Bahagian 1: Warung Petang Itu
WARUNG Pak Alai petang itu tidak sunyi seperti selalu. Musim ketam baru seminggu bermula, tapi cerita pasal tangkapan sudah melimpah ruah seperti air pasang pada bulan penuh. Budak-budak muda baru belajar menyuluh, orang tua-tua pula seronok duduk bercerita sambil menghirup kopi panas dan menggigit karipap keras buatan Mak Timah.
Di satu sudut warung, tiga orang sahabat sedang rancak bercerita, Mat Jidi, Man Koboi dan Bang Napi. Mereka ni bukan jenis banyak cakap sangat, tapi kalau cerita pasal menyuluh ketam, macam cerita pahlawan balik dari medan perang.
“Dua malam lepas, penuh dua baldi besar,” kata Mat Jidi, sambil mengangkat dua jarinya seperti mengukur lebar baldi.
Man Koboi menambah, “Betul cakap Jidi. Baldi putih tu, sampai tak muat. Kami pindah masuk dalam guni baja,”
“Berapa jam tu kau menyuluh?” celah Pak Tam yang duduk di bangku panjang.
Mat Jidi angkat bahu. “Tak lama mana pun. Dari lepas isyak ke pukul dua lebih sikit. Lagun tu sekarang banyak beting. Ketam tak sempat lari.”
Bang Napi hanya senyum senget di hujung meja. Dia jenis pendiam. Tetapi ramai orang tahu dia kaki menyuluh dari muda. Pernah dulu, katanya, sekali turun naik lagun boleh dapat lima enam kilo. Cuma sejak akhir-akhir ni, kesihatannya macam turun naik. Kadang-kadang datang warung, kadang-kadang hilang seminggu.
“Kalau ikut hati, malam ni aku nak turun lagi,” kata Mat Jidi, sambil menghirup kopi yang hampir sejuk.
Man Koboi mengangguk laju. “Baik. Kita turun dari rumah sebelum maghrib. Sempat singgah pondok nelayan solat dulu.”
Semua mata tertumpu pada Bang Napi.
“Kalau jadi, aku ikut,” jawabnya pendek.
Angin petang mula berhembus sejuk. Langit seperti separuh mendung, separuh cerah. Cahaya matahari seakan lampu pam yang kurang angin. Cahayanya agak redup jatuh condong ke atas daun kelapa di tepi jalan, menimbulkan bayang-bayang panjang tidak jelas seperti lukisan yang tidak siap.
Di penjuru warung, suara Pak Lebai Osman kedengaran perlahan, bukan ditujukan kepada sesiapa, tetapi cukup jelas untuk masuk ke telinga siapa yang mendengarnya, “Lagunnya banyak hasil … tetapi kalau langit tak nampak bintang, jangan leka sangat. Air laut tu bukan semua untuk manusia ….”
Suasana warung senyap beberapa detik. Hanya bunyi sudu logam berdenting di dalam cawan kopi.
Mat Jidi dan Man Koboi berpandangan seketika. Bang Napi, seperti biasa, diam sahaja. Tetapi matanya masih merenung jauh ke luar warung. Entah merenung langit yang suram, atau bayang masa silam.
Bahagian 2: Perjalanan dan Permulaan Malam
Sebelum menjelang maghrib, langit beransur gelap. Gerimis turun halus, macam embun yang berat, tidak membasahkan, tetapi mencalit sejuk di tengkuk dan belakang baju.
Mat Jidi dan Man Koboi sudah bersedia. Bang Napi akan menunggu di simpang jalan. Seperti biasa, mereka berbasikal, masing-masing dengan lampu suluh kepala dan bakul plastik terikat di belakang tempat duduk. Rantai basikal berbunyi renyah di jalan tanah merah, dan bau lumpur paya dari hujung kampung mula menyapa lubang hidung.
“Tak lama lepas bulan gelap begini, ketam banyak keluar,” kata Man Koboi, separuh suara, separuh nafas.
Mat Jidi hanya menggangguk. Malam ini dia rasa sesuatu, tetapi dia tak tahu apa. Bukan takut, cuma terasa lebih berjaga-jaga daripada biasa. Sampai di simpang rumah Bang Napi, mereka terhenti. Man Koboi berhenti mengayuh basikal dan mengangkat tangan.
“Eh, tu bukan Bang Napi ke?” katanya.
Di depan sana – mungkin dua ratus meter dari simpang – kelihatan seseorang di atas basikal berkayuh perlahan. Susuk tubuh itu memang seperti Bang Napi, kurus, membongkok sedikit, mengayuh basikal tidak laju.
“Cepat sungguh dia keluar. Tak tunggu kita pun,” kata Mat Jidi sambil menggeleng.
“Biasalah dia tu, kadang-kadang macam tak sabar,” balas Man Koboi.
Mereka berdua teruskan kayuhan. Jalan mulai sunyi. Tidak banyak rumah selepas simpang itu, hanya semak, dusun dan belukar rendah. Lampu jalan pun tinggal satu dua, itu pun suram dan kelam.
Mereka singgah sebentar di pondok nelayan berhampiran pantai, pondok yang biasa mereka gunakan untuk solat maghrib jika turun menyuluh. Di situ, mereka solat berdua. Sunyi. Tiada kelibat Bang Napi.
“Rasanya dia terus ke lagun,” kata Man Koboi sambil menyarung semula kasut getahnya.
“Macam mana dia tak solat pula …” Mat Jidi menggumam perlahan, lebih kepada diri sendiri.
“Entah. Dia kan selalu macam tu,” Man Koboi menambah, seperti mahu meyakinkan diri.
Selepas bersiap semula, mereka berkayuh perlahan ke arah lagun, ke satu kawasan pasir berlumpur yang terbentang di tepi laut. Ada beting pasir terbentuk apabila air surut, tempat kegemaran ketam keluar mencari makanan.
Langit sekarang seperti tumpah dakwat. Tiada bulan, tiada bintang. Yang tinggal hanyalah angin lembap dari laut, dan suara sayup ombak memukul pantai. Dari jauh, di hujung kawasan lagun, cahaya lampu suluh Bang Napi terlihat berkelip-kelip, tanda dia sudah mula menyuluh. Dia bergerak perlahan, dari satu beting ke beting lain.
“Rajin dia malam ni. Tak tunggu-tunggu,” kata Mat Jidi.
Man Koboi sekadar senyum. Mereka melangkah masuk ke lagun, menyuluh, menyauk, dan mula mengisi baldi pertama.
Bahagian 3: Menyuluh dan Isyarat Aneh
Lampu suluh mereka mencorak cahaya di atas pasir dan air cetek. Suasana sepi, hanya diselangi bunyi air cetek berkocak setiap kali kaki memijak dasar. Ketika menyuluh, ketam akan membatu. Cahaya yang tepa, dan dengan tangan yang tangkas, sudah cukup untuk menyauk seekor ketam masuk ke dalam baldi.
Malam itu benar-benar menjadi. Baldi pertama penuh dalam masa kurang satu jam. Ketam bunga, ketam batu, ketam suri, semua ada. Ukurannya pula tidak mengecewakan. Ada yang bersaiz sekecil tapak tangan, ada juga sebesar penutup periuk kecil.
“Jidi, macam musim dulu-dulu,” kata Man Koboi sambil mengangkat seekor ketam yang mengibas perlahan, matanya bergelinang dalam silauan cahaya lampu.
Mat Jidi mengangguk. Senyap. Tangannya sibuk, tapi matanya sesekali melirik ke arah satu cahaya di hadapan, cahaya lampu suluh milik Bang Napi. Susuk tubuh itu seperti sentiasa bergerak, tidak pernah menoleh, tidak pernah menyahut.
Sudah hampir dua jam mereka menyuluh. Kini baldi kedua pula hampir penuh. Mereka berpindah ke kawasan beting pasir yang lebih jauh dari pantai, lebih dalam ke tengah lagun.
“Dia di depan lagi?” tanya Mat Jidi, separuh berbisik.
“Ada … nampak cahaya dia tu, tapi jauh sikit dah,” jawab Man Koboi sambil menjeling ke arah yang ditunjukkan.
Sesekali, mereka terdengar suara Bang Napi.
“Sauk betul-betul, jangan biar lepas!” atau “Bawah kayu tu banyak ….”
Tetapi suara itu tidak kuat, seperti datang dari jarak yang sukar dijangka. Kadang-kadang dekat, kadang-kadang jauh.
Mereka tidak berasa pelik, bukan belum biasa dengan Bang Napi yang suka bergerak sendiri. Tetapi malam ini, sesuatu terasa lain. Aneh.
Masuk ke baldi ketiga, Man Koboi bersuara, “Dia tak patah balik langsung ke? Dari tadi tak nampak pun dia datang semula.”
Mat Jidi hanya menjawab dengan anggukan kecil.
Beberapa minit kemudian, suara Bang Napi kedengaran lagi, jelas, tapi tidak kelihatan tuannya. “Ayuhlah … baliklah kita. Banyak sudah ni. Jangan lebih-lebih.”
Cahaya lampu suluh di hadapan kelihatan bergerak perlahan ke arah darat, seolah-olah Bang Napi sudah mula mengundurkan diri.
Man Koboi memandang Mat Jidi. “Nak ikut?”
Mat Jidi tunduk melihat baldi ketiga yang masih tinggal satu suku. “Alang-alang, sikit lagi penuh. Lima enam ekor saja lagi ni,”
“Baik, cepat sikit. Nanti kita kejar dia.”
Mereka sambung menyuluh. Tetapi suasana sudah lain. Angin mula mati. Suara malam kian hening. Deruan ombak makin perlahan. Cahaya di langit, langsung tidak kelihatan. Langit hitam legam. Seolah-olah malam itu sudah menutup kelopaknya.
Bahagian 4: Malam yang Tertutup Segala Arah
Baldi ketiga hampir penuh. Seekor lagi ketam disauk dan masuk ke dalam, di atas timbunan cangkerang keras yang bergeser perlahan. Tiba-tiba, angin berhenti sama sekali. Mereka saling berpandangan, tiada apa yang dikata, tetapi kedua-duanya sedar sesuatu sudah berubah.
Langit gelap sepenuhnya. Tiada bulan, tiada bintang, malah silau samar dari jauh pun seolah-olah lenyap. Hanya gelap. Pekat. Lampu suluh mereka yang selama ini cukup kuat menerangi malam, kini terasa suram. Cahayanya seakan diserap lumpur pasir dan kabus yang tidak kelihatan.
“Mat, mana Bang Napi?” suara Man Koboi kedengaran cemas buat kali pertama malam itu.
Mat Jidi segera menoleh. Cahaya lampu suluh yang tadi berada di pantai telah hilang. Tidak ada sinar, tidak ada bayang. Suara pun tidak kedengaran lagi.
“Tadi dia ke darat. Sepatutnya menyusur pantai. Tapi sekarang ….”
Man Koboi menoleh kiri kemudian menoleh kanan. Suasana sudah tidak lagi memberikan arah. Beting pasir tempat mereka berdiri semakin tenggelam. Air mula naik dengan pantas, tidak seperti kebiasaan. Mereka terpaksa bergerak ke belakang, tetapi di belakang pun sudah mulai dalam.
“Kita dekat mana sekarang?” tanya Man Koboi, suara menggeletar.
“Dekat beting tengah. Tapi air pasang cepat sangat,” jawab Mat Jidi, menahan cemas.
Deruan ombak tiba-tiba lebih dekat. Hanya bunyi itu, dan degup jantung sendiri. Tiada pokok, tiada cahaya dari pantai, tiada petunjuk arah. Mereka berpusing beberapa kali, namun semuanya sama, kelam, gelap, dan menyesatkan.
“Baldi ni …” Man Koboi mengangkat separuh, tapi air sudah melimpah ke dalam. Ketam mula terlepas seekor dua.
“Tinggal. Kita kena keluar sekarang,” kata Mat Jidi tegas.
Baldi yang hampir penuh, hasil menyuluh hampir tiga jam terpaksa ditinggalkan. Bunyi dentingan ketam berlanggar dalam air kedengaran sayu. Mereka cuba berjalan meraba arah, namun air semakin tinggi, sudah lebih daripada paras pinggang.
Man Koboi tergelincir. Lumpur pasir di bawah mula menjadi seret, seperti menarik kakinya perlahan-lahan. “Mat! Mana arah pantai?”
Mat Jidi berhenti. Nafasnya pendek. Dia juga tidak tahu. Segalanya tampak sama, langit dan air bersatu tanpa sempadan.
Dan ketika itu, satu lintasan cahaya kecil berkelip jauh di hadapan. Satu nyalaan lampu suluh, samar tapi nyata, di tepi pepohon ru yang mereka sangat kenal.
“Situ!” Mat Jidi menjerit, menuding jari.
Tanpa berfikir panjang, mereka berenang. Meredah lagun yang mula dalam. Nafas sesak. Lumpur pasir menyentap kaki. Tetapi mereka terus berenang. Antara percaya dan terdesak, mereka hanya ikut arah cahaya itu.
Apabila hampir ke pantai, cahaya itu terus padam. Yang tinggal hanya pasir keras di bawah kaki, dan angin laut yang kembali bertiup perlahan. Mereka terduduk di pantai. Diam, letih dan basah kuyup. Lama mereka di situ, tidak bersuara. Tak ada tawa, tak ada cerita. Hanya pandangan ke arah laut yang kembali senyap.
Bahagian 5: Antara Cahaya dan Bayang
Langkah pulang malam itu terasa paling berat sepanjang hidup Mat Jidi. Kasut getah basah menyerap dingin, baju melekat di badan, tangan terkulai lesu di sisi basikal yang ditolak perlahan. Tiada siapa antara mereka yang bercakap. Tidak Man Koboi, tidak Mat Jidi. Langkah mereka longlai, seperti menolak beban yang tidak kelihatan. Sesekali terdengar bunyi malam, cengkerik, desiran angin, daun-daun bergeseran. Tetapi tiada satu pun yang menghapuskan bayang ketakutan yang seolah masih menggigit dari belakang kepala.
Sampai di rumah, lampu dapur masih menyala. Isteri Mat Jidi sedang menunggu di tangga, wajahnya penuh gusar dan mata merah seperti belum tidur.
“Kenapa lama sangat? Kenapa basah kuyup ni? Basikal pun penuh lumpur!”
Mat Jidi tidak menjawab. Dia hanya meletakkan basikal di dinding dan duduk di anak tangga bawah. Terasa seperti dunia baru saja bergoncang, dan dia belum sempat berdiri semula.
Isterinya menghulurkan tuala kecil.
“Eh, bang! Tadi petang anak Bang Napi datang cari. Katanya abah dia tak jadi turun menyuluh.”
Perlahan, Mat Jidi mengangkat wajah. Keningnya berkerut. Matanya bersoal jawab sebelum lidah sempat bertanya.
“Sakit perut dari petang. Masuk maghrib terus baring. Tak keluar rumah langsung,” sambung isterinya tanpa sedar betapa kalimat itu sedang mengubah seluruh garis waktu malam tadi.
Mat Jidi tunduk semula.
Tik!
Bunyi air menitis dari hujung baju ke lantai simen.
Di luar, angin laut bertiup. Daun kelapa bergeser. Langit masih tidak berbintang. Tetapi malam itu tidak sama lagi. Malam itu, mereka pulang tanpa ketam, tetapi membawa satu soalan yang tidak akan dijawab. Siapakah yang menyuluh ketam di hadapan mereka sepanjang malam itu?
