Pengenalan
“Sebilah keris menyimpan segala tuah dan martabat;
Tuahnya melingkari kepala,
Martabatnya melingkari pinggang.
Di dalam bilahnya terletak rahsia,
Pada pamornya tersimpan cerita,
Di sepuhannya tersembunyi hikmah,
Dalam besinya terpendam kekuatan,
Pada bajanya terukir keampuhan,
Hulunya menggenggam tekad,
Dan sarungnya menyelindung kemegahan.”
Bait-bait kata Allahyarham Pak Tenas Effendy ini menunjukkan bahawa keris merupakan lambang warisan bangsa Melayu yang penuh makna. Ia bukan sekadar senjata, tetapi penyambung tradisi dan identiti budaya Melayu. Meskipun orang Melayu turut menghasilkan pelbagai jenis senjata lain sepanjang sejarah gemilang tamadun mereka, keris tetap menjadi simbol perjuangan yang paling signifikan. Bagi masyarakat Melayu, keris amat istimewa kerana segala kisah kepahlawanan dan perjuangan bangsa ini seakan-akan tersirat di dalam sebilah keris.
Kehebatan keris Melayu ini mempunyai keunikannya yang tersendiri. Bilah atau mata keris ditempa dengan beberapa jenis besi untuk menjadikan sebilah keris yang berkualiti. Di dunia, dikatakan bahawa mata pedang samurai merupakan bilah yang terbaik kerana menggunakan tiga jenis besi. Namun begitu, keris Melayu sekurang-kurangnya menggunakan tujuh jenis besi yang ditempa untuk menjadi sebilah keris yang kukuh.
Hal ini dibuktikan dengan cerita yang terdapat dalam Hikayat Hang Tuah yang mengatakan bahawa keris Hang Tuah ditempa dengan 21 jenis besi. Kini terdapat juga bekalan-bekalan keris yang ditempa dengan 35 jenis besi yang dipanggil “Besi Imam Perang” hasil tangan Che Mie dari negei Kedah. Proses pembuatan keris ini sebenarnya merupakan hasil tangan dan kearifan seorang tukang yang digelar sebagai empu.
Abdul Mazin (Pak Mazin) dari Bukit Chandan, Kuala Kangsar.
Empu merupakan istilah yang sentiasa diperkatakan dalam bidang seni pembuatan keris, merujuk seseorang yang mahir. Dalam konteks budaya Melayu, empu merupakan seorang artisan unggul yang memiliki kemahiran tinggi dalam penghasilan keris. Empu keris tidak hanya mencipta senjata namun turut melahirkan karya seni yang mencerminkan falsafah, identiti, dan nilai-nilai masyarakat Melayu. Dari segi istilah, empu keris merujuk seseorang yang berkemahiran tinggi menghasilkan sebilah keris bermula dengan pemilihan besi, penempaan, ukiran hulu, dan reka bentuk sarung atau pakaian keris. Sesetengah tukang hanya pandai membuat bilah atau mata keris sahaja, ada juga tukang yang hanya pandai membuat hulu dan sarung keris sahaja (pakaian) dan ada juga yang berkemahiran dalam mengukir pada pakaian keris sahaja. Namun, empu merupakan seseorang yang memiliki semua kemahiran tersebut terutamanya dalam penempaan bilah keris.
Pertemuan penulis dengan seorang empu keris tersohor di Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak, Abdul Mazin Abdul Jamil, 74, atau lebih dikenali sebagai Pak Mazin, telah menjadi pengalaman yang sangat berharga. Pak Mazin merupakan generasi ketujuh keturunan Daeng Selili yang bergelar Datuk Maharajalela Panchong Tak Bertanya dan pernah menjawat jawatan Mufti Pertama Negeri Perak pada era pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III.
Kemahiran menghasilkan keris dalam keluarga Pak Mazin bermula daripada moyangnya, Tukang Mamat seorang pandai besi yang menghasilkan keris untuk Kesultanan Melayu Perak. Kemahiran ini diturunkan kepada generasi seterusnya Pak Ndak Lam, Abdul Jamil dan Pak Mazin yang tinggal di Bukit Chandan. Pak Mazin mula mendalami seni ini sejak berusia 12 tahun ketika sering mengikut datuknya dalam proses penempaan keris. Kini, ilmu dan kemahiran dalam penghasilan keris telah diperturunkan kepada anak beliau sebagai penyambung warisan seni pembuatan keris di Bukit Chandan.
Kepakaran Pak Mazin bukan sahaja terkenal dalam kalangan masyarakat tempatan namun turut diiktiraf oleh institusi diraja. Antara hasil karya beliau termasuklah pembuatan keris untuk pembesar Kesultanan Perak dan keris untuk Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah semasa baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-14. Gelaran “Empu Keris Diraja” yang sering diberikan kepadanya mencerminkan kualiti dan kehalusan seni yang dihasilkan. Pertemuan penulis bersama-sama Pak Mazin mula mengubah pandangan dan stigma penulis pada asalnya terhadap keris. Keris sering kali dimomok-momokkan dengan isu mistik dan karut. Kononnya keris selalu didampingi dengan makhluk halus dan dikaitkan dengan unsur-unsur tahyul. Ada juga yang mengatakan keris mampu berdiri sendiri dengan bantuan penjaganya atau jin yang ada di dalamnya.
Keris akan berdiri sendiri apabila ukuran dan campuran besinya seimbang.
Namun hal ini disangkal oleh Pak Mazin dan beliau menunjukkan sendiri keris hasil air tangannya mampu berdiri. Keris berdiri sendiri ialah manifestasi daripada ilmu sains fizik yang diterapkan dalam sebilah keris. Campuran besi dan ukuran menjadi kunci utama dalam menjadikan sebilah keris seimbang dan mampu berdiri terpacak. Penulis melihat dengan mata dan dalam keadaan sedar bahawa proses mendirikan keris itu tidak melibatkan apa-apa bacaan khusus mahupun bantuan daripada jin namun hanya dengan mencari titik keseimbangan yang ada pada sebilah keris Melayu. Campuran besi juga menunjukkan bahawa empu keris Melayu memiliki ilmu sains kimia yang tinggi walaupun mereka tidak ada menggunakan persamaan kimia seperti yang terdapat dalam sukatan pengajian dalam buku. Boleh dikatakan empu keris ini memiliki keupayaan mencipta persamaan kimia dan formula fizik mereka sendiri berdasarkan pengalaman, ketajaman pemerhatian, persekitaran dan firasat kognitif.
Keris Tujuh Pa (ڨ): Falsafah dan Proses Pembuatan
Besi tujuh pa (ڨ) yang digabung.
Antara keris yang kerap dihasilkan oleh Pak Mazin ialah Keris Tujuh Pa (ڨ). Mengapa Tujuh Pa (ڨ)? Bercerita tentang Keris Tujuh Pa (ڨ) banyak sekali ilmu yang penulis peroleh daripada Pak Mazin. Persoalan utama yang diutarakan kepada Pak Mazin ialah mengapa keris ini diberikan nama Keris Tujuh Pa (ڨ)? Pa merujuk huruf Jawi (ڨ) yang terdapat dalam setiap perkataan bahan yang digunakan sebagai ramuan bilah keris yang dihasilkan. Daripada “tujuh menjadi satu”, itulah yang penulis boleh gambarkan tentang penghasilan Keris Tujuh Pa (ڨ). Menurut Pak Mazin, tujuh jenis besi yang dipilih kemudian ditempa menjadi satu. Tujuh jenis besi itu terdiri daripada pagar, paku, payung, pahat, parang, pisau dan pencebok.
Besi tujuh pa (ڨ) yang sudah ditempa.
Proses pembuatan Keris Tujuh Pa (ڨ) dikatakan lebih kompleks dan memakan masa yang panjang, dengan mengambil masa antara enam bulan hingga setahun. Hal yang lebih menarik dalam penghasilan Keris Tujuh Pa (ڨ) ini, setiap ramuan yang dikumpulkan tersebut seelok-eloknya adalah daripada Tujuh Pa yang patah. Maksudnya, jika pagar, pagar yang patah, jika paku, paku yang patah, jika payung, payung yang patah, jika pahat, pahat yang patah, jika parang, parang yang patah, jika pisau, pisau yang patah dan jika pencebok, pencebok yang patah. Setiap ramuan ini perlulah diambil dari tujuh daerah yang berbeza. Menurut Pak Mazin lagi, tujuh besi ini perlu diluruskan menjadi kepingan dan diikat bersama-sama tiga besi utama, iaitu Besi Tawar, Besi Baja dan Besi Melela. Campuran besi ini akan menjadikan bilah besi yang kuat, ampuh dan tidak mudah patah. Di samping itu, campuran ini juga dapat menghasilkan pamor keris yang menarik.
Proses tempaan oleh Pak Mazin.
Falsafah di sebalik Keris Tujuh Pa (ڨ) juga mendalam. Setiap bahan mempunyai makna simbolik, contohnya pagar untuk perlindungan dan payung sebagai perlambangan kesiapsiagaan. Namun, keberkesanan keris ini tetap bergantung kepada izin Allah SWT yang menjadikannya bukan sekadar senjata tetapi juga sebagai simbol kebergantungan kepada Yang Maha Kuasa. Penulis berasa sangat beruntung kerana berpeluang menempa sebilah Keris Tujuh Pa (ڨ) bersama-sama Pak Mazin. Penulis dapat menyaksikan sendiri proses penghasilan Keris Tujuh Pa (ڨ) dari mula pelaksanaannya. Proses penghasilan Keris Tujuh Pa (ڨ) terdiri daripada proses mencampurkan besi, proses menempa, proses membuat lok keris, proses membentuk belalai gajah, proses mengikir, proses menyepuh dan proses menimbulkan pamor.
Keris sebagai Simbol Jati Diri
Keris hasil tangan empu diraja Pak Mazin.
Dalam konteks moden, keris sering dilihat sebagai artifak sejarah atau sekadar simbol dalam upacara adat misalnya dalam pertabalan raja, majlis perkahwinan, atau acara rasmi tertentu. Namun, anggapan ini sebenarnya terlalu menyempitkan fungsi dan makna keris. Sebenarnya, keris adalah jauh lebih daripada itu. Ia merupakan lambang jati diri orang Melayu, satu manifestasi kebijaksanaan, keindahan seni, dan keagungan nilai tradisional yang diwarisi sejak ratusan tahun dahulu. Sebagai sebuah alat simbolik, keris menjadi penghubung antara generasi kini dengan sejarah silam serta menjadi cerminan kesinambungan warisan yang tidak pernah putus meskipun berdepan dengan pelbagai cabaran zaman.
Keris juga berfungsi sebagai medium pengajaran tentang nilai-nilai kehidupan. Setiap elemen yang ada pada keris bermula daripada bentuk lok hingga pamor pada bilahnya mengandungi maksud tersirat tentang falsafah kehidupan yang mendalam. Misalnya, pamor yang unik pada bilah keris tidak hanya mempamerkan kehalusan seni, namun menyimpan kepercayaan masyarakat Melayu terhadap keberanian, keikhlasan, dan ketabahan. Bahkan, lok keris yang berlekuk-lekuk sering diibaratkan sebagai simbol perjalanan hidup yang penuh liku tetapi tetap menuju ke arah tujuan yang sama, iaitu kejayaan dunia dan akhirat.
Dalam dunia moden yang semakin global, nilai-nilai ini perlu terus dikekalkan kerana ia menjadi pengingat tentang kehebatan tamadun lampau orang Melayu. Seni menghasilkan keris, seperti yang diamalkan oleh Pak Mazin merupakan sebahagian daripada usaha penting untuk memastikan warisan ini tidak lenyap ditelan arus globalisasi dan budaya popular yang semakin menjajah pemikiran generasi muda. Seni perkerisan bukan sahaja memerlukan kemahiran teknikal yang tinggi tetapi juga penghargaan terhadap nilai estetika dan simbolik yang terkandung di dalamnya. Oleh sebab itu, keris bukan sekadar tinggalan sejarah tetapi ia berfungsi sebagai pengikat hubungan budaya, alat pendidikan, dan simbol identiti yang mampu memperkasakan semangat bangsa Melayu.
Cabaran dan Harapan
Pak Mazin berharap agar seni pembuatan keris ini tidak lenyap bersama-sama generasi beliau. Cabaran utama adalah kurangnya minat generasi muda terhadap seni ini, selain kekurangan sumber dan dokumentasi yang terperinci. Oleh hal yang demikian, usaha untuk mempromosikan keris melalui program pendidikan, pameran, dan penerbitan amatlah penting. Penulis juga berpendapat bahawa institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka dan universiti tempatan perlu memainkan peranan dalam menyokong seni perkerisan melalui kajian dan penerbitan ilmiah.
Penutup
Keris bukan sekadar senjata, tetapi lambang seni, budaya, dan falsafah Melayu yang tinggi. Usaha Pak Mazin dalam memelihara seni perkerisan menjadi sumbangan besar terhadap warisan bangsa. Semoga seni ini terus hidup dan menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai dan memelihara identiti bangsa Melayu.