Skip to content
Keras Kepala Abah
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Keras Kepala Abah
Keras Kepala Abah
Cerpen

Keras Kepala Abah

  • Zulzafry Zulkifly
  • 5 September 2026
  • DBP Wilayah Timur
  • 12
  • 5

SEBAIK sahaja abah pulang ke rumah, terus dia canang pengalamannya pergi berubat.

“Air tu hitam lepas abah masukkan kaki. Tak lama pun abah rasa, sebab abah tertidur. Tapi masa abah tidur tu, abah nampak satu cahaya terang depan abah. Satu badan abah kena balut dengan cahaya tu. Bila abah bangun, air dekat kaki abah dah hitam. Memang mujarab betullah,” jelas abah dengan nada kagum.

Abah memang selalu begini, dia percaya kepada perubatan tradisional oleh orang-orang kampung. Apatah lagi sekarang zaman Internet dan gajet, abah boleh baca sendiri ulasan orang lain yang pernah pergi berubat di situ. Semakin dibaca, semakin percayalah abah akan ulasan-ulasan yang memuji keberkesanan perubatan kampung itu.

Abah jenis yang keras kepala. Kalau hitam kata abah, maka hitamlah, bukan putih, bukan kuning mahupun kelabu. Semua orang tahu, bukan sahaja ahli keluarga, malah satu kampung sudah arif dengan sikap keras kepala abah. Tahap keras kepala abah, sampai ada masanya ketua kampung sanggup menurut kata abah. Sungguh, memang dahsyatlah keras kepala abah. Ditambah pula dia orang lama di kampung ini. Dialah antara saki-baki orang yang  menerajui dan mendirikan kampung ini. Rumah yang kami diami, sehingga kini adalah antara lima buah rumah awal yang tertegak di kampung kami. Jadi, kami memang tidak boleh berkata banyak kalau abah sudah beritahu apa yang dia mahu buat.

Namun, keras kepala abah kadang ada baiknya. Disebabkan keras kepala abah itulah keluarga kami terbela. Dek keras kepala abah, orang ramai tidak berani untuk berlebih-lebihan dengan kami. Kerana keras kepala abah, keluarga kami dihormati.

Pernah dahulu abah melarang kami adik-beradik pergi ke pesta muda-mudi anjuran kampung di dewan balai raya. Katanya tempat itu tidak elok, tempat maksiat dan tempat perempuan tidak cukup pakaian berjoget. Aku dan kakak tiada pilihan kecuali menurut kata abah. Dendam jugalah aku apabila difikirkan kembali. Aku masih ingat kawan-kawan bercerita tentang hebatnya malam di pesta muda-mudi itu. Ada nyanyian daripada artis tanah air, jualan makanan yang pelbagai dan permainan yang boleh dicuba dengan bayaran rendah. Sangat iri apabila difikirkan kembali.

Apa pilihan yang aku ada? Larangan abah keras. Bukan aku tidak terfikir untuk mencuri keluar dan pergi ke pesta itu secara senyap-senyap. Namun apabila mengenangkan tentang kerasnya hukuman abah jika ditangkap, aku jadi kecut perut. Pernah dahulu aku dilibas dengan getah paip kerana ponteng kelas mengaji. Sebaik sahaja tiba di rumah, abah sedang menunggu dengan getah paip di tangan. Mukanya menyinga. Malam itu sahaja, aku terima tiga libasan di punggung. Sejak itu, aku sudah taubat untuk melawan kata-kata abah. Meski apa-apa yang dikatakan abah itu kadang tidak ada betulnya.

Menginjak usia tua, abah kian sakit pada seluruh anggota tubuh. Bahagian kaki termasuk betis dan lutut, bahu, kencing manis mula ada, gout, batu karang, tonsil dan pelbagai jenis penyakit lagi. Dan abah bukan jenis orang yang berdiam diri menanti takdir menghempapnya ibarat lalat yang tidak berdaya. Dia akan terbang mencari ruang dan peluang untuk menyelamatkan diri. Bukan abahlah kalau pasrah tiada berbuat apa-apa. Dia akan mencuba segala jenis perubatan, sama ada saintifik melalui doktor, tabib Cina atau pakar perubatan Islam termasuk perkara yang agak tahyul.

Beberapa minggu lepas, abah memberitahu yang dia mahu berubat di Kuala Selangor. Katanya ada sebuah perigi di sana yang airnya mampu menyembuhkan sakit lutut.

“Mana abah tahu semua tu?” tanyaku selepas dia memberitahu hasratnya.

Kami baru sahaja selesai sarapan. Waktu-waktu begini, abah biasanya akan duduk di ruang tamu merenung jalan atau bermain dengan telefon pintarnya.

“Orang-orang di Facebook,” dia berkata dengan mata yang tidak lepas daripada menilik telefonnya.

Satu perkara bagus tentang abah, keras kepalanya bertempat. Dia tahu bila perlu ikut nasihat dan cakap orang. Hal-hal seperti perubatan, pemakanan, agama dan beberapa hal yang abah tidak mahir, dia tahu perlu ada orang lain untuk memberitahunya apa yang perlu dilakukan.

Abah tidak segan untuk mengikut nasihat ustaz walaupun perkara yang ustaz lakukan berbeza daripada amalannya. Abah tidak takut untuk berjumpa doktor tentang penyakitnya. Jika doktor kata perlu cucuk, abah akan cucuk. Jika kata doktor itu hanya perlu makan ubat dari farmasi, maka dia sendiri akan beli dan makan ubat itu. Malah, jika doktor kata yang abah perlu jalani pembedahan, abah akan terus memberikan nama untuk dimasukkan ke dalam senarai pesakit yang akan dibedah. Begitulah abah.

Hal ini juga termasuk nasihat daripada orang lain yang sudah punya pengalaman. Seperti beberapa minggu sebelum ini, ada seorang kawan abah memberi saranan untuk membeli ubat sekian-sekian di kedai tabib Cina. Katanya elok untuk kencing manis dan darah tinggi. Maka berkejarlah abah ke kedai tabib Cina tersebut demi mencari ubat. Ditelan sehingga habis mengikut saranan tabib Cina. Jika ada antara kami yang mengatakan bahawa ubat itu tidak betul dan tidak mujarab, abah akan bantah keras.  Waktu ini, keras kepalanya akan terlihat jelas.

“Kau apa tahu tentang ubat? Belajar pun bahasa saja. Ubat ni dah ada orang makan, elok. Apa salahnya kalau abah cuba?”

Tiada gunanya untuk menasihati abah jika sudah begitu katanya. Semua orang sudah masak benar. Melalui telefonnya, abah tunjukkan kepadaku laman Facebook yang penuh dengan ulasan baik tentang perubatan sakit lutut di Kuala Selangor.

Komen daripada Mazlan Tarmizi, “Sangat berkesan, sakit lutut saya hilang. Tak tahulah ilmu apa yang digunakannya. Harga pun tak mahal mana.”

Komen daripada Hajah Halimah, “Mula-mula ragu-ragu juga. Yalah, benda tak tahu betul atau tidak. Tapi alhamdulillah, sendi-sendi saya dah makin kurang sengal. Dah semakin boleh berjalan”.

Komen daripada Tugiman, “Terkejut jugalah tengok air itu perlahan-lahan berubah jadi hitam. Orang kita ini kadang bukan apa, entah apa dibomohnya kita nanti. Tapi makin hari, makin elok pula lepas buat rawatan di sini.”

Aku hanya baca sepintas lalu. Kebanyakannya menceritakan pengalaman baik dan betapa mujarabnya perubatan itu. Ramai pesakitnya terdiri daripada kalangan orang tua. Memang orang tualah yang akan percaya perkara sebegini, orang muda seperti kami sudah arif benar dengan perubatan yang lebih kepada penipuan seperti ini. Malah, sekali pandang sahaja aku sudah tahu semua ulasan itu ialah modus operandi untuk menipu orang yang mudah termakan umpan seperti abah. Namun, abah terlihat yakin dan gembira. Mungkin membayangkan yang tidak lama lagi sakit lututnya akan kebah.

Pintu bilik berdekatan ruang tamu terbuka. Kakak keluar dengan tuala di bahu. Mahu mandi. Aku memandangnya dengan pandangan meminta tolong dan menunjuk ke arah abah. Dia buat-buat tidak nampak dan terus berlalu ke bilik air. Malam ini aku perlu berbincang dengannya.

“Akak cubalah nasihatkan abah tu. Saya tengok sekali pun dah tahu tak ada betulnya perubatan yang dia nak pergi itu,” kataku kepada kakak.

Dia sedang duduk di meja solek di dalam biliknya sambil mengemas barang-barang di atas meja.

“Kaulah cakap dengan abah. Kalau kau cakap, abah mesti dengar. Kau anak kesayangan dia,” tanpa berpaling, kakak membalas kataku.

“Akak macam tak tahu lagi abah tu macam mana. Kalau dia dah kata nak pergi, mana ada orang yang boleh kata tidak. Mesti kena pergi juga,” aku menggaru kepala. Buntu mahu katakan apa kepada abah.

“Semua orang pun tahu abah tu macam mana. Tapi apa boleh buat lagi, bukan kita boleh halang kalau abah yang nak. Kau tak nak cakap dengan emak?”

“Dah beritahu emak dah. Dia pun geleng kepala. Ikutkan sajalah apa yang abah nak.”

“Ha kalau macam itu, ikutkan sajalah. Emak pun dah kata macam itu.”

“Tapi kak …”

“Tapi apa?”

“Saya tak nak lah abah habis duit dekat benda-benda tak guna. Baru je minggu lepas dia beli ubat dekat tabib Cina. Bukan murah ubat itu. Apa sudahnya? Macam itu juga. Tak elok jugak sakit abah tu.”

“Kalau kau nak sangat halang abah tu, kau cakaplah dengan dia elok-elok. Tunggu angin dia elok sikit, nanti kau cakaplah. Mana tahu dia lembut hati.”

Aku mengangguk lemah. Tiada guna berbincang dengan kakak perihal ini. Nampaknya, aku sendiri kena cakap dengan abah. Mahu jadi apa pun jadilah, aku perlu beritahu abah yang dia sedang ditipu hidup-hidup.

Jadi, dalam kepalaku, aku bercakap dengan abah di beranda rumah. Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Matahari masih galak bersinar walau sudah semakin jatuh ke ufuk barat. Di seberang jalan besar berhadapan rumah kami, kereta sedang bertumpu. Petang Selasa seperti ini, ada pasar sedang berlangsung dan abah memang gemar duduk di beranda pada Selasa petang melihat gelagat manusia di pasar. Perkara-perkara yang bikin nostalgia, katanya.

“Abah tetap mahu pergi ke tempat itu,” kata abah setelah aku beritahu yang dia tidak sepatutnya pergi ke tempat perubatan yang ditunjuk kemarin.

“Tapi apa yang abah tunjuk dekat Facebook tu semua menipu,” aku masih bertegas.

“Mana kau tahu menipu?” tanya abah.

“Tengok sekali pun dah tahu tak betul, bah. Mana ada orang boleh sihat kalau semata-mata berendam dalam air. Tak ada logik akalnya.”

“Abah tak kira, abah mahu pergi juga,” dia tidak lagi memandangku. Pandangannya dipaku ke seberang jalan, tempat orang ramai berkumpul.

“Saya lagi sanggup tengok abah guna duit itu untuk beli ubat. Tak kisahlah ubat dari Cina ke, farmasi ke, doktor ke. Daripada abah berhabis duit dan tenaga pergi jauh-jauh semata-mata untuk berendam!” kali ini aku perlu tegas.

Tidak suka kulihat abah diperbodohkan oleh orang-orang di Internet. Abah bungkam tanpa jawapan. Tidak memberi respons kepada pernyataanku.

“Kalau abah nak pergi sangat, siapa yang mahu bawa?”

“Kaulah. Siapa lagi mahu bawa? Abah tak boleh nak bawa kereta jauh-jauh. Kakak kau sibuk kerja. Kau sorang saja yang tinggal,” jawab abah.

“Kalau macam itu, saya tak nak bawa,” tegasku.

Mataku memandang ke seberang jalan persis abah. Tidak lagi menatap wajah tua itu. Seperti tersentap dengan kata-kataku, anak matanya akhirnya dialihkan memandang anak lelakinya di sebelah sebelum pandangan kembali dibuang ke hadapan. Lama abah diam membiarkan ruang antara kami diisi dengan bunyi kereta dan pembesar suara dari pasar. Hanya ketika matahari sudah mula tenggelam baru abah berkata-kata.

“Abah bukan tak tahu benda tu tak betul. Cuma kalau boleh, kita usaha dulu. Bukan lama lagi pun abah hidup. Untuk apa simpan duit kalau tak boleh guna buat berubat penyakit abah ni? Kalau memang benda tu tak betul, tak apalah, sekurang-kurangnya kita dah cuba,” gumam abah perlahan. Pandangannya masih ke seberang jalan.

Aku tersentap dengan kata-katanya. Waktu itu aku sedar, keras kepala abah bukan kosong. Dia tahu mana betul, mana tak betul. Namun usahanya tidak akan berhenti hanya kerana ada kemungkinan perkara yang dia percaya itu tidak memberikan faedah.

Walaupun peristiwa dan kata-kata itu tidak pernah terjadi dan hanya berlaku dalam kepalaku, aku sedar yang abah punya hajat untuk kembali sihat dan hidup lebih lama, lihat anak-anaknya berjaya.

Selepas menimbang semula tindakan untuk bawa abah berendam dan berubat, akhirnya aku turutkan sahaja kehendak abah. Fikirku, jika aku yang sakit, pasti abah tidak akan teragak-agak untuk bawa ke mana-mana pusat perubatan. Walaupun tempat itu banyak tahyul dan penuh dengan tipu helahnya.

***

Seperti yang dijangkakan, sakit abah tidak kebah. Namun melihatkan wajahnya yang gembira kerana kami telah mencuba, sedikit sebanyak mengubati rasa tidak sukaku terhadap kehendaknya.

Beberapa minggu selepas itu, abah tunjukkan satu lagi laman Facebook kepadaku. Sebuah pusat urut untuk menyembuhkan penyakit batu karang. Aku hanya geleng kepala. Kalau sudah keras kepala abah, memang tiada orang di dalam dunia ini yang boleh lawan.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (14) #cerpenkehidupan (8) #dbpselatan (17) #karyasastera (30) #kedah (4) #komsas (3) #penulis (9) #penulisbaharu (34) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (24) #sasteramelayu (10) #sasteramoden (4) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (16) abuyon (4) adie abd gani (5) anak (3) bahasa (3) cerpen (16) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (29) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (6) Esei (5) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (14) puisi (34) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (13) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Beka
Cerpen

Beka

  • 5 Januari 2025
  • 232
  • 5
Komponen Sastera Lebih Berkesan Sewaktu Dipentaskan
Bicara Bahasa dan Sastera

Komponen Sastera Lebih Berkesan Sewaktu Dipentaskan

  • 5 November 2023
  • 620
  • 5
Su Faridah
Cerpen

Su Faridah

  • 5 November 2025
  • 162
  • 4.9
Ketidaksantunan Berbahasa dalam Kalangan Belia Malaysia
Bicara Bahasa

Ketidaksantunan Berbahasa dalam Kalangan Belia Malaysia

  • 5 Julai 2024
  • 3523
  • 4.7

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP