Dalam landskap kesusasteraan Malaysia, pelbagai genre dan bentuk penulisan telah berkembang seiring dengan zaman. Puisi sebagai satu bentuk seni sastera tertua, terus hidup dan berevolusi melalui pendekatan yang lebih segar dan kontemporari. Salah satu bentuk puisi moden yang semakin mendapat tempat ialah puisi esei. Sabah sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya, bahasa dan sejarah, telah melahirkan ramai penulis yang mengetengahkan puisi esei melalui pelbagai pendekatan, antaranya nilai tempatan atau kearifan lokal yang unik dan bernilai tinggi.
Puisi esei diasaskan oleh Presiden Satu Pena Indonesia, iaitu Denny JA sejak 2012. Puisi esei berteraskan contoh-contoh puisi esei yang telah digariskan oleh pengasasnya. Kini, puisi esei giat diperkenalkan kepada generasi Z melalui pertandingan, bantuan biasiswa dan seminar di Indonesia. Puisi esei telah diperkenalkan di Sabah oleh Datuk Jasni bin Matlani dan disambut dengan baik oleh para penulis sebagai genre penulisan baharu. Datuk Jasni telah dilantik sebagai Presiden Komunitas Puisi Esei sejak 2024. Antologi pertama puisi esei di Malaysia telah diterbitkan pada tahun 2018 berjudul Kemilau Satu Langit.
Pada 13 dan 14 Disember 2024, bersempena dengan Festival Puisi Esei Jakarta II, sebanyak lapan kumpulan puisi esei penulis Sabah telah dilancarkan di Taman Ismail Marzuki, Jakarta. Buku-buku tersebut termasuklah Jika Cinta Itu Telah Datang karya Jasni Matlani, Lelaki dengan Sekuntum Bunga Mawar karya Haliza Matali, Mencari Rehal karya Abd Karim Gullam, Anyaman Tikar Mangkuang karya Norhayati Tasif, Perbualan Ikan, Baldi dan Basikal karya Yuliana Daisong dan Syurga buat Dia karya Salvia Rose.
Puisi esei tersebut turut dibacakan oleh peserta dari Indonesia dan Malaysia semasa Festival Puisi Esei Jakarta II, di Taman Ismail Marzuki. Peserta dari Malaysia ialah Datuk Jasni Matlani, Sitti Rahmah G. Ibrahim, Norhayati Tasif, Nunhati bin Malizaman, Duliam Suari, Dr. Siti Aisyah binti Mat Saad dan Ramlah Janang. Setakat ini terdapat sembilan buah kumpulan puisi dan enam buah antologi puisi esei yang telah diterbitkan di Malaysia. Dua kumpulan esei mengenai puisi esei di Malaysia dan lima lagi karya puisi esei akan terbit pada tahun 2025.
Dalam penulisan ini, penulis akan memfokuskan kepada penulisan puisi esei dan dikaitkan dengan kearifan lokal Sabah. Penulisan berteraskan kearifan lokal ini bukan sahaja mencerminkan identiti masyarakat setempat, tetapi juga menjadi wadah penting dalam memelihara dan menyampaikan warisan budaya kepada generasi mendatang. Ini sesuai bagi memperkatakan Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera kelak.
Puisi esei merupakan gabungan antara puisi dan esei yang menampilkan gaya penulisan puitis tetapi dalam bentuk naratif atau deskriptif yang panjang. Puisi esei menampilkan unsur refleksi, renungan dan kritik sosial secara mendalam serta menyeberangi batas antara fakta dan emosi. Berbanding puisi konvensional yang cenderung kepada bentuk dan irama, puisi esei lebih bebas, eksperimental dan bersifat introspektif.
Puisi esei mengandungi dialog yang menjadikan pembacaan puisi esei ini tidak bosan dan boleh dilaungkan dengan nada yang sesuai semasa membacanya. Dialog juga memainkan peranan memperkenalkan watak, menyatakan suara hati penulis, dan menjadi melodi dalam puisi esei yang ditulis oleh penulis. Selain itu, terdapat nota kaki pada puisi esei. Nota kaki lazimnya digunakan bagi menjelaskan sumber asal puisi esei yang dicipta, rujukan dan keterangan yang hendak disampaikan oleh penulis kepada pembaca. Hal ini membolehkan pembaca memperoleh sumber asal cerita dan mengetahui keterangan cerita ataupun penulis.
Kekuatan puisi esei terletak pada kebolehan penulis untuk mengadun suara peribadi dengan isu-isu sejagat, menjadikannya sebuah medium yang sangat sesuai untuk membincangkan tema-tema seperti identiti, sejarah, trauma kolektif, budaya dan juga spiritual. Dalam konteks Sabah, puisi esei menjadi jambatan antara pengalaman lokal dan wacana nasional, bahkan antarabangsa.
Kearifan lokal merujuk kepada pengetahuan, nilai, kepercayaan, adat dan amalan yang berkembang secara turun-temurun dalam sesuatu komuniti. Kearifan lokal berfungsi sebagai panduan hidup masyarakat tersebut dalam berinteraksi dengan alam sekitar, sesama manusia dan spiritual. Kearifan lokal berakar dalam budaya setempat dan mencerminkan cara hidup yang harmoni, lestari dan penuh makna.
Dalam konteks penulisan puisi esei, kearifan lokal dimanifestasikan melalui tema, bahasa, simbol, adat, naratif dan pengalaman tempatan yang diserap masuk ke dalam teks sastera. Kearifan lokal menjadikan puisi esei bukan hanya sebagai refleksi individu, tetapi juga sebagai suara kolektif masyarakat.
Kearifan lokal merujuk kepada kebijaksanaan masyarakat setempat yang terbentuk hasil daripada pengalaman, tradisi, adat, kepercayaan dan cara hidup yang diwarisi secara turun-temurun. Dalam konteks penulisan puisi esei penulis Sabah, kearifan lokal dapat dilihat dalam pelbagai aspek, antaranya bahasa dan dialek tempatan, mitologi dan legenda, alam dan geografi tempatan.
Penggunaan bahasa dalam penulisan berbalik kepada bakat dan latar belakang penulis masing-masing. Ramai penulis menggunakan elemen bahasa ibunda seperti Dusun, Bajau, Kadazan dan Murut dalam puisi esei mereka. Ini bukan sahaja memberikan keunikan kepada karya, tetapi turut memperkasakan bahasa minoriti sebagai warisan budaya.
Dalam penulisan puisi esei di Sabah, pelbagai cara penulisan dan gaya bahasa yang digunakan. Penggunaan bahasa yang kurang puitis dalam penggunaan bahasa dan gaya bahasa puisi esei menunjukkan bahasa yang mendatar dan bersahaja. Hampir boleh dikatakan kebanyakan penulis menggunakan bahasa prosa dalam penulisan puisi esei. Namun terdapat juga gaya bahasa yang puitis yang digunakan oleh penulis yang membuatkan puisi esei tersebut sedap dibaca atau didengar.
Bahasa dan dialek tempatan yang digunakan dalam penulisan menjadikan puisi esei lebih menarik. Misalnya penulisan berkaitan hubungan antara masyarakat Malaysia dan Indonesia yang ditulis oleh Sitti Rahmah G. Ibrahim melalui puisi esei berjudul “Kisah Labuku dan Kiambang Bertaut” yang menceritakan tentang Kota Baubau di Sulawesi, Indonesia.
“Beginilah … untuk meneruskan
sebuah kehidupan abang dan kakak kembara
dari Baubau ke Tawau menaiki kapal tongkan.”
(Sumber: Kemilau, 2021)
Legenda merupakan cerita rakyat yang dipercayai benar-benar berlaku di suatu kawasan, kampung atau tempat tertentu. Legenda juga dianggap mitos yang selalunya berkisar tentang seseorang tokoh, peristiwa sejarah dan disampaikan dalam bentuk lisan sejak turun-temurun. Mitologi dan legenda ini juga menjadi hiburan dan mengandungi unsur pengajaran kepada pembaca atau generasi muda yang mendengar cerita legenda tersebut daripada leluhur mereka. Kisah-kisah rakyat seperti Huminodun, Puteri Gunung Kinabalu dan Legenda Burung Cenderawasih sering dijadikan metafora dalam menyampaikan mesej kontemporari seperti hak wanita, perjuangan tanah adat dan kemerosotan nilai.
Dalam karya puisi esei penulis-penulis sabah, “Cinta Nan Suci Arung Salamiah” karya Nurhayati Mohd Tasif menceritakan tentang perjuangan cinta daripada cerita legenda yang diperoleh daripada cerita rakyat di Pulau Buhay Dulang, Semporna. Digambarkan seorang gadis yang cantik telah jatuh cinta dengan jejaka bernama Tanjung Kalang tetapi akhirnya dipaksa menikah dengan Datu Atik, seorang yang mempunyai isteri yang ramai.
Karya ini dilihat mempamerkan kisah-kisah rakyat yang telah diolah sebagai puisi esei untuk dijadikan peringatan dan juga sindiran kepada masyarakat. Demikian juga puisi esei ini memberikan peringatan dan model kepada masyarakat pada hari ini tentang kekejaman pemimpin yang akhirnya merugikan rakyat. Demikian petikan daripada puisi esei tersebut:
“Suatu hari Arung Salamiah
Membuat persembahan tarian
Di sebuah temasya di perkampungan itu
Datang seorang lelaki berpengaruh dan kaya-raya
Ke temasya tersebut bersama pengikut-pengikutnya
Lelaki itu orang yang sangat zalim
Orang kampung mengenalinya Datu Atik.”
(Sumber: Kumpulan Puisi Esei Anyaman Tikar Mengkuang Terakhir)
Penulisan penulis-penulis Sabah tidak dapat lari daripada unsur alam dan geografi tempatan. Hal ini sangat relevan oleh sebab Sabah merupakan sebuah negeri yang mempunyai alam semula jadi yang terpelihara. Unsur alam seperti gunung, laut, hutan hujan tropika dan kampung halaman sering menjadi latar atau simbol dalam puisi esei. Elemen ini menunjukkan hubungan erat antara masyarakat Sabah dengan alam sekitar mereka. Penulisan tentang unsur alam dan geografi ini akan memperkenalkan Sabah kepada pembaca atau masyarakat di luar negeri Sabah yang belum pernah tiba di negeri ini, selain dapat memperkenalkan keindahan negeri Sabah daripada pelbagai aspek.
Sebagai contoh, puisi esei yang ditulis oleh Duliam Suari bertajuk “Memori Double Six” menceritakan kejadian nahas kapal terbang yang meletup dan jatuh di Sembulan, Kota Kinabalu pada 6 Jun 1980. Nahas ini telah mengorbankan 11 orang pemimpin negeri Sabah. Penulisan-penulisan seperti ini dapat mengingatkan kita kepada sejarah atau sesuatu peristiwa yang penting dalam negeri Sabah.
“Pada 6 Jun 1980
Syukur alhamdulillah
Penantian Azwan
Selama 5 tahun berakhir
Kelahiran anak sulungnya
Amat bermakna.”
(Sumber: Festival Puisi Esei Jakarta II)
Demikian juga puisi esei Nunhati bin Malizaman yang menceritakan kisah sebenar yang dihadapi di Kampung Lihak-Lihak, Semporna melalui puisi eseinya “Cintaku Tidak akan Pudar”. Puisi esei ini menceritakan suasana Kampung Lihak-Lihak, iaitu masyarakatnya menggunakan rakit buatan orang kampung untuk menyeberang sungai. Ribut kencang menelan mangsa, iaitu seorang ibu dan anak lelakinya. Digambarkan juga dalam puisi esei tersebut, anak lelaki dibawa oleh seekor buaya berukuran 2.8 meter. Namun dengan permintaan penulis, buaya itu tidak ditembak dan dilepaskan kerana sudah mengembalikan mayat anaknya. Suasana unsur alam di Kampung Lihak-Lihak memperlihatkan kita keadaan masyarakat pada ketika itu masih menggunakan rakit buatan sendiri sebagai pengangkutan dan keadaan sungai yang dihuni buaya. Demikian petikan daripada puisi esei berkenaan.
“Buaya itu membawa mayat anak lelakiku
Ke muara sungai kecil yang berhampiran
Ada anggota keselamatan
Hendak menembak buaya itu
Tapi aku menghalang.”
(Sumber: Festival Puisi Esei Jakarta II)
Penulisan berkisar geografi juga segar melalui karya Juri Durabi yang bertajuk “Air Dicincang Tidak akan Putus”. Puisi esei ini menceritakan tentang lokasi di Sabah, iaitu Kalabakan. Penulis cuba menggambarkan situasi darurat di Kalabakan pada tahun 1963 dengan kehadiran askar dan pasukan keselamatan.
“di sana
di hujung tanjung
Ramai tentera terkorban
Dua saudara serumpun dan sebudaya
Bersengketa seperti tidak mengenal usul.”
(Sumber: Kemilau, 2021)
Pendekatan kearifan lokal dalam puisi esei bukan sekadar usaha estetika tetapi satu bentuk tanggungjawab budaya. Dalam kalangan penulis Sabah, puisi esei menjadi medium ampuh untuk memperjuangkan identiti, melestarikan warisan dan menyuarakan keresahan masyarakat. Kesedaran terhadap kepentingan nilai lokal dalam menghadapi cabaran global menjadikan puisi esei satu genre yang bukan sahaja relevan tetapi juga bernyawa dengan roh tanah tempat karya ditulis. Justeru, penulisan puisi esei berteraskan kearifan lokal perlu terus digalakkan agar dapat menjadi warisan intelektual yang hidup untuk generasi akan datang.
Rujukan
Abdul Karim Gullam. 2022. Mencari Rindu yang Hilang. Iris Publishing. Kota Kinabalu
Abdul Karim Gullam. 2024. Mencari Rehal. Abd Karim Gullam.Iris Publishing. Kota Kinabalu
Haliza Matali. 2023. Hujan Batu Ditadah Dengan Doa. Iris Publishing. Kota Kinabalu
Haliza Matali. 2024. Lelaki Dengan Sekuntum Bunga Mawar. Iris Publishing. Kota Kinabalu.
Norhayati Tasif. 2024. Anyaman Tikar Mangkuang. Iris Publishing. Kota Kinabalu.
Jasni Matlani. 2021. Dua Ekor Singa Perkasa di Atas Sebuah Gunung. Penerbit Cerah Budaya Indonesia (CBI). Jakarta.
Jasni Matlani. 2024. Jika Cinta Itu Telah Datang. Iris Publishing. Kota Kinabalu.
Salvia Rose. 2024. Syurga Buat Dia. Iris Publishing. Kota Kinabalu.
Yuliana Daisong. 2024. Perbualan Ikan, Baldi dan Basikal. Iris Publishing. Kota Kinabalu.
Adek Kemal. Disember 2022. Esai Jasni Matlani, Puisi Esei: Manusia dan Kemanusiaan tanpa Diskriminasi. https://cakradunia.co/news/datuk-jasni-matlani-puisi-esei-manusia-dan-kemanusiaan-tanpa-diskriminasi/index.html.
Hafizah Iszahanid. Ke Mana Hala Tuju Puisi Esei. 26 Jun 2023. https://www.bharian.com.my/rencana/sastera/2023/06/1119213/ke-mana-hala-tuju-puisi-esei.
