Skip to content
Mak Leha TikTok
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Mak Leha TikTok
Mak Leha TikTok
Cerpen

Mak Leha TikTok

  • Zanazanzaly
  • 6 Januari 2026
  • DBP Wilayah Timur
  • 291
  • 4.8

SUASANA di dapur rumah tanah lot itu tidak lagi riuh dengan suara testimoni pelanggan atau bunyi mesin pengisar yang selama ini ibarat degupan jantung rumah tersebut.

Raykal yang baru balik dari latihan industri di sebuah syarikat e-dagang perasan perubahan itu.

“Mak, hari ni tak kisar jus kunyit?” tanya Raykal sambil membuka peti sejuk.

Mak Leha hanya merenung jauh, macam menghayati lagu keroncong dalam hujan.

“Raykal, business mak merudum, pelanggan makin tak ada. Ejen pun ramai lesap, jual produk Korea pula sekarang,” keluh Mak Leha, macam pegawai yang keciciran kunci kereta apabila diarahkan bermesyuarat di luar pejabat.

Raykal menutup peti. Tangan tak jadi capai air tuak yang disadap sendiri. “Mak buat apa lagi? Live Facebook pun tak nampak?”

“Mak dah buat, tapi yang tengok cuma Kak Senah jiran sebelah. Itu pun sambil tumbuk sambal kecupu,” lirih suara Mak Leha menjelaskan keadaan sambil menuju ke laman rumah.

Raykal mengangkat muka dari skrin komputer ribanya. Dia turun ke laman rumah lalu masuk ke kedai makan milik ibunya. Kedai Nasi Kerabu Mak Leha pagi itu agak lengang. Cuma ada dua tiga pelanggan, masing-masing tenung telefon lebih lama daripada mereka mengunyah nasi berlauk.

“Mak, Raykal baru buat analisis jualan Mak. Ada tiga perkara besar kita kena ubah,” Raykal bersuara.

Mak Leha menjeling. “Mak berniaga sejak kamu belum tumbuh gigi, Raykal. Tapi sekarang, rasa macam kena kunyah balik strategi. Apa pula tiga perkara besar tu? Tiga serangkai ke?”

“Bukan. Tapi tiga sebab business mak boleh nazak. Macam kes syarikat bekas plastik kayangan kebanggaan Mak tu.”

Mak Leha melopong. “Eh, syarikat dewa tu pun boleh mati? Dulu mak masuk parti dia di rumah Acik Timah. Makan roti kapit inti ikan tongkol guna sudu pastel, cawan warna pic. Seronok sungguh. Ada cabutan bertuah, dapat bekas kuih raya. Ingat lagi, mak simpan sampai pecah.”

Raykal senyum. “Sebab tu lah mak. Kita ni terlalu cinta nostalgia sampai terlupa nak kemas kini. Sama macam syarikat dewa tu lah. Produk mantap, tapi cara jualan kekal zaman katalog.”

Mak Leha mengeluh. “Mak bukan tak nak berubah Kal. Tapi mak takut kalau ubah, pelanggan lari.”

“Lagi takut kalau tak ubah, mak tinggal sendirian dalam stor. Barang tak laku, ejen lari.”

Diam. Mak Leha renung botol jamu kunyit keluarannya yang tersusun rapi di atas rak di ruang depan kedainya.

Raykal sambung, “Mak, sekarang orang bukan cari produk di dalam katalog dah. Mereka skrol Tik Tok. Mereka klik Shopee. Mereka nak tahu kenapa aku perlu beli ni sekarang, bukan apa kandungan dia saja.”

“Dulu, mak jual jamu sebab yakin. Sekarang, orang nak beli sebab percaya. Dan percaya tu lah yang datang daripada content, testimoni dan kehadiran digital.”

Mak Leha usap dagu. “Macam mana nak buat semua tu?”

Raykal buka fail dalam komputer riba. “Mak tengok ni. Raykal dah buat satu kempen ‘Jamu Mak Leha – Elok Sampai ke Sendi’. Kita buat video pendek, ajak Acik Mona berlakon sakit lutut, lepas minum jamu, boleh terus Zumba.”

Mak Leha tergelak sampai terbatuk. “Aduh, kau ni memang lawak! Tapi betul juga, ramai geng mak tu kalau pergi kelas aerobik, semua mengaduh lepas tiga minit.”

“Kita target dua pasaran. Golongan mak, sebab mereka setia. Dan golongan Gen Z, sebab mereka kongsi content. Gabungan dua generasi. Sama macam Raykal-Norleha. Hasil generasi mak dengan zaman sekarang.”

Mak Leha pandang anak bujangnya lama-lama. “Mak ni kolot sangat ke?”

“Mak bukan kolot. Mak legenda. Tapi legenda pun kalau tak buat siaran langsung, orang tak tahu mak masih hidup.”

Mereka berdua ketawa. Panjang. Penuh harapan.

“Baiklah, CEO Jamu Leha. Live tu kita nak mulakan bila?”

“Sekarang. Tapi sebelum tu, kita jenamakan semula. Nama baharunya ialah Mak LehaHerbs.”

“Amboi, sedaplah nama tu! Macam nama minyak wangi.”

“Mak punya jamu wangi ke tak?”

“Kalau hidu peluh Pak Ajib lepas minum tu, wangi dia lain macam.”

Lagi sekali mereka tergelak.

Hari itu, satu katalog lama dilipat kemas. Dan satu akaun Tik Tok dibuka.

Malamnya, Raykal buka komputer riba sekali lagi. Dia paparkan satu paparan Power Point dengan tajuk besar:

“Lima Sebab Bekas Plastik Kayangan Gagal dan Kenapa Mak Jangan Ikut Jejak Mereka”

Mak Leha angkat kening menatap tepat wajah anak bongsunya, “Apa kaitanbekas plastik kayangan dengan mak?”

“Sama macam produk mak, mereka dulu gah, sekarang hampir bankrap. Bukan sebab produknya tak bagus, tapi sebab lambat berubah. Syarikat filem untuk kamera dari Amerika, syarikat telefon bimbit ulung dari Finland pun lenyap terus.”

Raykal klik. Slaid pertama muncul dengan karikatur bekas plastik dewa dewi ada cap nama ‘Siti Norleha’.

Mak Leha tergelak kecil. “Eh, macam bekas mak letak sambal belacan tu!”

Raykal meneruskan pembentangan kepada ibunya bak gaya seorang pegawai pemasaran berhadapan pengarah urusan syarikat korporat.

“1. Terkenal tak cukup, kena mudah dijumpai. Mak, zaman ni orang tak cari produk dalam katalog. Orang cari kat Shopee, Tik Tok. Kalau mak tak ada di situ, memang susahlah pelanggan nak beli.”

Mak Leha termenung. “Kedai dalam talian, yang ada banyak barang RM1.00 tu?”

“Ya, tapi kalau kita tak ada, kita tak wujud pada mata pelanggan zaman sekarang.”

 “2. Sistem lama tak kena dengan pelanggan baharu. Mak, jualan dari rumah ke rumah bagus dulu. Tapi sekarang orang nak semak secepat mungkin. Mak kena adaptasi, bukan ubah segalanya. Cuma tambah.”

“Tambah apa?”

“Tambah satu akaun Tik Tok, satu stor Shopee dan satu anak Gen Z yang tolong uruskan!”

Mak Leha ketawa. “Anak Gen Z tu ada gaji tak?”

Raykal buat muka serius. “Sementara anak Gen Z ni belum kahwin, ambillah peluang!”

“3. Lambat masuk dunia digital sama dengan ketinggalan. Mak pernah dengar pasal content viral ‘hack dapur’? Orang buat video potong bawang pakai kipas!”

Mak Leha tergelak sakan.

“Bayangkan mak buat live ‘Petua Turun Dua Kilogram dalam Tiga Hari dengan Jus Kunyit Pegaga’ dan lepas tu Raykal edit siap kapsyen bombastik, ‘Bukan Sekadar Kunyit Pegaga – Ini Rahsia Mak Leha!’”

Mak Leha tepuk paha. “La, itu rupanya yang orang suka tengok!”

“4. Tak bina komuniti baharu. Mak rapat dengan golongan suri rumah. Tapi pelanggan masa kini termasuklah pelajar macam Raykal. Ibu bekerja macam Acik Mona, duda macam Pak Ajib. Remaja peka barang berjenama macam Lia, anak Kak Senah. Mak kena ada content untuk mereka.”

Mak Leha angguk perlahan-lahan sambil menggaru dagu bagaikan lagak pakar tentang teknik pemasaran digital sedang pantau anak buahnya bikin graf ledakan pasaran.

“Mak lupa, anak muda sekarang beli sebab content, bukan sebab disuruh mak ayah.”

“5. Tak ada ‘Enjin Ulangan’. Mak kena cipta sistem. Orang beli, guna, suka, kongsi dan beli lagi. Macam mana?”

Raykal keluarkan telefon pintar dan tunjuk contoh testimoni pelanggan dalam bentuk video pendek. Muzik latar lo-fi. Ada komen lucu. Ada sub tajuk besar-besar.

“Ni semua teknik buat pelanggan rasa terlibat, bukan cuma beli dan diam.” Raykal semakin bersemangat menerangkan satu persatu teknik kepada ibunya yang penuh teruja itu.

Keesokan hari. “Assalamualaikum! Hai semua! Saya Leha dari LehaHerbs! Hari ni kita nak buat demo macam mana nak buat detoksifikasi viral pakai daun limau purut dan garam bukit!”

Mak Leha muncul dalam Tik Tok live pakai apron flora. Di belakang, Raykal jadi jurukamera sambil tekan bunyi ketawa.

Komen masuk bertalu-talu:

“Mak Leha comel. Awet muda!”

“Petua ni hebat betul, mak!”

“Daripada mak kepada mak – Sokong!”

Dalam masa dua bulan, jualan naik 300 peratus. Shopee Store ‘LehaHerbs’ sohor kini dalam kategori produk kesihatan tradisional. Raykal sambil buat latihan industri, sudah jadi pengurus media sosial tak rasmi.

Mak Leha sekarang dah tahu beza antara ‘engagement’ dan ‘enjit-enjit semut siapa sakit naik atas’.

Dan malam itu, Raykal terdengar maknya mengaji perlahan selepas solat. Lirih suaranya berdoa pun sempat Raykal cerap.

“Ya Allah, jangan biar kami terlalu leka, jangan pula sampai buta dengan perubahan. Jadikan untung dunia ini sebagai pahala di akhirat.”

Esok pagi, selesai rakaman video Tik Tok pertama mereka yang menampilkan Acik Mona pura-pura terlompat buat Zumba selepas minum jamu. Dalam rakaman semalam, Mak Leha pastikan betul-betul pakaian Acik Mona sopan menutup aurat. Gelagatnya pun tidak terlalu terkinja-kinja.

Mak Leha duduk semeja dengan Kak Senah sambil hirup kopi kampung yang pekat bergelegak. “Aku nak tanya kau, Senah, kau pernah minum Kopi Cap Kepala Dewa?”

Kak Senah jongket kening. “Kus ke apa nama? Aku ingatkan dulu tu jenama ubat sapu lutut tergeliat. Rupa-rupanya kopi!”

Mak Leha ketawa. “Aku pun ingat macam tu mula-mula. Ingatkan dia nak tiru Ratu Pegang Obor, tapi bukan. Rupa-rupanya, dia bukan jual kopi sangat pun.”

“Ha? Habis tu dia jual apa?”

“Dia jual sistem.”

“Amboi. Macam MLM pula bunyinya.”

“Bukan, weh! Kau tengok. Dia buka kedai kecil je. Tak ada kerusi empuk. Tak suruh lepak. Tapi orang beratur panjang. Semua sebab aplikasi. Pelanggan tempah siap-siap. Ambil. Jalan. Esok ulang beli.”

Kak Senah angguk-angguk, pura-pura faham. “Macam beli nasi berlauk kat gerai Kak Timah je gayanya.”

“Lebih kurang. Tapi beza dia, sistem dia kenal kau. Kau suka kopi susu? Lain kali dia tawarkan kau promosi kopi susu. Dah dua kali beli, kali ketiga boleh dapat percuma. Lama-lama, kau bukan setakat beli. Kau tukang hebahkan!”

“La, macam gitu. Lepas ni, jamu kita pun boleh buat gitu ke?”

“Ha, tu la yang Raykal ajar aku. Kita bukan jual jamu je, Senah oi, kita bina sistem! Jamu Mak LehaHerbs akan ada aplikasi. Akan ada ganjaran kesetiaan. Siapa ulang beli, dapat ‘Jamu Percuma Hari Bendera Merah’. Siapa kongsi, dapat ‘Gel Lutut Berkarat’.”

Kak Senah tergelak sampai tersembur kopi tempias ke pipi Mak Leha.

“Senah, jangan buat aku tersedak. Tapi aku suka sebab bukannya kita buat promosi je lebih! Bak kata Raykal, bukan hype semata-mata. Tapi ada sistem. Ada sebab orang nak datang balik.”

Mak Leha senyum lebar bak bunga kembang semangkuk. Konflik dalaman yang menyesakkannya sejak kebelakangan ini kekal dengan cara lama atau berubah, telah terjawab.

Dia sedar, zaman katalog sudah tamat. Sekarang, zaman roda tenaga. Mak Leha faham businessnya boleh bertahan lama dalam pasaran melalui strategi penampilan produk lebih meyakinkan. Jadi nama LehaHerbs perlu lebih kerap muncul di mata pelanggan anda. Mak Leha bertekad jamunya mesti kekal relevan. Dia perlu ikut rentak dunia tanpa meminggirkan tatasusila.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

AKI
Cerpen

AKI

  • 5 Mac 2025
  • 110
  • 4.2
Calon Menantu Emak
Cerpen

Calon Menantu Emak

  • 20 Mei 2024
  • 165
  • 4.8
IYANG
Cerpen

IYANG

  • 20 Februari 2026
  • 688
  • 4.2
Membaca Nilai-nilai Kekeluargaan dalam “Tangon-Tangon” Etnik Kimaragang
Kearifan Tempatan

Membaca Nilai-nilai Kekeluargaan dalam “Tangon-Tangon” Etnik Kimaragang

  • 3 Mei 2024
  • 916
  • 4.7

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP