Skip to content
Loceng Tidak Lagi Berdentang
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Loceng Tidak Lagi Berdentang
Loceng Tidak Lagi Berdentang
Cerpen

Loceng Tidak Lagi Berdentang

  • Abdul Halim Abdullah
  • 20 Mei 2026
  • DBP Wilayah Selatan
  • 646
  • 4.8

LOCENG itu masih di situ. Pada tempat yang sama seperti puluhan tahun dahulu, walaupun generasi guru dan murid datang dan pergi silih berganti. Yang berubah hanyalah rupanya dan bunyi yang terhasil daripadanya. Pada suatu masa dahulu, loceng itu diperbuat daripada tembaga. Tubuhnya melengkung, melebar perlahan ke arah bahagian bawah seperti mangkuk yang dibalikkan. Di tengah-tengahnya tergantung pemukul kecil yang menunggu sentuhan. Apabila tangan manusia menggoyangkannya, bunyi logam yang bergema akan merebak ke seluruh kawasan sekolah. Loceng itu digantung pada pendakap kayu yang sudah licin disentuh masa. Ia menjadi penanda bagi hampir setiap detik kehidupan di sekolah. Tamat kelas. Waktu rehat. Masa berhimpun di dewan. Sekali loceng digoyangkan, gema bunyinya berlari dari satu bilik darjah ke bilik darjah yang lain.

Hari ini loceng masih ada di situ, tetapi dalam bentuk yang lain. Tiada lagi tangan manusia yang menggoyangkannya. Kini bunyinya lahir daripada sentuhan elektrik. Sebuah cakera bulat yang tebal dipasang pada tapak logam. Di tengah-tengahnya terdapat nat sebagai paksi, manakala di sisinya terjulur lengan kecil yang bergerak memukul cakera itu setiap kali arus mengalir. Bentuknya kecil. Namun gema yang lahir daripadanya besar. Apabila bunyi itu berkumandang, tubuh-tubuh kecil di dalam bilik darjah bergerak hampir serentak. Buku ditutup. Pensel dimasukkan ke dalam bekas. Beg sekolah dibuka dengan tergesa-gesa. Pergerakan mereka lebih pantas daripada fikiran sendiri. Seolah-olah locenglah yang paling berkuasa di sekolah. Bukan guru besar, bukan guru di hadapan kelas.

Farid, guru kelas 3 Budi, masih berdiri di hadapan papan putih ketika loceng berbunyi. Kata-katanya belum habis. Namun, murid-murid sudah mula mengemas.

“Cikgu, kelas dah habis,” kata seorang murid dari barisan belakang sambil menyumbat buku ke dalam beg. Yang lain turut melakukan perkara yang sama. Meja-meja berbunyi. Kerusi ditarik ke belakang. Farid tersenyum kecil. Dia tetap meneruskan ayatnya walaupun dia tahu kata-kata itu sudah tidak didengar lagi. Di hadapannya, murid-murid bergerak seperti robot yang diprogramkan oleh bunyi yang sama setiap hari.

Farid teringat sesuatu yang pernah dipelajarinya ketika berada di universiti mengikuti latihan perguruan. Sebuah eksperimen lama tentang seekor anjing yang mengeluarkan air liur setiap kali mendengar bunyi loceng yang selalu dipasangkan bersama-sama makanan.

Dia juga teringat sebuah kotak eksperimen. Seekor tikus menekan tuas untuk mendapatkan makanan. Tikus itu menekan lagi dan lagi, bukan kerana memahami, tetapi kerana terbiasa dengan ganjaran. Farid memandang kelasnya. Adakah bunyi loceng itu tidak jauh bezanya dengan tuas dalam kotak eksperimen itu?

Namun demikian, manusia bukan binatang. Manusia dikurniakan akal. Loceng hanyalah isyarat. Isyarat kepada perubahan waktu. Isyarat kepada peralihan. Tetapi isyarat yang terlalu kuat kadang-kadang menjadikan kepatuhan lebih mudah daripada berfikir. Farid memandang wajah-wajah muda di hadapannya. Adakah mereka belajar kerana ingin tahu, atau sekadar menunggu bunyi itu? Loceng masih berdentang di luar. Farid sendiri tidak pasti sama ada dia sedang mendidik, atau loceng yang sebenarnya mengawal anak-anak didiknya.

***

Di bilik guru, Farid menandai lembaran kerja murid-muridnya. Tulisan tangan yang berbeza-beza memenuhi kertas. Ada jawapan yang tepat, ada yang hampir tepat, dan ada yang menyimpang jauh. Dia tersenyum sendirian melihat jalan kerja yang beraneka itu.

Beberapa dekad yang lalu, dia pernah duduk di barisan belakang sebuah bilik darjah yang hampir serupa. Meja kayu yang berkeriut. Kipas siling yang berputar perlahan. Papan hitam yang menjadi saksi siapa yang dipuji dan siapa yang sekadar mengisi ruang.

Farid bukan murid cemerlang pada awalnya. Namanya jarang-jarang disebut ketika keputusan peperiksaan diumumkan. Tidak pernah menjadi contoh kepada jawapan terbaik. Apatah lagi naik ke pentas menerima hadiah. Setiap kali kertas ujian dipulangkan, dia belajar membaca wajah guru sebelum membaca markahnya sendiri. Andai markah rendah, dahi guru berkerut, andai sederhana, hanya anggukan hambar, andai sedikit tinggi, tetap tiada apa-apa yang berubah. Tiada tepukan. Tiada pujian yang menyala.

Di dalam kelas itu sebenarnya wujud satu sistem yang tidak pernah ditulis tetapi sentiasa berfungsi. Pelekat bintang dilekatkan pada buku murid tertentu. Nama mereka disebut dengan nada yang lebih cerah. Jawapan mereka dijadikan contoh kepada seluruh kelas. Tanpa disedari, murid-murid lain belajar sesuatu yang lebih dalam daripada isi pelajaran. Mereka belajar bahawa tingkah laku tertentu membawa ganjaran. Kesilapan pula membawa rasa malu yang halus tetapi menyakitkan. Ganjaran bukan sekadar hadiah. Ia pengiktirafan. Hukuman pula bukan semestinya rotan. Kadang-kadang cukup dengan senyap yang memalukan atau perbandingan yang melukakan secara perlahan.

Farid masih ingat suatu hari ketika dia memberanikan diri mengangkat tangan untuk menjawab soalan matematik. Jawapannya salah. Tiada jeritan. Tiada marah. Hanya ketawa kecil yang berderai dari beberapa sudut kelas dan gelengan kepala guru yang lembut tetapi jelas. “Awak kena usaha lebih sedikit,” kata gurunya. Ayat itu tidak tajam, tetapi kesannya panjang.

Sejak hari itu, tangannya lebih banyak bersembunyi di bawah meja. Dia belajar satu perkara yang tidak pernah diajar secara rasmi. Jika dia mencuba, ada risiko untuk dimalukan. Jadi, lebih selamat untuk diam. Tanpa disedari, dia sedang dibentuk oleh pola ganjaran dan hukuman yang berulang. Sebuah pelaziman yang perlahan tetapi kuat.

 

***

Kini, Farid sendiri bergelar seorang guru. Di barisan belakang kelasnya, ada seorang murid lelaki yang tidak menonjol. Tidak cemerlang. Tidak bising. Hampir tidak pernah dipanggil ke hadapan. Pandangan mata murid itu mengingatkannya pada dirinya sendiri suatu ketika dahulu.

Farid memanggilnya ke hadapan untuk menyelesaikan soalan matematik di papan putih. Jawapannya tidak tepat. Seluruh kelas memandang. Menunggu reaksi. Dalam detik itu, Farid sedar dia mempunyai pilihan. Dia boleh membetulkan jawapan dengan cepat dan meneruskan pelajaran seperti biasa. Atau dia boleh mengubah corak yang pernah membentuk dirinya suatu ketika dahulu.

Farid tersenyum.

“Jawapan awak menarik,” katanya perlahan. “Mari kita lihat bersama-sama di manakah langkahnya berubah?” Kelas menjadi sunyi. Tetapi, sunyi itu bukan sunyi yang menghukum. Sunyi yang memberi ruang.

Apabila loceng berbunyi sekali lagi, Farid berdiri seketika di hadapan kelas yang sudah kosong. Dia faham sesuatu dengan perlahan-lahan. Berpuluh-puluh tahun dahulu, dirinya dibentuk oleh sistem yang terlalu menekankan ganjaran dan hukuman. Keberanian sering digantikan dengan kepatuhan. Hari ini dia memilih jalan yang lain. Dia mahu bilik darjah yang tidak memerlukan rasa takut untuk belajar.

 

***

Selepas bersara, hidup Farid menjadi lebih sunyi daripada yang pernah dibayangkannya. Rambutnya kini memutih seperti awan nipis di langit senja. Tangannya kadang-kadang sedikit menggeletar ketika membuka pintu pagar rumah.

Selama lebih 30 tahun, hidupnya diukur oleh bunyi loceng sekolah. Loceng pertama yang memanggil murid masuk kelas, loceng rehat yang memecah tumpuan, dan loceng terakhir yang menamatkan hari.

Kini loceng itu sudah tiada. Pagi Farid bermula perlahan. Dia duduk di beranda rumah kecilnya sambil memerhati cahaya matahari yang merayap di atas jalan. Setiap petang dia berjalan ke surau di hujung taman. Surau itu tidak besar. Dindingnya putih sederhana dan atapnya sedikit pudar dimakan cuaca. Namun, di situlah Farid menemukan ritma baharu dalam hidupnya.

Bukan lagi bunyi loceng. Kini laungan azan.

Pada suatu petang, ketika Farid hampir sampai di simpang berhampiran surau, azan Maghrib mula berkumandang.

“Allahu akbar… Allahu akbar…”

Farid berhenti seketika. Azan tidak memaksa seperti loceng sekolah dahulu. Bunyi azan hanya mengajak, lembut tetapi dalam. Tanpa sedar, langkah Farid menjadi sedikit lebih cepat. Di tangga surau, seorang lelaki menyambut jemaah yang datang.

“Assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam,” jawab Farid.

Lelaki itu memandangnya lama. “Cikgu Farid?”

Farid terhenti. “Ya… saya Farid.”

Lelaki itu tersenyum. “Saya Rahman, cikgu.”

Nama itu perlahan-lahan membuka pintu ingatan lama.

“Yang selalu duduk di meja belakang,” tambahnya.

Farid tersenyum. “Rahman… ya, saya ingat sedikit.” Farid menjawab tidak pasti.

Mereka berdiri beberapa saat di tangga surau.

Rahman berkata perlahan, “Saya selalu ingat satu perkara tentang cikgu.”

“Apa dia?”

“Cikgu tidak pernah marah kalau jawapan saya salah.”

Farid ketawa kecil. “Itu biasa bagi guru.”

Rahman menggeleng. “Tidak juga, cikgu. Guru lain mahu jawapan yang betul. Kalau salah, mereka terus kata salah.”

Dia berhenti sebentar.

“Tapi, cikgu selalu bertanya bagaimanakah saya boleh sampai kepada jawapan itu.”

Angin petang bergerak perlahan di halaman surau.

“Kalau cikgu tidak bertanya kepada saya dulu… mungkin saya akan terus duduk di belakang selamanya.”

Farid memandang lelaki di hadapannya. “Sekarang kamu buat apa, Rahman?”

Rahman menjawab dengan tenang. “Saya pensyarah matematik, cikgu.”

Farid terdiam.

Rahman tersenyum kecil. “Saya cuba buat perkara yang sama kepada pelajar saya. Saya mahu tahu bagaimana mereka berfikir.”

Azan hampir tamat. Rahman membuka pintu surau.

“Silakan, cikgu.”

 

***

Usai solat, Farid duduk seketika di saf hadapan. Rahman masih berada tidak jauh daripadanya. Fikirannya bergerak jauh ke belakang. Manusia pernah belajar memahami pembelajaran melalui eksperimen pada haiwan. Seekor anjing yang dilatih dengan bunyi loceng. Seekor tikus yang menekan tuas dalam kotak eksperimen. Sosok bernama Edward Thorndike mengukur pembelajaran melalui ganjaran dan hukuman.

Kemudian dunia pendidikan mulai berubah. Para sarjana mulai bertanya apakah yang berlaku dalam fikiran manusia ketika dia belajar? Muncul pula sosok bernama Jean Piaget yang memperkenalkan pandangan bahawa manusia memahami dunia melalui struktur pemikirannya sendiri. Selepas itu, muncul pula gagasan bahawa pengetahuan dibina bersama-sama pengalaman dan hubungan manusia dengan manusia melalui sosok bernama Vygotsky.

Farid memandang ke arah Rahman yang sedang melipat sejadah. Budak yang dahulu duduk di meja belakang. Tiba-tiba Farid menyedari sesuatu yang sangat sederhana. Selama ini manusia berdebat tentang teori pendidikan, tetapi pendidikan mungkin bermula daripada sesuatu yang jauh lebih kecil daripada semua teori itu, iaitu kesediaan untuk mendengar.

Farid bangun perlahan.

“Rahman,” katanya.

“Apa dia, cikgu?”

Farid memandang pintu surau yang terbuka ke arah malam.

“Dunia pendidikan pernah belajar daripada anjing dan tikus,” katanya perlahan.

“Kemudian kita belajar dari fikiran manusia.” Dia berhenti sebentar.

“Tapi, akhirnya kita belajar bahawa manusia membina makna bersama-sama.”

Farid tersenyum. “Jadi, mengapakah kita masih mahu mengajar manusia seperti kita mengajar haiwan di dalam sangkar?”

Rahman tidak menjawab. Dia hanya memandang gurunya dengan penuh hormat.

Di luar, malam semakin dalam.

Farid melangkah keluar dari surau. Angin malam menyentuh wajahnya. Dan, untuk pertama kali setelah bertahun-tahun bersara, dia merasakan satu kepastian yang tenang. Loceng mungkin mampu mengawal masa, tetapi satu suara manusia yang dihargai mampu bergema jauh lebih lama daripada bunyi mana-mana loceng.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Janji Calliope
Cerpen

Janji Calliope

  • 7 Mac 2024
  • 221
  • 4.8
‘I’, ‘You’: Ke Manakah Hilangnya ‘Saya’, Awak’?
Bicara Bahasa

‘I’, ‘You’: Ke Manakah Hilangnya ‘Saya’, Awak’?

  • 20 Oktober 2025
  • 87
  • 3
Terjebak
Cerpen

Terjebak

  • 6 Julai 2023
  • 409
  • 4
Mudiknya Perahu Kertas
Puisi

Mudiknya Perahu Kertas

  • 20 Mac 2026
  • 76
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP