BELUM pernah sekalipun aku mendengar bunyi tangisan seperti itu. Tiba-tiba sahaja pada malam tersebut, tangisan itu mula kedengaran. Awalnya aku didatangi fikiran yang bukan-bukan. Cerita orang-orang tua yang bercampur aduk dengan mistik dan tahyul mengunjungi fikiranku yang jernih. Aku tidak faham mengapa setiap peristiwa yang pelik selalu dikaitkan dengan perkara mistik, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu lama.
Aku cuba melupakan seketika tentang tangisan itu sambil berpura-pura melihat telefon pintar. Media sosial dibuka tetapi tiada cerita yang menarik minatku. Hanya kisah perkahwinan dan penceraian selebriti sahaja terpapar. Mata masih belum berasa kantuk. Sambil termenung panjang, aku teringatkan kakakku.
Kelmarin aku melihat matanya bengkak dan kemerah-merahan. Tanda dia baru sahaja mengalirkan air matanya. Sebagai adik, aku cukup terkesan dengan kejadian yang berlaku pada dirinya, pada rumah tangganya. Mungkin dia rindukan anak-anaknya. Pada awal perceraiannya, hampir setiap malam aku melihat dia menangis. Dia kehilangan hak jagaan anaknya. Suaminya mendakwa dia mempunyai masalah mental. Tidak, kakakku tidak gila!
Tetapi pada malam ini, aku ingin lupakan seketika kisah kakakku. Bukan bermakna aku tidak prihatin akan nasibnya. Malah kami sekeluarga tidak pernah lekang dan bersama-sama menghadapi apa-apa jua rintangan dan dugaan hidup. Buat masa ini aku mendoakan agar dia terus kuat dan tabah untuk mendepani hari-hari mendatang serta diberikan peluang untuk menatap semula wajah anak-anaknya. Bukan sekadar itu, aku mengharapkan agar dia kembali mendapat hak penjagaan anak-anaknya. Sekali lagi, kakakku tidak gila!
Malam keesokannya, tangisan itu kedengaran lagi dari bahagian belakang dapur rumah. Aku tertanya-tanya sendirian kerana tangisan itu mirip sekali dengan bunyi kanak-kanak atau bayi menangis.
“Fikri tak usah takut. Itu bunyi musang menangis,” emak tiba-tiba menyampuk.
Aku terkesima. Pelik bercampur keliru. Musang menangis? Adakah musang juga menangis? Apakah kesedihan yang membelenggunya? Aku seolah-olah menyamakan situasi musang itu dengan manusia. Situasi yang dihadapi oleh kakak terus menjengah fikiranku. Adakah dia kehilangan anaknya juga?
Emak yang melihat aku termenung panjang seperti orang yang kebingungan menyambung kata-katanya.
“Usah fikirkan sebab apa musang itu menangis. Emak pun dengar daripada kata orang-orang tua juga. Tetapi apabila ditanya, mereka juga tiada jawapan yang kukuh. Dengar boleh, percaya jangan,” emak menamatkan bicaranya tanpa penjelasan yang wajar. Ceritanya tergantung tanpa penyudah.
Ketika aku keluar semula ke ruang tamu, televisyen kelihatan terpasang dan sedang menyiarkan cerita legenda Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, iaitu Musang Berjanggut. Teringat akan cerita itu, sewaktu kecil aku tidak mampu memahaminya kerana ia membawa kisah kenegaraan dan kepimpinan. Tetapi apabila sudah dewasa dan cerita itu ditonton kembali, ternyata ia membawa satu mesej yang besar. Cerita tersebut mengisahkan kritikan sosial yang tajam. Sesiapa pun pasti akan mengingati dialog yang dilantunkan dalam cerita tersebut.
“Salah jugak la. Tapi itu tak jadi apa. Sebab undang-undang dalam negeri, kanda yang bikin. Itu semua boleh padam.”
Mengapa semua orang bercerita tentang musang pada malam ini? Malah musang yang dikatakan menangis itu, mungkin sudah menjadikan kebun di bahagian belakang rumahku sebagai habitatnya. Maka risikonya kepada tanam-tanaman dan haiwan ternakan pada waktu malam. Musang menjadikan sebahagian tanaman atau haiwan ternakan terutamanya ayam kampung sebagai sumber makanannya. Musang memang terkenal sebagai haiwan pemangsa.
Beberapa hari lepas, aku juga ada terbaca sebuah cerpen Wan Nor Azriq, “Rahsia Adiwira Musang.” Ya, musang lagi. Cerita itu dimulakan dengan kisah suami isteri yang dikurniakan sepasang anak kembar yang merupakan dua ekor musang berbulu hitam dan putih. Aku pun tidak pasti apakah realistik dan simboliknya kehadiran musang dalam kehidupan manusia? Malah ada peribahasa Melayu menyebut “musang berbulu ayam” dan “serigala berbulu domba.” Peribahasa itu membawa maksud orang jahat yang menyamar sebagai orang baik.
Itulah hakikatnya, musang selalu digambarkan sebagai watak jahat. Malah dunia realitinya, seekor musang ialah spesies haiwan pemangsa yang selalu membuat kacau dan khianat, khususnya kepada haiwan ternakan yang dipelihara manusia. Musang juga selalu diilustrasikan dalam cerita dan komik kanak-kanak dengan watak antagonisnya. Pelbagai cerita musang dibawakan oleh penulis dan pengkarya kepada khalayak sama ada dalam bentuk tulisan atau animasi. Musang didatangkan dengan bermacam-macam haiwan lain seperti ayam, kambing, burung gagak dan kancil. Malah ada yang mengetengahkan kisah musang dengan buah anggur, gergasi ataupun menonjolkan kisah musang tanpa mengaitkan dengan watak lain.
***
Pada suatu malam, aku terjaga daripada tidur. Malam itu aku tidur lebih awal daripada biasa. Dalam kegelapan yang dibayangi sedikit cahaya bulan yang masuk melalui cermin jendela bilik, aku melihat seekor musang berada di hujung katilku. Awalnya aku menyangka musang itu akan menerkamku, tetapi itu semua tidak berlaku. Musang tersebut masih lagi kaku mendiamkan diri di tempat yang sama. Aku mendengar esak tangisnya. Sungguh syahdu sekali, mirip bunyi tangisan yang kedengaran dari kebun belakang rumah.
Aku seolah-olah kaget dengan situasi tersebut. Musang itu terus-menerus menangis dan aku hanya memerhatikan sahaja dari tempat tidurku. Aku terus menunggu tanpa melakukan apa-apa.
Tidak lama selepas itu, esak tangis tidak lagi kedengaran. Musang itu tiba-tiba bersuara.
“Usahlah engkau takut denganku atau takut mendengar tangisanku. Aku datang ke mari hanya untuk berkongsi cerita. Aku ingin berdamai dengan manusia.”
Aku berasa curiga dengan tujuannya. Benarkah musang itu memunculkan diri semata-mata untuk berdamai dengan manusia? Adakah benar manusia menganggap musang sebagai musuhnya? Jika perseteruan itu benar-benar berlaku sekalipun, pada aku ia tidak lebih daripada dorongan rasa marah akibat musang yang selalu mengganggu tanaman dan ternakan manusia. Jangan-jangan musang ini memang berniat jahat kepadaku. Mustahil seekor musang yang selalu digambarkan dengan watak antagonis dan berkelakuan buruk itu ingin berbaik-baik dengan manusia.
Musang itu menyambung bicaranya.
“Aku selalu dipersalahkan atas apa yang berlaku dalam kehidupan manusia. Memang aku diciptakan Tuhan sebagai haiwan liar yang sering dijadikan musuh kepada manusia. Aku selalu memakan haiwan ternakan mereka. Aku merosakkan tanaman mereka. Malah aku sering menakutkan anak-anak kecil mereka. Tapi aku hanya lakukan semua itu sesuai dengan fitrah kejadianku.”
Aku semakin teruja mendengar cerita musang itu. Daripada berbaring, aku mengubah posisi dengan duduk bersandar di kepala katil beralaskan sebutir bantal empuk.
Musang terus bercerita.
“Kisah aku mungkin senasib dengan haiwan-haiwan lain. Semalam monyet mengadu kepadaku, mengapa dirinya selalu dijadikan satira dan bandingan kepada kehidupan manusia? Apa sahaja yang buruk tentang kelakuan manusia terutamanya ahli politik disandarkan kepadanya. Monyet amat berdukacita. Dia tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan kepada manusia tetapi tetap digambarkan dengan situasi yang buruk.”
“Wahai manusia, bolehkah engkau lakukan sesuatu dan betulkan semula apa yang berlaku? Aku hanya keluar pada waktu malam kerana ingin mengelakkan diri daripada bertembung dengan manusia. Jika aku bertembung dengan manusia secara tidak sengaja, aku terus melarikan diri. Aku tidak berniat untuk menakut-nakutkan mereka, jauh sekali untuk menyakiti mereka. Aku keluar semata-mata untuk mencari sumber makanan demi meneruskan kelangsungan hidup.”
Tiba-tiba aku berasa sebak mendengar kisah musang itu. Memang benar manusia selalu menjadikan perbandingan kehidupan mereka dengan sesetengah haiwan. Bahkan ada yang kekal dengan pandangan yang buruk sejak zaman berzaman dan diterima oleh setiap generasi.
Aku tidak pasti mengapa ia digambarkan begitu atau sememangnya secara fitrahnya setiap haiwan itu ada sisi baik dan buruknya. Maka manusia terus membuat perbandingan sisi buruk manusia dengan sisi buruk sesuatu haiwan itu agar manusia lainnya berfikir dan mengambil iktibar. Namun akibat pelabelan itu, sesetengah haiwan terus dilihat buruk.
Contoh lain ialah anjing. Sekalipun anjing dihukum sebagai haram untuk dimakan bahkan disentuh dari sudut agama, itu tidak menjadikan anjing layak dipandang hina, disumpah seranah dan menerima sepak terajang manusia sesuka hati mereka. Malahan terdapat satu kisah yang masyhur tentang anjing dalam sastera Melayu, iaitu kisah anjing dengan bayang-bayang dan peribahasa “bagai anjing menyalak bukit.” Anjing terkenal dengan salakannya dan kebanyakan cerita seram pasti akan mengaitkan ceritanya dengan salakan anjing. Aku pun tidak tahu mengapa.
Sebaliknya dalam dunia realiti, anjing dikenali sebagai haiwan yang sangat setia. Bahkan masyhur kisah pemuda gua dan anjing yang dirakamkan dalam surah al-Kahfi oleh Allah SWT dalam al-Quran.
Aku melihat hujung katil. Musang itu sudah tiada. Dalam gelap aku bangun dari katil, memberanikan diri meraba-raba mencari suis lampu. Lampu segera menyala. Ternyata benar, musang itu sudah hilang dari pandangan mataku. Aku memerhati ke seluruh bilik, juga mendongak ke arah siling, sekalipun musang itu ialah haiwan yang boleh melompat dan memanjat, amat mustahil ia menuju ke arah siling. Seperti orang gila, aku mencari musang itu di bawah katil tetapi tiada. Aku membuka jendela dan mengintai ke luar di sebalik jeriji yang menghalang. Kemudiannya baru aku terfikir, bagaimana mungkin musang itu boleh melompat keluar melalui jendela yang tertutup?
Aku gagal melelapkan mata. Aku teringatkan kisah yang dikongsikan oleh musang. Aku teringatkan tangisannya. Telefon yang diletakkan di tepi bantal dicapai. Sudah pukul 4.30 pagi. Pada situasi ini, sudah agak sukar untuk aku kembali melelapkan mata menyambung tidurku. Cahaya lampu masih lagi dibiarkan terang-benderang menerangi seluruh bilik. Aku berpura-pura tidur dengan harapan aku benar-benar tertidur. Masa terus berlalu tetapi aku tetap terjaga. Sebaliknya mataku ini semakin cerah dan tetap tidak mahu menurut biarpun dipaksa untuk tidur.
Untuk kembali memadam lampu, rasa takut menjalar, membayangkan kalau-kalau musang itu tiba-tiba muncul dan menerkam aku dalam gelap. Akhirnya aku membuat keputusan untuk terus bangun daripada tidur dan mengisi waktu yang ada dengan solat, bacaan al-Quran dan amal lain yang selayaknya sementara menunggu azan subuh berkumandang. Aku melihat jam pada skrin telefon pintarku, masa sudah beranjak ke pukul 5.10 pagi.
Aku ingin melupakan kejadian pada malam ini. Andai aku ceritakan kepada emak atau sesiapa, pasti mereka tidak akan percaya, malah aku akan diketawakan. Tetapi apabila difikirkan kembali, benar juga apa yang telah disampaikan oleh musang itu.