Satu
KALAU dulu, mesin taip jenama Oliveti itu amat disayanginya, Mohsen berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan mesin taip itu. Mesin taip itu direnungnya beberapa kali. Air matanya mengalir membasahi pipinya. Mohsen cuba menahan sebak di dalam dadanya.
Mohsen yang baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan Fatin menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal dan menolak rambutnya ke belakang. Mohsen mengeluh.
Jiwanya resah ketika menghadapi mesin taip itu. Riak perasaan hatinya bergelora apabila Fatin meminta membuat pilihan antara dirinya dengan mesin taip itu. Ada sesuatu mendorongkan perasaannya menjadi berbelah bahagi apabila terkenangkan cadangan daripada dukun Mayah yang mengubati isterinya diserangi makhluk halus setiap kali senja mengungkap tabirnya.
Cadangan daripada mulut dukun Mayah meminta Mohsen jangan sesekali menyimpan mesin taip yang dihadiahkan oleh bapanya, Pak Muas. Mesin taip itu mempunyai puaka. Kuasanya boleh merasuk isterinya yang tercinta itu.
Seingat Mohsen, mesin taip itu dihadiahkan kepadanya setelah dia mendapat keputusan yang cemerlang dalam Malaysia Certificate of Education (setaraf dengan Sijil Pelajaran Malaysia).
Mohsen merasakan dirinya yang paling gembira mendapat hadiah itu dan merasakan Pak Muas mengiktiraf minatnya dalam arena penulisan selama ini. Tetapi, Mohsen berasa terkejut menerima kejutan daripada Fatin tengah hari itu.
“Mana abang lebih sayang? Mesin taip atau Fatin?”
Soal isterinya yang berkulit kuning langsat itu.
Mohsen berpaling kepada Fatin dan meraup wajahnya. Selera hilang serta-merta. Mohsen menyudahkan makanan tengah harinya.
Walaupun masakan rebung dan perut masak cili padi menjadi kegemarannnya, tetapi pertanyaan daripada Fatin membantutkan seleranya. Mohsen mencuci tangannya dan meninggalkan Fatin di meja makan tanpa berteman.
Sesekali hatinya berbisik supaya menjaga hati dan perasaan Fatin sebaik mungkin kerana isterinya itu sedang hamil enam bulan.
“Tentulah abang lebih sayangkan Fatin,” balas Mohsen.
Kali ini Fatin pula melangut ke wajah suaminya yang berkulit hitam manis itu.
“Kalau abang sayangkan Fatin, apalah susahnya abang buangkan saja mesin taip tu? Mesin taip tu berpuaka, bang,” jerkah Fatin dengan mukanya merah padam.
Mohsen menghela nafasnya. Dia berasa terkilan dengan sikap Fatin seperti lurus bendul kerana mempercayai sangat cadangan dukun Mayah itu. Selama ini, isterinya itu sudah maklum, dirinya memerlukan mesin taip bagi memudahkannya menulis dan menghantar karya puisi dan cerpen ke media cetak. Sejak tingkatan lima lagi, Mohsen sudah berminat dalam arena persuratan setelah mengikuti kelas Kesusasteraan Melayu yang diajar oleh Cikgu Salleh.
Setelah berasa tidak sedap hati meninggalkan Fatin di meja makan, Mohsen datang mendapatkan isterinya.
“Fatin percaya semua cakap dukun Mayah tu?”
Fatin melangut ke wajah Mohsen.
“Kenapa tidak? Dah ramai dukun lain yang kita jumpa mahu ubatkan penyakit Fatin, semuanya tu gagal, tak berjaya ubatkan penyakin Fatin ni. Hanya dukun Mayah tu saja berjaya mengubat Fatin,” balas Fatin sambil membawa pinggan mangkuk bekas isi makanan tengah hari tadi ke dapur.
Mohsen tidak dapat menyangkal kenyataan yang keluar dari bibir Fatin. Lebih-lebih lagi Fatin yang merasakannya.
Mohsen membisu seribu bahasa. Termasuk kali ini sudah tujuh kali Mohsen berpindah rumah sewa. Setiap kali berpindah ke rumah sewa yang baharu, ada sahaja gangguan makhluk halus yang mengganggu Fatin, terutamanya apabila senja menjelang tiba.
Fatin akan berasa hatinya diramas-ramas oleh makhluk tanpa diketahui datang dari arah mana. Rasa itu disertai dengan tubuhnya menggigil seperti perempuan yang terkena demam kura-kura. Keadaan itu menyukarkan Fatin melakukan solat Maghrib.
Mohsen cuba mengusir makhluk halus yang mengganggu isterinya itu. Mohsen membaca surah tiga Qul dan menghembusnya di atas ubun-ubun Fatin tetapi makhluk halus itu “liat” mahu keluar daripada tubuh Fatin. Dahi Fatin berkerut dan hatinya berasa sebak.
Mohsen mengucup dahinya agar Fatin rasa tenang dan petanda Mohsen tetap sayang kepadanya. Mohsen mengambil keputusan untuk berpindah rumah sewa yang lain.
Mohsen mengenangkan mesin taipnya semula. Mohsen masih sayangkan mesin taip yang dihadiahkan kepadanya sewaktu dia berada di tingkatan lima, Sekolah Menengah Jasin (SMJ), suatu ketika dahulu.
Dua
Malam itu, Fatin masuk membawa secawan kopi panas untuk Mohsen. Setelah melabuhkan punggungnya di sebuah bangku berhampiran meja tulis Mohsen, Fatin mengulangi pertanyaannya.
“Abang dah fikirkan apa yang Fatin katakan pada abang semalam?”
Mohsen menggangguk-anggukkan kepalanya.
“Baguslah gitu. Apa abang dah lupa pesan dukun Mayah tu? Selagi abang menyimpan mesin taip gemulah bapa abang tu, selagi itulah juga makhluk peliharaannya akan mengganggu Fatin. Sampai bila-bila pun penyakit Fatin ni takkan sembuh, bang?” Jerkah Fatin sambil meraba-raba kandungannya.
“Tidak ada siapa yang lebih berkuasa Fatin dalam alam ini kecuali Allah SWT,” balas Mohsen.
Fatin terus merengus.
“Susahlah cakap dengan abang ni,” getus Fatin.
Mohsen mendongak meraup wajah Fatin.
“Tolong faham Fatin. Dia tu bapa abang. Tak baik Fatin cakap begitu. Berdosa melakukan tuduhan orang yang sudah lama pergi meninggalkan kita,” ujar Mohsen dengan panjang lebar.
Beberapa minggu yang lalu, Fatin ada menceritakan masalah penyakitnya kepada papa dan mamanya. Pak Sohod dan Mak Munah menasihatkannya supaya banyak bersabar. Setiap rumah tangga mempunyai ujian tersendiri dan memintanya menguruskannya dengan sabar dan bijaksana.
“Abang jangan susah hati, Fatin dah bincang dengan papa. Dia sanggup menghadiahi abang komputer baharu untuk abang bagi menggantikan mesin taip lama abang yang buruk tu.”
“Tunggulah dulu, Fatin. Jangan tergesa-gesa nak belikan komputer riba untuk abang. Mesin taip sedia ada dah cukup selesa untuk abang.”
“Erk, abang ni… alang-alang papa dan mama nak hadiahkan komputer tu, abang terima sajalah. Buat-buat jual mahal pula abang ni,” ujar Fatin sambil mencuit tangannya ke bahu Mohsen.
“Nantilah abang fikirkan dulu. Abang nak ke bilik air mengambil wuduk.”
Mohsen mengambil jalan tengah dan meninggalkan Fatin di dalam biliknya. Fatin mengekorinya dari belakang menuju ke bilik tidur.
Tiga
Waktu Maghrib, Mohsen ke surau Al-Hidayah yang berdekatan rumahnya. Mohsen berjumpa dengan Bilal Kosnin untuk mendapatkan pandangannya.
“Semua itu termasuk dalam perkara khurafat, Sen,” ujar Bilal Kosnin.
Mohsen tersentap. Bilal Kosnin termenung sejenak dan meraup muka Mohsen.
“Pernah buat kenduri arwah dan baca surah Yasin di rumah kamu tu?” soal Bilal Kosnin.
“Belum pernah lagi tok bilal,” balas Mohsen.
“Apa kata malam Jumaat depan selepas solat Maghrib kita buat kenduri dan bacaan Yasin di rumah kamu?” soal Bilal Kosnin.
Mohsen terdiam sambil memikirkan siapa yang akan hadir dalam majlis kenduri itu nanti. Tangan Bilal Kosnin menyentuh bahu Mohsen.
“Usah risau, Sen. Jemaah surau ni saja yang kita jemput. Kita buat majlis kenduri itu secara sederhana. Asalkan matlamat mengadakan kenduri arwah dan bacaan Yasin tu tercapai,” tambah Bilal Kosnin.
Mohsen dan Bilal Kosnin beredar dari perkarangan surau Al-Hidayah itu dan menuju ke motosikal masing-masing. Mohsen akan menyampaikan cadangan daripada Bilal Kosnin itu kepada Fatin.
Sewaktu Mohsen sampai di rumahnya, Fatin sudah menyediakan makan malam. Fatin menumiskan sayur sawi masak lemak dengan ikan goreng selar kuning yang menjadi kegemaran suaminya itu.
“Kenapa perlu kita adakan majlis kenduri arwah dan bacaan Yasin tu bang?” soal Fatin.
“Usaha kita untuk mengusir segala gangguan makhluk halus dalam rumah kita ni. Lagipun dah tujuh kali kita pindah, tak ada sekali pun kita adakan majlis kenduri arwah dan bacaan Yasin tu,” jawab Mohsen.
“Tapi ada perkara lain yang abang risaukan.”
“Apa dia?” tanya Fatin.
“Abang risaukan siapa yang nak memasak? Dalam keadaan diri Fatin yang sedang hamil ni, sudah tentu menyulitkan Fatin nak masak,” ujar Mohsen.
Fatin mengangguk-anggukkan kepalanya sebagai petanda setuju dengan pandangan suaminya itu.
“Betul tu. Fatin bukannya sihat sangat nak masak untuk mereka tu. Bagi Fatin, setakat 15 orang itu dah ramai tu,” ujar Fatin sambil memegang kandungannya.
Tiba-tiba Fatin mengangkat tangan kanannya.
“Kita minta bantuan daripada mama, bang” jelas Fatin.
“Bukankah kita akan menyusahkan mereka nanti, Fatin” balas Mohsen.
“Perkara itu, biar Fatin uruskan dengan mama.”
***
Usai solat Maghrib berjemaah di surau itu, Mohsen berjumpa Bilal Kosnin bagi memberitahu persetujuannya untuk mengadakan majlis kenduri dan bacaan Yasin di rumah.
“Saya akan minta mama Fatin datang ke rumah untuk tolong Fatin memasak makanan untuk majlis itu,” jelas Mohsen.
Tiba-tiba Imam Mawardi menyampuk. “Kami dah bincang dengan jawatankuasa surau ni. Kita akan tempah makanan dari restoran Mak Mah di Jalan Jelebu tu. Jawatankuasa surau ni kesian dengan nasib yang menimpa kamu Sen, yang sudah tujuh kali pindah rumah sewa gara-gara gangguan yang kau ceritakan tu,” ujar Imam Mawardi.
Empat
Bacaan Yasin dan majlis kenduri arwah itu diketuai oleh Imam Mawardi. Bilal Kosnin pula hanya menerangkan kenduri ini sebagai menyambut penduduk baharu di Taman Perumahan Desa Warisan dan mengharapkan Mohsen kekal tinggal di taman perumahan itu dan tidak berpindah-randah lagi. Bilal Kosnin tidak bercadang membuka aib Mohsen akibat gangguan makhluk halus di depan khalayak ramai.
Beberapa pekerja dari restoran Mak Mah telah membantu Mohsen dan Fatin menghidangkan makanan selepas majlis kenduri arwah dan bacaan Yasin itu berakhir. Imam Mawardi turut menitipkan doa supaya rumah yang diduduki Mohsen dan isterinya bebas daripada gangguan makhluk halus.
“Kita hanya merancang dan berusaha. Biarlah Tuhan yang menentukan,” sampuk Imam Mawardi.
Lewat malam itu, Mohsen terjaga apabila kedengaran di celuping telinganya suara orang sedang bercakap di dalam bilik tulisnya. Mohsen keluar dari bilik kelaminnya dan menuju ke bilik itu.
Tiba-tiba langkahnya terhenti melihat makhluk yang berpakaian serba hitam keluar berbondong-bondong dari bilik tulisnya. Mohsen teringatkan kata-kata Fatin, bahawa gangguan makhluk halus itu datang dari bilik itu.
Dukun Mayah yang menjumpai punca kehadiran makhluk halus kerana kehadiran mesin taip itu di dalam biliknya. Tugas makhluk itu adalah menjaga mesin taip itu supaya berada dalam keadaan yang selamat.
Yang peliknya, makhluk itu keluar dengan suku-sakatnya melalui pintu rumah yang terbuka. Seingat Mohsen, pintu itu berkunci sebelum dia masuk tidur tadi. Mata Mohsen terpandang mesin taip di bahu makhluk itu.
Mohsen terus meluru dan merampas mesin taipnya itu. Berlaku pergelutan antara makhluk itu dengan rakan-rakannya yang lain.
“Eh, tu mesin taip akulah. Itu aku punya daripada bapa aku. Kau nak bawa mesin taip aku itu hah?” jerkah Mohsen.
Makhluk-makhluk halus itu cuba mempercepat langkahnya keluar dari pintu itu. Mohsen terus menjerit-jerit meminta makhluk halus memulangkan mesin taipnya itu. Mesin taip itu terlepas dari tangan makhluk-makhluk itu dan Mohsen berjaya mendapatkannya semula.
“Erk abang. Dah kenapa terjerit-jerit ni?” soal Fatin.
“Mesin taip abang dicuri,” tegas Mohsen lalu mencampakkan selimut di tubuhnya ke lantai.
“Siapa pula yang mencurinya? Setahu Fatin tidak ada pencuri masuk ke dalam rumah kita,” ujar Fatin.
Dalam keadaan terpisat-pisat Mohsen menggaru-garu kepalanya. Fatin hanya tergelak kerana geli hati sambil memegang kandungannya. Mohsen berlari masuk ke dalam bilik tulisnya.
“Ada lagi mesin taip abang tu?” Usik Fatin sambil tersenyum setelah kembali ke bilik tidur mereka. Mohsen mengangguk-angguk kepalanya.
“Ada,” jawab Mohsen.
Mohsen berasa lega apabila mendapati mesin taipnya berada di atas meja. Tetapi beberapa huruf pada mesin taip itu telah hilang.
Pagi itu, Mohsen ke rumah bilal Kosnin untuk menceritakan mimpinya itu.
“Bersyukur dengan kenduri dan majlis bacaan Yasin, makhluk yang ada di dalam rumah kamu berasa ‘panas’ dan meninggalkan rumah kamu tu. Lagi pun tapak rumah yang kamu sewa tu, asalnya bekas tanah perkuburan.”
“Terima kasihlah, Bilal dan Tok Imam atas segala bantuan termasuk mengadakan majlis kenduri dan bacaan Yasin tu,” ujar Mohsen kepada Bilal Kosnin dan Imam Mawardi.