Skip to content
Lukisan Rindu
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Lukisan Rindu
Lukisan Rindu
Cerpen

Lukisan Rindu

  • Salmiah Kasmuni
  • 20 Disember 2025
  • DBP Wilayah Selatan
  • 393
  • 4.8

Kampung Parit Serindu,  Tahun 1975.

SUBUH, usai melabuhkan tirai. Fajar pula gagah menyingsing. Aroma ubi rebus dan ikan masin kapak memenuhi ruang dapur. Sepasang bibir, dengan lambat bertaut di bibir cangkir kopi panas. Lalu, menghirupnya dengan perlahan-lahan. Hidangan ubi rebus di hadapannya hanya direnung sayu.

Mak mengengsot dekat mendekatiku. Wajah mak agak muram. Aku faham perasaan mak. Sudah sebulan bapak di hospital. Batuk yang berlarutan menyebabkan bapak ditahan di wad. Dadaku sebak. Ubi rebus dan ikan masin kapak itulah kegemaran bapak. Hampir setiap pagi sebelum kelua menoreh, bapak akan menjamah ubi rebus dan ikan masin kapak, buat alas perut. Jika ada rezeki lebih, mak membuatkan bekal untuk bapak. Ubi rebus juga, itulah makanan rugi kami.

“Bila kita nak jenguk bapak di hospital, mak?” suaraku perlahan. Sekadar didengari mak.

Mak menoleh ke sisiku. Nafasnya ditarik perlahan-lahan. Satu keluhan dilepaskan.

“Duit tambang ke hospital mak dah beli beras. Beras kita dah tinggal segenggam. Kau perlu makan, perlu ke sekolah. Mak tak nak kau kelaparan. Nanti kau tak boleh belajar,” ujar mak perlahan menahan rasa pedih di dada. bukan Mak tidak sayang akan bapak, tapi perut anak-anak menjadi keutamaan.

Aku terdiam. Aku tahu niat murni mak. Aku tahu mak bukan tidak rindu akan bapak tetapi, mak terpaksa memilih antara aku dan bapak. Aku tertunduk sayu. Aku juga rindu akan bapak. Kami masih menunggu jawapan tentang penyakit bapak. Sehingga kini, tidak diketahui apa-apa perkembangan tentang penyakit bapak.

 “Cepatlah bersiap, Endah!” Aku menurut kehendak mak.

Meja lukisan yang penuh dengan berus dan warna kutinggalkan. Berat hatiku untuk menolong mak menoreh getah. Namun, aku tahu mak sangat memerlukan bantuanku. Kudrat wanitanya tidak memampukan mak untuk melakukannya sendirian tanpa bapak. Aku mesti membantu mak walaupun kemampuan aku juga terbatas. Sungguhpun begitu, sebenarnya aku lebih suka melukis panorama alam di kertas-kertas kosong jika tiada kerja sekolah yang aku bawa pulang. Namun, mak adalah keutamaanku.

Di sekolah, aku selalu diminta oleh guru membuat lakaran mural untuk mencantikkan dinding dan bangunan sekolah. Upahnya tergantung pada keikhlasan guru-guru. Kadang-kadang, upah yang aku terima sekadar seringgit dua. Itu pun sudah cukup untuk aku simpan dalam tabung tempurung yang dibuat oleh bapak. Kadang-kadang, duit itu jugalah yang mak akan gunakan untuk menambah barang-barang dapur yang menyusut.

Semenjak bapak sakit dan terlantar di hospital, setiap hujung minggu apabila tidak ke sekolah, aku menggalas tugas bapak. Abang pula semenjak dituduh mencuri getah keping oleh orang kampung, sehingga kini tidak pulang ke rumah. Abang membawa diri. Jauh. Entah ke mana. 

