Skip to content
Lelaki yang Kehilangan Kunci
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Lelaki yang Kehilangan Kunci
Lelaki yang Kehilangan Kunci
Cerpen

Lelaki yang Kehilangan Kunci

  • Sitti Azizah Binti Sahaji
  • 21 November 2025
  • DBP Cawangan Sabah
  • 205
  • 4.8

SETELAH kami selesai meninjau dewan seminar di tingkat empat Hotel Elopura, iaitu Dewan Silingan, sebuah ruang luas berhawa dingin beku seperti peti ais kenangan nenekku. Peti ais yang menyimpan air zamzam dan tapai pulut itu masih segar dalam ingatanku. Di situlah tempat acara Sastera Antarabangsa anjuran persatuan kami bakal berlangsung tiga hari lagi, Datuk Awang, Pengerusi Agung merangkap penceramah utama, mengajak kami turun ke lobi.

“Ada surat penting perlu dihantar ke Kementerian Kewangan,” katanya dengan nada suara yang sentiasa punya watak dramatik.

“Permohonan sumbangan.” Balasnya lagi.

“Nanti Dayang dan Nurul hantar ke pejabat kementerian di tingkat dua.” Pandangan Datuk beralih ke arah Dayang, kemudian kepadaku.

“Baik Datuk.” Hampir serentak suara kami menjawab.

“Suratnya mana, Datuk?” tanya Dayang. Tanpa menjawab, Datuk menuju ke bonet belakang kereta lalu sibuk mencarinya.

Aku tahu benar mengapa Dayang cepat-cepat bertanya tentang surat itu. Pastilah kerana dia tidak mahu peristiwa lama berulang, atau pisang berbuah dua kali. Seingatku, “Surat Permohonan Sumbangan” yang selalu tertinggal ini memang kerap terjadi dan berulang kali. Jika tidak tertinggal di pejabat penerbitan Datuk, pasti tertinggal di rumah atau dalam kereta. Pernah juga surat seperti itu tertinggal di sebuah Kedai Kopi Soto Makassar di Leboh 2, Sandakan. Itu pun kerana Datuk pitam selepas menghabiskan semangkuk soto.

Dan apa yang Dayang khuatirkan, benar-benar berlaku. Surat itu tiada dalam kereta.

“Oh, ya, surat itu ada dalam Proton Wira lama yang diletakkan di rumah aku. Aduh, saat-saat penting begini, boleh pula surat itu tertinggal di tempat lain. Padahal seingat aku, surat itu sudah kuletak di belakang,” keluh Datuk memanjang.

“Jom, kita ambil di rumah aku.” Suaranya kedengaran kelakar tetapi sarat dengan nada perintah.

Kami serentak mengangguk. Aku yang hanya bertugas sebagai Jawatankuasa Biro Tugas-tugas Kecil lagilah tidak banyak soal. Kami dalam persatuan, sudah cukup maklum, jika Datuk menyebut “surat penting”, maknanya benar-benar penting. Hal ini kerana dalam dunia sastera ini, makna “penting” selalunya kabur, antara projek dan puisi, antara mesyuarat dan mimpi.

Kami pun masuk ke dalam Toyota Harrier, kereta kedua Datuk, yang dipandu sendiri olehnya. Datuk Awang, lelaki tua berkarisma, berkopiah putih bersulam benang emas, berkasut kulit jenama Denim dalam setiap acara rasmi tetapi beliau lebih selesa berselipar Jepun cap Kedai Jaya apabila memandu.

“Sudah sedia?” tanya Datuk sambil memutar kunci kereta.

Kak Luhai (Timbalan Pengerusi), Cik Dayang (Setiausaha), Puan Murni (Bendahari) dan aku duduk dalam kereta mengikut urutan protokol tidak rasmi. Murni tidak akan sudi duduk di belakang jika tiada yang lebih tua di hadapan. Aku pula hanya berpeluang duduk depan jika jadi pemandu. Begitulah hierarki yang tidak pernah dilafazkan tetapi selalu difahami.

Perjalanan ke rumah Datuk lancar diiringi siaran Radio Klasik FM. Hotel Elopura di Jalan Pryer, Sandakan hanya sepuluh minit dari Astana Heights, kediaman Datuk. Jalan itu teduh dengan rimbun pohon dari Leboh 1 hingga Jalan Istana yang menyimpan Rumah Agnes Keith, penulis wanita Australia yang menjuluki Sabah sebagai Negeri di Bawah Bayu.

Kami mengusir kantuk dengan sembang dari segala penjuru. Semuanya tentang majlis Sastera Antarabangsa, isu bantahan dari Beruang Matahari di Sepilok, kematian pelajar di asrama, penolakan puisi esei, semuanya melintas hinggalah tiba ke destinasi.

“Eh, kunci Proton Wira aku mana?” Suara Datuk tiba-tiba cemas.

Seluruh jantung kami gugur. Yang tadinya sopan, berubah panik. Kata “kunci” yang disebut seolah-olah malaikat pencatat turun dari langit.

“Datuk rasa letak di mana tadi?” Tanya Kak Luhai–bidan terjun segala malapetaka; daripada manuskrip tidak siap,  resit invois, sehinggalah ke kek cawan basi.

“Aku rasa dalam kereta ini,” ujar Datuk, mata dan tangannya ligat menyelongkar kereta.

Kami turut serta. Seperti upacara suci mencari kehilangan. Mulut masing-masing mula berdoa.

“Ya Allah, kembalikanlah kunci itu sebagaimana Engkau mengembalikan Yusuf kepada Yaakub.”

Pintu kereta dibuka. Laci kecil diselongkar. Bonet diangkat. Beg buku, kotak fail, payung kembang dan kasut sukan lama diselongkar seperti mencari tamadun purba. Kasut sukan berdebu, saksi zaman pentadbiran Tun, menyimpan bau takdir yang gagal disempurnakan.

“Tidak ada, langsung tidak ada. Walhal saya sudah membaca surah Yasin ayat ke-36 sepanjang pencarian tadi.” Laporku kepada Datuk.

“Mungkin kunci tu merajuk atau sedang bertapa.” Kata Datuk.

“Betul Datuk. Kak Luhai yang ajar. Baca ayat 36 surah Yasin untuk mencari barang hilang.”

“Kunci itu tidak mungkin ghaib,” gumam Datuk, seperti lelaki yang pernah kehilangan sesuatu yang lebih berharga.

“Jika ghaib, bermakna kita sedang diuji oleh Yang Maha Menyembunyikan.”

Suasana menjadi seperti upacara ritual. Seolah-olah kunci itu makhluk ghaib yang sedang menguji keimanan kami. Bukan sekadar objek logam plastik, tetapi simbol kehilangan paling dekat. Kunci itu seolah-olah punya kehendak sendiri dan memilih menyorok seperti jin yang geli hati.

Kami terus menyelongkar. Aku memutarbalikkan beg Datuk sehingga berterabur semua–berus gigi, pasta, pengecas telefon, syiling, resit.

Datuk masuk ke dalam rumah dan beliau keluar semula. Kami mengikut. Turun naik. Buka tutup. 

Sejam berlalu. Matahari naik perlahan seperti keputusan yang tertangguh. Peluh Kak Luhai membasahi tudung satinnya. Dayang duduk di tangga menyusun semula nota mesyuarat sambil menanggalkan dawai kokot.

Aku mula tergoda menulis puisi bertajuk “Elegi Segugus Kunci”.

“Tak apalah,” kata Datuk. “Lebih baik kita bergerak sekarang. Aku hantar kamu ke Rumah Persatuan.”

Kami masuk semula dalam kereta. Penyaman udara seperti zikir yang menenangkan.

“Sekejap lagi Datin mahu pulang. Kunci pendua ada padanya. Esoklah kita hantar surat.”

Kereta mula bergerak. Dua puluh minit berlalu.

Tiba-tiba, suara Datuk kedengaran.

“Luhai, cuba kautengok saku pintu sebelah sana.” Gesa Datuk.

Kak Luhai menoleh. Tenang, dia menyeluk saku pintu dan menarik segugus kunci–bulat dan lonjong, berlogo Proton.

“Ini?” soalnya.

“Nah!” seru Datuk sambil menepuk dahi.

“Agaknya tadi aku lupa letak “niat”. Kalau tidak, aku belanja kamu makan soto,” katanya, mengingatkan aku pada arwah bapa yang juga sering lupa letak “niat”. Tetapi arwah tidak pernah lupa di mana dia sembunyikan senyumannya.

Kemudian, dengan nada dramatik yang ditahan, dia menambah, “Eh!”

“Eh?” Kami serentak meniru nadanya. Seperti lagu rakyat spontan. Ketawa pun pecah. Rasanya akulah yang paling kuat bunyi ketawa ketika itu.

Kunci itu juga seperti ketawa. Seakan-akan punya roh kecil yang tertawa melihat kami seperti pelakon boneka.

“Tadi aku sudah tunjuk, tetapi Datuk cakap, bukan itu,” ujar Kak Luhai.

Tawa kami meledak–bukan kerana terlalu lucu, tetapi kerana letih mencari sesuatu yang sejak tadi ada.

Kami berpatah balik ke rumah Datuk.

Proton Wira tua itu menyimpan lebih daripada sekadar surat. Kereta itu menyimpan sejarah persatuan dan sebahagian hidup Datuk.

Datuk membuka bonet. Sampul surat putih memang ada. Tetapi isi di dalamnya kosong.

Keriuhan kembali. Nada kecewa. Semua menyeluk semula. Ulang selongkar. Kali ini lebih perlahan. Lebih diam. Seolah-olah faham bahawa setiap benda akan ditemui dengan sabar.

Akhirnya, dalam kotak yang kami rasa sudah diselongkar, Datuk temukan surat penting itu yang  terselit di antara surat lain.

“Ini dia,” katanya, antara lega dan malu.

Anehnya, aku melihat surat itu seakan memerli kami.

Mungkin dalam dunia yang terlalu sibuk mencari, manusia lupa bahawa kehilangan bukan selalu tentang barang, tetapi tentang ingatan.

Kami terduduk. Lemas dalam ketawa kecil–lebih seperti keluhan.

Surat dan kunci, dua benda yang menyebabkan kekecohan separuh hari. Rupanya-rupanya tidak pernah hilang. Semuanya ada bersama-sama kami sejak awal.

Kak Luhai bersandar. Dayang memejamkan mata sejenak. Kami membayangkan suasana esok pagi untuk menghantar surat itu ke tingkat dua.

Datuk sempat mengusik Dayang.

“Itulah engkau Dayang, engkau tidak membaca betul manteramu.”

“Sudah kubaca, Datuk. Tetapi banyak mantera yang aku lupa.”

“Itulah, kehilangan kita berganda. Lepas kunci, menyusul pula surat,” kata Murni sambil menyusun semula belanjawan persatuan.

Tawa kami meningkah. Dalam hati, aku tahu cerpen ini sudah terbentuk dan bertajuk “Lelaki yang Kehilangan Kunci.” Kunci yang selalu berada di tempat paling kita enggan periksa, iaitu dalam diri sendiri.

Dan Datuk? Sudah duduk di tempat pemandu. Tetapi sebelum menekan pedal, dia berpaling, memandang kami satu per satu. Matanya berkaca. Mungkin kerana matahari atau mungkin juga kerana sesuatu yang lebih mendalam.

Dengan nada perlahan, seperti bait puisi beliau melontarkan sesuatu.

“Kadang-kadang kita mencari sangat sesuatu, sampai kita tidak sedar sesuatu itu sebenarnya duduk diam-diam dalam hidup kita, tidak bergerak, tetapi sentiasa melihat. Seperti doa yang belum kita ucap atau jawapan yang kita takut untuk terima. Kadang-kadang pula, kita sangat kuat mencari sesuatu, sampai sesuatu itu sendiri malu hendak muncul. Sebab dia tahu, kita belum bersedia menerimanya.”

Tiada siapa menyahut tetapi semuanya terkesan dengan kata-kata itu.

Dan aku, si tukang kemas, diam-diam menyusun semula barang-barang dari beg Datuk–berus gigi, pasta, pengecas telefon, syiling dan resit-resit pembelian.

Mungkin aku belum layak menulis puisi tentang kehilangan.

Tetapi aku tahu, aku tidak akan lagi mencari terlalu keras sesuatu yang sedang duduk diam dalam hidupku.

 

Kredit: Lukisan Encik Charles Anak Leo, Pelatih Industri di DBP Cawangan Sabah

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

سروان كڤد اخوات
Puisi Moden

سروان كڤد اخوات

  • 5 Januari 2024
  • 4
Indah Damainya Aidilfitri dalam Pantun Abdul Halim “R”
Bicara Bahasa

Indah Damainya Aidilfitri dalam Pantun Abdul Halim “R”

  • 20 Mac 2026
  • 94
  • 5
Unsur Sastera dalam Masyarakat
Bicara Sastera

Unsur Sastera dalam Masyarakat

  • 20 Mei 2026
  • 40
Medan Tarikan
Cerpen

Medan Tarikan

  • 5 Oktober 2024
  • 287
  • 4

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP