Skip to content
Perjanjian
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Perjanjian
Perjanjian
Cerpen

Perjanjian

  • Benedict Anak Samling
  • 8 Januari 2026
  • DBP Cawangan Sarawak
  • 266
  • 4.7

BABAK dibaham buaya! Ya, saya nampak dengan mata kepala saya sendiri!

Seekor buaya putih, sebesar perahu panjang, timbul dari dasar sungai yang tenang seperti musuh yang menyimpan dendam seribu tahun. Tubuhnya panjang dan lebar, seperti batang pokok tualang yang tumbang merentasi sungai, berotot dan dan dilitupi kerak sisik sebesar piring kuih kelupis. Kulitnya putih keperakan, hampir bersinar dalam cahaya pagi yang redup. Giginya, ya Tuhan, giginya panjang-panjang, berceranggah seperti duri tajam yang tumbuh tidak teratur dari rahang yang mampu meremukkan tempurung kepala kerbau. Ekornya melibas lalu air sungai seakan-akan terbelah dan buaya itu meluru ke arah babak.

Tiada bunyi.

Hanya percikan air yang melonjak tinggi, lalu bunyi seperti batang buluh tua dipatahkan, memecah keheningan pagi dan tubuh babak hilang separuh ke dalam rahang buaya.

Saya terpaku. Saya lihat buaya itu menggigit babak lalu menggoyang-goyangkan kepalanya ke kiri dan ke kanan seperti sedang menyiat. Dan dalam sekelip mata, buaya itu berpusing dan menyelam semula ke dasar, meninggalkan pusaran air.

Saya nampak. Saya benar-benar nampak!

“Benar, nek. Babak dibaham buaya!” Saya meyakinkan nenek.

“Tidak mungkin. Bapa kamu orang Bidayuh. Kita sudah berjanji dengan buaya,” ujar nenek.

Saya tetap tidak berganjak. Saya amat yakin babak dibaham buaya. Sangat jelas di mata saya, babak meronta-ronta di dalam mulut buaya.

Namun, nenek kata mustahil. Kata nenek, suku kaum Bidayuh, pernah membuat perjanjian perdamaian dengan buaya. Ia bukan dongeng untuk menakut-nakutkan cucu-cucunya supaya tidak bermain terlalu lama di sungai, bukan juga mitos yang diceritakan kepada cucu-cucu sebelum tidur atau dundan Gawai. Ia perjanjian darah, disaksikan bulan dan pokok-pokok. Ya, perjanjian lama sebelum sungai itu dinamakan Sungai Kayan.

Menurut nenek, perjanjian itu dibuat lebih dua belas keturunan yang lalu, ketika leluhur kami masih menetap di puncak Bukit Sentah, sebelum mereka turun dan membina kampung di lembah tanah rendah yang kini kami diami. Waktu itu, musim kemarau panjang telah mengeringkan semua anak sungai, kecuali satu: aliran air dari Sungai Kayan yang mengalir dari rahim hutan lebat dan bertemu dengan sungai-sungai besar seperti Batang Samarahan.

Tetapi Sungai Kayan itu milik buaya putih sebesar perahu yang memuatkan 20 orang. Buaya putih itu dipercayai penjaga sungai. Dari cerita nenek, buaya putih itu dipanggil Aru Tidu, makhluk lama yang tidak mati, tapi berubah jasad. Dahulu, sebelum perjanjian itu dimeterai, setiap kali penduduk menjejak kaki ke sungai, akan ada yang hilang. Kanak-kanak, wanita bahkan lelaki dewasa yang perkasa juga hilang. Kalau mati, mana mayat mereka? Kalau hidup, mengapa tidak kembali ke rumah? Mayat mereka tidak pernah ditemui. Kata nenek, buaya itu bukan lapar, tapi sedang menuntut sempadan. Marah kerana manusia tidak meminta izin.

Lalu seorang lelaki tua bernama Sumping Saji nekad bertemu dengan buaya putih itu. Atas nasihat kepala kampung, dia berpantang tujuh hari tujuh malam, lalu menanam sirih, pinang dan segumpal rambutnya di tebing sungai. Pada malam terakhir, dia duduk bersila di batu besar berbentuk kepala kerbau, menyebut nama semua nenek moyang kami, sebelum menyeru buaya itu.

Nenek kata, pada malam perjanjian itu langit tidak berbintang, dan sungai seperti mendidih. Dari air yang tenang, muncul seekor buaya putih, bermata emas. Mereka berunding dalam bahasa yang tidak difahami. Bukan bahasa manusia, bukan juga bahasa binatang. Seakan-akan bahasa yang hanya boleh difahami oleh mereka berdua.

Ujar nenek, perjanjiannya mudah, iaitu manusia tidak akan memburu dan membunuh buaya, tidak akan mencemarkan sungai dengan darah babi atau ayam ketika waktu bulan gelap, dan tidak akan memancing ketika angin utara bertiup kerana itu waktu keramat buaya bertelur. Sebagai balasan, buaya tidak akan mengganggu sesiapa yang mandi, membasuh atau memancing.

Pada hari perjanjian, di hadapan sekumpulan anggota suku kaum Bidayuh yang duduk membentuk lingkaran di tebing sungai, Sumping Saji berdiri tegak, tubuhnya disapukan arang dan tanah liat putih sebagai tanda pemisah antara dunia manusia dan makhluk sungai. Di hadapannya, seekor buaya putih yang besar, diam dan tidak bergerak, matanya redup tetapi tidak jinak, seolah-olah memahami maksud upacara itu.

Dengan sebatang duri nibong, Sumping Saji menoreh hujung jarinya perlahan. Darah merembes keluar, menitis jatuh satu demi satu ke dalam tempurung kelapa yang telah dibersihkan dan disapu minyak kelapa tua. Bau darah bercampur aroma sirih dan tembakau daripada api persembahan yang masih berasap perlahan di sisi.

Setelah tempurung itu dipenuhi, Sumping Saji menunduk kepada buaya putih, kononnya lambang kekuatan penghuni sungai, penunggu purba yang tidak pernah tunduk kepada manusia dan hari itu diberi tanda hormat. Dengan tangan bergetar dan suara bergetar, beliau menyuapkan darah itu ke dalam mulut buaya. Buaya putih itu menyambutnya tanpa menggigit, seolah-olah memahami makna perdamaian.

Sebaik sahaja perjanjian itu dimeterai, malam itu, sungai menjadi tenang, setenang wajah nenek menerima perkhabaran tentang babak. Orang kampung kami hidup bersahabat dengan air, dengan buaya, dengan dunia yang tidak kelihatan. Setiap tahun, semasa bulan penuh yang pertama selepas Gawai, kami akan menebar nasi kunyit di sungai, sebagai tanda mengingati perjanjian. Kepala kampung kata, selama kita tidak lupa, kita akan selamat.

Sejak kecil saya percaya sungai bukan musuh, buaya bukan pemangsa. Walaupun saya pernah terdengar cerita, ibu saya hilang di sungai kerana dibaham buaya. Saya tidak tahu kisahnya. Tetapi nenek kata, buaya tersalah baham. Jadi, orang-orang kampung memaafkan buaya.

Kami hidup bersama-sama, saling menghormati, saling memahami tanpa perlu bercakap. Sungai adalah darah yang mengalirkan hidup kami. Daripada air itulah kami mandi dan menangkap ikan. Semuanya berlangsung dengan aman. Semuanya tenang. Sehingga semalam.

Ya, semalam, babak saya dibaham buaya.

Saya tidak pasti bagaimana harus diceritakan kejadian itu. Ia terlalu cepat, secepat saya menghembuskan nafas. Pagi itu, saya nampak babak di tepi sungai, meninjau bubu yang dipasang awal pagi sebelum matahari muncul. Ada lima buah bubu. Saya baru selesai menjemur ikan salai di atas para belakang rumah.

Bunyi percikan yang kuat tiba-tiba memecah keheningan pagi. Percikan itu bukan seperti ikan melompat, bukan juga daripada hentaman jala babak. Bunyi percikannya seperti air yang dipukul makhluk besar. Saya berlari ke tebing dan apa yang saya nampak hanya air yang bergelora, sebentar, sebelum riak-riaknya hilang dibawa arus sungai.

Babak saya dibaham buaya. Tetapi, warna sungai tetap keruh. Di mana tubuh babak? Tidak berdarahkah tubuh babak ditembusi gigi-gigi haiwan itu? Atau ditelan tubuh babak tanpa meninggalkan secebis sisa?

Saya berdiri di tebing. Saya memanggil-manggil babak. Tiada suara babak seperti hari-hari sebelumnya. Biasanya babak akan muncul sebaik sahaja saya memanggilnya. Namun, pada pagi itu, tiada sahutan daripada babak. Tubuh babak juga tiada. Hanya sehelai tuala berwarna pelangi, berpusing-pusing perlahan dibawa arus.

Saya masih di tebing. Menunggu sesuatu timbul dari dasar sungai. Mungkin menunggu tubuh babak, tubuh yang masih bernyawa atau tidak bernyawa. Petanda kehidupan. Atau, apa-apa sahaja tentang babak. Tapi tiada. Saya berlari ke rumah dengan tangan kosong, dengan dada yang berat seperti disumbat batu.

Nenek hanya pandang saya sebentar sebelum mengalihkan mata. Tiada soalan. Tiada reaksi. Seolah-olah semuanya telah berlaku dalam dunia yang asing dari kita. Dia duduk di lantai, menyisir rambutnya perlahan-lahan, seperti orang yang sedang menunggu sesuatu yang tidak akan kembali.

Saya masih berharap babak akan muncul, hidup dan terselamat. Mungkin kerana saya belum percaya. Atau kerana saya tidak pasti harus percaya tentang apa, tentang perjanjian dengan buaya atau tentang cerita nenek. Saya membesar dengan cerita tentang perjanjian itu, cerita yang terlalu lama, terlalu kabur, selalu digunakan untuk menutup ketakutan. Tetapi semalam, kepercayaan itu terkoyak seperti perahu bocor. Dan saya masih terapung di dalam air yang tak memberi jawapan.

