“Bismillahirrahmanirahim …”
Jadid mendongak sebelum mengorak langkah, menyapa setiap anak tangga. Kakinya sedikit goyah dan lemah. Letih. Pemanduan selama 6 jam merentasi 555 kilometer amat mencabar. Pelbagai perkara menyinggahi kotak minda, menjadikannya lelan dari menikmati keindahan pohonan buah manis mengharum dan bendang menguning, sehinggalah terlihat bangunan-bangunan cantik nan unik atapnya.
Huhuhu… dihembusnya nafas yang memberat. Usai menginjak puluhan anak tangga, kini hanya pintu berona gelap memisahkannya dengan sesi istimewa. Ujian-ujian fizikal bakal disusuli entah apa pula peperangan mental.
Pintu diketuk. Tombol dipulas lalu berkerik. Ketibaannya memang dinanti-nantikan. Wanita bertudung menunjuk arah, mempelawa Jadid ke bilik mesyuarat. Dari luar, kelihatan lima susuk tubuh insan, sedia menanti Ustaz Jadid.
***
“Subhanallahi wabihamdihi, Subhanallahil Azim”.
Zikir dituturkan Jadid sambil penanya mengisi borang kehadiran. Sesekali matanya menjeling meja panjang setentangnya. Bilik bersaiz sederhana dan berhiasan monoton kini bertukar meriah dek kepelbagaian warna pakaian penghuninya. Lelaki-lelaki berserban dan berjubah memperkenalkan diri kepada Jadid. Dalam kekalutannya mengisi borang, tidak sempat dihadamnya nama penuh serta pangkat mereka. Lantas, mindanya sekadar memadankan gelaran dengan warna pakaian.
Jadid pasti, sesi ini diketuai Haji Qadim, berjubah putih yang duduknya tepat bersetentang. Fabrik yang dipakai insan paling berumur nyata benar-benar kontra dengan baju hitam gelap Jadid. Putihnya reflektif, memantulkan dan dipengaruhi warna dari sisinya. Di sisinya, Haji Wan Hamdan (ringkasnya dipanggil Waham) berbaju hijau pokok pisang, manakala Haji Ramzan (digelar Zan) kelihatan garang berjubah merah jingga. Meja di hadapannya turut dihuni Haji Syakir (penolong ketua sesi yang digelar Syak) dan Haji Yakin. Syak kuning bajunya, sedangkan Yakin berbaju hijau.
“Apa khabar, tuan-tuan sekalian?”.
“Baik,” Yakin membalas Jadid.
Soalan itu cuma dibalas dengan senyuman Haji Qadim, serta anggukan-anggukan lemah Syak dan Waham. Zan kekal tiada reaksi. Matanya tepat menyorot wajah Jadid.
Tekak Jadid disaluti air liur payau nan kelat. Telahnya, soalan pertama bakal menyusul.
“Kamu mengajar tanpa tauliah di wilayah ini!” bicara Zan tegas, antara menyoal dan mendakwa.
***
“Subhanallah walhamdulillah wala ilaha illallah wallahu akhbar, lahawlawala quwwata illa billahil aliyyil ‘azim”.
Jadid berzikir dalam nada perlahan sebelum memulakan jawapannya. Tangannya menekan-nekan punat, mengubah tetapan telefon pintarnya ke mod sunyi. Getaran turut dimatikan. Kesunyian ini janggal buatnya. Tiada notifikasi kemasukan bertalu-talu soalan agama dari platform-platform media sosial. Program atas taliannya, TUJU: Tanya Ustaz Jadid Unlimited terwujud hasil permintaan anak muda. Ceramah-ceramahnya santai dan digemari ramai, meskipun tiada gurau senda atau rekayasa. Jadid sentiasa bersandarkan dalil.
“Tuan Zan, saya tidak pernah mengajar di sini. Kuliah saya hanya berlangsung di wilayah saya bertauliah.” Dihelanya nafas panjang mendengarkan soalan-soalan lanjut diutarakan Zan. Ada antaranya melibatkan sesi tontonan anak-anak muda di wilayah-wilayah lain.
“Tuan, sekiranya ada penonton yang mengikuti ceramah saya dari wilayah lain, itu di luar kemampuan saya. Saya berkuliah secara maya. Saya tak mampu menghalang gelombang data rentas sempadan. Tuan mampu?” Soalan balasnya membisukan Zan.
“Tuan Zan, barangkali sudah tiba masanya di era digital ini untuk pihak berkuasa mewujudkan garis panduan ceramah maya. Mungkin, menteri berkaitan agama serta menteri perihal komunikasi digital boleh menyantuni pihak berkuasa agama negeri, menetapkan syarat bagi setiap ceramah maya, harus dipaparkan kapsyen atau kod QR yang memaparkan cap waktu, koordinat lokasi ceramah, serta maklumat pentauliahan penceramah? Tauliah-tauliah itu juga ada tempoh sahnya, serta mempunyai kategori khusus, bukan?” sambung Jadid.
