KE mana-mana saja dia pergi, seakan-akan ada pandangan tajam dan sinis yang tidak lepas menikam susuk tubuhnya. Mata mereka meliar dari hujung rambut hingga ke hujung kaki, kemudian terhenti pada tengah-tengah dadanya.
Aira menunduk, merenung butang baju kurung yang elok dikancing kemas. Dalam sehari, sudah beberapa kali dia meraba-raba butang itu untuk memastikan bahawa dia tidak menjadi sasaran guru dan rakan sekelasnya. Tatapan-tatapan itu tidak ubah seperti lensa kamera Cikgu Mardihah yang galak merakam Aira tempoh hari. Tindakan guru itu tidak ubah seperti memaparkan dirinya di kaca televisyen sambil diperhatikan seluruh negara.
Ya, kini netizen sedang bercakap-cakap tentang butang baju Aira yang tidak dikancing kemas dalam ruangan komen video Tiktok tersebut. “Kecil-kecil lagi sudah berani dedah aurat melampau,” kata mereka.
Kolam air mata Aira sudah bergenang, sikit masa lagi mahu pecah di tengah-tengah kawasan kantin yang padat itu. Niatnya mahu beratur membeli makanan sudah terbantut apabila ada sekumpulan pelajar lelaki darjah lima sedang melemparkan sengihan mengejek lalu mentertawakannya.
Aira berpatah balik dengan wajah yang merah padam. Tubuh genit itu merempuh lautan manusia yang enggan memberi ruang untuk dia bernafas. Dia terus membuka langkah seribu menuju ke tandas yang berada tidak jauh dari situ.
Daun pintu ditutup rapat. Aira bersandar pada dinding lalu menghamburkan tangisan sepuas hati. Dia rebah perlahan-lahan, duduk berteleku tanpa mempedulikan hujung kain kurungnya yang sudah hitam dibasahi lantai yang kotor dan berbau itu. Lengan kurung ditadah pada kelopak mata hingga basah lencun. Hal yang berlaku pada beberapa hari yang lalu masih segar dalam ingatan kanak-kanak berusia 10 tahun itu, kesilapan kecil tersebut mampu mengubah persepsi masyarakat terhadapnya.
***
Kelas sukan baru sahaja tamat. Terik mentari mengerah keringat di dahi hingga membasahi wajah. Aira berjalan melenggang di koridor sambil mengibas baju sukannya agar dapat melegakan kehangatan yang menjalar di leher. Air di dalam botol merah jambu bercorak Kuromi sudah tinggal separuh. Kanak-kanak itu bercadang mahu singgah di kantin untuk membeli sebungkus air milo ais ikat tepi. Namun, apabila terkenangkan amarah Cikgu Mardihah yang cukup pantang dengan sikap pelajar yang tidak menepati masa untuk masuk ke kelasnya, Aira mematikan hasrat tersebut.
Daun pintu kelas ditolak dengan perlahan. Baru sahaja dia menapak beberapa langkah, tiba-tiba suara Cikgu Mardihah memetir hingga mengakibatkan seisi kelas menjadi sunyi sepi. Hanya bunyi kipas dan suara bisik-bisik yang kedengaran. Kamera telefon guru itu laju ditujukan betul-betul pada susuk tubuh Aira yang sedang terbejat kaku.
“Aira, kamu tidak malu dengan rakan sekelas kamu yang lain? Kenapa kamu biarkan aurat kamu terdedah begitu? Sengaja ingin mencari perhatian?”
Anak kecil itu menunduk. Wajahnya merah padam apabila mendapati bahawa butang baju sukannya tidak dikancing kemas hingga mendedahkan sebahagian kulit dadanya. Dia mengangkat wajah, takut-takut. Ditenung wajah Cikgu Mardihah dengan terpinga-pinga, seakan menagih simpati. Mungkin silapnya juga kerana terlalu tergesa-gesa menukar seragam tadi hingga tidak menyedari kesilapan itu. Malangnya, sudah terlambat. Cikgu Mardihah sudah membebel-bebel di depan skrin telefon sambil mencalitkan alat solek pada wajah.
“Haih, kalian nampak apa yang saya tunjukkan tadi? Beginilah cabaran mendidik kanak-kanak zaman sekarang. Umur baru nak tumbuh gigi tapi sudah berani menunjukkan belang. Tidak lain tidak bukan, pasti terikut-ikut dengan fesyen pempengaruh barat di media sosial. Inilah akibatnya apabila kita biarkan anak-anak kita terlalu asyik menatap telefon pintar. Pening kepala saya. Ha, Aira! Tercegat apa lagi? Pergi ke tandas dan betulkan penampilan kamu sekarang! Saya tak nak tengok kamu berpakaian tidak kemas begitu!”
Aira pun memecut keluar meninggalkan kelas sambil diejek rakan sekelasnya. Muka ditundukkan memandang kaki sendiri yang berlari tidak tentu arah. Begitu sahaja, tidak sampai 24 jam, ada warga siber yang merakam siaran langsung yang ditayangkan Cikgu Mardihah tadi lalu ditularkan di aplikasi Tiktok dan Threads. Tepat pada saat ke-23, wajah Aira terpampang jelas dalam rakaman itu, sekali gus menjadikan dia mangsa cemuhan warga siber di media sosial.
Kerisauan tersebut telah disampaikan kepada Cikgu Ainin, guru kelasnya tetapi dibalas dengan nada sinis.
“Siapa yang mulakan, Aira? Siapa yang melanggar peraturan sekolah dan tidak mematuhi etika berpakaian di sekolah? Kalau kamu bersikap patuh, Cikgu Mardihah tidak akan bertindak sedemikian rupa. Niatnya hanya ingin menegur kamu dan dia pun tidak menyangka bahawa rakaman siaran langsungnya akan tular. Saya faham, caranya agar kasar, tapi saya berharap isu ini akan menjadi pengajaran besar kepada awak, faham?”
Kanak-kanak itu bungkam. Dia mengangkat muka, memandang Cikgu Ainin dengan penuh rasa tidak percaya. Hatinya seperti direntap kasar. Seluruh tubuh Aira sudah menggeletar hebat, menahan rasa sedih dan amarah yang bergumpal di dalam hati.
Mahu sahaja dia mengamuk, namun apabila memandang wajah Cikgu Ainin yang seperti mahu membahamnya, rasa gerun mula timbul hingga menaikkan bulu roma. Aira hanya membatu sambil menahan diri. Setelah diceramah oleh guru itu tentang peraturan sekolah, dia pulang ke kelas dengan hati yang kecewa.
***
Gigi terketap kuat hingga rahangnya meregang. Penumbuk dikepal hingga terketar-ketar. Wajah Cikgu Suhaila berubah serius sebaik sahaja dia melangkah masuk ke bilik guru. Hampir semua guru di situ sedang bercakap-cakap tentang video salah seorang anak murid mereka yang tular. Namun, tiada seorang pun yang menyebelahi kanak-kanak yang tidak bersalah itu. Cikgu Mardihah seakan-akan tidak terkesan dengan apa yang berlaku atas perbuatannya sendiri.
Dalam keserabutan menanda kertas ujian, dia sempat mencuri masa bersolek di depan kamera, membuat siaran langsung di Tiktok sambil bergurau senda dengan pengikutnya, malah, bergerak dari meja ke meja untuk merakam tindak-tanduk guru yang lain. Tiada yang menghalau guru itu, malah, lebih teruja apabila wajah masing-masing muncul dalam akaunnya yang memiliki beribu-ribu pengikut. Suara Cikgu Mardihah yang sengaja dilenggok-lenggokkan begitu menyakitkan hati. Pada saat kamera wanita itu ditujukan kepada wajah Cikgu Suhaila, dia hanya mengabaikan, menatap serius pada skrin komputer sambil menunjukkan isyarat menghalau. Cikgu Mardihah mendengus kasar lalu beredar.
Dalam mereka tidak sedar, Cikgu Suhaila baharu sahaja membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Laporan itu ditangkap layar lalu dimuat naik dalam akaun Threads miliknya. Boleh dikatakan jumlah pengikut Cikgu Suhaila mencecah ratusan ribu disebabkan kerajinannya berkongsi tentang hala tuju menjadi seorang guru serta tips-tips mendidik anak muda di akaun tersebut.
“Petang semalam, saya pulang dari sekolah dalam keadaan penat fizikal dan mental. Saya melayari aplikasi Tiktok dengan harapan dapat melepaskan lelah dengan menonton video kucing-kucing comel. Namun, penularan video seorang kanak-kanak sekolah begitu mengejutkan saya. Tahukah anda, di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak, jika anda menyebarkan video kanak-kanak bawah umur dengan sewenang-wenangnya, malah, tindakan anda itu pula mengundang cemuhan warga siber di luar sana, anda mungkin akan dikenakan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM 10,000 atau kedua-duanya sekali? Betapa beratnya hukuman ini membuktikan betapa beratnya ujian yang dihadapi kanak-kanak itu sekarang. Beginikah cara generasi kita menegur kesilapan anak-anak kita? Kita tidak memiliki akal budikah? Adakah tujuan kita dilahirkan hanya berpaksikan media sosial semata-mata sehingga hilangnya simpati dan empati kita terhadap kanak-kanak? Apa yang paling mengejutkan, video itu hadir dari akaun Tiktok seorang guru yang sepatutnya melindungi kanak-kanak daripada ancaman luar! Jika anda masih memiliki akal budi, marilah laporkan video tersebut beramai-ramai sehinggalah pelakunya menerima hukuman yang setimpal.
Butang “hantar” diketik. Tidak sampai beberapa jam, hantarannya telah tular dan menerima bermacam-macam reaksi daripada orang ramai. Ada yang memuji keberanian Cikgu Suhaila menyahut seruannya untuk melaporkan video tersebut, malah menzahirkan rasa simpati terhadap nasib malang Aira. Tidak kurang juga yang mengecam hantaran tersebut serta memberikan bermacam-macam alasan untuk menyokong tindakan Cikgu Mardihah itu. Namun, Cikgu Suhaila sudah tidak peduli. Jika dia tidak bertindak, maka, tiada sesiapa yang akan membela nasib Aira. Kanak-kanak sepatutnya ditegur dengan cara berhemah, bukannya dimalukan sedemikian rupa.
Tepat jam 10.00 pagi, dia melangkah masuk ke kelas Tiga Bestari. Dia memandang setiap seorang anak muridnya dan mendapati bahawa Aira tiada di tempat duduknya. Setelah ditanya rakan sekelas Aira, salah seorang daripada mereka memaklumkan bahawa dia ternampak anak kecil itu masuk ke dalam tandas pada waktu rehat tadi.
Tanpa berlengah, Cikgu Suhaila mengarahkan ketua kelas untuk memantau seisi kelas sementara dia berlari-lari mendapatkan Aira yang sedang murung seorang diri di dalam tandas.
Aira didakap dan diberikan kata-kata semangat untuk meraih sepenuh kepercayaannya. Setelah puas dipujuk, dia akhirnya bersetuju untuk membantunya membuat laporan di balai polis selepas tamat sesi persekolahan nanti.
Hari berganti hari, minggu berganti minggu. Akhirnya, Cikgu Mardihah disoal siasat pihak polis dan bakal dikenakan hukuman yang berat. Berminggu lamanya guru itu tidak memunculkan diri. Kelasnya juga bakal digantikan dengan guru baharu yang lebih bertanggungjawab. Tindakan Cikgu Mardihah dikritik warga siber bertubi-tubi hingga menjadi topik perbualan hangat di bilik guru.
Pagi itu, Cikgu Suhaila menarik nafas lega. Senyumannya lebar hingga ke telinga. Puas hati wanita itu apabila akhirnya buku pun bertemu dengan ruas. Kini, Aira menghadiri sesi kaunseling pada setiap minggu untuk memulihkan semula kesan emosinya. Bengkel kesedaran tentang etika mengajar di dalam bilik darjah juga sudah mula rancak dijalankan dalam kalangan guru, baik di sekolah ini mahupun di sekolah lain agar semua guru dapat mengambil iktibar daripada perbuatan yang dilakukan oleh Cikgu Mardihah. Sekurang-kurangnya, ada yang memahami bahawa kanak-kanak juga memiliki hati dan perasaan seperti orang dewasa. Mereka seharusnya diberikan perlindungan, bukannya didedahkan kepada warga siber di media sosial dengan sewenang-wenangnya.
