SAYA masih ingat hari pertama saya membuka mata di wad itu. Bau ubat-ubatan menusuk hidung, bunyi mesin yang berdetik perlahan mengisi ruang dan rasa sakit menjalar ke seluruh tubuh. Kemalangan jalan raya yang menimpa saya beberapa hari lalu benar-benar meragut kekuatan. Tubuh saya penuh luka dan tulang-tulang bagai dirobek dari dalam. Saya tidak mampu bergerak, bahkan untuk mengiring pun terasa sukar.
Hari pertama terlantar di katil hospital itu begitu panjang. Waktu seakan-akan terhenti. Saya hanya mampu menatap siling, mendengar langkah jururawat yang keluar masuk dan menahan perit yang seakan tiada hujung. Saya sebenarnya sudah mula hilang harapan. Mula berfikir apakah hidup ini akan kembali normal selepas ini? Apa akan terjadi dengan segala rutin hidup saya? Adakah ini akan meragut kebahagiaan saya?
Sebelum ini saya sangat aktif menyertai pelbagai aktiviti komuniti bikers, termasuk konvoi amal, perhimpunan motosikal dan program kebajikan yang berkaitan dengan motor. Dunia saya kebanyakannya dihabiskan dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi. Dari satu bandar ke bandar yang lain untuk mencari kepuasan. Saya juga digilai ramai wanita kerana bukan sahaja saya memiliki rupa paras yang elok, saya juga memiliki motor besar sebagai kebanggaan.
Namun, malang tidak berbau. Saya telah terlibat dengan kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawa saya. Saya mengira bahawa saya sudah mati. Namun, inilah saya. Masih hidup dan terlantar sebagai laki-laki yang tewas.
Pada suatu pagi, saya terdengar suara garau tetapi perlahan dari katil sebelah.
“Assalamualaikum, saudara. Nama saya, Syah.”
Saya menoleh sedikit, sekadar menggerakkan kepala yang masih berat. Saya nampak seorang lelaki kurus, tubuhnya agak cengkung, namun masih berdaya menghulurkan saya senyuman yang hangat.
“Waalaikumussalam,” saya menjawab perlahan. “Saya, Firdaus.”
Sejak hari itu, Syah menjadi teman bual saya. Dia seorang penghidap kanser tahap akhir, begitu diberitahu jururawat kepada saya. Namun yang menghairankan, tiada tanda pada wajahnya bahawa dia sedang menanggung derita yang begitu berat. Setiap kali saya berasa lemah, Syah hadir dengan cerita-cerita yang membuatkan saya kembali bersemangat. Kadang-kadang dia menghiburkan saya dengan teka-teki yang lucu sehingga saya tidak sedar ketawa dengan riang walaupun dalam kesakitan. Pada awalnya, kami hanya bercerita tentang keluarga, pekerjaan, hobi dan berborak pelbagai isu agar kami tidak bosan.
“Firdaus,” katanya suatu pagi sambil memandang ke arah jendela di sebelahnya.
“Pagi ini begitu indah. Burung-burung berterbangan, awan seakan melukis corak yang damai. Ada seorang ibu muda berjalan sambil menolak stroller bayinya di taman kecil bersebelahan bangunan klinik ibu dan anak. Bayi itu tersenyum indah. Senyuman yang seakan mengingatkan saya bahawa hidup ini masih ada cahaya walau di hujung sana jalannya belum pasti dan masih gelap-gelita.”
Saya terdiam. Cuba untuk membayangkan setiap gambaran cerita yang dia sampaikan. Saya tidak mampu menjengah jendela kerana tubuh saya masih lagi terlantar dan hanya mampu membuat sedikit pergerakan kecil.
Hari-hari berikutnya, Syah tidak pernah gagal bercerita. Setiap pagi atau petang, dia akan melukiskan dunia di luar jendela itu dengan kata-kata yang penuh warna. Kadang-kadang dia bercerita tentang kanak-kanak yang bermain bola, kadang-kadang tentang pasangan tua yang duduk di bangku, kadang-kadang tentang daun-daun yang gugur ditiup angin.
Saya yang pada awalnya hanya menatap siling, kini mula menunggu setiap cerita daripada Syah. Sakit yang saya sering keluh-kesahkan terasa berkurang setiap kali saya hanyut dalam lukisan kata-kata Syah tentang kehidupan manusia di luar jendela. Saya mula rindu dengan kehidupan saya sebelum ini. Kehidupan yang saya tak pernah hargai dengan sesungguhnya.
“Firdaus, kamu tahu?” katanya satu malam. “Kesakitan ini, jika kita hadapi dengan syukur, ia akan jadi ubat. Allah tidak menimpakan kita sesuatu tanpa sebab. Saya sangat bersyukur kerana sakit ini membawa saya ke sini, membawa saya bertemu seorang sahabat baik seperti kamu.”
Saya tidak mampu menjawab. Air mata saya menitis juga akhirnya. Saya yang masih meratap kecederaan sendiri, merasa malu dengan ketabahan seorang insan yang sedang sakit tenat seperti Syah. Tambahan pula, saya sering mengeluh dan bercerita dengan Syah tentang kekasih saya yang meminta diputuskan tali pertunangan kerana baginya saya sudah tidak mampu lagi memberi kebahagiaan kepadanya.
Betapa saya mulai putus asa dengan kehidupan saya sendiri sehingga saya menyalahkan takdir atas penderitaan yang saya alami. Saya tidak sabar dan asyik mengeluh apabila ditimpa kesusahan.
Beberapa minggu berlalu. Saya mula pulih sedikit demi sedikit. Luka-luka saya semakin sembuh, tubuh mulai boleh digerakkan. Setiap hari terasa lebih ringan dan lebih bernyawa apabila saya dapat bangkit untuk duduk sendiri. Dan Syah masih menemani saya dengan cerita kehidupan manusia di luar jendela.
“Saya lihat pasangan muda itu sedang bergaduh,” kata Syah sambil ketawa kecil. “Yang lucunya, si lelaki pergi begitu sahaja dengan membiarkan wanita menangis. Kalau sudah cinta kenapa harus berputus asa? Tidak salah merendahkan ego untuk meminta maaf. Sakit kecewa tu tak sama seperti sakit kerana kemalangan, tahu? Sakit kemalangan, lukanya boleh sembuh. Sakit kecewa itu belum tentu boleh sembuh walaupun diubat oleh waktu. Mustahil untuk sembuh dengan sempurna.”
Saya ketawa kelat. Syah sengaja menyindir atau memang itu tujuannya untuk menyedarkan saya tentang luka disebabkan kekecewaan seharusnya dihadapi dengan rasa syukur dan sabar. Bukannya diratapi seolah-olah dunia sudah berakhir.
Namun, pada suatu pagi yang hening, saya tersedar dari tidur dan mendapati suasana begitu sepi. Sesekali kedengaran bunyi mesin pemantau denyutan jantung berbunyi “beep… beep…”, menandakan keadaan pesakit di dalam wad kami sedang dipantau rapi. Bau antiseptik segera menyapa hidung. Campuran antara ubat, alkohol, dan cecair pembasmi kuman yang biasa digunakan untuk memastikan kebersihan dalam ruangan wad yang menempatkan 4 katil pesakit ini. Udara terasa sedikit sejuk.
Mata saya melilau mencari kelibat Syah. Menunggu suara Syah menyapa dengan sapaan selamat paginya seperti biasa. Saya menunggu dia melukiskan panorama luar jendela dengan cerita-ceritanya. Tetapi pagi itu, tiada apa-apa. Sunyi.
Saya memanggil namanya perlahan. Menoleh dengan payah ke arah katilnya yang kelihatan kosong. Mungkin Syah pergi ke tandas ataupun pergi ke bilik doktor.
“Syah?” Tiada jawapan.
Petang itu, jururawat datang untuk memeriksa keadaan saya. Dengan wajah simpati, dia menepuk lembut bahu saya. Dia kelihatan serba salah untuk mengeluarkan suaranya.
“Encik Firdaus, Encik Syah telah pergi malam tadi. Kansernya sudah sampai ke penghujung. Dia telah pergi dengan tenang.”
Mendengarkan perkhabaran itu, saya kaku. Lidah kelu. Dada mula terasa berombak. Panas rasa kelopak mata.
Dengan sisa tenaga, saya memaksa tubuh ini bangun dari katil. Saya ingin menatap ke luar jendela yang selalu Syah ceritakan dengan penuh keindahan itu. Untuk membuang segala kesedihan yang mula menyempitkan dada. Perlahan-lahan, saya melangkah ke tepi dengan bantuan jururawat tersebut.
Namun saat saya menjenguk keluar, dada saya seakan dihentak sesuatu yang besar. Apa yang saya lihat hanyalah tembok tinggi, kusam, dan kosong. Tiada taman, tiada burung, tiada langit biru yang terbentang indah. Ia hanyalah sebuah panorama yang kelam dan tiada landskap! Hanya dinding konkrit.
Saya terpaku. Mata mulai berkaca. Kali ini sukar untuk saya menyembunyikan perasaan lagi.
Bagaimana mungkin? Bukankah Syah selama ini menggambarkan dunia yang indah di luar sana? Bagaimana dia melihat semua itu?
“Kenapa Encik Firdaus kelihatan bingung?” tanya jururawat tersebut.
“Encik Syah yang biasa tidur di katil dekat dengan jendela ini, setiap hari menceritakan kepada saya pemandangan indah yang dilihatnya dari balik jendela. Akan tetapi, ternyata jendela ini hanya menghadap dinding konkrit bangunan hospital sahaja. Selama ini dia telah mengarang cerita. Mengapa dia melakukan semua ini?”
Jururawat itu hanya tersenyum kecil.
“Maaf, Encik Firdaus. Encik Syah mungkin ingin menghiburkan encik dengan mengarang cerita tersebut agar encik tidak bosan dan sedih. Mungkin dia nak encik cepat sihat. Encik Firdaus, sebenarnya Encik Syah itu seorang yang buta. Dia sudah buta dari kecil lagi.”
Mendengarkan kata-kata itu segala sendi saya terasa lemah. Saya rebah ke katil semula dan tanpa saya sedari air mata mengalir deras menuruni pipi. Seluruh tubuh saya menggigil. Jadi, semua yang dia ceritakan hanyalah lukisan imaginasinya?
Melihatkan saya yang terdiam meratapi, jururawat pergi meninggalkan saya di situ. Lama saya terdiam sambil menatap ke luar jendela yang memaparkan dinding konkrit bangunan sebelah hospital. Setelah perasaan saya kembali tenang, saya tersenyum nipis. Bukankah itu lebih indah?
Syah tidak pernah melihat cahaya, tetapi dia mampu memberi cahaya kepada orang lain. Dia tidak pernah tahu rupa langit, tetapi dia mampu melukiskan langit yang memulihkan semangat saya. Malam itu saya tidak dapat tidur. Kata-kata Syah bergema dalam fikiran.
“Saya bersyukur kerana sakit ini membawa saya ke sini. Membawa saya bertemu seorang sahabat baik seperti kamu.”
Syah tidak pernah melihat apa-apa, tetapi dia mengajar saya untuk melihat dengan hati. Syah tidak pernah memandang ke luar jendela itu, tetapi dia membuka jendela jiwa saya. Walaupun perkenalan kami singkat, namun ruang yang Allah berikan untuk kami telah banyak mengubah sudut pandangan saya melihat dunia.
Saya mengangkat wajah dan untuk pertama kalinya sejak kemalangan itu, saya tersenyum. Senyum yang lahir dari jiwa yang paling dalam.
Hari berganti hari. Saya semakin pulih dan akhirnya dibenarkan pulang. Namun sebelum meninggalkan hospital, saya berdiri sebentar di sisi katil kosong Syah. Katil yang dulu dipenuhi cerita, kini hanya tinggal kenangan.
“Terima kasih, Syah,” saya berbisik. “Kamu mengajar saya bahawa hidup ini bukan tentang apa yang kita lihat, tetapi bagaimana kita memilih untuk melihatnya. Kamu mengajar saya erti syukur dalam derita, cahaya dalam gelap dan harapan dalam perpisahan.”
Saya melangkah keluar dengan langkah yang perlahan. Selepas ini, hidup saya tidak lagi sama seperti sebelum saya dimasukkan ke dalam hospital.
Setiap kali saya memandang dinding kosong, saya teringat langit biru yang pernah Syah ceritakan. Dan saya belajar untuk tidak lagi merungut, tidak lagi bertanya kenapa. Saya belajar untuk bersyukur kerana masih diberi peluang, masih diberi nikmat untuk melihat, mendengar, merasa, dan hidup.
Syah mungkin sudah tiada, tetapi dia meninggalkan sesuatu yang lebih berharga daripada segala harta di dunia. Dia meninggalkan satu kesan yang sangat mendalam di jiwa saya. Satu rasa kesyukuran yang akan saya bawa sepanjang hayat.