Haji Qadim membuka sebuah fail. Dibacanya beberapa baris cadangan daripada kertas kerja, sebelum diangguk perlahan. Tangannya menulis sesuatu, sebelum fail ditutup. Sesuatu dibisikkan kepada Haji Syak.
“Sesi berhenti seketika. Bolehlah solat sunat duha dan sarapan,” tutur Syak.
***
“Subhanallah wa bihamdihi, ‘adada khalqihi, wa ridha nafsihi, wa zinata ‘arsyihi, wa midada kalimatihi”.
Zikir membasahi lidahnya sebelum kopi dicicip menyaluti. Aroma harum bergentayangan. Walaupun sama asalnya, perbezaan selera menatijahkan minuman pelbagai warna: ada bersusu, ada bergula, dan ada pula berisi kedua-duanya. Namun bagi Jadid, kopinya gelap, pekat dan pahit. Dia gemarkan yang asli.
Sesi sambungan menjadi santai setelah ketiga-tiga Haji Qadim, Yakin dan Jadid bertukar-tukar kisah dan menyedari mereka alumni universiti yang sama. Semuanya berlaku setelah Jadid menyerahkan dokumen-dokumen tauliahnya kepada Syak.
“Baiklah Jadid, apa pendirian kamu mengenai malaikat?”
Jadid memperbetul duduknya sebelum menjawab soalan Haji Syak.
“Malaikat itu makhluk Tuhan. Diciptakan daripada nur, banyak jumlahnya, besar saiznya. Malaikat-malaikat itu bersayap dan mempunyai tugasan tertentu,” balas Jadid.
Matanya menjeling nota yang telah disediakan untuk sesi ini. Padanya terdapat senarai rujukan-rujukan dari ayat ke-23 surah at-Takwir, ayat pertama surah al-Fatir, ayat-ayat terawal surah an-Najm, selain beberapa hadis daripada Imam Muslim, Abu Daud dan Ahmad.
Sambungnya lagi, “Malaikat wajib diimani, mereka ialah makhluk ghaib. Apa-apa jua yang diketahui secara sahih mesti bersumber daripada al-Quran dan hadis. Wajib!”
Waham mengangguk perlahan mengiyakan.
“Jadi, mengapa wujudnya dakwaan kamu mengatakan malaikat itu bersifat digital?” tanya Haji Qadim, tegas yang disaluti kelembutan.
“Ya, bagaimana wujudnya tanda-tanda pagar yang tular? Andai tiada angin, mana mungkin pohon bergoyang?” bentak keras insan berbaju merah.
Jadid tersentak. Dia kekal tenang menatap wajah Zan.
“Tuan Zan, membawa bukti itu tanggungjawab si pendakwa, sedangkan bersumpah pula tanggungjawab orang yang didakwa, untuk menafikan tuduhan ke atas dirinya,” jawab Jadid, tersenyum seraya menyambung bicaranya lagi dengan soalan, “Bukankah hukum fiqah mengatakan hukum asal bagi seseorang adalah terlepas diri, bersih dari sebarang tanggungan?”
Jawapan balasnya diangguk Yakin, lantas dilontarkan pandangannya ke arah Zan.
“Malaikat itu merakam. Rakamannya jauh lebih hebat dari livestream. Penyimpanannya? Pasti mengatasi kehebatan digital 5G. Barangkali sepantas cahaya. Malaikat itu diperbuat daripada apa? Daripada nur. Nur itu cahaya. Apa itu cahaya? Cahaya itu partikel zarah asasnya adalah foton. Foton bergerak selaju cahaya, tanpa jisim. Tiada maklumat atau zarah yang lebih laju pergerakannya dari cahaya.”
Jadid memperbetul duduknya, kaki kerusi seakan goyah, punggungnya sedikit menggelongsor.
Beberapa petikan video serta video gelung pendek turut dimainkan daripada perkhidmatan rangkaian sosial perkongsian LokLak dan rangkaian sosial BukuLelan. Kesemua bebola mata kini tertumpu kepada jasad berbaju hitam.
“Dari sini timbulnya tanda pagar tular #MalaikatDigital dan #MalaikatFoton,” tutur Syak.
Suasana hening seketika. Deheman Haji Qadim menghapus sunyi.
“Mungkin Ustaz Jadid mahu menerangkannya?”
Jadid bangkit dari kerusi dan menghampiri Haji Yakin. Dihulurkan pemacu kilat yang kemudiannya dicucuk Haji Syak ke komputer peribadinya. Jemarinya menekan beberapa butang dan isi perut digitalnya dipancarkan ke dinding.
***
“Tuan-tuan sekalian, saya sumpah, saya tidak pernah mendakwa malaikat itu foton waima digital. Saya percaya, video-video sebentar tadi hanyalah sebahagian dari kuliah-kuliah saya yang telah dicantas, disunting secara selektif. Cropping… .”
“Tetapi, kamu tak menafikan bahawa kamu mendakwa malaikat itu merakam? Persis livestream?” Pantas Zan melontarkan soalan.
“Saya hanya beranalogi untuk anak-anak muda. Saya akui, saya kata malaikat itu sentiasa wujud, hadir dan tidak culas dalam merakam. Namun begitu, selaras pemahaman mereka, saya menganalogikan rakaman itu umpama CCTV, resolusinya jelas melebihi 8K UHD, merakamkan tanpa henti segala perbuatan, lengkap audio dan videonya berserta timestamp dan geolokasi. Catatannya, datanya kemudian diangkat ke langit, lalu saya cadangkan mereka merenung teknologi cloud storage… .”
“Mana boleh kata begitu!”
“Tuan, saya sekadar beranalogi. Tujuannya untuk menambah dan mempercepat kefahaman tentang sesuatu,” ujar Jadid membalas bantahan Zan.
“Saya ingin mengingatkan mereka, mengingatkan generasi muda. Dunia maya, dunia digital juga ada pahala dan dosanya. Tetap ada jariah dan maksiat, bukan sekadar angin lalu tanpa makna,” tambahnya lagi.
“Tapi, kalau dah dikatakan amalan ditulis dalam kitab, maka pastilah bentuknya seperti kitab!”
Sanggahan keras membuatkan Jadid tersentak. Namun, dia tetap tidak kalut.
“Ya, saya percaya ia dalam bentuk sebuah kitab, tetapi…”
Belum sempat bicara diselesaikan Jadid, bantahan berkunjung lagi. “Tetapi, maksud kamu, ia bukan dalam bentuk sebuah buku?”
“Tuan tahu bukan sejarah pembukuan al-Quran? Dibukukan pada zaman pemerintahan khalifah Abu Bakar. Asalnya ditulis apa yang dihafal pada kulit, pelepah tamar, ketulan batu, potongan batu. Kemudiannya, dihimpunkan menjadi mushaf, dibukukan.”
“Betul. Tetapi apa poin kamu, Jadid?”
“Maksud saya, ayat kedua surah al-Baqarah menggelarkan al-Quran sebagai kitab, sedangkan pembukuannya tidak berlaku sehingga selepas kewafatan Baginda. Lalu, mengapakah kitab amal itu mesti secara literal dianggap berbentuk buku?” Jadid menjelaskan.
“Bagaimana malaikat bekerja, Tuhan saja yang tahu! Bagaimana diajarnya Nabi SWT, hanya Tuhan tahu! Cara cabut nyawa, Tuhan saja tahu!” sanggahan keras bersambung.
“Tidak boleh difikirkan logiknya. Ada berapa bilion manusia di bumi ini, bagaimana malaikat mencatat kitab setiap orang? Perkara ghaibiyyat tak boleh guna logik! Koyak pemikiran manusia dibuatnya!” sambungnya seakan-akan berteriak.
Haji Syak mengangkat tangan tanda agar suasana kembali reda dan sivil. Sekalian yang hadir beristighfar dan menarik nafas.
“Tuan, saya tidak pernah mengajar sesiapa untuk memikirkan cara malaikat bekerja. Saya yakin, agama bukanlah boleh suka-suka diubah menurut selera tekak. Tidak boleh sewenang-wenangnya direncahkan dengan asam jawa mahupun wasabi. Mesti berdalil. Selak buku, bukannya tirai atau mimpi,” ucap Jadid. “Tuan, analogi itu sekadar memudahkan faham. Persis penggunaan kiasan dalam berbahasa. Contohnya, ‘makan upas berulam racun’, sebagai gambaran hidup yang sentiasa kesusahan.”
Hadirin terpinga-pinga menanti penjelasan.
“Saya pasti, tiada orang waras yang akan sengaja makan upas, getah berbahaya dari pokok sambil diselangi racun,” tutur Jadid.
Yakin tertawa kecil.
“Tuan, saya ingin merapatkan dakwah kepada anak muda. Mereka dilahirkan dalam zaman yang menganggap telegram dan mel udara sebagai kuno. Tiada lagi MMS dan faksimili. Telefon-telefon awam sudah hilang gagangnya, tergantung sunyi tanpa pengguna. Saat ini, data merentas dunia, paparan video berkualiti tinggi di hujung jari. Jadi, apakah wajar kita kekal menggunakan analogi yang sama buat generasi muda? Wajarkah digambarkan amalan-amalan ditulis dengan pena di atas lembaran? Buku-buku ditimbang di atas dacing?”
“Tapi… .”
Belum sempat Zan meneruskan bantahan, Jadid menyambung bicara, “Tuan, manusia mula menulis sekitar 5000 tahun lalu. Dari kertas papirus, tulang dan kulit-kulit haiwan, kita beralih ke buluh dan kertas. Kemudian, tercipta kad tebuk dan mesin analog, demi merakam secara fizikal, sebelum teknologi perkomputeran membolehkan perakaman data secara optik dan digital, dalam bentuk cakera. Tuan-tuan masih ingat cakera liut 8 inci, 5 ¼ inci dan 3 ½ inci? Bagaimana pula dengan CD, DVD dan Blu-Ray? Dan kini pemacu kilat dan simpanan awan?”.
“Maksud kamu?” soal Haji Qadim.
“Tuan Haji, pemacu kilat di komputer itu bersaiz 4 terabait,” sambil jarinya menuding ke komputer Syak. “Dari awalnya 80 kilobait cakera liut 8 inci, kini kita sudah ada peranti kecil menyimpan 50 juta kali ganda data. Kita juga sudah mampu merakam, menyampaikan dan memainkan semula data pada kelajuan yang jauh lebih tinggi. Bagi setiap dekad, kelajuan komunikasi digital meningkat 10 kali ganda.”
Jadid melihat sekeliling sebelum meneruskan bicara, “Subhanallah, jika begitu kehebatan manusia, apatah lagi kehebatan Sang Pencipta?”
Hening.
***
“Saya tidak mengubah konsep, hanya gambaran yang lebih hampir, mudah dijiwai saya gunakan bagi anak-anak muda. Segala amalan akan tetap dirakam, malaikat tetap merakam, dan rakaman akan tetap dibentangkan. Penting bagi anak muda sentiasa mengingatinya, kerana walaupun kita adalah umat yang terakhir di dunia, tetapi kita yang pertama dihisab di akhirat,” ujar Jadid.
“Rakaman amalan akan dihadapkan kepada Tuhan setiap Isnin dan Khamis, amalannya dibawa naik dalam bulan Syaaban. Malaikat-malaikat di kanan dan kiri hadir, teliti dan tidak culas, raqibun ‘atid sifatnya. Rakaman amalan akan akhirnya dibentangkan dan diberi kepada pelaku, jika tangan kanan yang menerima, sukacitalah mereka, namun jika diterimanya dari kiri atau belakang, meraunglah binasa si pelaku.”
Jadid lantas membaca dan memetik beberapa ayat-ayat suci. Lidahnya lunak melantunkan ayat 17 dan 18 surah al-Qaf dan ayat ke-49 surah al-Kahfi, selain enam ayat surah al-Insyiqaq. Hadirin memejamkan mata menghayati bacaan dan maksudnya.
***
Postur Haji Qadim santai. Tangan kanannya kini diletakkan di atas pundak Jadid. Kini, hanya mereka bertiga di dalam bilik mesyuarat. Tiada lagi Syak, Zan dan Waham.
“Ustaz Jadid, ana nasihatkan anta agar lebih berhati-hati. Dalam berdakwah, usah direnggut uruf. Anta sendiri tahu, kadangkala yang dituturkan boleh disalah erti. Lebih-lebih lagi dalam ceramah maya, mungkin si nakal atau pendengki akan mengedit dan memesongkan kata-kata kita di luar konteks,” lafaz Haji Qadim dengan nada kebapaan.
Jadid menganggukkan akur. Segala pesan larut laksana garam tumpah ke air. Dia berjanji akan lebih berhati-hati.
“Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil, pencipta langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui perkara yang tersembunyi dan yang nampak, Engkau memberikan keputusan antara para hamba-Mu dalam perkara yang mereka perselisihkan. Berilah aku petunjuk mendapatkan kebenaran yang diperselisihkan dengan izin-Mu, sesungguhnya Engkau memberikan petunjuk orang yang Engkau kehendaki kepada jalan yang lurus.” Doa penutup dibacakan Haji Qadim, diaminkan Jadid dan Yakin.
Tangan yang disuakan dicium Jadid. Haji Qadim didakapnya erat.
***
Haji Yakin menghantar Ustaz Jadid ke keretanya. Sebelum enjin dihidupkan, sebuah sampul disuakan Yakin kepadanya.
“Eh, apa pula ini?”
“Isi dan emelkan kepada saya. Borang permohonan tauliah wilayah ini.”
Jadid tersenyum girang. Setahunya, hanya yang melepasi prasaringan layak memohon.
“Teruskan, anak saya juga follower ustaz di media sosial.”
Kata-kata Haji Yakin membuatkan Ustaz Jadid tersenyum, “Alhamdulillah.”