasang mata yang sedang menikmati keindahan warna biru muda. Awan berarak perlahan, angin bertiup malas pada tengah hari yang panas itu. Sementelahan, matahari membara teriknya.
Tiba-tiba, anak matanya dikecilkan, cuba mengecam tiga ekor makhluk yang sedang terbang di atas langit itu. “Ayah! Ayah! Tengok tu!”
Ayah segera mendongak, menuruti jari telunjuk anaknya.
“Ooh..itu burung kenyalang,” ujar ayah. Ayah kembali fokus dengan pemanduannya. Melalui jalan berbukit, dia harus berhati-hati. Adalah menjadi tanggungjawabnya sebagai seorang pemandu berhemah, dia harus cermat walaupun hanya memandu di kawasan kampung. Malang itu tidak berbau, dalam keadaan apa sekalipun, dia sentiasa beringat untuk membawa pembonceng dan dirinya selamat tiba di destinasi.
“Kawasan kita memang ada burung kenyalang. Burung kenyalang adalah kebanggaan kita, orang Sarawak,” kata ayah.
Simun mengangguk faham. Perjalanan daripada sekolah ke rumah panjang mereka memakan masa setengah jam menggunakan motosikal.
“Ayah! Ada lagi!”
Ayah hanya mengangguk tanpa menjawab.
Simun leka memandang ke atas langit. Entah mengapa, dia begitu tertarik dengan haiwan itu. Mereka tiba di kaki tangga rumah panjang tidak lama kemudian sebelum ayah parkir di bawah tanju. Ada tangga kecil dari bawah tanju untuk masuk ke rumah panjang dan melaluinya lebih cepat kerana bilek mereka di rumah panjang itu terletak di tengah-tengah. Rumah panjang sepanjang dua puluh lima pintu itu, telah wujud sejak enam puluh tahun lalu. Ayah merupakan generasi ketiga yang lahir di dalam bilek bernombor empat belas itu.
“Mak, Mak! Tadi saya dan ayah nampak kenyalang! Ada banyak! Terbang atas langit!”katanya dengan suara keterujaan.
“Ya, kampung kita memang ada burung kenyalang. Makanlah dulu, nanti kita bercerita lagi,” balas ibu.
Simun yang belajar di kelas Satu Biru itu segera meletakkan beg sekolahnya di tepi ruang tamu bersebelahan almari sebelum berlari ke dapur yang terletak di hujung bilek.
****
Di persimpangan jalan, Simun sempat menoleh dan ternampak ada tiga buah kereta yang bergerak di belakang mereka memasuki jalan kecil sebelum simpang kampung mereka. Dia cuba menyentuh bahu ayah, tetapi ayah kelihatan tidak sedar akan perbuatannya itu.
“Aki… itu burung kenyalang,” tunjuk Simun.
Mereka berdua yang sedang duduk di tepi tingkap ruai sama-sama melemparkan pandangan ke arah hutan yang masih dara di kampung mereka itu.
“Kalau Simun nak tahu, burung kenyalang adalah simbol masyarakat kita, Iban. Ia dikaitkan dengan Dewa Perang, Sengalang Burong,” kata Aki Remung.
“Burung kenyalang sebenarnya semakin pupus di negeri kita ini. Jadi haiwan ini dikategorikan sebagai haiwan yang tidak boleh diburu, dibunuh atau ditangkap,” jelas Aki Remung lagi.
“Mengapa haiwan ini diburu, aki?”
“Burung kenyalang diburu untuk mendapatkan paruhnya sebagai barang perhiasan. Sebab itu burung kenyalang merupakan haiwan terlindung serta hampir diancam kepupusan,” jawab Aki Remung.
“Kasihannya. Dibunuh semata-mata untuk mendapatkan paruh,” kata Simun dengan nada mendatar.
Ada perasaan simpati timbul di dalam hatinya. Walaupun usianya masih muda, tetapi dia juga mempunyai empati. Simun sangat mencintai flora dan fauna. Malah, dia sering mengikut ayah masuk ke hutan. Adalah menjadi kebiasaan masyarakat Iban untuk menurunkan ilmu hutan kepada anak lelaki.
“Bukan itu sahaja, burung kenyalang juga pupus sekiranya tempat tinggal mereka musnah, lebih-lebih lagi apabila pokok-pokok besar di dalam hutang ditebang. Burung kenyalang tidak dapat membuat sarang dan akhirnya tidak dapat bertelur,” kata Aki Remung lagi.
Simun mengangguk. Dia faham dengan penerangan yang diberikan oleh Aki Remung.
“Masih berbual lagi? Mak dah buatkan penyaram. Mari sini, makan bersama mak. Apai, ini kopi untuk apai,” pelawa ibu.
Aki Remung adalah bapa saudara kepada ibu Simun. Tinggal betul-betul bersebelahan bilek mereka, bernombor tujuh belas.
“Wah, penyaram! Kesukaan Simun!” Simun segera duduk bersila di sebelah ibu lalu segera mengambil sekeping kuih penyaram. Tersentak dengan penyaram yang masih panas itu, Simun tergesa-gesa meletakkannya kembali.
“Nah, lain kali pilih yang bawah dulu. Tidaklah kamu seperti cacing, tergeliat kerana panas,” ujar ibu.
Simun tersengih-sengih.
“Aduhai, cucu,”kata Aki Remung sambil ketawa.
Ayah yang datang dari dalam bilek, duduk bersama mereka.
“Jadi kamu ke hutan nanti?” soal Aki Remung.
“Jadi. Sekejap lagilah,” sahut ayah.
Mendengarnya, Simun berasa teruja. “Simun nak ikut!”
Ayah mengangguk.
“Simun nak tukar baju!”katanya lalu berlari masuk ke bilek.
Aki Remung ketawa. Orang tua itu mudah terhibur melihat telatah Simun.
****
Ayah meletakkan jari telunjuk ke tengah bibirnya sebagai isyarat senyap kepada Simun. Ayah mengajak Simun bersembunyi di belakang sebatang pokok besar. Kedua-dua mereka memerhati tingkah laku sekumpulan lelaki yang sedang menangkap dua ekor burung kenyalang dan memasukkannya ke dalam sangkar.
“Kenapa tu, ayah?”bisik Simun.
“Mereka tangkap burung Kenyalang,”
Ingin sahaja ayah maju ke hadapan dan menghentikan perbuatan itu, namun dia juga sedar ia umpama masuk ke mulut buaya. Kumpulan lelaki itu agak ramai, malah berbadan sasa. Entah-entah mereka membawa senjata. Mana mungkin dia dapat melawan mereka. Tambahan pula, ada Simun bersamanya.
“Ayah, mari kita hentikan mereka,”bisik Simun lagi.
Ayah menggeleng.
“Kenapa ayah?”
“Kita tak cukup orang untuk menentang mereka.”
“Kalau begitu, mari kita balik. Kita ajak orang kampung ke sini,” kata Simun. Ideanya ternyata bernas.
Baru sahaja mereka berdua memusing tubuh, tiba-tiba ayah terpijak sebatang ranting kayu patah.
“Hoi! Siapa tu?”
Kecuaian ayah disedari oleh mereka. Mendengar jeritan itu, ayah dan Simun segera lari menyelamatkan diri. Mereka dikejar oleh tiga orang lelaki pemburu tadi. Entah bagaimana, kaki ayah terperosok di dalam lubang tanah becak, mengakibatkannya tersungkur dan tersembam ke tanah.
“Pergi, Simun! Beritahu orang kampung!” Ayah sedaya upaya menggerakkan tubuh, cuba bangun, tetapi kakinya cedera. Dia menggulingkan diri, cuba bersembunyi di dalam semak.
Melihat tiga orang lelaki itu semakin dekat, dengan panik, Simun meneruskan larian, meninggalkan ayah. Dia tidak tahu apa yang akan berlaku pada ayah. Air mata mula mengalir deras di pipi Simun, serentak dengan kelajuan kakinya meredah hutan itu.
****
“Siapa kau? Kau mengintip kami ya?,” gertak salah seorang lelaki itu kepada ayah.
“Ini tempat aku! Sepatutnya aku yang bertanya pada kalian semua. Apa yang kalian semua buat di sini?” soal ayah dengan kasar. Dia duduk di atas tanah dengan kedua-dua tangan diikat ke belakang.
“Kau ingat kami takut dengan kau? Orang kampung seperti kalian hanya seperti beruk! Ditakutkan dengan senapang, kalian lari bersembunyi di sebalik pokok!” balas lelaki itu dengan angkuh.
“Kami orang Iban bukan sebarangan orang. Sudah tersemat di dalam darah ini, setapak pun kami takkan mengundur ketika menentang musuh demi tanah dan alam yang kami cintai! Burung kenyalang itu hak milik alam. Kalian semua tak layak mengambilnya!”
Mendengarnya, mereka mentertawakan kata-kata ayah.
“Apa yang dapat kau lakukan? Kau seorang, kami ramai,” balas lelaki itu lagi.
“Sudah, pedulikan orang ini! Aku terjumpa sarang burung kenyalang ini lima puluh meter dari sini. Ikat dia pada pokok tu. Cepat. Jika malam tiba, kita takkan sempat menangkap burung itu. Ayuh!” kata seorang lelaki yang muncul secara tiba-tiba.
“Abun, ikat dia! Yang lain, kita angkat sangkar ini. Julan dan Mat, ikut Mikah,” arah lelaki yang bertikam mulut dengan ayah tadi.
Dengan segera, lelaki bernama Abun menarik ayah lalu mengikatnya pada sebatang pokok. Tali yang diikat sangat ketat sehingga melukakan lengan ayah ketika cuba melepaskan diri.
“Cepatlah. Kenapa susah sangat?” marah Mikah.
“Kaulah panjat! Ingat senangkah nak naik setinggi ini?” jerkah Julan. Mat hanya tersengih di tepi Mikah.
Tiba-tiba kedengaran bunyi bising, seperti satu pergaduhan sedang berlaku. Mendengarnya, mereka bertiga kembali ke tempat berkumpul. Sarang burung itu ditinggalkan begitu sahaja. Abun tidak sempat membuka lubang sarang burung kenyalang yang ditutup dengan lumpur besar. Dia hanya sempat melihat tiga ekor anak burung kenyalang. Barangkali dua ekor burung yang ditangkap adalah empunya sarang.
Rupa-rupanya, bunyi bising itu datangnya daripada sekumpulan penduduk kampung yang datang bersama penguatkuasa. Simun berjalan di depan sekali. Di sebelahnya, Aki Remung.
Ayah yang kesakitan, menahan lelah dan dahaga akibat dibelasah oleh Abun, tersenyum puas. Simun benar-benar mendengar arahan. Malah, bukan hanya orang kampung, dia juga membawa bersama penguatkuasa perhilitan.
Kesemua mereka berjaya ditangkap walaupun ada cubaan melarikan diri oleh Julan, Mat dan Mikah. Mereka bertiga dikepung oleh orang kampung yang bersenjatakan parang Ilang. Parang Ilang yang digunakan bukan biasa-biasa, parang yang digunakan oleh moyang dahulu kala sebagai senjata untuk ngayau atau juga dikenali sebagai amalan memburu kepala. Tetapi mereka sekadar menakutkan ketiga-tiga mereka, kerana tahu, negara ini ada undang-undang yang lebih adil. Telah juga dipesan kepada penduduk kampung agar tidak menggunakan senjata dengan kekerasan.
Pemburu-pemburu itu ditangkap dan dibawa ke balai polis. Kata polis, mereka akan dikenakan hukuman undang-undang dan kes akan disiasat di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar. Pihak penguatkuasa mengucapkan tahniah dan terima kasih atas pertolongan orang kampung termasuklah Simun dan ayah.
Keesokan harinya, ada sekumpulan kakitangan Perbadanan Hutan Sarawak datang ke rumah panjang itu. Mereka berbincang dengan penduduk kampung untuk menjadikan kawasan itu sebagai kawasan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.
Simun melihat poster yang diberikan. Ada banyak lagi hidupan liar yang perlu dilindungi selain burung kenyalang termasuklah tenggiling, beruang, musang dan sebagainya. Setelah berada di rumah panjang itu, kakitangan Perbadanan Hutan Sarawak pun pulang seusai berurusan.
Sedang Simun memerhati kelibat kenderaan kerajaan itu meninggalkan rumah panjang, dia terpandang dua ekor burung kenyalang terbang di atas langit. Simun melambai ke arahnya. Kedua-dua burung Kenyalang itu terbang mengelilingi rumah panjang sebanyak dua kali.
“Mungkin mereka ingin mengucapkan terima kasih kepada kita,” kata Aki Remung sambil memegang bahu Simun.
Simun sekali lagi melambai pada dua ekor burung Kenyalang itu sebelum burung-burung itu terbang, hilang dari pandangan.
Glosari
tanju: serambi, bahagian luar rumah panjang yang tidak berbumbung
bilek: bilik di dalam rumah panjang
apai: bapa
ruai: bahagian dalam rumah panjang,beranda
parang ilang: senjata yang digunakan dalam amalan memburu kepala
ngayau: amalan memburu kepala musuh