Mak sudah mengemas hidangan ubi rebus. Aku bangkit mendapatkan pakaian menoreh dan topi yang selalu bapak gunakan. Aku memakai topi bapak yang telah lama tergantung di tepi pintu. Sudah sekian lama topi bapak tidak berusik. Topi yang selalu bapak pakai tatkala mengambil upah memarit di kebun Ah Siong.  Topi itu jugalah yang dia gunakan setiap kali menoreh. Aku cium topi bapak seperti aku mencium pipinya. Perasaan rindu terhadap bapak kupendamkan sahaja kerana mak tidak kecukupan duit tambang untuk menziarahi bapak di hospital. 

“Endah, apa lagi yang tercegat di situ?  Tolong bawa baldi ni…,” suara mak sayup-sayup melenyapkan kerinduanku terhadap bapak.  Dengan lesu aku membawa baldi dan menuruti mak dari belakang. Dingin pagi menggigit seluruh tubuh kecilku.  Aku tidak nampak mak berasa kesejukan seperti aku.  Mak berjalan agak pantas, kadang-kadang aku tertinggal di belakangnya agak jauh.

“Pandai Endah menoreh. Macam itulah anak mak.” Mak memuji sambil tersenyum memandangku. Entah mak ikhlas memuji atau hanya sekadar mengambil hatiku agar esok aku boleh menolongnya lagi. 

Setelah siap membangkit, kami membawa susu getah ke sebuah rumah jiran yang mempunyai mesin getah.  Seperti yang mak beritahu kepada aku, menggunakan mesin getah itu bukanlah percuma. Kami akan membayar sewa kepada empunya mesin dengan sekeping getah pada setiap bulan.  

“Banyak dapat getah hari ni, Lek Mirah?”  tanya seorang perempuan yang hampir sebaya dengan mak.

“Ada jugalah…,” jawab mak pendek. Mak seperti tidak menghiraukan perempuan yang bertanya itu. Mak hanya tekun membahagi-bahagi susu getah itu kepada tiga buah takungan. Air tawas dicampurkan ke dalam susu getah untuk proses pembekuan.

Aku hanya memerhati proses pembekuan susu getah yang akhirnya menjadi kepingan dan dinipiskan lagi dengan menggunakan mesin getah. Sekiranya aku yang ada di situ, akulah yang memutar pemegang mesin sehingga kepingan getah itu menjadi nipis.  

“Bulan ni kau belum bagi lagi getah kepingnya ya, Lek Mirah?” Perempuan itu datang lagi mendekati mak. Mak memandang perempuan itu dengan senyuman.

“Ada, Nem.  Hari ni aku dapat tiga keping.  Dua keping ni kau ambillah. Kira bayar sekali dengan yang bulan lepas,” kata mak sambil menyidai getah keping itu di ampaian yang telah disediakan. Perempuan itu hanya tersenyum sungging. Perempuan itulah tuan empunya mesin getah yang mak sewa setiap bulan.

“Lain kali tak payah tunggu aku minta baru nak bagi.  Aku pun tahu malu juga nak minta selalu…,” ujar perempuan yang mak panggil Nem itu tanpa senyum di bibirnya. Dia merengus. Mak tidak berkata apa-apa. Mak hanya diam sambil membersihkan takungan susu getah dan mengemas peralatan yang digunakan.  

“Maaf, Nem.  Kami kesempitan duit.  Susu getah tak banyak mana.  Ini dapat tiga keping pun… nasib agaknya. Selalu hanya dua keping saja,” jawab mak tanpa niat memohon simpati. Begitulah mak, tetap berlembut walaupun perempuan yang bernama Nem itu sering bercakap kasar dengannya.

“Kalau rasa susah nak bagi, esok kau tak payah mesin getah di sini lagi.  Kau boleh mesin di rumah Wak Seman atau di rumah Ah Siong.” Perempuan itu berkata lagi.  

Wajah mak sedikit berkerut.  Mak memandang aku.  Aku pula memandang mak.  Kami saling berpandangan. Mak tunduk. Wajahnya yang suram sejak awal pagi tadi bertambah suram apabila diperlakukan begitu.

“Rumah Wak Seman jauh, Nem. Rumah Ah Siong dekat, tapi banyak pula anjing peliharaannya yang berkeliaran,” ujar mak seraya memandang perempuan itu meminta simpati. Kali ini mak benar-benar meminta simpati.

“Kalau macam tu, kau tak payahlah menoreh lagi!” Perempuan itu berkata sambil kedua-dua belah tangannya mencekak pinggang. 

 “Janganlah macam tu, Nem. Aku perlu menoreh.  Endah masih bersekolah. Lagi pun, aku sedang mengumpul duit untuk tambang ke hospital menjenguk bapak Endah,”  keluh mak lagi.

“Yaaa… Satu lagi aku pun terlupa. Laki kau tu ada tibi yang boleh berjangkit satu kampung. Sepatutnya kau anak-beranak tak boleh datang lagi ke kawasan rumah aku ni!” jerkah perempuan itu sambil menuding jarinya ke arah mak.

Mak tersentak melihat perempuan itu berkelakuan begitu. Aku berlari mendapatkan mak dan memandang perempuan itu dengan perasaan marah.

“Bapak belum disahkan menghidap tibi. Bapak cuma dirawat di hospital!” jeritku kepada perempuan bernama Ginem itu.

“Dah masuk hospital, ditahan pula di sana! Kalau bukan sakit berbahaya dan berjangkit, sakit apa tu namanya?”  Perempuan itu membalas sambil matanya terjegil memandang kami berdua.

 

“Dia bapak aku! Aku tahulah!” Aku menjerit sekuat hati. Mak memelukku.  

“Jangan cakap macam tu terhadap orang tua,”  bisik mak di telingaku.  

“Tengok! Anak perempuan kurang ajar, anak lelaki pula menghilangkan diri kerana menjadi pencuri!!!” jerit perempuan itu dengan bibirnya terjuih mengejek.

“Ginem! Kalau anak perempuan aku kurang ajar, anak lelaki aku lari kerana dituduh mencuri, semua yang berlaku itu disebabkan oleh sikap orang-orang yang macam engkau!” kata mak dengan berani. Mak tidak seperti selalu, berdiam diri atau hanya sesekali sahaja bersuara.

“Aku tahu, Nem. Kau dan orang-orang kampung membenci keluarga aku kerana miskin. Bapak Endah pula sakit. Ini semua bukan kehendak kami, tapi ujian daripada Allah.” Mak tunduk sambil meramas jari-jemarinya. Muka mak merah bertarung menahan kesabaran.

“Yok, kita balik!” bisik mak sambil menarik tanganku agak kasar. Aku menuruti mak sambil menjeling ke arah perempuan yang bermulut celopar itu.  

Di rumah mak banyak berdiam diri. Kesunyian itu menyebabkan aku bertambah rindu akan bapak dan abang. Aku memberanikan diri bertanya kepada mak tentang abang. 

“Mak, bila abang nak balik?” Mak tidak menjawab. Diam.

Sudah lebih setahun abang meninggalkan kampung tanpa mengirim khabar berita.  Ada khabar angin mengatakan abang bekerja mengendalikan kapal di Singapura. Abang bertekad meninggalkan kami kerana dituduh mencuri getah keping. Abang tidak lagi bersekolah setelah tamat SPM. Walaupun bapak berhasrat menyekolahkan abang sehingga ke peringkat yang tertinggi, namun abang enggan. Dia mahu bekerja membantu ekonomi keluarga kami. 

“Abang mahu bekerja. Mahu kumpul duit. Mahu buktikan kepada orang-orang kampung yang abang bukan pencuri.  Apabila abang ada banyak duit, adik boleh belajar setinggi mana adik mahu. Abang boleh sekolahkan Endah setinggi yang boleh.” Satu hari, nasihat abang kepadaku sebelum abang mengambil keputusan meninggalkan kampung. Abang meluahkan perasaannya kepadaku di serambi rumah.     

