Bidang kritikan, bukanlah bidang yang asing dalam dunia penulisan, khususnya dalam penulisan karya kreatif seperti novel, cerpen dan puisi. Bidang kritikan dilihat sebagai alat bantu atau batu loncatan kepada penulis untuk membaiki karya yang dihasilkan, bukan sahaja untuk menepati cita rasa pembaca mutakhir ini, malah boleh diangkat sebagai karya yang layak memenangi pelbagai anugerah pada peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Namun begitu, tidak semua penulis berlapang dada dan menerima kritikan yang dilontarkan oleh pengkritik. Malah, kritikan sering dianggap sebagai sesuatu yang negatif dan hanya untuk menjatuhkan sesebuah karya sahaja.
Ada sesetengah penulis tidak menyenangi kritikan yang dilontarkan, malah ada yang sukar untuk menerima kenyataan. Penulis sebegini dianggap tidak membuka minda sepenuhnya untuk menghasilkan karya yang berimpak tinggi pada masa akan datang.
Namun begitu, dalam situasi ini, kita tidak boleh menyalahkan penulis semata-mata kerana pihak pengkritik juga perlu mempunyai disiplin dan ilmu yang tinggi semasa mengkritik sesebuah karya. Hal ini penting agar kritikan yang diberikan ialah kritikan membina, bukan sekadar mencari kesalahan dan kelemahan.
Sikap tuduh-menuduh antara penulis dan pengkritik, khususnya penulis yang menganggap kedudukan dirinya berada di tahap atas berbanding dengan orang yang mengkritik karyanya menyebabkan timbul keadaan yang tidak disenangi oleh penulis tersebut. Lebih-lebih lagi pengkritik itu adalah dalam kalangan penulis juga. Namun begitu, tidak dinafikan terdapat penulis yang mengambil sikap merendah diri untuk menerima pendapat pengkritik untuk membaiki mutu karyanya pada masa akan datang.
Sebenarnya, hal ini bergantung kepada pengkritik yang mengkritik sesebuah karya itu sendiri. Jika beliau seorang pengkritik yang profesional, berilmu, berpengalaman luas dan memang mahir dalam dunia penulisan, pasti kritikannya itu tidak semberono. Malahan, kritikannya diperkukuh dengan segala pengetahuan, fakta dan ilmu yang dimilikinya.
Golongan penulis seharusnya berlapang dada apabila karya mereka dipilih untuk menerima teguran atau kritikan jika diangkat untuk diperkatakan oleh golongan profesional. Hal ini disebabkan, tanpa kajian dan penelitian yang mendalam, seseorang penulis tidak akan tahu kelemahan dan kekurangan karya yang mereka hasilkan.
Apabila melontarkan sebarang kritikan, sebaik-baiknya pengkritik membaca keseluruhan karya, bukan sekadar membaca tajuk, melangkaui pembacaan dan kemudian mengkritik secara tidak cermat dan kurang teliti. Pengkritik seperti ini bukan sahaja dilihat tidak profesional, malah dilihat mengkritik secara emosional.
Sesuatu yang amat dikesali apabila kritikan itu semata-mata hanya untuk mencari kelemahan dan memperlekeh para penulis. Bukankah kritikan yang jujur akan membangkitkan semangat untuk penulis terus berkarya?
Pengkritik yang emosional memang sangat dibenci oleh para penulis. Mengkritik mengikut emosi semata-mata seolah-olah memperkecil kemampuan orang lain berbanding dirinya. Pengkritik sedemikian bukan sahaja boleh membantutkan semangat untuk terus berkarya, terutama bagi penulis yang baru berjinak-jinak dalam dunia penulisan. Bagi penulis yang baharu dalam dunia penulisan, masih banyak perkara yang perlu diketahui dan dipelajari. Tidak seperti penulis lama yang telah banyak pengalaman dalam dunia penulisan.
Oleh hal yang demikian, pengkritik yang hebat dan profesional haruslah telus, bijaksana dan berhemah. Lakukan kritikan dengan jujur dan niat yang murni, bukannya mengkritik untuk menunjukkan kehebatan diri. Apabila kritikan itu dilakukan dengan benar dan membina, sepahit dan sepedas apa pun kritikan yang dilontarkan, kritikan itu akan diterima dengan lapang dada oleh penulis yang sentiasa terbuka minda untuk terus belajar dan ditunjuk ajar. Penulis yang benar-benar bijak dan matang pasti tahu membezakan antara kritikan yang positif dan negatif.
Bergantung kepada persepsi masing-masing untuk menerima kritikan bagi membaiki kelemahan dan kekurangan diri bagi menghasilkan karya yang terbaik. Jika semua kritikan itu sentiasa dianggap negatif dan mahu menjatuhkan seseorang penulis, maka tidak hairanlah mereka akan jatuh dengan sendiri meskipun tanpa kritikan oleh sesiapa pun.
Karya yang terbiar dan tidak disentuh menandakan karya itu tidak menarik perhatian untuk dijadikan bahan bacaan dan kritikan, apatah lagi untuk diperhalusi isinya. Keadaan ini amat merugikan penulis itu sendiri.
Untuk apa membazirkan masa menghasilkan karya jika karya itu tidak dapat memberikan kesan kepada pembaca atau pengkritik untuk diberikan komentar dan penambahbaikan. Setiap penulis harus memastikan karyanya tidak kekal berada dalam pemikiran yang tidak berkembang dan tidak terbuka menerima perubahan dan saingan. Jangan biarkan hasil sesuatu karya kekal sama dan tidak ada pembaharuan. Seseorang penulis perlu ada keberanian untuk meneroka semua gaya penulisan agar karyanya dapat pergi lebih jauh. Usah menjadi penulis yang semangat dan daya juangnya terlalu lemah untuk beranjak jauh ke hadapan.
Budaya mengampu, membodek dan kronisme dalam dunia penulisan juga perlu dihakis agar tidak merosakkan dunia seni dan sastera tanah air dengan sikap penulis yang tidak mahu bersusah payah. Kebanyakan penulis dilihat kurang bersedia untuk mengikut proses dalam penerbitan karyanya, khususnya dalam penilaian karya secara telus berdasarkan kualiti. Proses penilaian dan penerbitan karya tidak seharusnya dilakukan kerana mengenali siapa editor atau pengarang dalam mana-mana rumah penerbitan. Sikap profesional itu penting dalam berurusan secara rasmi.
Memandangkan dunia sastera pada masa ini sudah beranjak ke era baharu yang lebih mencabar dan semakin moden, maka diharapkan akhbar dan majalah terbitan arus perdana juga bergerak maju terus ke hadapan. Hal ini bermakna, penilaian karya harus dilakukan dengan lebih telus agar karya yang baik dapat diketengahkan tanpa mengira siapa penulisnya. Penilaian karya harus dilakukan secara adil dan berdasarkan kualiti ataupun kriteria tertentu.
Keseimbangan ini amat diperlukan agar ruang dan peluang tetap diberikan sama rata kepada semua penulis. Hal ini juga menjadi antara faktor yang mendorong penulis untuk terus berdaya saing dalam menghasilkan karya yang bermutu, malah karya itu tidak lagi dianggap sampah apabila terbit dalam media arus perdana oleh pengkritik laman maya yang tidak berkredibiliti dan berintegriti.
