DI kafe itu, duduk seorang lelaki yang paling dibenci di dunia. Meja-meja berdekatannya kosong dan tidak diisi. Sebenarnya awal pagi tadi, ketika lelaki itu masuk ke dalam kafe, ramai yang masih rancak berborak dan merenung komputer riba ditemani asap kopi. Namun sebaik sahaja melihat kelibat lelaki paling dibenci di dunia itu, semua yang ada di situ mula mengemas barang dan bergegas untuk keluar. Itu perkara biasa bagi lelaki itu. Bukan sekali dua, tetapi berkali-kali saat dia melabuhkan punggung di mana-mana sahaja. Dia tidak peduli kerana itu sudah biasa baginya.
Mujur juga kafe itu menggunakan khidmat layan diri secara dalam talian. Kesemua pesanan dilakukan menggunakan telefon bimbit, malah yang menghantar makanan juga ialah robot kecil dengan roda di kaki. Jika tiada robot kecil dan khidmat pesanan dalam talian, mungkin pesanannya tidak akan diambil.
Hari ini, dia teringinkan secangkir kopi hitam tanpa gula dan tanpa susu. Makanan akan dipesan kemudian. Selesai membuat pesanan, dia melihat sekeliling. Ruang kedai sudah sepi tanpa pengunjung, kecuali sepasang pelanggan yang sedang menghabiskan makanan dengan gelojoh. Mereka tidak mahu berlama-lama di dalam kubikel kedai, berkongsi udara dengan lelaki paling dibenci di dunia.
Karim ialah nama lelaki paling dibenci di dunia. Karim merupakan lelaki Generasi Y yang berusia lewat 20-an dan sudah tiga tahun dia menyandang gelaran tersebut.
Pesanan kopinya tiba. Air dihirup sedikit. Pahit kopi merebak ke seluruh ruang mulut sebelum memenuhi tekak. Sensasi yang dia gemari. Kemudian dia kembali menyemak telefon bimbit dan membaca mesej semalam. Sebenarnya selain ingin makan, tujuan Karim ke kafe itu adalah demi janji temunya yang pertama. Gadis yang dikenali menerusi aplikasi Tinder telah berjanji untuk bertemu dengannya pada hari ini, di tempat ini, pada waktu ini. Semua tepat. Bahkan spesifikasi tempat duduk yang diminta oleh gadis itu turut dituruti Karim. Ruang tengah kedai.
Masa dirasakannya terlalu perlahan apabila menunggu seseorang. Lebih-lebih lagi ditambah dengan rasa gementar dan teruja disebabkan oleh kafein kopi hitam yang diteguknya. Kaki dan tangan Karim bergetar kerana terlalu berdebar. Sekejap dikacau kopi di atas mejanya, sekejap disemak notifikasi telefon bimbitnya, sekejap dia bermain dengan jari-jarinya. Sudah sejam masa berlalu, ruang kedai sepi sepenuhnya tanpa pengunjung. Seorang dua yang menjenguk ke muka pintu terus berlalu tanpa berpatah kembali setelah melihat kelibatnya.
Teruja Karim sudah hilang dan bosan mula berganti kerana terlalu penat menunggu. Karim akhirnya membuat kesimpulan bahawa gadis itu juga termasuk dalam kalangan mereka yang membencinya. Hari ini, selepas tiga tahun dia memegang gelaran sebagai seorang lelaki paling dibenci di dunia, buat pertama kalinya dia menyesal dan berharap masa boleh diputar kembali dan dia ingin menjadi lelaki biasa seperti orang lain.
Selepas menghabiskan kopinya, Karim bingung sama ada ingin tunggu sebentar di kafe itu atau terus pulang ke rumah. Belum sempat dia membuat keputusan, seorang lelaki keluar daripada bahagian dapur kafe. Berpakaian seperti seorang tukang masak kelas atasan dengan topi tukang masak setinggi enam inci, baju putih dan seluar hitam. Mungkin ketua chef atau empunya kepada kafe itu.
Lelaki itu menapak laju dari dapur terus ke meja Karim. Langkahnya tidak stabil, mungkin kaki sudah penat menanggung berat badannya. Karim sudah boleh mengagak apa yang akan diperkatakan oleh lelaki itu. Ramalannya benar. Sudah sejam Karim duduk di situ dan sudah sejam juga kafe itu tidak berpengunjung. Lelaki berpakaian chef itu dengan sopan meminta supaya Karim berlalu pergi sebelum mereka menanggung kerugian yang lebih besar akibat tiada pelanggan.
Karim menunduk meminta maaf, mengeluarkan dompet dan membayar di kaunter sebelum berlalu pergi. Setiap langkahannya longlai umpama mengutip cebisan hatinya yang berkecai kerana ditipu oleh gadis janji temu itu. Tambahan pula dia dihalau keluar dari kafe. Matanya merenung kaki lima, dia cuba mengingat semula, mengapa dan bagaimana dia boleh menjadi lelaki paling dibenci di dunia?