 

“Abang mahu kerja di mana?”  tanyaku terkebil-kebil memandang abang.

“Abang harus keluar dari kampung ni, dik,” kata abang kecewa.

Abang seperti mahu meneruskan luahannya tetapi akhirnya terdiam. Abang tidak meneruskan kata-katanya. Kerongkongnya tersekat dek rasa sebak yang menggunung. Dia mengusap wajahnya yang cengkung lalu tertunduk. Seketika kemudian, abang kembali memandangku sambil menghela nafas yang panjang. 

“Di kampung ni abang hanya boleh mengambil upah menoreh di kebun getah orang.  Orang kampung pula membenci abang. Kata mereka, abanglah pencuri getah-getah keping yang selalu hilang!” Abang tertawa hambar sambil menggeleng. Abang memandang jauh ke arah pokok-pokok pinang yang banyak di halaman rumah.  Beberapa ekor tupai sedang berkejar-kejaran melintasi setiap pokok pinang yang berderet itu. 

“Janganlah pergi… nanti Endah rindukan abang. Tidak ada orang yang boleh tolong Endah buat kerja-kerja sekolah,”  pujukku lembut. Sememangnya selama ini, abanglah yang sering membantu aku dalam pelajaran, biarpun dia penat menolong bapak dan mak menoreh. 

Ingatan pada abang tiba-tiba menghilang di balik pokok pinang yang berderet di halaman rumah. Aku memandang mak yang duduk termenung di dalam rumah.

Mak masih juga diam. Mungkin, sangat terkesan dek kata-kata Ginem tadi. Aku masih setia duduk di serambi memandang jauh ke hujung halaman. Deretan pokok pinang yang seusia serambi ini, masih subur memacak bumi. Di situ tempat persinggahan pelbagai jenis burung dan tupai. Lembaran sejarah kerinduanku terbuka lagi. Kuat ingatanku terhadap abang. Bapak dan abang, dua lelaki yang sangat aku hormati dan kagumi. Kami bukan daripada keluarga yang senang, namun bapak dan abanglah yang banyak berusaha memberi kesenangan kepada kami. 

***

“Endah, mak nak ke kebun sayur Ah Siong. Duduk di rumah saja ya, petang ni.  Jangan ke mana-mana, tunggu mak balik,” suara mak berulang-ulang menggamit kerinduan aku terhadap bapak dan abang. Mak melangkah pantas bersama-sama sekaki payung dicelah lengannya.  

“Mak nak buat apa?”  tanyaku apabila melihat mak semakin jauh meninggalkan halaman rumah.

“Ambil upah memetik sayur!”  Mak menjawab dan meneruskan perjalanan.

“Endah nak ikutlah, mak!” laungku sambil berlari mendapatkan mak dan meninggalkan kertas lukisan yang masih basah dengan warna-warna panorama alam. Semalam guru kelasku, Cikgu Salleh memberikan aku satu set warna air sebagai upah melukis mural di dinding kantin sekolah. Aku terima dengan girang. 

 “Tak payah!” jawab mak. Mak berhenti melangkah dan berpaling memandangku.  

 “Nak temankan mak.  Bila ada orang marah mak, Endah akan pertahankan,” ujarku bersungguh-sungguh.  

“Tak perlu. Mak dah biasa berdepan dengan perangai orang macam tu. Tunggu mak balik kita boleh masak sama-sama, ya?”  pujuk mak dengan senyuman.  Mak meneruskan perjalanan.

Aku termangu sambil melayan keinginan yang tidak tercapai. Andai mak pulang membawa seekor ikan parang, tentu mak akan masak asam pedas. Angan-angan kugugur, apabila teringat akan kata-kata mak, ikan parang harganya mahal. Hanya orang-orang kaya sahaja yang mampu membelinya. 

Mak hilang dari pandangan. Bosan dengan angan-angan yang tidak mungkin menjadi kenyataan, aku dengan senyap mengekori mak dari belakang. Aku tidak mahu mak keseorangan apabila dihina dan dicaci oleh orang-orang kampung lantaran hidup kami yang miskin.  

Keluarga aku dipulau kerana kononnya abang seorang pencuri. Bapak pula dimasukkan ke hospital kerana dijangkiti tibi. Tidak berapa lama mengekori mak dari belakang, kelihatan kebun sayur Ah Siong menghijau saujana mata memandang. Aku lihat mak menuju ke pondok yang terdapat di tengah-tengah kebun sayur Ah Siong. Dua ekor anjing yang diikat menyalak apabila melihat kedatangan mak.

“Tak payahlah, Lek Mirah. Aku bimbang kami dijangkiti kuman tibi. Suami kau belum pulih sepenuhnya. Nanti tak ada sesiapa yang nak membeli sayur-sayur aku!” kedengaran Pak Cik Ah Siong meragui kebersihan dan kesihatan mak. Aku mengeluh. Sayu. 

“Janganlah begitu, Ah Siong. Suami aku dirawat di hospital kerana batuk. Belum pun disahkan menghidap penyakit tibi. Aku sihat. Anak aku pun sihat.” Mak merayu sambil mengekori Ah Siong. Lelaki Cina itu tetap berkeras dan tidak mengendahkan permintaan mak. 

“Aku dan anak aku perlu makan, Ah Siong. Hasil getah tak seberapa. Aku mesti usaha cari rezeki lain. Tolonglah aku, Ah Siong!” mak memohon simpati. Hampir sahaja air mataku berguguran mendengar pujuk rayu mak. 

“Kau ambillah sayur ni. Ini lebihan daripada jualan aku semalam. Masih elok untuk dimasak.” Lelaki Cina itu menyerahkan sebakul sayur kepada mak. Kacang panjang, cili dan kangkung. Mak termangu menerimanya. Ah Siong terus berjalan meninggalkan mak.

Sebelum mak melihat kelibatku, aku berlari pulang ke rumah mendahului mak. Sebaik-baik sahaja tiba di rumah, aku pura-pura meneruskan kerja-kerja melukis panorama alam kesukaanku. Mak tidak terus masuk ke dalam. Mak duduk di tangga sambil termenung. Aku tahu mak susah hati.

Mak tidak banyak berbual seperti malam-malam yang sudah. Dia hanya bersendirian dan sekali-sekala aku terdengar seperti mak sedang merintih mengadu. Liuk lentok cahaya lampu minyak tanah yang menerangi rumah usang kami menjadi peneman mak yang sedang menghadap kiblat.

Usai solat Maghrib mak tidak terus bangkit. Seperti biasa mak akan berlama-lama di tikar sembahyang. Mak memanjatkan doanya ke hadrat Maha Pencipta, Tuhan sebaik-baik perancang. Sungguhpun mak tidak pernah memberitahuku segala permintaannya, tetapi aku tahu mak meluahkan segala bebannya kepada kepada Yang Khalik. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar,  Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Dia tidak akan membiarkan hamba-Nya menanggung beban dan dugaan yang tidak mampu ditanggungnya. 

***

Kampung Parit Serindu,  Tahun 1990.

“Endah!”

Aku menoleh tatkala namaku dipanggil. Badanku yang kurus dan meninggi sedikit tersentak. Aku bersandar semula ke dinding serambi sambil tersenyum memandang abang. 

“Kenapa abang tak tidur lagi?” Aku sedikit terkejut dengan kehadiran abang. Dia  tidak pula menjawab pertanyaanku.

Dalam remang malam itu, kami dua beradik sama-sama duduk memerhati pokok-pokok pinang di halaman. Pokok pinang yang masih utuh memacak bumi biarpun sudah berusia. Namun, buahnya tidak lagi melacak seperti puluhan tahun lampau. Hanya menjadi gelanggang buat Si Tupai berkejar-kejaran dan bergurau senda di pelepahnya.