Tiada siapa bercakap tentang kejadian itu hari ini. Orang kampung seolah-olah mengelak mata saya. Mereka lalu di tepi rumah dengan cepat, seolah-olah takut tertular kesialan akibat mempersoalkan perjanjian itu. Mereka tetap turun ke sungai, tetap mencuci, tetap menangkap ikan. Seolah-olah babak saya tidak pernah wujud. Atau lebih tepat, seolah-olah buaya tidak pernah menuntut nyawa manusia.

***

Saya kembali ke sungai petang itu setelah dua puluh dua tahun. Tempat ini seperti luka yang tidak pernah benar-benar sembuh, ia berdenyut apabila disentuh ingatan. Saya berdiri di tempat terakhir babak saya dilihat. Di sini, sejarah saya gugur, senyap dan perlahan seperti daun yang jatuh ke permukaan air. Sungai masih seperti sediakala, tidak terlalu lebar, tidak terlalu sempit, tetapi cukup untuk menyimpan rahsia.

Airnya mengalir perlahan, seolah-olah terlalu berhati-hati untuk tidak mengganggu masa lalu yang telah hanyut bersamanya. Permukaan sungai itu memantulkan cahaya matahari yang terang menyuluh kesedihan. Cahaya itu menyilaukan, seperti sinar yang tidak tahu cara bersimpati, atau mungkin terlalu jujur untuk menyembunyikan apa-apa. Saya tunduk, dan di bawah pantulan langit yang koyak itu, saya bayangkan ada mata sedang memerhati dari dalam. Mata yang tidak saya kenal, tetapi terasa begitu dekat. Tidak tahu sama ada dengan dendam, atau dengan penghakiman.

Airnya tenang, tetapi saya tahu, yang tenang itu tidak semestinya aman. Ada sesuatu di bawah sana, sesuatu yang mengubah secara total hidup saya. Saya terdengar suara air, dan saya juga terdengar jeritan lama yang terperangkap antara tebing dan akar pokok. Dulu, sungai ini jadi saksi kepada sesuatu yang tidak sempat diadili. Mungkin saya yang lari, atau mungkin dunia yang memilih untuk menutup mata. Yang pasti, hanya sungai ini menjadi saksi dan mengingati segalanya.

Saya cuba bercakap, tapi suara saya ditelan oleh desir angin dan bunyi serangga yang entah datang dari mana. Kata-kata saya patah sebelum sempat menjadi doa. Di hujung sana, bayangan saya terpantul, pecah-pecah, bukan kerana air berombak, tetapi kerana saya sendiri tidak pasti, siapa saya yang kembali ini. Adakah saya masih orang yang sama seperti yang pernah pergi? Atau saya sekadar jasad yang kembali tanpa roh yang pernah tertinggal di sini?

Saya tertanya-tanya jika perjanjian itu benar dan siapa yang mungkir? Buayakah atau manusiakah? Mungkin kami. Mungkin seluruh kampung.

Atau mungkin memang tiada apa-apa perjanjian sejak awal. Mungkin itu hanya cara nenek menenangkan kami daripada rasa takut untuk memberi makna kepada sesuatu yang tidak mahu dijelaskan.

Tetapi, kenapa babak yang dibaham?  Seperti semua kepercayaan lain, ia hidup kerana kami takut kepada kekosongan.

Kini, kekosongan itu datang sendiri, kekosongan berupa sungai yang menelan babak dan ibu, dan sungai itu membisu setelah kenyang. Seperti orang-orang kampung dibisukan oleh perjanjian palsu.

Dan saya berdiri di sini, tidak lagi tahu siapa yang harus dipercayai. Sungai? Nenek? Atau diri saya sendiri yang perlahan-lahan belajar bahawa tidak semua perjanjian mampu menyelamatkan manusia daripada menjadi makanan pemangsa.

# #bidayuh# #kearifantempatan
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#cerpendbp (12) #cerpenkehidupan (6) #dbpselatan (17) #karyasastera (27) #kedah (3) #komsas (3) #penulis (8) #penulisbaharu (30) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (4) #puisijawi (7) #puisimoden (23) #sasteramelayu (9) #sasteramoden (3) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (12) abuyon (4) adie abd gani (4) anak (3) bengkel (2) cerpen (13) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (27) dbpsarawak (3) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (5) Esei (4) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (6) palestin (3) penulis sarawak (13) puisi (33) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (12) Puisi Tradisional (3) rindu (3) sajak (11) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (3) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Katupat Lapas: Kearifan Tempatan dalam Gastronomi Etnik Brunei Sarawak
Kearifan Tempatan

Katupat Lapas: Kearifan Tempatan dalam Gastronomi Etnik Brunei Sarawak

  • 21 April 2024
  • 304
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP