Skip to content
Manuskrip di Bawah Banir
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Manuskrip di Bawah Banir
Manuskrip di Bawah Banir
Cerpen

Manuskrip di Bawah Banir

  • CLAYTON ROBERT
  • 5 Ogos 2026
  • DBP Cawangan Sarawak
  • 8
  • 3.5

MENGAPA perlu mencari leluhur? Pentingkah kita menyusuri asal-usul dan belajar sejarah?

“Lihat pokok akasia di luar. Kita memuji bunganya, tetapi yang menahan ribut ialah akarnya. Begitulah sejarah kita,” ujar Cikgu Safiah ketika mengajar Tingkatan 5B. Kata-katanya membuat kelas terdiam; falsafah itu terlalu dalam untuk mereka hadam. 

Selepas meneguk air putih, Cikgu Safiah mengedarkan garis panduan kerja kursus sejarah melalui Jau. Kerja itu perlu dibuat berpasangan, dan murid diminta memilih rakan sejantina. Jau segera mempelawa Gundo untuk menjadi pasangannya.

Namun, mereka buntu tentang kriteria “lokasi bersejarah di kampung.”

“Bagaimana kalau kampung kami tiada apa-apa yang bersejarah?” tanya Gundo.

“Kalau belum menggali, jangan kata tak jumpa. Sejarah bukan di atas kertas – ia hidup di sekeliling kamu,” balas Cikgu Safiah. 

Mereka kembali ke tempat duduk, masih ragu.

“Aku tak suka kerja kursus sejarah,” rungut Jau.

“Sejarah macam buku berhabuk,” sambung Gundo.

“Leluhur? Nama pun aku tak tahu. Macam hidup tanpa akar — tumbuh sendiri,” ujar Jau sambil ketawa kecil.

***

Pada petang itu, Jau pergi ke rumah Gundo di hujung kampung untuk berbincang tentang kerja kursus sejarah yang perlu disiapkan dalam masa sebelas hari sebelum cuti pertengahan tahun tamat. Mereka tiada pilihan selain memilih antara sejarah kampung atau daerah, walaupun kedua-duanya tidak berminat dengan tugasan itu. Jau dan Gundo lebih gemar bidang vokasional yang praktikal dan menyeronokkan berbanding menyelami sejarah yang dianggap membosankan. Namun, demi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia, semua itu mereka harus hadapi.

“Jau, memandangkan ayahmu seorang ketua kampung. Aku rasa lebih baik kita pilih sahaja sejarah kampung sebagai subjek utama kajian sejarah kita.” Gundo mengajukan pandangan sambil menggaru-garu betisnya yang terasa gatal.

“Aku pun berfikir begitu juga sebab lebih mudah untuk mengkaji sejarah kampung. Di persekitaran kita juga. Lebih menjimatkan masa dan tenaga.”

“Kalau ikutkan hati, aku malas nak buat kajian sejarah begitu. Membosankan. Dunia masa kini mengarah ke kemajuan dan pemodenan.”

Gundo mengulangi pendiriannya yang muak dengan sejarah. Bukan sekali. Tetapi sudah dua kali dia menyatakan pendirian.

“Sejarah tu mungkin membosankan, tapi gagal sejarah, gagal masuk kolej. Kau sanggup?” Jau mengingatkan.

Sejenak Gundo terdiam. Dirinya ketika itu seperti diluah mati mak, ditelan mati bapa.

“Mak, ayah belum pulang?”

Kelihatan ibu Jau memegang dua gelas minuman di tangan dan menapak menuju mereka berdua di ruang tamu.

“Tak lama lagi pulanglah ayah kamu tu. Tadi dia cakap nak tengok jerat tupai di kebun. Bukan kamu tak kenal ayah kamu yang gemar menjerat tupai. Siap beritahu mak untuk sediakan santan kelapa. Nak masak bubur tupai.”

Tidak lama kemudian, deruman bunyi enjin motosikal kedengaran memasuki laman rumah. Nampaknya ketua kampung sudah pulang ke rumah. Bunyi tapak kaki menghala ke pintu rumah.  

Barau menyerahkan sebungkus plastik hitam yang berisi sepuluh ekor tupai hasil jerat di kebun. Dia menoleh ke ruang tamu. Menatap Jau, anaknya dan Gundo yang masing-masing duduk di atas kerusi sambil menikmati air buatan isterinya. Mereka berdua juga disajikan dengan pisang goreng.

“Ayah, boleh ke sini sekejap. Kami ada sesuatu nak cakap.” Jau membuka mulut.

Lelaki bekas anggota tentera itu tidak banyak bercakap, sebaliknya menggosok kakinya di atas alas kaki lalu bergerak laju menuju mereka berdua. Dia mengambil tempat duduk bertentangan dengan anak lelakinya dan Gundo.

“Ada apa?”

“Kami ada tugasan kerja kursus sejarah di sekolah. Jadi, kami bercadang nak ambil sejarah kampung. Boleh tak ayah tolong kami kenal pasti bahan sejarah yang sesuai untuk dimasukkan ke dalam laporan kelak?”

Ketua kampung berfikir seraya mengelus-elus janggut sejemput yang menempel di dagunya. Tiada sebarang kata-kata yang terpacul dari mulut lelaki berusia 48 tahun itu. Suasana menjadi sepi sebentar. Hanya kedengaran suara pemberita menyampaikan tentang pengumuman Premier Sarawak bagi nama syarikat penerbangan baharu, AirBorneo pada 12 Februari 2025.

“Ayah boleh bantu tetapi bukan semudah itu.”

Jau dan Gundo bertentang mata antara satu sama lain. Masing-masing kebingungan mendengar cakap Barau tadi.

“Kalau kamu mahu mencari sejarah, kamu takkan jumpa di mulut orang. Kamu kena berjalan, menyelak daun, menyentuh lumpur: sebab sejarah bukan cerita tapi jejak yang ditinggalkan. Jangan risau, teka-teki ini akan menjadi mudah jika kamu kenal mana-mana objek sejarah di dalam kawasan kampung.”

“Kenapa ayah tidak bagi sahaja lokasinya? Kenapa nak susahkan kami dengan teka-teki semua ni? Kami ni pelajar sekolah, bukan pengkaji sejarah.”

Barau menjeling tajam. “Ilmu yang senang diberi, senang dilupa. Ilmu yang kau cari dengan susah payah akan kekal dalam kepala.”

“Baiklah, kami bersetuju.” Gundo terus menyahut sambil menyiku bahu Jau.

“Lusa kita mulakan. Berkumpul di laman rumah kita.”

Keesokan harinya, ketika embun masih bertakung di hujung daun dan mentari perlahan-lahan menyelak tirai pagi, Jau dan Gundo sudah pun berdiri di laman rumah. Seperti yang dijanjikan, mereka menanti dengan penuh debaran. Di bahu masing-masing tergantung beg galas yang kelihatan padat — tersusun rapi di dalamnya botol air, telefon bimbit, makanan ringan, buku catatan dan sebatang pen yang sudah  bersedia merakam setiap detik pengembaraan kelak.

Beberapa minit kemudian, ketua kampung melangkah keluar dari pintu rumah menghala ke Jau dan Gundo yang tercegat berdiri. Di tangannya yang berkedut terdapat sehelai kertas yang dilipat kecil. Melihat penampakan ketua kampung itu membuatkan Jau dan Gundo gemuruh. Walaupun masih diselubungi rasa muak dengan sejarah, mereka berdua harus lulus demi cita-cita yang diimpikan.

“Jau dan Gundo, di tangan saya terdapat sehelai kertas yang mengandungi soalan teka-teki pertama dan kata kunci. Saya telah menetapkan empat soalan teka-teki dan telah diletakkan di setiap tempat objek bersejarah di sekitar kampung. Setiap tempat objek sejarah itu akan diawasi oleh seorang jurupandu. Ada soalan?”

Kedua-dua budak lelaki itu menggeleng kepala.

“Oh ya, saya lupa hendak beritahu. Pastikan kamu berdua catat segala maklumat di setiap lokasi objek sejarah. Jangan terlalu lama berada di setiap lokasi. Catat yang penting sahaja. Dan yang paling penting adalah di lokasi terakhir kerana di situ tersimpan sebuah manuskrip sejarah yang ditulis oleh Tom Harrison dan Wilheim G. Solheim pada tahun 1959,” dedah Barau dengan panjang lebar.

Jau dan Gundo saling berpandangan. Gundo menerima kertas teka-teki, lalu segera membukanya. Soalan pertama tertera: TEMPAT LELAKI MELETAKKAN TOPI dan kata kunci DI BAWAH PONDOK BERPAGAR. Otak mereka berdua ligat memikirkan jawapan, sementara Barau melangkah masuk ke rumah.

“Aku sepertinya tahu jawapan teka-teki ini,” getus Gundo.

“Di mana?”

“Bersebelahan balai raya. Sebab aku hari-hari lalu kawasan situ. Lagipun berdekatan dengan rumah. Aku ingat itu pondok biasa untuk orang melepak.” Mereka berdua berlari kencang menghala ke kawasan tengah kampung.

“Sampai juga kamu berdua di sini,” sapa jurupandu di lokasi objek sejarah yang pertama.

“Betul tekaan kamu, Gundo.” Jau memuji.

Gundo tersenyum. Dia tercungap-cungap menarik nafas panjang kerana berlari laju.

“Untuk pengetahuan kamu, ini adalah kelabut. Kelabut ini adalah tempat lelaki meletak topi suatu ketika dahulu. Asalnya ialah kayu, namun telah ditukar oleh Datu Merpati menggunakan ilmu saktinya. Kelabut ini dijadikan salah satu lokasi sejarah oleh Jabatan Muzium Sarawak pada Julai 1990.”

Jau dan Gundo tekun mencatat setiap fakta yang disampaikan jurupandu sambil merakam gambar sebagai bukti. Teka-teki seterusnya diserahkan: AKU ADALAH JANTUNG ADAT dan kata kunci BULAT. Setelah mengucap terima kasih, mereka melangkah perlahan sambil minda ligat menagih sebuah jawapan.

“Aku rasa ini bale gambang!” teriak Jau.

“Bagaimana kamu yakin itu bale gambang?”

“Ayah aku selalunya, kalau mesyuarat, dia sebut bale gambang. Lagipun, setiap tahun perayaan Gawai memang dilakukan di situ. Dan seingat aku, reka bentuk bangunan bale gambang itu bulat.”

Tepat seperti dugaan Jau, lokasi kedua objek sejarah ialah bale gambang yang terletak berhampiran kelabut. Setibanya di sana, jurupandu menyambut mereka dan menerangkan bahawa bale gambang dahulunya berfungsi sebagai pusat perayaan, adat, pertahanan dan tempat mesyuarat ketua kampung. Di sinilah bermulanya sistem kawalan sosial masyarakat Bidayuh yang tersusun. Bangunan ini turut menyimpan puluhan gambar ketua kampung sejak tahun 1825 sebagai penghargaan kepada jasa mereka, meskipun Jau dan Gundo tidak mengenali sama sekali wajah-wajah itu. 

“Kenapa aku tak tahu semua ini?  Adakah aku terlalu bangga menjadi orang moden, hingga malu dengan warisan sendiri?” Hati Jau berperang dengan diri.

Teka-teki ketiga berbunyi: LUKISAN MANUSIA dengan kata kunci DAUN SIRIH.

Mereka terdiam sejenak: cabaran kali ini lebih mengelirukan dan membuatkan otak mereka ligat meneka jawapan.

“Aku rasa ini Gua Sireh. Ingat tak dulu masa kecil kita pernah hendak ke Gua Sireh tetapi orang tua melarang sebab di sana ada hantu,” cetus Gundo.

“Barangkali juga sebab di kampung kita ada Gua Sireh. Selama ini aku ingat Gua Sireh itu tempat hantu tinggal.”

Nasib baik juga mereka berdua mengenakan pakaian dan kasut sukan. Kawasan di dalam gua yang agak berbatu dan licin dengan titisan air yang jatuh daripada kawasan bumbung gua.

Benar seperti yang dikatakan oleh Gundo. Lokasi sejarah ketiga ialah Gua Sireh, Serian yang terletak satu kilometer dari kampung. Gua Sireh ini terletak di Gunung Nambi. Mereka sampai di mulut gua sebaik sahaja menghabiskan lebih kurang tiga puluh minit mendaki tangga dari kaki gunung ke gua.

“Inilah Gua Sireh. Di dinding gua ini terdapat satu lukisan purba yang dilukis oleh nenek moyang kita, nenek moyang orang Bidayuh. Kamu berdua lihat di situ.” Jurupandu menyuluh ke dinding gua. Terpampang lukisan berbentuk manusia dan beberapa ekor haiwan.

“Gua Sireh ini telah didiami oleh manusia sejak 20,000 tahun dahulu dan ekskavasi pertama kami dilakukan oleh W. Solheim II dan Tom Harrison pada tahun 1959. Cuba tengok lantai gua. Ada beberapa peninggalan artifak sejarah seperti tembikar, kulit siput, manik dan tapak perkuburan. Di sini juga terdapat penemuan hampas padi. Penemuan-penemuan ini membuktikan aktiviti penanaman padi telah wujud di sini sejak 4,000 ke 5,000 tahun dahulu sebagai makanan utama,” tambah jurupandu.

Sambil mendengar, Jau dan Gundo mencatat maklumat sejarah.

Ternyata leluhur Jau dan Gundo dahulu telah mempunyai suatu peradaban bangsa yang sangat mengagumkan. Mana tidaknya, penemuan tempat arkeologi ini menunjukkan yang nenek moyang mereka mempunyai sistem kehidupan yang sistematik. Manik-manik dan batu jed yang berada di lantai gua mempamerkan kewujudan sistem barter dan aktiviti perdagangan zaman purba.

Tapak arkeologi di Gua Sireh telah diwartakan sebagai lokasi sejarah di bawah sub-seksyen 26(3) dan 26(6) Ordinan Warisan Budaya Sarawak 1993 seperti yang tercatat pada papan kenyataan di tepi gua. Kawasan Gua Sireh adalah dilindungi dan tidak boleh dicerobohi.

“Seterusnya, ini kertas teka-teki terakhir untuk kamu berdua.” Jurupandu menyerahkan teka-teki terakhir kepada Jau dan Gundo.

Mereka duduk sejenak di atas batu, Gundo memberi Jau sebotol air. Jau membuka kertas itu dan membaca teka-teki terakhir: TUMBUH 30 METER MENGGAPAI LANGIT, POKOK KERAS DI SARAWAK. Kata kunci: PIDARA.

“Pokok keras dan pidara?” Jau menggaru kepala sambil meneguk air. Tekaknya terasa kering. Sekering sungai yang dilanda musim kemarau.

“Bagus kita cari maklumat di internet. Pasti dapat. Sekaranglah masa yang sesuai untuk memanfaatkan teknologi maklumat.”

Jau mengangguk kepala. Gundo menyeluk telefon bimbit dari poket seluar dan mencari tahu. Dan akhirnya mereka menemui jawapannya. Pelajar sekolah menengah itu bingkas bangun dan menuruni tangga menghala ke kawasan hutan di kaki gunung Nambi. Lokasi sejarah terakhir berada.

“Nampaknya kamu berdua telah berjaya menyelesaikan keempat-empat teka-teki itu. Tahniah anak muda!”

Jau dan Gundo telah sampai di lokasi terakhir tempat bersejarah di kampung. Mereka berdua berada di kawasan pidara (tapak perkuburan lama) dan betul-betul menghadap sebatang pokok belian bersaiz lima pemeluk orang dewasa. Kelihatan Barau, ayah Jau sedang berdiri mencekak pinggang membelakangi banir pokok belian yang gagah mencengkam tanah.

Dipercayai nenek moyang pertama mereka keluar daripada rahim pokok belian itu. Sebab itu pokok belian itu terus dipelihara dan dijaga dengan penuh ketat. Jau dan Gundo masing-masing tersembam ke tanah kerana keletihan dan kepenatan mencari lokasi-lokasi sejarah. Kedua-dua remaja itu tercungap-cungap meraup nafas. Detak jantung berdegup kencang. Peluh membasahi setiap inci roman wajah.

Pidara adalah tempat peristirahatan terakhir nenek moyang mereka. Leluhur yang telah membina sebuah peradaban bangsa dan mengagaskan kampung sejak ratusan tahun dahulu. Semuanya bermula di pidara. Tanpa mereka maka tiada juga Jau dan Gundo di dunia. Menyusuri jejak leluhur ini adalah sebuah pencarian makna diri. Pencarian ini penting untuk memahami siapa kita hari ini menerusi apa yang telah dilakukan oleh leluhur sebelumnya kerana mereka adalah akar jati diri.

Tanpa akar, pasti pokok akan tumbang menyembah bumi. Begitulah manusia yang hidup tanpa pengetahuan mengenai asal usul diri akan hidup terumbang-ambing dalam dunia ini umpama kapal tanpa nakhoda. Identiti yang jelas akan mencegah manusia daripada hanyut dalam arus dunia yang sentiasa berubah.

“Di mana manuskrip sejarah kampung itu?” soal Jau dengan nada suara tersekat-sekat akibat menahan lelah.

Barau tersenyum.

“Manuskrip itu ada di dalam buku catatan kamu. Sebenarnya tiada manuskrip sejarah kampung itu. Saya sengaja berbuat demikian supaya kamu berdua mencari sendiri sejarah kampung berdasarkan kepada lokasi sejarah mengikut teka-teki.”

Kedua orang remaja itu berpandangan sesama sendiri dalam kelelahan yang semakin membaluti tubuh. Tenaga semakin menguras. Bekalan makanan ringan yang dibawa juga telah habis dimakan di sepanjang perjalanan.

“Kalian generasi muda, anggap saja ini sebagai pelajaran sejarah. Jangan tidak ingat dan kenal kepada sejarah bangsa. Takut suatu hari nanti, sejarah kita akan diubah oleh tangan kotor. Mudah menjadi mangsa propaganda sejarah. Dunia semakin moden dan pemikiran manusia semakin kompleks. Apapun terjadi, jangan biarkan sesiapa menggubah fakta sejarah bangsa. Berpegang kepada jati diri dan identiti bangsa,” pesan Barau.

Jau dan Gundo akhirnya mengalah. Sesungguhnya, aktiviti treasure hunt sejarah hari itu meninggalkan kesan dan dampak yang cukup luar biasa. Usah manuskrip sejarah disorok di bawah banir pokok belian. Sebaliknya angkat dan junjunglah dengan bangga.

Dengan mengenali sejarah asal usul leluhur, kita bukan sahaja belajar mengenai masa lampau tetapi juga mendapat panduan untuk masa hadapan yang mencabar. Sejarah mendidik kita tentang pengalaman, kejayaan dan kesilapan yang generasi terdahulu lakukan supaya kita di kemudian hari tidak mengulanginya lagi.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (7) #dbpselatan (17) #karyasastera (28) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (32) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (24) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (13) abuyon (4) adie abd gani (5) anak (3) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (28) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (6) Dialek (2) Esei (5) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (14) puisi (34) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (13) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Fungsi Bahasa Melayu Masa Kini
Bicara Bahasa

Fungsi Bahasa Melayu Masa Kini

  • 19 Jun 2023
  • 4789
  • 5
Bajau Laut di Semporna: Komuniti Warisan Maritim yang Unik
Sejarah dan Budaya

Bajau Laut di Semporna: Komuniti Warisan Maritim yang Unik

  • 5 Mac 2025
  • 604
  • 3.6
SEPEKET MAKANAN BASAH JENAMA PREMIUM
Cerpen

SEPEKET MAKANAN BASAH JENAMA PREMIUM

  • 20 September 2024
  • 299
  • 4.9
Penyamun Malam Pengantin
Cerpen

Penyamun Malam Pengantin

  • 4 September 2023
  • 704
  • 4.7

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP