Skip to content
Sahaya Pekerja Gig
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Lentera Kreatif > Cerpen > Sahaya Pekerja Gig
Sahaya Pekerja Gig
Cerpen

Sahaya Pekerja Gig

  • MOHAMAD HANAFI
  • 7 Oktober 2026
  • DBP Wilayah Timur
  • 37
  • 5

LAMA juga Sahaya berfikir. Wajarkah dia kongsi cerita ini? Adakah pendengar cerita akan menganggapnya penglipur lara? Peristiwa itu berlaku pada hari cuti merdeka, Hari Kebangsaan. Awal dini hari, setepatnya dua jam sebelum subuh, Sahaya sudah memanaskan enjin kereta. Tujuannya satu. Sahaya ingin mencari seringgit dua sebagai punca pendapatan. Sejak pulang ke kampung tiga tahun lalu, dia tidak berkerja di pejabat berpendingin hawa. Sahaya tidak lagi masuk pejabat seawal jam sembilan pagi. Sahaya tidak lagi ada kad rekod masuk keluar pejabat. Sahaya tidak lagi perlu bersesak-sesak menghadapi macet kota raya besar. 

Peluang kerja di bandar kecil berdekatan dengan kampungnya amat terhad. Maksud Sahaya, kerjaya yang sesuai dengan pengalamannya di ibu kota. Tujuh tahun di ibu kota, dia terlibat dengan kerja di pusat data. Bandar di ibu negeri kelahiran Sahaya tiada pusat data. Malah pemain industri bidang teknologi tidak banyak. Sahaya lebih rela korbankan perkembangan kerjaya demi anak-anak. Kerja dengan gaji besar, tetapi berjauhan dengan anak-anak sangat memeritkan. Wang yang banyak boleh dicari, tetapi wang tidak boleh membeli bahagia. Wang tidak boleh menghilangkan letih isteri menguruskan anak-anak sendirian. Betapa Sahaya rasa terkilan apabila anak kecilnya berkata, “Abah, cikgu tanya kenapa abah tidak hadir program sekolah? Ayah kawan-kawan adik datang semua.”

Sahaya memilih kerja ini kerana keanjalan waktu. Jadual kerja Sahaya fleksibel. Sahaya boleh atur masa untuk berehat dan menguruskan logistik anak di sekolah. Urusan pergi balik sekolah menggunakan kenderaan sendiri. Perkhidmatan bas sekolah tidak bertahan lama. Seingat Sahaya, hanya satu tahun. Rata-rata ibu bapa berhenti memilih bas sekolah lebih-lebih lagi selepas kos diesel meningkat. Sahaya juga bebas menghantar anak-anak ke klinik atau menyertai program sekolah mereka tanpa memohon cuti. 

Kerja ini, menurut lelucon lingkungan Sahaya, disebut ‘gerakan’, tidak bergerak tidak makan. ‘Gerakan’ dalam akronim mereka ialah gabungan gerak dan makan. Sahaya dan rakan-rakan seangkatan hanya dibayar mengikut kerja yang selesai. Tiada istilah makan gaji bulanan dalam kamus hidup mereka.

Oleh sebab perantara kerja mereka berupa aplikasi dalam telefon pintar, maka jumlah bayaran pelanggan dikongsi. Mereka dapat 80 peratus, 20 peratus lagi sebagai komisen penyedia platform. Demikianlah struktur upah kebanyakan pekerja gig. 

Sakit demam Sahaya, dia yang urus sendiri. Jika demam ringan, Sahaya gagahkan jua berkerja. Sijil sakit sudah tiada nilai seperti kerja pejabat. Sahaya mencarum sendiri bagi memperoleh faedah keselamatan pekerjaan menggunakan Skim Orang Bekerja Sendiri. Syukurlah, bagi Sahaya kadarnya tidak membebankan. Namun, sebahagian daripada kawan-kawan Sahaya menganggap nilainya tinggi. Ramai dalam kalangan mereka tidak mencarumnya. Jika berlaku kemalangan, sudah pasti tiada sebarang pampasan yang boleh dituntut. 

Sahaya sampai di stesen bas tiga puluh minit sebelum subuh. Dia hanya buat kerja ‘gila’ ini pada waktu cuti sekolah. Jika anaknya bersekolah, dia akan memulakan kerja selepas menghantar mereka ke sekolah. Dia set mod offline. Hal ini kerana dia mahu memastikan dirinya tidak menerima tempahan perjalanan sebelum menunaikan solat fardu Subuh. Pelanggan di stesen bas ini biasanya memilih destinasi jauh. Bagi mereka, harga tambang lebih berbaloi berbanding dengan menaiki teksi biasa. Mereka juga memilih perkhidmatan ini kerana kiraan tambang dikira berdasarkan trip, bukan perkepala. Pelanggan yang mahu penjimatan optimum akan menempah secara berkumpulan. 

Hal-hal kecil seperti ini jadi besar dalam minda orang seperti Sahaya dan pemandu teksi konvensional. Ada sahaja perang mulut berlaku, malah hampir tercetus pergaduhan. Sahaya sekerap mungkin menjarakkan diri daripada kumpulan pemandu teksi. Dia biasanya berhenti di sudut terlindung, sekira-kira tidak dapat dilihat oleh ahli Persatuan Pemandu Teksi Bandar. Dia tidak mahu menimbulkan konflik. Sahaya sedar, orang sepertinya dianggap sebagai menabur pasir dalam periuk orang lain. Apakan daya? Sahaya tidak ada pilihan lain. Sudah banyak kali Sahaya memohon kerja lain, tetapi alasannya mengecewakan. Antaranya, pengalaman tidak sesuai, kami kasihan kerana tidak mampu tawar gaji mahal. Ada juga yang memberi alasan lebih had umur. 

Usai urusan di masjid, dia mengaktifkan aplikasi I-Trip di telefon. Sahaya terima satu pesanan perjalanan. Jarak perjalanan satu jam. Pelanggan tersebut memulakan perbualan dalam ruang sembang, “Tuan, kami mahu tuan membawa kotak. Kotak itu ada di dalam bas ekspress AB. Sila berurusan dengan pemandunya.”

Sahaya menterjemahkan perbualan mereka kerana pelanggan menggunakan bahasa Inggeris. 

“Mengapa tidak guna khidmat penghantaran bungkusan biasa?” Sahaya ingin tahu lebih lanjut. 

“Barang dipesan mendadak dan kami tidak sempat urus ikut cara biasa. Lagipun, barang perlu sampai segera atau kami hilang peluang perniagaan,” balas pelanggan itu. 

“Adakah barang itu dalam kategori terlarang?” Sahaya sengaja menebak niat pelanggannya. Dia curiga. 

“Oh, tidak! Barangan industri kegunaan pengilang sahaja.” Jawab pelanggan, sesungguhnya. 

“Patutlah alamat penghantaran ini dalam kawasan perindustrian,” tulis Sahaya. 

“Oleh sebab kotak tersebut lebih daripada satu, kami ingin menambah wang sebagai caj tambahan. Tiada sesiapa akan naik sebagai penumpang.”

Sahaya melihat harga caj tambahan. Wau! Kadarnya melebihi 20 peratus komisen yang dipotong oleh penyedia platform. Cukup bagi mengisi petrol balik semula. Biasanya, perjalanan balik sudah pasti kosong. Tiada jaminan mendapat pelanggan baharu di tempat barang dihantar. Sahaya membalas, “Setuju.” 

“Kami memerlukan nombor akaun, nama pemilik akaun dan nama bank,” tulis pelanggan itu lagi. 

Sahaya memberikan nombor akaun, nama bank dan nama penuhnya.

Lima minit kemudian, pelanggan memaklumkan Sahaya, “Kami sudah membuat pindahan wang. Sila semak baki akaun.” 

Sahaya tidak terus mengikut arahannya. Hal ini kerana dia tidak menerima notifikasi e-mel daripada pihak bank. Sahaya tunggu kalau-kalau ada e-mel pemberitahuan. Sahaya boleh saja log masuk ke portal perbankan Internet, tetapi dia mendapat ilham untuk berhati-hati. Sahaya turun dari kereta. Sahaya berjalan ke mesin juruwang automatik bank berkenaan. Jaraknya 300 meter. Sambil berjalan, dia mencuri lihat skrin telefon. 

Sahaya menyemak baki wang dalam akaunnya. Sahaya membuka ruang sembang dan menaip mesej, “Maaf, wang tidak diterima.”

Tiba-tiba dia nampak ada navigasi ke layar lain dalam telefon. Seolah-olah dia sendiri sedang membuka paparan aplikasi-aplikasi tersebut. Sahaya cuba mengalihkannya. Paparan skrin beralih lagi tanpa Sahaya meleret ke kiri atau ke kanan. Dia tekan butang untuk mematikan telefon tetapi dibatalkan. Sahaya cuba lagi, dipintas lagi. Sahaya cuba lagi, dibatalkan lagi. Sahaya cuba lagi dan kali ini berjaya. 

Sahaya mengesat peluh dingin di dahi. Dadanya berdebar-debar. Sahaya gementar. Adakah dia sedang dikawal dari jauh? Adakah pelanggan itu berjaya merampas kawalan telefon pintarnya?

Sahaya tidak jadi meneruskan pekerjaan. Sahaya terus balik dan menghidupkan semula telefon selepas makan tengah hari. Sahaya memadam cache dalam pelayar Internet. Sahaya padam data aplikasi I-Trip. Sahaya memadam dan memasang semula aplikasi I-Trip yang baharu. Sahaya fikir, kalaulah aplikasi tempahan perjalanan yang kecil ini boleh digodam, apakah mustahil sebuah kapal terbang boleh dirampas ketika di udara? Seperti yang Sahaya kata, dia tidak berkongsi cerita ini dengan rakan seangkatan. Sahaya bimbang cerita ini menjadi bahan ketawa. Mereka akan ketawa seperti mendengar cerita ada manggis dalam kapal terbang yang hilang lama dahulu.

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#baimbad (3) #cerpendbp (14) #cerpenkehidupan (8) #dbpselatan (17) #karyasastera (32) #kedah (4) #komsas (3) #penulis (9) #penulisbaharu (35) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (5) #puisijawi (7) #puisimoden (25) #sasteramelayu (11) #sasteramoden (4) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (16) abuyon (5) adie abd gani (6) anak (3) bahasa (3) cerpen (17) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (31) dbpsarawak (4) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (6) Esei (5) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (7) palestin (3) penulis sarawak (16) puisi (35) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (13) rindu (3) sajak (12) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (4) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Latu Purnama
Puisi

Latu Purnama

  • 5 Februari 2024
  • 65
  • 2
Malam Tanpa Cahaya
Puisi

Malam Tanpa Cahaya

  • 10 Ogos 2023
  • 150
  • 4.4
Pejuang
Cerpen

Pejuang

  • 5 Februari 2025
  • 147
  • 4.7
Menggali Kekayaan Bahasa: Menelusuri Bentuk Kata Tunggal, Terbitan, Majmuk, dan Ganda dalam Tatabahasa Melayu
Bicara Bahasa

Menggali Kekayaan Bahasa: Menelusuri Bentuk Kata Tunggal, Terbitan, Majmuk, dan Ganda dalam Tatabahasa Melayu

  • 5 September 2025
  • 457
  • 5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP