BEBENANG langit sudah lama bertukar warna. Walaupun gelap, namun biasan cahaya bulan yang memenuhi padang atmosfera berjaya menampakkan susuk tubuh seorang wanita lewat Maghrib di depan pagar rumahku. Sudah hampir seminit mataku tidak berkesip memandangnya. Aku tidak pernah menyangka, pada usiaku 30 tahun; sudah berumah tangga, bergelar ibu pada dua anak kecil akan bertemu dengan ‘dia’ lagi.
“Apa khabar?”
Suaranya masih lunak dan merdu, seperti air sungai mengalir pada waktu hujan. Lagu Anak oh Anak yang sering didendangkannya ketika aku kecil dahulu kini berdenging di telinga setelah puluhan tahun ia dipaksa senyap.
Aku masih belum menjawab sapaan dia kerana ralit memerhati seraut wajahnya. Mataku terpaku lama pada bahagian bibir. Dua bahagian luar pinggir mulut itu kulihat bercalit dengan gincu berwarna ungu lembut. Tanpa sedar aku tertawa kecil dalam hati. Ternyata dia masih sama, masih suka warna itu. Cuma ton warnanya saja berbeza, tidak seperti pada kali terakhir aku melihatnya.
“Baik. Kenapa datang?” Akhirnya aku memberanikan diri untuk bersuara setelah menghimpun kekuatan. Namun belum sempat dia menjawab, aku menggeleng sedar tersilap kata. “Kenapa tiba-tiba datang?” Kutebar semula soalan dengan intonasi serius dan menjerat.
“Anakku…” panggilnya dengan mata yang berkaca.
Aku mereguk liur, pahit dan perit. Sudah lama aku tidak mendengar panggilan itu. Pada waktu yang sama, rasa sakit menghunjam di dada dan sebak pula datang berganti. Zaman kecil yang penuh warna duka kembali bertandang.
Dia ibu, perempuan yang pernah menghiasi hidupku suatu ketika dulu. Seorang perempuan yang pernah aku rindu sebelum aku memilih untuk mencampakkannya daripada sisa kenangan.
Aku tidak menyahut panggilannya. Kalau dahulu, aku pasti berlari ke dalam dakapannya dan bahagia dikucup bertalu-talu. Tetapi, kini tidak lagi. Aku menjadi benci mendengar perkataan ‘anakku’ itu. Aku tidak menjemputnya masuk dan tidak juga meminta dia pergi. Kami masih tercancang pegun berdiri ditemani sepi yang merangkak-rangkak dan seekor gagak yang tajam memerhati dari atas pohon mangga yang baru berbunga.
“Anakku sudah dewasa,” katanya bersulam senyuman hambar.
“Aku dipaksa menjadi dewasa pada hari kau memilih untuk pergi daripada hidupku dan ayah,” balasku bersahaja, mahu merentap tenang di hatinya.
Ternyata bilah-bilah kataku tepat mengena. Air mukanya berubah menjadi kesal. Alisnya bercantum hiba.
“Kau tidak faham, anakku.”
Sekali lagi kami membisu, hanya berpandangan antara satu sama lain sambil menggali kenangan semula.
Aku masih ingat ibu sering menangis diam-diam. Kadangkala dia teresak-esak di tepi singki saat mencuci pinggan mangkuk, atau dia akan menangis dengan bibir yang diketap-ketap ketika membobokkan aku di rumah sewa kami. Biasanya ibu menangis saat ayah berpergian di laut. Aku akui ayah jarang-jarang pulang, tetapi aku tahu sayangnya tidak pernah berkurang.
Suatu malam, ketika aku sedang lena dalam terowong mimpi, aku dikejutkan dengan bunyi keriut pintu dan suara orang berbisik. Aku mengagak ayah sudah pulang. Lalu aku menyambung tidur. Keesokan harinya, aku mencari kelibat ayah.
“Barangkali kau bermimpi, anakku. Ayah tidak pulang,” jawab ibu saat aku bertanyakan.
Dia yang berdandan cantik pagi itu tidak lekang dengan senyuman. Haruman berbau anggur manis dari tubuhnya menusuk hidungku.
Selama berhari-hari aku tidak melihat walau sebutir air mata ibu jatuh dari pelupuk matanya. Dia tiba-tiba menjadi perempuan paling bahagia.
Suatu hari, ayah menjemputku pulang dari sekolah. Wajahnya sugul, bagai memikul beban berat di kepala. Aku tidak menyoal dan dia juga tidak bertanya. Kami sama-sama melayani sepi sepanjang perjalanan.
Di rumah, aku melihat ibu sudah berdiri di muka pintu ditemani sebuah bagasi hitam. Pandanganku jatuh pada seulas bibirnya yang bercalit warna ungu gelap. Aku tidak sempat menaksir asakan soalan yang datang bertubi-tubi menghenyak otak. Ibu memelukku erat, seolah-olah tidak mahu melepaskan. Hanya kedengaran bunyi hidung yang tersumbat dengan mukus. Di luar pagar, ayah kulihat sedang berdepan dengan seorang lelaki berkumis nipis. Tiada sebarang perbualan antara mereka kecuali pandangan membara di mata ayah.
Serta-merta aku meleraikan pelukan daripada ibu dan menapak perlahan-lahan mendekati dua insan berkromosom XY. Bau haruman anggur manis yang menyengat melewati hidungku. Babak bunyi keriut pintu dan suara berbisik datang menerjah fikiran. Aku tidak mampu berkata apa-apa melainkan merangkul pinggang ayah. Hari itu, aku melihat ibu memilih kebahagiaan dirinya dan bukan aku. Segala persoalan mengapa ibu menangis dan berdandan cantik kini sudah terjawab.
“Mama.” Suara manja anak keduaku menghempas kenangan lama kami.
Aku menoleh. Sebatang gincu berwarna ungu gelap sudah pun patah dalam genggamannya. Dia hanya mampu tersengih tatkala aku mendepangkan tangan.
“Cucu ibu?”
Aku tidak mampu mengangguk atau mengiakan. Kerongkong bertambah pedih seperti dihiris pisau sejak peristiwa lama menerajang minda. Ibu menyuarakan tentang kerinduan, kesepian dan sesalan yang melingkari hidupnya kini. Lelaki berkumis nipis sudah meninggalkan dia demi wanita lain dan sepanjang bersama-sama, ibu tidak dikurniakan zuriat. Kedatangan ibu setelah sekian lama menghilang adalah untuk menagih sebuah kemaafan dan pengertian daripadaku.
“Adakah kamu masih marah pada ibu?” tanya ibu.
Lirih suaranya sedikit pun tidak merobohkan tembok egoku. Aku menurunkan Eliana daripada dukungan dan kucapai gincu ungu gelap yang telah patah, seperti keadaan hatiku suatu masa dahulu. Di hadapan ibu, aku calitkan gincu itu pada bibir, lalu meletus tawa mengejek yang seakan-akan menghalau kesunyian antara kami.
Warna gincu kami mungkin ungu, tapi ton warnanya berbeza. Satu bermaksud duka dan satu lagi menunjukkan dimensi baharu sebuah kehidupan.
“Nampaknya ibu masih sama seperti dulu; seorang perempuan yang mementingkan diri sendiri dan suka memanipulasi perasaan orang lain dengan menampakkan diri sebagai mangsa.”
Tanpa memandang wajahnya, aku membuka langkah bersama-sama Eliana.
Teriakkan ibu tidak aku pedulikan.
Aku tidak mahu menyambut air mata dan kata maaf yang palsu daripadanya sebagai tetamu!