KEDENGARAN bunyi enjin kereta dihidupkan. Belum sempat Ali mengejar, kereta tersebut sudah hilang daripada pandangannya. Ali mengeluh. Sekali lagi, dia ditinggalkan sendirian di rumah.
Ali bin Mustafa ialah seorang remaja berumur 16 tahun dan bersekolah di SMK Permai. Ayahnya, Mustafa, bekerja di sebuah syarikat terkemuka di ibu kota. Ibunya pula sudah lama meninggal dunia sewaktu melahirkannya. Sejak itu, hubungan antara mereka bukan lagi seperti ayah dan anak, sebaliknya lebih kepada orang asing yang tinggal serumah.
Pinggan terlepas daripada genggaman tangan Ali. Butiran nasi dan lauk bertaburan lalu mengotori lantai dapur. Ali tergamam. Dia terasa seperti ada yang memerhatikannya dengan perasaan marah, seperti harimau yang sedang memerhati mangsanya untuk dibaham.
“Kau memang anak tidak berguna! Sebab itulah aku malas nak menjaga kau. Kaulah punca isteri aku mati!” jerkah Mustafa.
Jerkahan tersebut masih terngiang-ngiang di telinganya. Begitu besar kebencian ayahnya terhadap dirinya. Disebabkan itu, dia sering diabaikan oleh ayahnya sendiri, Ali sangat dahagakan kasih sayang dan perhatian. Dia mula menjadi remaja yang suka memberontak. Segala gejala sosial seperti melepak, merokok dan merempit pernah dilakukannya demi mengisi kekosongan dalam hidupnya.***
Kring! Kring!
Bunyi loceng menandakan tamatnya waktu rehat, namun tidak mengubah kedudukan Ali yang masih duduk melepak di kantin. Seorang demi seorang rakannya bangun dan berlalu pergi untuk kembali ke kelas. Dia pula masih teragak-agak sama ada mahu mengikuti sesi pembelajaran seterusnya atau meneruskan niatnya untuk ponteng sekolah. Dari jauh, kelihatan Cikgu Samsiah, guru disiplin sekolah, mula meronda untuk mencari “mangsa” yang akan didenda.
‘Daripada aku asyik-asyik didenda, lebih baik aku lari,’ bisiknya di dalam hati.
Ali memanjat pagar sekolah yang terletak di belakang kantin. Kakinya terus melangkah tanpa hala tuju. Lorong yang sunyi itu hanya ditemani oleh dirinya dan fikirannya. Tiba-tiba, terdetik dalam fikirannya untuk menziarahi pusara ibunya yang amat dirindui.
Sedang asyik dia melayan perasaan, tiba-tiba bahunya dilanggar oleh seseorang yang tidak dikenalinya sehingga menyebabkan dia terjatuh. Belum sempat Ali menoleh, dalam sekelip mata orang yang melanggarnya itu berlari pantas meninggalkannya. Ali hanya mampu terpinga-pinga.
Ali bangkit semula, namun tidak lama selepas itu, kedengaran bunyi siren kereta polis semakin kuat menghampirinya.
Wiu-wiu! Wiu-wiu!
Bunyi hon yang panjang menghentikan langkahnya. Dia berpaling ke belakang lalu melihat dua orang anggota polis keluar dari kereta dengan tergesa-gesa. Belum sempat Ali bertanya, tiba-tiba sahaja tangannya direntap kuat lalu diletakkan di belakang pinggangnya. Dia terkedu.
“Eh! Kenapa ni, encik?” Ali mula gelisah.
“Kamu ditangkap kerana cubaan mencuri. Apa-apa boleh dibincangkan di balai,” kata salah seorang anggota polis yang sedang mencengkam kuat lengan Ali.
Ali berusaha melepaskan diri. Dia tahu dia tidak bersalah, namun anggota polis tersebut tidak mengendahkan rontaannya. Dia dipaksa masuk ke dalam kereta tanpa kerelaannya. Belum sempat Ali dimasukkan ke dalam kereta, tiba-tiba sahaja bunyi hon dari kereta mewah itu menarik perhatian mereka bertiga. Ali tergamam.
Ayah!
***
Mustafa meluru keluar dari kereta dengan wajah cemas. Nafasnya tercungap-cungap, seolah-olah dia memandu selaju mungkin untuk sampai ke situ. Pandangannya tepat tertumpu kepada Ali yang sedang dicengkam oleh kedua-dua anggota polis itu.
“Lepaskan anak saya!” jerit Mustafa.
Ali tergamam. Dia tidak pernah melihat ayahnya begitu cemas akan dirinya.
“Untuk makluman, anak encik disyaki terlibat dalam kes cubaan mencuri,” kata salah seorang anggota polis sambil menunjukkan dompet yang ditemui di dalam beg sekolah Ali.
Ali segera menafikan pertuduhan itu dengan menggelengkan kepalanya berkali-kali.
“Saya tak curi! Saya tak tahu macam mana dompet tu berada dalam beg saya!” tegas Ali.
“Bohong!” bentak seorang anggota polis dengan suara keras.
“Saksi ada melihat kamu berlari dari lorong belakang,” sambung anggota polis itu.
Ali menelan air liur. Dia menarik nafas perlahan-lahan.
“Saya berlari bukan sebab mencuri! Tapi …” Ali menundukkan kepala.
“Saya berlari dari lorong belakang sebab saya ponteng sekolah,” gumamnya perlahan.
Mustafa memandang wajah anaknya. Untuk beberapa saat, suasana menjadi sunyi. Ali menggigit bibir menahan sebak. Dia sudah bersedia jika ayahnya sekali lagi menyalahkannya seperti kebiasaannya.
Mustafa melangkah ke hadapannya. Cepat-cepat Ali memejamkan matanya. Dia tahu bahawa sebentar lagi tangan kekar itu akan singgah di pipinya. Dia tahu ayahnya pasti akan marah besar.
“Anak saya bukan pencuri!” tutur Mustafa tegas.
Ali membulatkan mata. Dia terkedu mendengar pernyataan yang keluar daripada mulut ayahnya.
“Encik, kami cuma menjalankan tugas,” kata kedua-dua anggota polis tersebut.
“Saya nampak sendiri apa yang berlaku,” balas Mustafa.
Kedua-dua anggota polis itu saling berpandangan.
“Tadi saya nampak seorang lelaki berlari keluar dari lorong itu sambil melanggar anak saya. Lelaki itu yang mencuri, bukan anak saya,” terang Mustafa.
Ali memandang ayahnya dengan perasaan yang bercampur baur. Tidak pernah sekali pun ayahnya mempertahankan dirinya sebelum ini.
“Saya mengekori anak saya dari sekolah tadi,” sambung Mustafa perlahan.
Ali semakin terpinga-pinga.
“Encik mengekori dia?”
Mustafa menghela nafas berat.
“Sudah lama saya perhatikan dia dari jauh.”
Kata-kata itu membuatkan Ali terasa seperti jantungnya berhenti seketika.
“Saya tahu dia ponteng sekolah. Saya tahu dia merokok. Saya tahu dia selalu balik lewat malam.”
Ali menundukkan wajahnya. Dia malu akan perbuatannya yang telah menconteng arang ke muka ayahnya.
“Tetapi saya juga tahu bahawa dia selalu mengunjungi kubur arwah ibunya.”
Air muka Ali berubah. Dadanya mula terasa sesak.
“Kadang-kadang … saya melihat dia tertidur di meja makan kerana menunggu saya pulang dari kerja.”
Suara Mustafa semakin perlahan.
“Saya nampak semuanya … namun saya tidak tahu bagaimana menjadi seorang ayah yang baik.”
Ali terpaku. Selama ini dia menyangka dirinya diabaikan.
Salah seorang anggota polis mula bersuara.
“Kalau macam itu, kami perlukan bukti yang lebih kukuh.”
“Tuan boleh melihat rakaman papan pemuka kereta saya. Saya memang meletakkan kenderaan di hujung lorong tadi,” kata Mustafa.
Anggota polis tersebut mengikut Mustafa ke kereta. Rakaman daripada papan pemuka disambungkan ke telefon bimbit lalu video itu ditayangkan.
Kelihatan jelas seorang lelaki berbaju hitam berlari keluar dari lorong sambil menoleh ke belakang dalam keadaan panik. Beberapa saat kemudian, lelaki itu melanggar Ali dengan kuat sebelum sesuatu diselitkan dengan pantas ke dalam beg sekolahnya.
Selepas itu, lelaki tersebut terus melarikan diri dan rakaman pun berhenti. Wajah kedua-dua anggota polis mula berubah.
“Budak ni memang tidak bersalah …” kata salah seorang anggota polis setelah melihat rakaman itu.
Ali terkedu. Matanya mula terasa panas. Bukan kerana dia dibebaskan daripada pertuduhan mencuri, tetapi kerana buat pertama kali dalam hidupnya … ayahnya datang untuk menyelamatkannya.
“Maafkan kami, dik. Kami tersalah sangka dan menuduh adik tanpa bukti yang kukuh,” ujar anggota polis itu.
Ali hanya mampu mengangguk perlahan. Lututnya terasa lemah akibat terlalu terkejut. Anggota polis dan orang ramai mula beredar, meninggalkan mereka berdua di lorong sunyi itu. Hanya bunyi angin petang menemani kesunyian antara seorang ayah dan anak.
Ali berdiri membatu. Mustafa pula seolah-olah sedang bertarung dengan dirinya sendiri, namun akhirnya lelaki itu bersuara juga.
“Ali … .”
Anak remaja itu berpaling perlahan.
“Maafkan ayah,” ujar Mustafa dengan suara sayu.
Ali tergaman. Dua patah perkataan itu terasa terlalu asing di telinganya apabila keluar daripada mulut ayahnya.
“Selama ni ayah terlalu salahkan takdir sampai ayah lupa, kau pun kehilangan ibu,” air mata mula bergenang di tubir mata Mustafa.
“Setiap kali ayah melihat wajah kau, ayah teringat akan ibu kau. Ayah cuba membenci kau sebab ayah tak sanggup menerima kenyataan bahawa ibu kau sudah tiada lagi di dunia ini,” suara Mustafa mula bergetar.
“Tetapi hari ni, apabila ayah melihat polis menarik kau seperti seorang penjenayah, ayah menjadi takut. Ayah takut kehilangan kau juga,” sambung Mustafa.
Ali memandang ayahnya tanpa berkedip.
Air mata Ali akhirnya jatuh juga, membasahi pipi. Segala perasaan marah, kecewa dan keinginan untuk melarikan diri yang terpendam bertahun-tahun seakan-akan runtuh perlahan-lahan.
“Kalau ayah sayang Ali, kenapa ayah selalu menjauhkan diri daripada Ali?” soalnya dalam esak tangis.
Mustafa menutup mata seketika sebelum menjawab.
“Sebab ayah lemah.”
Jawapan itu membuatkan Ali semakin sebak.
“Ayah ingat dengan bekerja keras dan memberi nafkah sudah cukup untuk menjadi ayah yang baik, namun ayah silap,” ujar Mustafa dengan penuh penyesalan.
Perlahan-lahan Mustafa mendekati anaknya. Mustafa menarik Ali ke dalam pelukannya. Pelukan itu erat dan hangat. Pelukan yang terlalu lama dirindui oleh seorang anak bernama Ali.
Tangisan Ali pecah di bahu ayahnya, begitu juga Mustafa yang turut menitiskan air mata. Bertahun-tahun Ali cuba melarikan diri daripada kesunyian hidupnya. Bertahun-tahun juga dia mencari kasih sayang di tempat yang salah. Rupa-rupanya, kasih itu masih ada, cuma terlindung di sebalik luka dan ego seorang ayah.
Mustafa sedar akan kesilapan yang telah dia lakukannya. Kini, dia berjanji dalam pelukan anaknya bahawa dia akan memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayangnya kepada Ali yang selama ini diabaikannya.
