BERHENTI. Ini satu amaran. Jika anda mencari cerita sehebat sasterawan-sasterawan negara/negeri atau pemenang hadiah/ anugerah-anugerah sastera atau Nobel atau hendakkan cerita sehebat Haruki Murakami, Anton Chekov, Franz Kafka, Albert Camus, Gabo, atau orang itu, atau orang ini — cerita ini bukan untuk kalian. Jangan baca cerpen ini! Cerpen ini tidak hebat, tiada emosi-emosi dalaman yang keterlaluan, membosankan, tidak istimewa sama sekali dan malah, mungkin segelintir kalian akan memberikannya satu bintang atau tiada bintang. Baca sahaja cerita lain. Namun, jika kalian masih berdegil, terpulang! Tetapi jangan kata, saya tidak memberi amaran.
Saya, periwayat dongeng ini. Dan, dongeng bermula:
Dia, lelaki itu, sedang membuang hajat besar ketika Mentol, bersandar di dinding, berlabun tentang idea-idea yang boleh dijadikan sebagai sebuah cerpen seram. Setelah beberapa minggu wajah Mentol itu malap, dan merewang entah ke mana, hari ini, pagi ini, muncul dan bercahaya pula wajahnya apabila mengutarakan beberapa idea itu sehinggakan bilik air itu benderang.
“Begini idea aku untuk cerpen yang akan dihantar itu kelak. Engkau dengar, ya. Cerita itu berkenaan dengan seorang pesakit yang mengalami gangguan pemakanan. Engkau pilih binge-eating disorder atau Gangguan Makan Gelojoh. Watak utama ialah lelaki dan bertubuh gempal.”
Lelaki itu membiarkan tahinya jatuh-plop, who was a good plop, tanpa mahu menjawab Mentol.
“Eh, engkau dengar tidak?”
Lelaki itu masih membisu, mengeluh lalu mengeluarkan bicara, “Mengapa harus memilih gangguan pemakanan itu berbanding Anoreksia Nervosa atau Bulimia Nervosa? Bukankah kedua-dua kecelaruan itu lebih lazim didengar?”
Lelaki itu membasuh punggung sambil memandang Mentol yang menengok dirinya tanpa risau mata tumbuh ketumbit kelak. Kemudian, setelah yakin bersih, lelaki itu bingkas lalu menanggalkan kain tuala yang membungkus kepala, lalu disangkut. Dia memutar pili air lalu membasahkan kakinya.
“Kedua-duanya sudah diketahui ramai orang. Jadi, kita pilihlah sesuatu yang jarang didengar. Tidaklah bosan asyik-asyik itu sahaja,” kata Mentol.
Lelaki itu membiarkan kebasahan bermaharajalela sambil bermenung-menung. Sudah lama dia tidak menulis cerita seram. Dulu, itu salah satu genre yang dia minat sungguh selain daripada thriller dan fantasi. Namun, entah mengapa, sejak kebelakangan ini, minat dia untuk menulis genre seram atau mistik agak pudar. Pernah dia menyuarakan tentang ini kepada salah seorang sahabat, memandangkan sahabatnya itu turut hairan kerana lama sudah dia tidak memaparkan kisah-kisah seram di laman Facebook miliknya.
Kata sahabat dia itu, mungkin masa-masa ini dia perlu mencari dunia lain sebelum menulis semula genre sedemikian. Dunia apakah yang dimaksudkan oleh rakannya itu, tidaklah dia mengerti. Tetapi, dia ia-iakan sahaja.
“Hei, termenung pula engkau! Adakah engkau mendengar segala apa yang aku katakan sebentar tadi?”
Terangkat bahu dia apabila Mentol itu mencucuk pinggangnya. Dia mencapai syampu, menuangkan ke atas telapak tangan lalu mengurut kepalanya. Beranak pinak buih atas kepala. Kemudian, kulit kepalanya seolah-olah membeku. Aroma limau nipis terlepas, masuk ke dalam hidung. Mentol pula, kini berdiri sambil menatap wajahnya pada cermin. Dia memuji dirinya sendiri itu kacak. Aiyoh, perasan sungguh!
“Apa yang engkau katakan tadi, Mentol?”
Mentol berpaling.
“Aih, engkau ini! Aku cakap yang watak itu kelak akan berkenalan dengan seorang wanita dan dia mula menyukainya. Oleh sebab watak itu keadaan fizikalnya yang agak gempal, tambahan pula dia mengalami gangguan makan gelojoh itu, membuatkan watak berasa segan dan rendah diri. Apa-apa yang menjadikan perasaan harga diri serta keyakinannya semakin menurun adalah apabila dia terlalu memikirkan perkara itu, terlalu menyerap kata-kata orang sekeliling. Berpunca daripada pemikiran itulah, berlakunya peristiwa hitam dalam diri watak tersebut.”
Pancuran itu menghentikan khidmatnya. Sesudah itu, lelaki itu mencapai kain tuala, mengelap tubuh; ingin melangkah keluar. Baru sahaja dia membuka pintu, Mentol bergegas keluar lalu mencampak tubuh, terlentang di atas katil. Dia pula mengelap rambut dengan tuala setelah menyarung seluar dalam serta seluar pendek; membaling pandangannya ke arah Mentol yang sedang enak memeluk bantal sembari terpejam-pejam matanya, tersenyum-senyum. Entah apalah perkara yang membuatkan dia tersenyum-senyum itu.
“Bukankah itu agak klise, Mentol?” Dia menyangkutkan kain tuala itu di ampaian lalu duduk di atas katil. Rambutnya berlenggang-lenggang saat angin meramas.
Dia menyambung, “Klise amat bagi aku. Biar aku teka perjalanan cerita itu. Watak utama suka dengan seseorang. Namun, dia fikir, dia hanya akan bertepuk sebelah tangan. Kemudian, keyakinan kurang disebabkan keadaan fizikal. Watak berasakan dirinya tidak setara dengan orang yang disukainya itu. Tambahan, mulut-mulut jahat yang berkata itu ini menambahkan sakit hati. Watak utama kemudian bercadang untuk mengambil tindakan agar wanita yang disukai jatuh cinta kepadanya. Peristiwa hitam yang engkau cadangkan itu, aku pasti ia melibatkan sihir. Wanita itu berjaya ditawan. Kemudian, syaitan akan datang menuntut jiwa daripada watak utama lalu terjatuh dalam kegelapan. Aiyoh! Semua itu klise benar! Cerita sebegitu sudah melambak dibuat penulis-penulis di luar sana, Mentol. Pembaca sudah dapat menjangka cerita sedemikian. Ia betul-betul membosankan!”
Lelaki itu, dia itu telah banyak membaca novel dan cerpen genre seram serta mengumpul koleksi buku dari dalam Malaysia atau luar negara. Komik seram terbitan Kadokawa Gempak Starz serta manga-manga terjemahan dari negara Jepun, menjadi koleksi.
Selain itu, buku-buku hasil tulisan penulis-penulis Malaysia yang terkenal dengan genre seram seperti Tamar Jalis, Maria Kajiwa, Anuar Darwisy, Zaifuzaman Ahmad, Naim Tamdjis, Ebriza Aminnudin, Ninie Othman, Fitri Husin, Zharulnizam Z.A, Helmi Effendy, Uja Hamza, kartunis Puyuh (Leong Wan Kok), Core, Nizam Bachok, Zint dan ramai lagi penulis dan kartunis di Malaysia, dia sudah baca karya mereka.
Bukan itu sahaja, segelintir buku Stephen King, Darren Shan, Junji Ito, R.L. Stine, Bram Stoker, Mary Shelly, Edgar Allen Poe, William Blatty adalah antara penulis-penulis luar negara yang karya mereka sudah dia telaah. Bahkan, dia banyak menonton filem genre seram. Oleh sebab banyaknya jumlah novel, cerpen dan filem yang dia baca dan tonton sebelum ini dan masa-masa ke depan kelak, secara tidak langsung itu memberi dia sensasi dan persepsi peribadi terhadap karya-karya seram yang dihasilkan di negara ini, merangkumi para penulis lama dan penulis baru.
Hanya dengan membaca blurb atau sinopsis pada buku mereka, bahkan ada buku yang dia hanya baca tajuknya, boleh dia jangka perjalanan cerita itu bagaimana. Lagi-lagi, jika tajuknya klise. Sebagai contoh, Perigi Berhantu, Puaka Asrama, Roh Rumah Sewa, Pocong Balik Rumah, Jeritan Puaka, Diari Berdarah, Kontrak Berdarah, Vila Berhantu, Pembunuh Psiko, adalah antara tajuk-tajuk yang terlalu biasa!
Ketika bertemu dengan buku-buku yang mempunyai tajuk sebegitu, secara jujur, kini, tiada keinginan lelaki itu itu untuk mengeluarkan wang untuk membelinya. Buat apa! Sudah dia tahu jalan ceritanya. Beberapa saat sahaja dia capai, dia baca sebentar; lalu, dia biarkan karya-karya itu terbaring semula di rak-rak di kedai buku. Jika dia tidak membelinya, dia yakin, ada orang lain yang akan membelinya. Seperti kata-kata dalam salah satu buku yang pernah dibaca, buku-buku itu akan menemui pembacanya sendiri.
Lelaki itu mengeluh lalu berpaling ke arah Mentol, menangkap pendangan. Mentol mengutarakan sesuatu, katanya, “Tetapi, salahkah menulis cerita-cerita seram yang klise? Penulis-penulis berpengalaman pun ada menghasilkan karya sedemikian. Lagipun, pembaca di Malaysia suka dengan penceritaan sebegitu. Lihat sahajalah bagaimana segelintir para pembaca di Malaysia ini gemar dengan dengan cerita cinta-cinta yang itu-itu sahaja gaya penceritaannya. Sama juga dengan kisah-kisah seram. Jadi, adakah menjadi satu kesalahan jika penulis ingin menghasilkan karya yang sudah terlalu biasa sedemikian?”
Adakah menjadi satu kesalahan?
Persoalan yang dibaling oleh Mentol itu, mengingatkan dia kepada sesi bimbingan cerpen oleh Roslan Jomel yang tersiar pada bulan Mac, 2024 dalam Utusan Sarawak, bertajuk: Bermalam di Dorm Terbiar. Roslan menyatakan:
“Sastera meraikan pelbagai jenis dan pendekatan dalam penulisan. Sungguh membosankan jika karya sastera bersifat seragam dan tiada variasi dalam gaya penceritaan.
Menulis sebuah naskhah dengan unsur-unsur seperti seram, sedih, komedi, fantasi, dan serius, bukanlah hal yang sukar. Malangnya, hal yang paling menyakitkan dalam proses penulisan ialah bagaimana hendak menyampaikan cerita yang melekat dalam fikiran itu dihamparkan di atas halaman dengan menarik serta meninggalkan kesan serta emosi ke dalam fikiran pembaca.”
Berbalik kepada persoalan Mentol, lelaki itu, dia berpandangan yang tiada pun kesalahan di situ. Karya-karya klise sedemikian, pasti akan ada peminatnya. Setiap penulis bebas untuk menggunakan pelbagai bentuk penceritaan dengan ilham yang telah terkumpul untuk dimuntahkan meskipun sudah lapuk. Namun, dia bersetuju, sungguh, dengan kata-kata Roslan Jomel dalam sesi bimbingan tersebut apabila beliau turut memperingatkan di dalam bimbingan cerpennya:
“Kaedah pengisahan untuk cerita abnormal sebegitu, wajar disampaikan dengan teknik yang lebih canggih dan meyakinkan, harus ada kelainan dalam usaha untuk menambahkan daya tarik kepada karya penulisan.”
Ya! Tidak dinafikan cerita-cerita seram dalam pasaran, kebanyakannya klise. Para penerbit pun suka amat menerbitkan cerita-cerita sebegitu.
Jika ada pun penulis yang ingin menyampaikan idea dalam gaya yang berbeza, gaya yang baharu, kadang-kadang, tidak juga diterima oleh sesetengah penerbit. Lalu, manuskrip mereka ditolak. Oleh sebab itulah, gaya cerita itu kekal sebegitu.
Tambahan lagi, pembaca suka melayani cerita-cerita sedemikian. Para penerbit, sudah tentu-tentulah memikirkan soal keuntungan. Tidak akanlah mereka mahu menerbitkan buku yang tiada untung. Aneh dan tolol itu penerbit jika begitu. Pembaca suka, maka, para penulis cerita seram, buatlah cerita-cerita klise. Evergreen kata mereka.
Walau bagaimanapun, itu terpulang kepada para penulis. Mahu begitukah, mahu beginikah-terpulang. Lambat-laun, pandailah mereka itu menemui idea-idea dan menyampaikan cerita seram, cerita mistik itu dengan gaya penyampaian yang lain pula. Pasti bagi mereka yang masih belajar itu, boleh melakukannya. Tidak apa, buat masa ini, mereka ingin menyampaikan cerita seram secara gaya lapuk, ah, biarkan! Lambat-laun, akan timbul juga gaya penyampaian yang menarik serta canggih daripada mereka itu kelak. Tetapi, jangan terlalu selesa dengan gaya penyampaian sebegitu. Boleh cuba cara lain. Lihat sahaja idea-idea Junji Ito dan Puyuh. Menarik! Bacalah!
Perbualan itu terhenti di situ apabila Mentol tiba-tiba hilang. Entah ke mana perginya budak itu tadi. Namun, ketika dia sedang berbaring sembari membaca novel Genesis, karya Chris Carter, Mentol itu tiba-tiba muncul lalu kembali mengomel.
“Kawan, bagaimana pula kalau ceritanya sebegini? Watak utama itu pergi ke sebuah pasar yang dikenali sebagai Pasar Aneh lalu pergi ke farmasi untuk membeli ubat-ubat yang boleh digunakan untuk menghilangkan lemak-lemak pada tubuhnya. Pegawai Farmasi itu memberikan beberapa jenis pil serta menasihatkannya untuk mengikut preskripsi dan aturan pengambilan yang dinyatakan. Pil tersebut bukanlah akan terus-terus memberikan keadaan kekal sebegitu. Oleh itu, pengambilan pil ini perlu dilakukan setiap hari dengan dos yang telah ditetapkan. Pil tersebut harus berterusan diambil.”
Dia tutup novel yang sedang dia baca. “Kemudian?”
“Setelah dia mengambil pil-pil tersebut selama seminggu, tubuhnya menjadi seolah-olah seperti plastisin. Dia boleh menanggalkan lemak-lemak dengan mudah. Dia boleh membentuk ototnya daripada menggeleber kepada berketul-ketul. Dia boleh mengubah bentuk wajahnya kepada yang lebih menarik perhatian. Dengan erti kata lain, dia boleh mengubah fizikalnya mengikut apa-apa yang diinginkan! Perubahan fizikalnya mengejutkan semua dan mengubah kehidupan watak.”
“Okey. Bagaimana pula dengan watak antagonis?”
“Tiada. Tetapi ada ulat.”
Dia tercengang. “Ulat?”
“Ya. Ulat! Dalam ubat itu sebenarnya ada ulat. Ulat inilah yang memakan lemak-lemak pada tubuh watak itu dan membuatkan tubuh menjadi plastisin. Namun, jika mengikut dos, tidaklah membahayakan. Selepas satu hari, ulat itu mati dan jadi tahi. Tetapi apabila melebihi dos yang ditetapkan, sesuatu akan terjadi.”
“Tiada watak antagonis? Ulat sahaja?”
“Ya. aku rasa, itu sudah mencukupi. Tidak perlu kehadiran watak-watak lain untuk menambahkan rempah-ratus pada plot cerita engkau itu kelak.”
“Baiklah. Lalu?”
“Watak itu mahu lebih daripada ini. Dia mahu tubuhnya kekal begitu dalam tempoh yang lama. Dia bosan sebab asyik-asyik makan ubat itu. Lalu, watak telah melanggar peraturan pemakanan pil tersebut. Dia melebihi dos yang sepatutnya untuk satu hari. Sesudah itu, sesuatu telah berlaku kepada fizikalnya. Ulat itu semakin membiak dan ulat itu mendominasi tubuhnya. Tubuhnya mula dan kian hilang keanjalan. Dia tidak dapat membentuk otot serta tubuhnya seperti sebelumnya. Tubuhnya semakin hilang anjal dan lama-kelamaan, tubuhnya tercabut satu demi satu, berbonggol-bonggol lalu persis longgokan tahi.”
Dia terdiam sambil memerhati Mentol. Dia bertanya, “Itukah pengakhiran bagi watak utama?”
Mentol memeluk bantal guling. Katanya, “Terpulang kepada engkau. Jika engkau mahu begitu pengakhiran cerita, begitulah. Aku suka begitu. Syok! Jika engkau mahu pengakhiran yang lain, buatlah pengakhiran yang lain. Banyak cara untuk engkau boleh buat cerita itu.”
Mentol bingkas dari katil. Lelaki itu bertanya, “Hendak ke mana engkau?”
“Aku hendak bermain-main dengan si Jo-ed tu. Nanti, kita berbual lagi.”
Ketika si Mentol sedang bermain-main dengan si Jo-ed, kucing jingga peliharaan dia itu, dia menghampiri komputer riba.
“Eh, baru nampak muka engkau!” sapa komputer riba.
“Maaflah. Si Mentol baru selesai bercerita.”
“Bagaimana ceritanya?”
“Begini … .”
Baru sahaja dia mahu bercerita kepada komputer riba, tiba-tiba dia teringat sesuatu lalu bertanya kepada Mentol, “Apakah tajuk cerita engkau ini?”
Mentol menoleh; berfikir sejenak.
Lalu, katanya, “Entah!”
Maka, dongeng pun tamat!