KAKI Syarifudin melangkah laju. Cepat- cepat dia mengimbas tiket di pintu masuk, lalu berlari menuju ke arah pintu tren KTM stesen Butterworth yang mula ditutup. Syarifudin duduk di dalam perut KTM yang sepi, menatap keluar tingkap sambil memikirkan berita yang baru saja diterimanya. Dia masih tidak percaya, seperti mimpi buruk yang tidak pernah berakhir.
Pukul 4.00 pagi, telefon pintar pelajar itu berbunyi. Syarifudin terjaga lalu menjawab panggilan itu.
“Hello, siapa ni?” tanya Syarifudin dengan mamai.
“Syarif, ibu ni. Syarif…” suara ibu terhenti.
Sayup – sayup suara ibu tersedu-sedu menahan kesedihan. Dia naik hairan. Dalam hatinya menduga sesuatu yang buruk berlaku. Mukanya yang mamai bertukar menjadi risau.
“Ibu, kenapa ni? Apa yang dah jadi?” Syarifudin menyoal.
“Nak…”
Seketika minda Syarifudin kosong. Dia cuba memproses kata-kata ibunya. Syarifudin terkedu, tidak mampu berkata-kata lagi setelah mendengar khabar daripada ibunya. Matanya memandang dinding kosong. Pandangannya semakin lama semakin kabur.
*****
Syarifudin yang ketika itu berusia 10 tahun berlari-lari anak menuju ke pintu apabila mendengar bunyi motosikal jenama Modenas Kriss 110 itu. Dia tertawa keriangan melihat ayahnya yang baru pulang dari kerja lalu berlari memeluknya.
“Yeay, ayah dah balik!” jeritnya riang.
“Ayah bawa makanan apa itu?” soal Syarifudin sambil melihat makanan panas di dalam raga motosikal ayahnya.
“Ayah beli pisang goreng. Nanti kita makan sama-sama ya!” kata ayah.
Syarifudin tertawa keriangan. Tangan kecilnya erat memeluk tubuh ayahnya itu. Petang itu, mereka sekeluarga bersama-sama makan pisang goreng yang panas itu sambil bergurau senda.
Syarifudin paling banyak berbicara menceritakan kisah-kisah yang terjadi sewaktu dia bersekolah. Ayah hanya tersenyum mendengar, sekali sekala mencelah kata-kata anak kecilnya itu.
“Syarif dah nak malam ni. Pergi mandi kemudian ikut ayah pergi surau.” kata ibu.
“Betul tu. Ayah pun nak bersiap juga.” sambung ayah.
Syarifudin hanya mengangguk. Dia memandang keluar, melihat hari semakin gelap. Syarifudin termenung melihat cahaya merah dimamah kegelitaan malam. Seketika pandangannya juga semakin gelap.
*****
“Apa nak jadi ni, Syarif?” pekik ayah.
Syarifudin hanya tertunduk. Mukanya basah seperti terkena hujan tetapi petang itu cuaca di luar kering. Ayah hanya memandang Syarifudin. Mukanya kelat memandang Syarifudin yang berumur 16 tahun itu.
“Kalau jadi apa-apa dekat kamu, siapa yang susah nanti?” Ayah berkata-kata semula.
“Maaf, ayah…”
“Kamu ni, sekarang kan tengah PKP. Tambahan lagi, kamu mandi dekat dengan kawasan kepala air. Kamu tu tak reti berenang, tahu!” leter ayah.
Syarifudin tertunduk malu. Selepas kelas atas talian tadi, kawan-kawannya mengajak dia mandi sungai. Syarifudin takut ibu dan ayahnya melarang dia pergi ke sungai, lalu Syarifudin membuat keputusan untuk menipu kedua orang tuanya. Kifarah tuhan, rahsianya terbongkar kerana pulang dari sungai dengan memakai seluar basah.
“Sini kamu!” kata ibu sambil memegang pembaris jahitnya ingin menghukum Syarifudin.
Syarifudin cuba mengelak dengan bersembunyi di belakang langsir. Ayah hanya berdiam diri kerana dia tahu isterinya itu lebih garang daripadanya. Dia tersenyum sedikit kerana melihat kerenah ibu dan anak itu. Ibu merotan Syarifudin di betis tanda hukuman melanggar perintah mereka.
Syarifudin berjanji selepas ini tidak akan lagi menipu mereka. Ayah mengangguk tanda memaafkan anaknya itu. Ibunya masih lagi membebel, menasihati Syarifudin. Syarifudin hanya tertunduk mendengar ceramah percuma daripada ibunya. Seketika, pandangannya kembali kabur.
******
“Semua barang dah ada?” Suara ayah berbunyi.
Syarifudin tersentak. Dia memandang sekeliling. Bunyi riuh rendah pelajar-pelajar ambilan baru institut perguruan sedang sibuk mendaftar masuk kampus. Mata Syarifudin melilau melihat sekelilingnya.
“Hai, selamat pagi. Ada tak di hujung talian? Hello….”
Ayah melambai-lambai tangannya ke muka anak lelakinya itu. Syarifudin terjaga dari lamunan mimpi dan memandang ke arah ayahnya. Ayah tersenyum melihat kerenah Syarifudin. Biasalah, bagai rusa masuk kampung.
“Janganlah risau. Syarif boleh belajar di sini. Ayah dan ibu akan terus menyokong Syarif dalam menjadi seorang guru.”
“Terima kasih, ayah. Syarif akan usaha untuk belajar di sini dan banggakan ibu dan ayah.” kata Syarifudin dengan semangat.
Ayah menolong Syarifudin mengangkat barangnya sehingga sampai ke hadapan pintu asrama. Selepas itu, dia bersalaman dengan ayahnya sebelum ayah dan ibunya pulang semula ke negeri Perak. Syarifudin melambai-lambai ke arah kereta ayahnya dari pintu asrama sebelum naik ke biliknya.
*****
Cuti pertengahan semester tiba. Matanya melilau mencari kelibat ayahnya selepas mengimbas tiket keluar di stesen kereta api. Ayahnya duduk di sebelah pintu sabar menunggu anaknya itu pulang. Di dalam kereta, Syarifudin seronok bercerita mengenai kehidupan barunya di IPG. Ayah hanya sekadar tersenyum mendengar celoteh anaknya itu. Sesekali dia batuk dengan kuat.
“Ayah sihat ke?” tanya Syarifudin.
“Ayah sihat sahaja. Biasalah dah tua ni sakit sikit-sikit.”
“Jagalah pemakanan, ayah. Ayah selalu makan makanan yang doktor kata tak boleh dimakan. Macam manalah nak sihat!” leter Syarifudin.
Ayah hanya tertawa. Dia mengusik anaknya itu dengan mengatakan perangainya sama seperti ibu Syarifudin. Syarifudin menjeling tanda meluat dengan usikan ayahnya itu. Dia kemudiannya tersenyum dan menyambung perbualan mereka di dalam kereta.
“Ayah, Syarif janji akan belajar elok-elok sampai ayah lihat Syarif bergraduasi nanti.” Janji Syarif.
“Baiklah, ayah tunggu.”
Keesokan malamnya, Syarifudin nyenyak tidur dibuai mimpi. Tetapi, mimpi tersebut tidak bertahan lama apabila ibunya mengejutkannya.
“Kenapa ibu?” soal Syarifudin.
“Syarif, ayah muntah-muntah. Tolong panggil ambulans cepat!” gegas ibunya.
Syarifudin panik apabila melihat ayahnya muntah dengan banyak. Cepat-cepat dia memanggil talian kecemasan untuk langkah seterusnya. Ambulans membawa ayahnya ke hospital ditemani ibunya manakala Syarifudin tinggal di rumah untuk dijaga hingga esok pagi.
Doktor pakar mengesahkan ayah menghidap strok sebelah kanan. Minda Syarifudin kosong, tanggungjawab berat yang dipikul ayahnya berubah dalam sekelip mata.
Dia duduk di sebelah katil ayahnya, wajahnya kosong memikirkan nasib keluarganya selepas ini. Tiba-tiba, tangan ayahnya menggenggam tangannya. Ayahnya cuba berbicara walaupun tidak jelas, tetapi dia tetap faham.
“Jangan risau, pergi sahaja belajar.”
Syarifudin menangis. Berat hatinya untuk meninggalkan ayahnya. Bagaimana dia hendak belajar jika ayahnya memerlukannya ketika ini? Namun, ayah hanya tersenyum tanda dia baik-baik sahaja.
Cuti pertengahan berlalu. Syarifudin teruskan pengajiannya di negeri jelapang padi itu. Meskipun dia masih risau akan keadaan ayahnya yang semakin teruk, tetapi dia tidak putus-putus mendoakan ayahnya di setiap solat. Jika kampusnya cuti, dia akan balik ke rumah untuk tolong ibunya menjaga ayahnya meskipun cuti itu sekejap.
****
Hampir setahun ayahnya sakit sekarang. Namun, ayah Syarifudin menunjukkan peningkatan kesihatan yang kurang memberangsangkan. Kali ini, ayah Syarifudin masuk ke dalam hospital semula akibat kurang darah. Syarifudin bergegas ke hospital dari kampus untuk melawat ayahnya. Syarifudin masuk ke dalam unit kecemasan untuk melihat keadaan ayahnya. Ayahnya yang sedang nyenyak tidur terjaga melihat kehadiran anaknya itu.
“Syarif cuti ke?” ayahnya berusaha untuk berkata-kata.
“Syarif belum cuti lagi ayah. Syarif datang sini dari Kedah,” jawab Syarifudin dengan lembut.
Ayahnya cuma tersenyum melihat kedatangan anaknya itu. Syarifudin melihat wajah ayahnya berseri-seri walaupun dalam keadaan sebegitu. Ayahnya cuba untuk berbual tetapi Syarifudin menghalang atas nasihat doktor supaya ayahnya berehat. Setelah beberapa minit menemani ayahnya, pengawal keselamatan mengarahkannya untuk keluar. Sebelum keluar, Syarifudin bersalaman dan memeluk erat ayahnya.
“Bila kamu cuti?” ayahnya bertanya.
“Hujung bulan September ni, ayah. Ayah tunggu Syarif ya?”
Ayah sekadar mengangguk. Mukanya menunjukkan perasaan lega. Syarifudin hairan melihat reaksi ayahnya itu. Namun, dia tidak memikirkan apa-apa. Dia kembali memeluk ayahnya dengan erat sebelum bergerak pulang. Matanya berair, pandangannya kabur. Hatinya dibaluti resah dan kebimbangan.
*****
“Syarif, ayah dah meninggal, nak.”
Suara rintihan ibunya sekali lagi bergema dalam otak Syarifudin. Seketika minda Syarifudin kosong. Dia cuba memproses kata-kata ibunya. Syarifudin terkedu, tidak mampu berkata-kata lagi setelah mendengar khabar duka daripada ibunya. Ayahnya pergi tepat pada tarikh yang dia katakan tempoh hari. Syarifudin duduk di dalam perut komuter itu memandang tepat ke arah cermin bertentangan dengannya. Kereta api terus melaju di relnya. Syarifudin menatap keluar melihat pemandangan yang berlalu dengan cepat. Dia teringat kata-kata terakhir ayahnya,
“Jangan risau, teruskan belajar.”
Masih terngiang-ngiang pesanan keramat daripada ayahnya sebelum dia meninggalkan hospital untuk kembali ke kampus. Kata-kata itu menggetarkan hatinya, mengingatkannya pada tanggungjawab dan impian yang harus diwujudkan.
“Stesen terakhir, Ipoh.” bergema pengumuman dari corong pembesar suara dalam komuter.
Suara pengumuman komuter berbunyi mengejutkan lamunannya. Syarifudin menuju keluar dari perut komuter dengan lemahnya. Kali ini, perjalanannya hari ini bukan hanya sekadar perjalanan pulang, tetapi juga perjalanan menyambut ayahnya pulang ke negara abadi. Dalam hatinya, kenangan terindah bersama-sama ayahnya akan kekal meniti dalam ingatan, menjadi ubat rindu yang tidak berpenghujung.