TAK sabar rasanya menunggu hari Sabtu kerana biasanya pada hujung minggu, kami sekeluarga akan balik ke kampung untuk menjenguk dan meluangkan masa bersama dengan datuk dan nenek. Saudara mara lain yang sebaya dengan aku dan dan adik juga akan turut balik namun dengan kenderaan masing-masing.
Apabila balik ke kampung, datuk dan nenek pasti akan mengajak kami berkebun dan bersawah. Kami semua langsung tidak berasa geli walaupun kerja tersebut kotor dan akan membuatkan kami kelihatan comot dan berbau hapak bermandikan peluh. Kami langsung tidak merungut sebaliknya seronok dapat berbuat demikian untuk meringankan beban datuk dan nenek.
Kerja-kerja yang diberi datuk dan nenek tidak begitu berat dan membebankan kerana tugasan dibahagikan sama rata sesama kami dan kami disuruh bergilir-gilir berehat setelah penat bekerja. Datuk dan nenek juga melarang kami membuat sesetengah kerja dengan alasan kami belum cukup mahir dan agak sukar untuk kami yang masih kecil mengerjakannya. Maka kerja tersebut akan dilakukan oleh datuk dan nenek sendiri.
Esok hari Sabtu. Aku dan adik segera menyiapkan segala kerja rumah nanti agar kami boleh berkemas untuk balik ke kampung esok. Walaupun hanya bermalam untuk semalam, ia cukup bermakna bagi aku. Datuk dan nenek sering berpesan kepada ayah dan ibu sekiranya tiada halangan untuk balik ke kampung pada hujung minggu kerana mereka ingin meluangkan masa bersama kami. Mereka juga ingin cucu-cucunya diajar mengerjakan kebun dan sawah sekiranya agar kami tidak melupai asal usul. Juga penting untuk kami mempelajari kemahiran tersebut agar tidak pupus.
Datuk dan nenek juga pernah mengingatkan ayah dan ibu agar tidak lupa berbakti pada tanah walaupun memiliki kehidupan yang selesa di bandar. Hasil didikan datuk dan nenek, kami tidak pernah pulang ke rumah dengan tangan kosong dan ini membuatkan orang tua kami boleh berjimat daripada membeli barangan keperluan dapur. Sentiasa ada saja buah tangan yang kami bawa balik setiap kali meninggalkan kampung seperti beras yang kami perolehi setelah padinya kami tumbuk sendiri dengan lesung kayu, sayur dari kebun dan hasil hutan.
Aku akui sepanjang meluangkan masa di kampung bersama datuk dan nenek pelbagai kemahiran telah aku pelajari sebagai cucu yang paling tua dan aku mula menyematnya sedikit demi sedikit di dalam dada serta mempraktikkannya apabila berpeluang.
“Tak sabar nak balik jumpa datuk dan nenek esok?” tanya ayah sambil mengunyah makanan yang baru sahaja disuapkannya ke dalam mulut.
“Mestilah. Kami nak tolong datuk dan nenek. Nanti, ayah jangan pula lupa suruh pak cik bawa Micheal dan Mindy balik kampung.” Aku memperingatkan ayah agar berpesan kepada pak cik agar membawa kedua-dua saudaraku ke kampung pada hujung minggu ini.
“Mama tahu anak-anak Mama semuanya baik kerana suka tolong datuk dan nenek buat kerja kebun.” Ibu yang sedang menuang air sirap ke dalam gelas sempat mencelah perbualan aku dan ayah.
Keadaan di kampung dan di bandar sesungguhnya jauh berbeza, namun aku, adik dan kedua saudaraku faham dan tidak pernah membandingkannya.
Bagi kami, nikmat tinggal di kampung dan di bandar memang berbeza dan ini membuatkan kami berasa amat beruntung kerana dapat merasai kedua-duanya sekali.
dinafikan aktiviti seperti bermain gajet tidak dapat kami lakukan di kampung seperti di bandar kerana masalah talian. Namun kami langsung tidak berasa bosan apabila balik ke kampung kerana adasaja sesuatu yang baharu kami pelajari apabila bersama datuk dan nenek.
Siang menjelma dan kami semua sudah bersiap untuk sarapan sebelum memulakan perjalanan. Setelah selesai bersarapan bersama, ayah dan ibu sibuk memunggah barang masuk ke dalam kereta. Begitu juga aku dan adik, membawa beg masing-masing berisi pakaian.
Perjalanan dari rumah ke kampung mengambil masa lebih kurang 45 minit. Meskipun kereta yang aku naiki sejak lahir ini agak uzur rupanya dengan pendingin hawa yang sudah lama rosak, namun tidak putus berjasa membawa kami ke sekolah dan balik ke kampung. Tempat duduk yang semakin menipis dan hanya menggunakan tiupan angin semula jadi dari tingkap tidak mengganggu tumpuan kami menikmati pemandangan sepanjang perjalanan. Setiap kali balik ke kampung terasa seperti sudah lama tidak balik dan ini membuatkan perasaan kami berkobar-kobar dan ghairah untuk cepat sampai.
Sebaik tiba di perkarangan rumah, kelihatan datuk dan nenek sedang berdiri di hadapan muka pintu utama. Datuk dan nenek kelihatan gembira dengan senyuman yang panjang di bibir masing-masing.
“Kamu semua balik hari ni.” Suara nenek kedengaran cukup lantang menegur kami dari jauh.
“Masuk Sean.” Datuk memanggil dan melambai ke arah Sean.
Sean belum mahu berganjak dari tempat dia berdiri kerana melihat kami semua masih sibuk memunggah barang keluar dari kereta.
Tidak lama kemudian, kelihatan kereta Micheal dan Mindy pun tiba. Kelihatan senyuman di bibir datuk dan nenek berterusan memanjang. Aku pasti mereka cukup gembira melihat cucu-cucunya semua ada di sini untuk meluangkan masa bersama.
“Tepat betul kamu berdua balik hari ini,” kata datuk kepada ayah dan Pak Cik Jerrad apabila melihat anak bongsunya baru saja mematikan enjin kereta. “Bolehlah kamu berdua perbaiki ‘tanju’ di belakang sana nanti. Dah reput sikit, nanti kamu berdua gantikan yang mana perlu saja. Lebih buluh hari tu masih ada di belakang sana jadi tidak perlu kamu masuk hutan cari buluh lagi.” Panjang penerangan datuk kepada kedua-dua anak lelakinya itu.
“Baiklah ayah, nanti saya dan Jerrad gantikan.” Ayah menjawab sambil menuju ke dapur menghantar barang yang dibawa oleh kami tadi.
“Masuk Micheal, Mindy.”
Mindy yang sebaya Sean hanya berdiri kaku seperti abangnya. Mereka berdua tidak begitu lincah seperti kami adik-beradik. Namun dalam pelajaran, mereka memang bijak berbanding aku dan Sean. Mengerjakan kebun dan sawah memang bukan kesukaan mereka namun setelah melihat aku dan Sean seronok mengerjakannya, mereka berdua sudah mula boleh mengikut rentak kami yang lincah. Rupa yang comot dan badan berbau peluh boleh mereka hadapi tidak seperti sebelumnya.
“Kamu berempat jangan main di luar dulu ya, kata datuk. Di luar tu sangat panas sekarang ni. Nanti kamu sakit. Faham tak?” Datuk berkata kepada kami semua.
“Jangan pergi ke tanju dulu buat masa ini kerana ada reput sedikit. Nanti kamu jatuh pula. Tunggu ayah kamu perbaiki dulu.” Nenek pula berpesan.
Sambil menunggu ayah dan Pak Cik Jerrad membaiki tanju, kami hanya duduk sambil melihat kerja pembaikan dilakukan.
Tanju menjadi tapak tempat kami duduk bermain dan bersembang apabila balik ke kampung. Lantainya diperbuat daripada buluh dan membuatkan punggung berasa cukup selesa walaupun tiada kusyen seperti sofa di rumah. Namun begitu, ia tidak selesa diduduki sekiranya cuaca panas terik.
Kebiasaannya,bahagian tepi tanju dijadikan ampaian untuk menjemur pakaian. Manakala di bahagian tengah pula akan digunakan untuk menjemur biji lada atau menumbuk padi. Pendek kata, tanju ini sangat berguna dalam kehidupan seharian kaum Bidayuh.
Rumah asal kami yang dibina daripada kayu beratap nipah juga masih ada hingga kini, namun disebabkan bilangan keluarga kami semakin ramai, datuk menyuruh agar sebuah rumah baharu dibina untuk menampung kami semua.
“Mari sini makan.” Nenek berdiri di hadapan pintu bilik, kemudian memanggil datuk dan kedua anak lelakinya untuk makan tengah hari.
Sepanjang menikmati juadah kampung kami berbual-bual dan tidak dinafikan ada sesetengah masakan yang dihidang tidak dapat diterima oleh tekak kami. Namun orang dewasa kelihatan sangat menyukainya. Mungkin kerana bau dan rupanya yang luar biasa membuatkan kami tidak dapat menerimanya. Semuanya sudah kami rasai sedikit sebelum berputus asa untuk terus menikmatinya. Kami diajar supaya tidak membazir makanan. Oleh itu, kami hanya mengambil makanan yang mahu dimakan. Memahami rasa penat lelah menanam dan menumbuk padi untuk menghasilkan beras membuatkan kami juga lebih menghargai nasi. Pinggan kami licin, sebutir nasi pun tidak kami tinggalkan. Pada sebelah petang, tanju sudah selesai dibaiki. Petang itu, kami sekeluarga bersantai dan minum petang bersama di situ.
“Lepas ini kita petik paku uban.” Kata datuk.
“Paku uban?” Micheal ketawa menyebut perkataan uban.
“Apa benda tu, nek? Boleh dimakankah? Kenapa ada uban pula?” Pertanyaan Sean membuatkan datuk dan nenek ketawa.
Aku sendiri pun tidak dapat menahan diri dari ketawa apabila mendengar Micheal menyebut perkataan uban. Sungguh melucukan.
“Uban ada di kepala, seperti rambut datuk dan nenek. Tapi kenapa pula tumbuhan itu dinamakan uban? Adakah kerana tumbuhan itu ada uban seperti rambut manusia?” tanya Mindy yang dari tadi mendiamkan diri.
“Paku uban itu sejenis sayur hutan. Boleh dimakan. Ia tumbuh merata dalam semak dan mudah dipetik.” Jelas nenek.
“Cepat-cepat minum, nanti datuk tunjukkan kepada kamu semua bagaimana rupanya paku uban. Jangan lupa pakai baju dan seluar panjang supaya kamu tidak digigit nyamuk.”
Setelah membantu nenek mengemas segala cawan yang kami gunakan, aku menyiapkan diri. Datuk sudah bersiap sedia dengan beg diperbuat daripada rotan yang disangkutnya pada bahu dan sebilah parang yang diikat kemas pada pinggangnya.
“Tengok-tengok kaki apabila melangkah.” Nenek yang tidak ikut serta dalam mencari paku uban berpesan kepada kami sebelum kami meninggalkan rumah.
Pesan nenek tidak pernah berubah setiap kali kami hendak meredah hutan. Dia sering mengingatkan kami agar berwaspada dalam setiap langkah. Kami telah diasuh dengan kemahiran memasuki hutan oleh datuk dan nenek. Kami tahu di bahagian tanah mana harus kami pijak dan dahan mana yang boleh kami paut untuk menstabilkan diri. Lain pula nasihat nenek apabila tiba musim durian. Dia akan berpesan agar tidak berjalan terlalu perlahan dan berada di bawah pokok durian terlalu lama kerana khuatir durian mungkin jatuh dan menghempap diri.
Selepas 15 minit meninggalkan perkarangan rumah, aku mula melihat hutan yang tidak begitu tebal di hadapan. Kami berempat dari tadi hanya berdiam diri mengekori datuk. Tiba-tiba aku melihat datuk membongkokkan badannya seolah-olah sedang mengutip sesuatu di atas tanah.
“Ha, tengok ini. Ini namanya paku uban.” Datuk mengangkat tinggi tangannya.
“Mana ubannya, tok?” Tanya Sean.
“Ini yang putih-putih ni, yang seperti bulu halus.”
“Oh. baru saya faham. Saya ingatkan uban seperti rambut manusia.” Micheal menyahut kata-kata datuk.
“Bagaimana cara memetiknya, tuk?”
“Lihat sekitar kamu, terdapat banyak paku uban. Nanti kalau kamu petik, pastikan panjang seperti ini. Kalau banyak kita dapat, kita boleh jual di pasar tamu esok. Kalau tidak, nanti datuk masakkan saja untuk makan malam kita.”
Setelah mendengar penerangan datuk, kami mula memetik paku uban.
Rupanya paku uban perlu dipetik mengikut sukatan yang betul agar dapat dibungkus kemas dalam daun buan untuk dijual esok.
Daun buan biasa digunakan sebagai pembungkus nasi jika ingin membawa nasi sebagai bekalan. Peranan daun ini sama seperti bekas plastik yang sering digunakan untuk menyimpan makanan tetapi lebih mudah dan senang didapati tanpa perlu membelanjakan sebarang wang. Daun ini hanya perlu dipetik dari pokok dan dibersihkan sebelum digunakan. Penggunaannya juga dilihat lebih mesra alam sekitar berbanding menggunakan bekas plastik.
Sayur-sayuran hutan masih menjadi kegemaran masyarakat dan ia sering dijual di pasar tamu. Oleh itu kami diajar datuk supaya memastikan paku uban yang dipetik kekal elok dan tidak patah untuk dijual. Aku pernah membantu datuk menjual sayur hutan seperti rebung di pasar tamu sebelum ini dan hasilnya ternyata laris. Aku pasti paku uban juga akan laris dijual seperti rebung.
Dalam setengah jam saja kami telah berjaya memetik sekurang-kurangnya 5 ikat paku uban. Jalan yang kami lalui untuk tiba ke sini kami redahi untuk pulang. Kali ini kami tidak sesenyap tadi, sebaliknya masing-masing saling bertukar cerita dan beg bakul yang dibawa datuk tadi sudah berisi. Tiba di rumah, datuk menyuruh kami membersihkan diri dan bersiap untuk makan malam.
Pada malam itu, di atas meja aku melihat satu hidangan yang begitu asing bagiku, iaitu paku uban yang dimasak bersama rebung. Ragu dengan rasanya yang belum tentu aku sukai, aku hanya menyenduk sedikit sahaja ke dalam pinggan. Sean dan dua lagi saudaraku juga berbuat demikian. Tanpa diduga, hidangan yang kami anggap luar biasa ini sedap walaupun dimasak dengan cili. Terasa amat berbaloi kami memetiknya petang tadi dan ingin aku memetiknya lagi apabila balik kampung lagi.