Seingatnya, peristiwa lama itu berlaku tiga tahun dahulu ketika dia berada di sebuah pusat beli-belah terkemuka di ibu kota. Karim di dalam kereta seperti pengunjung lain, beratur mencari ruang untuk meletakkan kenderaan. Sejam lamanya dia berpusing tanpa menekan pedal minyak dan hanya mengawal pedal brek. Kali kelapan pusingannya, akhirnya dia berjaya menjumpai tempat kosong. Hairan juga dia. Padahal masih banyak lagi kereta berbaris di hadapan. Tetapi ruang kosong itu seakan mempunyai hijab yang menghalang orang lain daripada mengisinya. Karim tidak bertangguh dan dia terus memberi signal untuk belok ke kiri dan masuk ke ruang kosong aneh itu.
Karim keluar daripada kereta dan masuk ke pusat beli-belah untuk membeli barang keperluan. Selepas itu, dia segera kembali ke keretanya. Kereta Karim masih tetap di tempat yang sama tanpa sebarang perubahan. Dia memandu pulang ke rumah. Setibanya di rumah, alangkah terkejutnya Karim apabila dia mendapat tahu bahawa gambar keretanya sudah tular di semua media sosial. Tohmahan demi tohmahan menghempap dirinya. Lelaki tidak punya perhatian! Lelaki tidak sedar diri! Lelaki tidak mematuhi peraturan! Bermacam-macam lagi tohmahan yang dirasakannya tidak munasabah.
Setelah diteliti gambar keretanya yang tular itu, barulah Karim perasan yang dia meletakkan keretanya pada tempat letak kereta untuk golongan orang kurang upaya. Pada bahagian bawah keretanya, di atas permukaan lantai terlihat siluet berwarna kuning orang kurang upaya. Karim terkejut bukan kepalang. Dia amat yakin bahawa tempat letak kereta itu ialah tempat letak kereta biasa tanpa apa-apa tanda yang mengkhaskannya untuk golongan kurang upaya.
Karim meraup mukanya dan menganggap itu ialah dugaan Tuhan. Mungkin suka-suka orang memfitnahnya dengan mengubah suai gambar kereta dan tempat letak kenderaan itu. Dia menyedapkan hatinya dengan berfikir bahawa hal sebegini tidak akan kekal lama, justeru dia membiarkan sahaja isu tersebut berlegar selama beberapa hari.
Beberapa hari kemudian, sekali lagi gambar keretanya tular di media sosial disebabkan isu yang sama, meletakkan kereta di tempat khas untuk golongan kurang upaya. Perkara sama terus terjadi kepadanya setiap kali dia ingin meletakkan kereta padahal dia sudah yakin bahawa di ruangan tersebut bukanlah khas untuk golongan kurang upaya. Pernah satu hari dia dimarahi oleh seorang lelaki secara berdepan. Lelaki itu tanpa segan silu menengkingnya dengan mengatakan dia seorang lelaki yang tidak mempunyai adab kerana meletakkan kenderaan sesuka hati tanpa mengambil kira kemudahan yang disediakan untuk golongan kurang upaya.
Sudah terlalu lama Karim diperlakukan sebegitu oleh orang ramai dan akhirnya dia pasrah. Perasaan malunya dibuang jauh-jauh. Hatinya perlu kebal untuk menerima makian dan hamburan marah orang lain. Sehingga ke hari ini, cintanya tidak pernah berbalas. Sebelum ini, Karim pernah menjelaskan di laman media sosial peribadinya tentang sebab dia berbuat demikian. Ada yang memberi sokongan moral dan memaafkan perbuatan Karim, tetapi ada juga yang mencelanya sebagai orang cacat dan mengatakan bahawa Karim selayaknya menjadi orang kurang upaya.
Karim perlu membuat sesuatu untuk mengubah nasib hidupnya. Dia berazam untuk menyiasat dalang di sebalik bala yang menimpanya? Malam itu, Karim tidur agak lewat kerana merancang secara terperinci untuk menangkap dalang yang menjadikannya lelaki paling dibenci di dunia. Otaknya diperah habis-habisan. Keesokan hari nanti, dia akan ke pusat beli-belah terdekat dengan tempat tinggalnya. Sebaik sahaja dia meletakkan kereta dan mematikan enjin, dia akan bersembunyi di tempat yang tersorok untuk mengawasi keretanya.
Karim bangun awal pagi itu. Selepas sarapan, dia bersiap-siap untuk ke pusat beli-belah. Tepat jam sepuluh pagi, kereta dihidupkan dan Karim menjadi orang terawal tiba di situ. Dia masuk ke pekarangan tempat letak kereta yang masih lengang. Sengaja dia pilih petak letak kereta yang terdekat dengan pintu masuk. Lebih banyak ruang untuk dia bersembunyi dan menghendap. Dia yakin bahawa ruang itu ialah ruang letak kereta umum dan bukan dikhaskan untuk golongan kurang upaya. Dia mula mengambil segala alatan yang diperlukan seperti kamera dan pengunci stereng sebagai persediaan jika situasi menjadi lebih buruk.