“Tahniah, adik abang yang kuat semangat!” 

Aku melemparkan senyuman lagi kepada abang. Kali ini senyumanku lebih manis daripada sebelumnya. Abang menghampiriku. 

“Endah, sehingga kini abang masih tidak percaya bahawa adik abang sudah berjaya menjadi seorang pelukis terkenal.”

“Mujurlah adik berjaya membawa lukisan adik ke Perth. Kalau tak, mungkin sehingga kini abang masih belayar merentasi benua,” kata abang perlahan sambil menepuk-nepuk bahuku. 

Aku tertawa perlahan.

Aku mula mengimbas kenangan lampau yang membawa kerinduanku terhadap bapak dan abang. Sebaik-baik sahaja menamatkan peperiksaan SPM, aku menjadi pelukis setia di rumah. Harga getah yang semakin jatuh tidak memberi isyarat yang kehidupan kami sekeluarga akan berubah senang. Lantaran aku mengambil keputusan untuk menjual hasil lukisanku kepada guru-guru dan teman-teman di sekolah.

Cikgu Salleh ialah orang yang bertanggungjawab membawa lukisanku ke merata-rata tempat. Cikgu Salleh jugalah yang memberi modal kepadaku untuk membeli peralatan melukis. Dan, melalui Cikgu Salleh jugalah lukisanku dibawa ke Perth, Australia untuk dipamerkan dalam pameran seni lukis.

Panorama alam yang aku lakarkan menarik perhatian abang yang sewaktu itu berhenti belayar di pelabuhan Frementle, Australia setahun yang lalu. Abang terpukau dengan lukisan alam yang melukiskan tentang panorama kampung kami, Kampung Parit Serindu. Lukisan tersebut mengingatkan semula kenangan manisnya bersama-sama aku dan mak serta bapak di kampung kami.

Abang tahu Endah yang mahir melukis, Endah yang suka akan panorama alam, Endah yang cinta akan flora dan fauna. Lukisan deretan pokok pinang yang menghadap serambi rumah papan dengan keriangan tupai-tupai menyentuh emosi abang. Lukisan ini membangkitkan kerinduan abang pada Endah, mak dan bapak. Abang rindu!

Lukisan itulah kerinduan. Kerinduan terhadap alam dan abang. Panorama kampung halaman kami yang kaya dengan deretan pokok pinang telah aku zahirkan melalui lukisan yang aku bentangkan di kanvas. Itu sahaja terapi yang mampu aku lakukan untuk mengubat kerinduan itu.

Melalui hasil jualan lukisan-lukisan itu jugalah yang aku hulurkan kepada mak untuk mengubati penyakit bapak. Bapak sakit bukan kerana tibi tetapi kerana masalah paru-paru. Melalui duit lukisan jugalah mak dapat membawa bapak pulang.

Kini aku tidak lagi digodam rindu. Bapak semakin pulih. Hanya sesekali dibawa ke hospital untuk rawatan susulan. Abang mengambil keputusan pulang ke kampung setelah mengetahui lukisan yang dilihatnya itu adalah lukisanku.

Aku juga berterima kasih kepada Cikgu Salleh. Dek kerana usahanya, kerinduan kami dua beradik bertaut kembali.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Sayembara
Puisi

Sayembara

  • 5 November 2024
  • 102
  • 4.6
Menghirup Rasa Manis Secawan Kopi Hangat di Laman Bonda
Puisi

Menghirup Rasa Manis Secawan Kopi Hangat di Laman Bonda

  • 20 Januari 2025
  • 52
  • 4.8
Seni dan Budaya di Kelantan: Peranan Sastera Sebagai Perantara
Sejarah dan Budaya

Seni dan Budaya di Kelantan: Peranan Sastera Sebagai Perantara

  • 20 September 2023
  • 309
  • 4
Mak Leha TikTok
Cerpen

Mak Leha TikTok

  • 6 Januari 2026
  • 291
  • 4.8

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP