MUNAH bagai mahu rebah semasa melihat apa yang Zali tunjukkan sebentar tadi. Lutut Munah berasa longgar dan bergoyang, berdiri pun tidak berdaya rasanya. Cepat-cepat Zali pimpin emak saudaranya itu ke pangkin di bawah pokok jambu. Munah tarik nafas dalam-dalam, sambil pejam mata rapat-rapat.
“Allahuakbar!” ucap Munah sambil mengurut-ngurut dadanya yang masih berdebar-debar sambil membetul tudung kepalanya yang terselak sebentar tadi. Munah juga betulkan duduknya di atas pangkin kayu, setelah Zali melepaskan pegangannya.
“Tak kan sampai banyak tu sekali, Zali? Betul ke apa yang kau tunjukkan tu?” sambung Munah setelah debarannya semakin kurang. Zali masih memegang telefon pintarnya.
“Mak ngah sendiri dah tengok kan? Tak kan saya nak tipu pula?” balas Zali sambil menekan-nekan punat pada telefon pintarnya. Dia mencari semula maklumat yang ditunjukkannya tadi.
“Astagfirullahalazim …” Munah beristighfar panjang. Cuma kali ini nadanya sudah agak kembali tenang, tidak seperti awal tadi. Dia masih separuh percaya dengan apa yang Zali tunjukkan itu. Betulkah semua itu atau aku hanya bermimpi? Getus hati kecilnya.
Enam bulan yang lalu Zali membawa Munah ke satu seminar perniagaan di bandar. Munah tidak mahu ikut pada awalnya, tetapi apabila dipujuk Zali berkali-kali, dia ikut juga. Munah tahu siapa dirinya, seorang ibu tunggal di kampung, tidak berpelajaran tinggi, setakat lulus SPM sahaja. Dia berasa malu untuk mengikuti seminar seperti itu.
“Alah, apa yang nak dimalukan, mak ngah. Tak ada siapa nak tanya mak ngah lulusan universiti mana? Masing-masing nak dengar apa penceramah tu akan cakap saja.” Zali cuba meyakinkannya untuk tidak berasa rendah diri.
Munah akhirnya ikut hadir dalam seminar sehari itu. Dia bayar yuran penyertaan sebanyak RM50.00 melalui Zali. Munah percaya pada Zali sebab selama ini Zali jugalah yang telah banyak membantunya dalam urusan seharian. Zali ialah anak bongsu kepada abang sulungnya, kini berusia 25 tahun.
Pagi itu Munah dijemput oleh Zali awal pagi lagi. Selain Munah, ada dua orang lagi ikut serta. Mereka menumpang kereta Proton Persona warna merah milik Zali. Munah tidak kenal mereka berdua itu sebab mereka tinggal di kampung berlainan.
“Ini Kak Leha dan Abang Rashid.” Zali perkenalkan kedua-dua mereka itu kepada Munah sebaik sahaja kedua-duanya masuk ke dalam kereta. “Kak Leha dan abang Rashid ni macam mak ngah jugalah, orang kampung dan kerja di kampung sahaja. Tapi mereka berdua bercita-cita mahu ubah nasib mereka.” Bersemangat sekali gaya Zali memperkenalkan dua orang rakannya itu.
Munah hanya senyum sambil bersalaman dengan Leha yang kelihatan lebih muda daripadanya. Agak tebal juga make-up Leha, telah hati kecil Munah. Akhirnya setelah mendengar perbualan mereka sepanjang perjalanan ke bandar, tahulah Munah yang Leha itu seorang pengusaha butik pengantin dan barangan kecantikan wanita.
Kini setelah enam bulan berlalu, Munah masih belum yakin sepenuhnya. Sebenarnya dia tidak faham dengan apa yang disampaikan oleh penceramah itu. Munah hanya harapkan Zali uruskan segala-galanya. Zali, anak saudaranya yang paling rapat dan belajar hingga ke universiti, lulusan bidang pengajian perniagaan. Munah hanya tahu tentang geluk dan ikannya sahaja.
Geluk berisi ikan yang siap disiang dan digaul dengan garam ditutup rapat. Munah letakkan di sudut dapur rumahnya. Dengan geluk yang ini sudah ada sembilan geluk kesemuanya. Siap untuk diperam semalaman sehingga ikan benar-benar sebati dengan garam yang digaul itu.
Munah capai loyang berisi beras siap disanga yang terletak di tepi dapur. Beras itu akan ditumbuk hingga sederhana lumat. Esok beras itu akan digaulkan dengan ikan yang diperam semalaman di dalam geluk-geluk itu. Selepas itu Munah akan siram ikan-ikan itu dengan air garam yang dimasak sehingga kesemua ikan itu terendam. Kemudian Munah akan tuangkan baki beras sanga yang ditumbuk ke atas ikan-ikan itu. Akhirnya geluk itu akan ditutup dengan rapat dan diperam sehingga dua atau tiga minggu.
Munah yakin isi geluk-geluk itu akan habis dijual kerana bulan puasa akan datang tidak lama lagi. Lazimnya jualan akan meningkat setiap kali tibanya bulan Ramadan.
Munah duduk di kerusi sambil menarik nafas lega selepas menutup geluk kesepuluh untuk diperam paling kurang dua minggu lamanya. Tiga minggu lebih elok lagi. Munah tidak mahu hasil usahanya kurang memuaskan, biarlah lama sedikit asalkan tiada pelanggan yang berungut.
“Mak ngah perlu ubah strategi. Kena ikut peredaran zaman, tak boleh lagi buat macam dulu.” Itu kata Zali kepadanya semasa dia mula-mula memujuk Munah untuk menyertai seminar perniagaan itu enam bulan lalu.
Munah tidak tahu apa itu strategi, yang dia tahu dia siapkan ikan-ikan, garamkan, peramkan dan akhirnya selepas tiga minggu dia jualkan. Itu jugalah yang dilakukan oleh arwah suaminya dahulu. Dia hanya menyambung peninggalan suaminya sahaja.
“Zaman sekarang ni orang dah tidak mahu lagi berusah payah beli barangan di pasar. Orang mahu lakukan secara mudah, di hujung jari saja.” Zali terus bercerita tentang gaya pemasaran yang diamalkan peniaga-peniaga zaman sekarang.
Munah bukannya faham sangat pun, tapi dia dengar juga apa yang Zali ceritakan itu. Dia teringat anak-anaknya, Mustakim, Hanim dan Nadim pernah bercerita kepadanya betapa mudahnya berurusan membeli barang-barang melalui Internet. Malah mereka jarang ke pasar raya atau ke kedai, semuanya dipesan melalui telefon pintar dan barang-barang itu akan dihantar sampai ke muka pintu. Mudah dan menjimatkan kata mereka.
Munah sedar dia tidak berpelajaran tinggi seperti anak-anaknya dan Zali. Dia hanya lulusan SPM di sekolah menengah tidak jauh dari kampungnya. Itu pun mujur dia sempat belajar ke peringkat menengah. Ramai rakan-rakannya yang tidak mampu meneruskan pelajaran akhirnya berkahwin dalam usia muda. Zaman dia bersekolah dahulu kemudahan tidak seperti sekarang.
“Sekarang ini semuanya mudah. Teknologi yang semakin canggih ini perlu kita gunakan sepenuhnya untuk mendapat keuntungan. Berniaga zaman teknologi bukan lagi berniaga cara dahulu. Kita sebagai peniaga mesti ikut peredaran masa.” Munah teringat ucapan penceramah seminar itu dahulu. Orangnya bertubuh gempal, berketerampilan menarik dan bercakap dengan jelas serta bersemangat.
“Kita manfaatkan kemudahan yang ada. Hari ini saya mahu berkongsi dengan tuan-tuan dan puan-puan bagaimana mudahnya berniaga menggunakan komputer dan Internet.” Suara penceramah itu masih terngiang-ngiang di telinga Munah.
Dalam bilik seminar itu Munah lihat kesemua peserta tekun mendengar dan menyalin apa yang diperkatakan. Zali juga sibuk menyalin dan sesekali bertanya soalan. Dia yang kurang pengetahuan ini hanya sekadar menjadi pendengar. Daripada 20 orang peserta seminar itu lebih separuh daripadanya ialah wanita. Kesemuanya berusia lebih muda daripadanya. Hal itu menjadikan Munah lebih berasa malu kepada diri sendiri.
“Kakak tidak perlu berasa malu. Usia bukan pengukur kejayaan seseorang. Biarpun dalam usia yang lanjut, jika kakak berusaha bersungguh-sungguh dan melakukannya dengan betul, insya-Allah kakak boleh berjaya. Apa yang penting kakak mahu berubah dan mahu berjaya!”
Semangat Munah berkobar-kobar ketika mendengar kata-kata penceramah itu semasa seminar hampir tamat. Munah tersenyum mendengar kata-kata penceramah berusia 30 tahun itu. Dia percaya kejayaan akan diperolehi dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan istiqamah!
“Tapi kakak ni orang kampung, tak tahu nak gunakan teknologi canggih macam tuan ceritakan tu.”
“Itu perkara kecil mak ngah. Zali boleh bantu mak ngah. Jangan risau.” Zali beri pengakuan untuk membantunya semasa dalam perjalanan pulang dari seminar tersebut. “Zali percaya perniagaan mak ngah akan dapat sambutan yang menggalakkan nanti,” sambung Zali bersungguh-sungguh.
Munah benar-benar kurang yakin, antara percaya dengan tidak dengan cara yang diterangkan dalam seminar itu. Dia tidak nampak jalan bagaimana orang boleh beli pekasamnya melalui Internet.
Dia lebih selesa dengan caranya sekarang. Apabila sampai masa tiga minggu pekasamnya diperam, dia akan beritahu Mansor, tuan kedai runcit di kampungnya. Mansor akan datang dan ambil pekasam itu. Lepas itu Munah tidak perlu tahu lagi macam mana Mansor jual pekasam itu. Yang penting Mansor bayar harga pekasam itu kepadanya. Urusannya habis di situ.
“Mana tahu, selepas ini pekasam mak ngah akan berlipat kali ganda jualannya.” Zali masih memancing minatnya untuk mencuba kaedah jualan melalui Internet. “Dengan cara ini pekasam mak ngah akan lebih dikenali ramai orang dari serata tempat, bukan di Kampung Sanggul Serkap ni saja!” Zali menyambung lagi dengan penuh yakin. Senyuman terukir di bibir Zali.
Kadang-kadang Munah berasa mahu ikut cakap Zali. Anak-anaknya juga setuju seperti apa yang Zali cadangkan itu. Cuma dia sahaja yang masih kurang yakin. Maklumlah dia tidak pandai menggunakan kemudahan Internet. Lagi pula dia tidak pandai membaca dan menulis dalam bahasa Inggeris.
“Macam mana nak jual pekasam mak ngah dalam Internet, Zali? Mak ngah tak reti nak guna komputer. Tak faham bahasa Inggeris.” Dia pernah beritahu Zali pada suatu hari tidak lama selepas pulang daripada seminar itu. Dia rasa sudah tidak sanggup lagi hendak belajar komputer kerana usianya kini sudah hampir 53 tahun. Sudah masuk gerbang usia emas.
Tetapi Zali tidak berputus asa. Dia belikan sebuah komputer terpakai di bandar dan berikan kepada Munah. Dia pasang pendawaian dan wifi dan buka akaun e-mel untuk Munah. Munah tengok sahaja apa yang Zali buat. Kemudian Zali buka akaun facebook dan tik-tok untuk emak saudaranya itu.
“Dengan cara ini mak ngah boleh promosi pekasam mak ngah dalam talian. Mak ngah tak perlu lagi jual kepada Mansor. Mak ngah sudah boleh jual pekasam mak ngah tu ke seluruh dunia!” Ujar Zali semasa mengajarnya menggunakan Internet dua bulan yang lalu. Tiap-tiap malam Zali akan datang ke rumahnya untuk mengajar Munah cara-cara menggunakan komputer dan Internet.
Lama-kelamaan Munah sudah boleh berinteraksi dengan anak-anaknya melalui Internet. Dia juga sudah boleh menggunakan Facebook dan Tik Tok, walaupun tidak begitu mahir. Zali yang banyak membantunya membuat promosi pekasamnya termasuk membuat rakaman video.
“Mak ngah rasa cara ini tak sesuailah, Zali. Dah dua bulan tak ada satu pesanan lagi pun. Dulu kau kata mudah sangat. Ramai orang yang akan beli melalui internet. Tapi sekarang apa pun tak ada lagi!” Munah meluahkan kekesalan dan rasa kecewanya kepada Zali pada suatu hari sewaktu Zali datang ke rumahnya.
“Sabarlah mak ngah. Zali yakin tak lama lagi akan ada orang beli pekasam mak ngah tu melalui internet. Sabarlah ya.” Zali benar-benar yakin dan tidak putus asa memujuknya.
Setiap malam selepas solat isyak, Munah berhadapan dengan komputernya lebih kurang satu jam setengah. Dia ikut petua yang diberitahu oleh penceramah dalam seminar dahulu. Ikut kata penceramah itu dalam masa satu jam setengah sehari sudah memadai untuk membuat promosi dalam Internet dengan syarat cara promosi itu mestilah cantik dan menarik.
“Pekasam mak ngah hasil buatan sendiri tanpa menggunakan bahan-bahan terlarang. Sedap dan rangup. Sekali cuba pasti terpikat.” Itulah yang ditulis dan diiklankan dalam Facebook dan Tik Toknya. Zali yang cipta iklan itu. Gambar ikan pekasamnya yang dirakam Zali dipaparkan, begitu juga videonya.
“Zali tahu mak ngah tentu belum tengok lagi kan?”
“Belum. Kalau kau tak bagitahu mak ngah tak perasan. Tapi betul ke semua tu, Zali?”
“Betullah, tak kan Zali nak tipu pulak!” Zali membelek-belek telefon pintarnya sambil duduk di sebelah emak saudaranya yang masih terpinga-pinga antara percaya dengan tidak. “Hah, cuba mak ngah baca sekali lagi!” Dia unjukkan telefon pintarnya kepada Munah.
Munah sambut telefon pintar yang Zali hulurkan. Dia tenung skrin telefon itu beberapa ketika, membaca apa yang tertera di situ. Itu laman facebooknya, “Pekasam Mak Ngah Munah”.
“Kami ialah kontraktor pembekal makanan untuk jemaah haji pada tahun ini. Kami mahu menempah sebanyak 100,000 ekor ikan pekasam Mak Ngah Munah. Berdasarkan harga yang dipaparkan, keseluruhannya bernilai RM400,000.00. Pegawai kami akan hubungi Mak Ngah Munah tidak lama lagi untuk perbincangan lanjut.”
Munah baca berulang kali mesej itu bagi memastikan dia tidak tersalah baca. Munah tersenyum lebar memandang Zali yang duduk di sebelahnya sambil menghulurkan kembali telefon pintar anak saudaranya itu.
“Alhamdulillah … Terima kasih Zali.” Suara Munah tersekat-sekat antara esak tangis syukur yang tiba-tiba melanda hatinya.