Meneliti pantun akan mengingatkan kita kepada bahasa orang-orang lama zaman dahulu kala. Pantun dalam masa yang sama membuatkan kita teruja dan bahagia. Hal ini kerana kita seronok membacanya, apatah lagi jika mendengar pantun yang diucapkan oleh sesiapa juga ketika berkata-kata sama ada sebagai seorang pengacara untuk menyerikan bicara, pemidato yang mahu menghabiskan ucapannya atau penceramah yang memberikan nasihat di mimbar kuliah. Pantun akan sentiasa sedap didengar kerana rimanya. Pantun sentiasa membuatkan kita tercari-cari nasihat dan tegurannya. Kita juga selalu ternanti-nanti akan sinis dan jenaka yang dimuatkan secara halus di dalamnya.
Menarik untuk kita teliti definisi pantun yang dikemukakan oleh T. Alias Taib dalam Tuan Ibarat Songket Berkilau (Oscar Book International, 2005) sebagaimana berikut, “Kebijaksanaan orang Melayu yang banyak terpercik dalam pantun. Seperti ragi kepada tikar pandan, begitulah halusnya orang Melayu zaman dahulu menganyam fikiran dalam pantun. Kalau hendak mengetahui puncak kiasan, teguran dan perbandingan orang Melayu, carilah dalam pantun.” Esei pembukaan berjudul “Pembentukan dan Pembangunan Pantun” yang dimuatkan dalam buku Kumpulan Pantun Melayu (DBP, 1991) selenggaraan Zainal Abidin Bakar menyatakan makna pantun antaranya seperti yang berikut, “PANTUN, sebagai satu bentuk puisi Melayu tradisional terbentuk dalam rangkap-rangkap. Rangkap pantun bagaimanapun tidak begitu terbatas kepada hanya yang empat baris serangkap seperti syair walaupun itulah bentuknya yang terbanyak sekali. Ini bermakna pantun terbentuk juga daripada jumlah baris yang selain daripada empat baris serangkap. Bagaimanapun, rangkap-rangkap pantun mesti terbentuk secara berpasangan dalam jumlah baris yang genap: Dari pantun dua baris serangkap sampailah kepada pantun 16 baris serangkap. Ini dengan jelasnya membayangkan betapa pantun ada sedikit aturan pembentukan baris berbanding dengan beberapa bentuk yang lain seperti mantera, gurindam dan perbilangan adat, yang tidak mementingkan jumlah baris, dan tidak juga mempunyai aturan rima dalam rangkap-rangkapnya.”
Dalam perbincangan singkat kali ini kita ingin melihat khusus kepada pantun hari raya yang dicipta oleh seorang pemantun moden terkenal yang telah melibatkan diri dalam dunia pantun tidak kurang 40 tahun lamanya. Pemantun tersebut ialah Abdul Halim “R” yang menghimpunkan ribuan rangkap pantun ciptaannya dalam buku Setaman Pantun Kenangan (Penerbit USM, 2006).
Pemerhatian ini khusus melihat 10 rangkap pantun ciptaan Abdul Halim “R” dengan tajuk “Aidilfitri” pada halaman 434 dan 10 rangkap lagi di halaman 450 dengan judul “Ramadan dan Syawal”. Dengan menggunakan pembayang yang disaring khusus daripada sumber alam, Abdul Halim menyusun pantunnya dengan teliti disulami maksud yang berintikan nasihat. Namun, untuk menggambarkan suasana gembira dan ceria ketika hari raya, pemantun turut menyelitkan unsur jenaka dalam pembayang pantunnya apabila menggambarkan “murai terkinja-kinja yang cuba berlari di tengah jalan”.
Maksud pantun dalam dua baris akhir pula banyak memuatkan nasihat sewaktu menjelang hari raya seperti perlunya sifat takwa dan rasa syukur. Seronok berhari raya juga tidak perlu hingga membazir dan melanggar batas agama. Hubungan silaturahim pula mesti sentiasa dijaga dan jika ada dendam perlulah dipadam. Perihal tersebut dimuatkan dalam lima rangkap pantun ini:
Buah papaya dipetik dara,
Mari dibawa ke Pulau Pangkor;
Hari raya sama gembira,
Sambil bertakwa serta syukur.
Anak murai terkinja-kinja,
Cuba berlari di tengah jalan;
Jangan terburai boros belanja,
Seronok sehari derita sebulan.
Manis menira buah pulasan,
Atas pelenggar dalamnya huma;
Seronok ria ada batasan,
Usah terlanggar adat agama.
Terbang berempat si burung enggang,
Mengejar merbah hingga ke lembah;
Erat merapat mana yang renggang,
Padu muhibah mesra bercambah.
Jangan mengelap di malam gelap,
Apa direndam meremuk redam;
Segala khilaf maaf digilap,
Semua dendam sama dipadam.
Dalam rangkap yang seterusnya, pemantun berkisah tentang suasana ketika hari raya yang menjadi medan pertemuan keluarga dan rakan taulan. Kegembiraan sama dirasai oleh semua orang termasuk saudara-mara dan sahabat handai. Rangkap ini dijalin dengan teliti apabila bukan sahaja dipadankan rima akhirnya yang merupakan syarat utama pantun, namun rangkap ini juga memiliki rima tengah. Rima tengah dicipta agar pantun menjadi lebih indah dan makin sedap didengar, namun tidaklah menjadi syarat wajib. Dengan pembayang yang diambil dari latar alam, ditambah pula dicipta rima tengah yang bersesuaian, pantun tentu saja dirasakan hampir sempurna. Perhatikan rangkap yang dimaksudkan:
Ombak gelora tengah segara,
Ke pantai landai indah permai;
Saudara-mara sama gembira,
Sahabat handai beramah damai.
Walaupun hari raya merupakan waktu kita menghubungkan tali persaudaraan antara keluarga dan rakan taulan serta memohon kemaafan, namun dalam masa yang sama, keprihatinan kita kepada orang susah tetap diperlukan. Selain mengeratkan tali silaturahim, kita juga dituntut agar menjadi seorang dermawan dan pemurah agar rezeki yang diperoleh turut dapat dikongsikan bersama-sama golongan yang kurang bernasib baik. Pemantun mengingatkan perkara tersebut kerana menurutnya, puasa pada bulan Ramadanlah yang telah mendidik dan mengajar kita. Hayati perihal tersebut dalam empat rangkap berikut:
Mandi panglima berlimau purut,
Penyakit misteri menjadi tawar;
Luka lama meski berparut,
Aidilfitri jadi penawar.
Mari dijemur tikar sejadah,
Bersama kain jenisnya satin;
Bila makmur nikmati juadah,
Fakir miskin berilah prihatin.
Berpisau belati belah delima,
Dipotong empat usah bersepah;
Bermurah hati menabur derma,
Pahala dapat rezeki melimpah.
Bengka pandan campur manisan,
Dimakan awal paginya hari;
Begitu Ramadan mendidik insan,
Sehingga Syawal terkawal diri.
Lima rangkap akhir yang dimuatkan dalam pantun “Ramadan dan Syawal” pula menggarap hal yang hampir serupa dengan pantun-pantun yang telah dibincangkan sebelum ini. Pemantun menyatakan tentang pentingnya sifat syukur dan turut memberi nasihat agar kita tidak melupakan fakir miskin. Sifat boros juga turut menjadi topik utama kali ini yang tentu sahaja akan menambah beban hutang. Hari raya ialah hari kita mengeratkan hubungan persaudaraan dan persahabatan. Suasana hari raya juga disambut dengan rasa syukur diiringi lafaz takbir mengagungkan Tuhan Yang Esa dan Maha Pencipta. Diperturunkan keseluruhan lima rangkap tersebut:
Taburi cahaya cemerlang bintang,
Kilat serlah nyala berseri;
Hari raya menjelang datang,
Nikmat Allah kita syukuri.
Malam cahaya kendil berseri,
Mengalir lilin bertakungan;
Dalam beria beraidilfitri,
Fakir miskin dilupa jangan.
Dara manja lentok berlari,
Bawa bekalan junjung bertatang;
Sia-sia belanja untuk sehari,
Seksa sebulan menanggung hutang.
Teruna sebaya tampil berdiri,
Saksama berkawal malam di lembah;
Sempena Raya Aidilfitri,
Bersama Syawal salam muhibah.
Di mana umbut subur di rawa,
Di sana huma serlah melebar;
Raya disambut syukur bertakwa,
Gema irama Allahuakbar.
Demikian nukilan Abdul Halim “R” berkait tentang hari raya yang telah memberikan pesan dalam susunan rima pantun yang ditukangi dengan cermat dan memuatkan unsur alam yang rencam. Pantun Aidilfitri yang diciptanya sesuai untuk dihayati pada mana-mana tahun pun tanpa ada tarikh luput. Biarlah kita dilihat berbeza daripada kebiasaan, iaitu membaca dan menghayati pantun hari raya menjelang tibanya Aidilfitri ketika orang lain sibuk membaca bermacam perkara dalam telefon bimbit. Hal ini supaya salah satu cabang seni sastera tradisi yang sangat lama ini terus kekal hidup sampai bila-bila dan makin dikasihi anak muda, kerana pantun ialah warisan budaya penting dan antara jati diri utama bangsa kita.