Enjin kereta dimatikan. Langkah kanan diambil oleh Karim dengan beg galas tersandang di bahunya. Kiri kanan dijeling mencari-cari kelibat yang mungkin sedang memerhatikannya dan menunggu masa yang sesuai untuk mengenakannya. Karim mula menjadi seorang paranoid. Selepas memastikan tiada sesiapa yang berdekatan, dia mencari lokasi paling strategik untuk bersembunyi. Dia mengambil tempat di belakang pasu, tidak jauh daripada keretanya. Tempat yang tidak disedari oleh orang lain agar dia dapat memerhatikan keretanya dari jauh. Tempat itu dirasakan cukup dekat sekiranya dia ingin menyergah orang yang melakukan onar kepadanya.
Karim menjadi orang paling sabar di dunia pada hari ini. Dia perlu menangkap orang yang memberinya masalah. Sejam berlalu, matahari sudah naik tinggi dan bayang-bayang kian hilang. Karim mulai berpeluh. Bau minyak wangi yang dipakainya tadi sudah bertukar dengan bau masam peluhnya.
Mata Karim merenung tajam pada keretanya. Masih tiada perubahan. Dia mulai bosan dan berfikir yang selama ini memang silapnya kerana tidak memerhatikan betul-betul petak letak kereta sebelum meletakkan keretanya. Ketika Karim sudah mula putus asa, dia perasan sesuatu pada petak letak keretanya. Dia terlihat kelibat makhluk sedang terbang setinggi satu inci dari tanah. Dia juga perasan yang lambang berwarna kuning mulai muncul secara perlahan-lahan daripada lantai di bawah tempat letak keretanya.
Kamera dikeluarkan dari beg galasnya dan diletakkan di hadapan bebola matanya. Kamera dilaraskan supaya fokus ke kawasan bawah keretanya. Imej kamera dilaras lagi bagi menambah fokus sehingga akhirnya dia terlihat makhluk tersebut sedang melukis lambang orang di atas kerusi roda di bawah keretanya. Makhluk itu sangat kecil dan memakai pakaian berwarna hijau. Pada tulang belikatnya terlekat sepasang sayap seperti serangga yang sedang terapung daripada permukaan tanah. Di kepalanya pula kelihatan topi berwarna hijau dengan hiasan emas. Wajahnya seperti wanita tetapi bentuk rahang mulutnya lebar seperti lelaki. Tidak pasti sama ada ia jantan atau betina. Yang jelas ia seekor pari-pari dengan berus cat di tangan.
Karim menggenyeh-genyeh matanya seakan-akan tidak percaya dengan kejadian yang dilihatnya. Dilaraskan sekali lagi kamera pada tangannya dan kelibat pari-pari itu masih lagi kelihatan sibuk sedang memegang berus cat. Setelah dia berpuas hati dengan kualiti gambar, punat kamera ditekan dan gambar seekor pari-pari telah dirakam kemas dalam kameranya.
Penantian Karim sudah berakhir dan dia tidak boleh lagi lama di situ. Orang ramai sudah mula memenuhi pusat beli-belah. Dia melangkah keluar daripada kawasan persembunyiannya tanpa mempedulikan pari-pari yang berada di bawah keretanya. Dia terus masuk ke dalam kereta dan menghidupkan enjin serta memandu keluar daripada kawasan pusat beli-belah itu. Dia sangat berharap bahawa dia akan terlanggar pari-pari kerdil itu. Hatinya penuh dengan api kemarahan. Karim berdoa agar Tuhan memberi bala kepada pari-pari durjana itu.
Jalan raya agak sesak dengan kereta. Karim memaki hamun beberapa kereta yang lambat bergerak di hadapannya. Setibanya di rumah, Karim membuka kembali kameranya bagi melihat sekali lagi imej pari-pari durjana itu. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati gambar yang tersimpan dalam kameranya itu ialah pari-pari kerdil dengan wajah yang tidak asing baginya. Wajah seorang lelaki cacat yang pernah Karim aniaya dahulu. Sudah agak lama sehingga dia sendiri terlupa peristiwa dahulu.
Karim menghempaskan badannya ke katil. Jantungnya berdegup kencang memikirkan dosa-dosa lamanya. Selang beberapa minit, dia membuka laman media sosialnya. Sekali lagi dia terkejut besar kerana gambar keretanya di pusat beli-belah tadi menjadi tular dan terpampang di media sosial akibat meletakkan kereta di petak letak kereta orang kurang upaya. Gambarnya telah dikongsi oleh ribuan orang. Karim bingkas bangun. Dia merenung skrin telefon bimbitnya. Semua ini tidak mungkin terjadi. Jauh di sudut hati Karim, dia berfikir bahawa gelarannya sebagai seorang lelaki paling dibenci di dunia tidak akan lenyap selama-lamanya dan dia tidak akan berpeluang untuk memperoleh cinta sejati dari gadis Tinder.