“SAYA buka perniagaan, mak,” ujar Diyana sambil menguntum senyuman.
“Berniaga?”
Nada suara yang tiba-tiba meninggi itu membuatkan kening Diyana sedikit terangkat. Dia menatap wajah wanita yang hampir mencecah usia enam puluh lima tahun itu dengan tenang.
“Kamu mahu berniaga apa?” soal Lumis lagi. Pandangannya tajam menusuk. Sedikit pun Lumis tidak menaruh keyakinan terhadap menantunya, atau lebih tepat lagi, bekas menantunya. Anak lelaki tunggalnya, suami Diyana, telah lama kembali ke rahmatullah.
Sepanjang hidup bersama arwah, Diyana hanyalah seorang suri rumah sepenuh masa. Tidak pernah sekali pun dia menguruskan perniagaan sendiri. Kini, tiba-tiba pula dia mahu berniaga!
“Perniagaan apa yang kamu pandai urus? Kamu ingat berniaga itu semudah menanam kangkung di belakang rumah?”
Diyana menarik nafas perlahan. Kedatangannya ke rumah ibu mentuanya pada petang itu sebab ingin menyampaikan jemputan sempena pembukaan perniagaan yang bakal diusahakannya beberapa hari lagi.
“Mak …”
Belum sempat Diyana meneruskan kata-kata, Lumis pantas memotong.
“Fikir panjang dulu sebelum buat keputusan.”
Sejak dahulu lagi, sejak dia bergelar menantu kepada Lumis, Diyana sudah mengenali sikap wanita itu yang tegas dan sukar bertolak ansur. Bukan mudah untuk melenturkan hatinya. Lebih-lebih lagi kini, setelah Etus tiada, hubungan mereka terasa semakin hambar malah sudah agak renggang.
Bukan Diyana tidak berusaha. Selama ini dia tetap menghormati dan melayani Lumis seperti ibu sendiri. Bukankah ketiga-tiga anaknya, darah daging arwah Etus, menjadi ikatan yang sepatutnya terus menyambung tali kekeluargaan mereka?
“Anak-anak kamu masih kecil. Mereka perlu bersekolah. Duit pampasan yang kamu terima selepas Etus meninggal dunia itu bukan untuk dibelanjakan sesuka hati. Perjalanan mereka masih jauh.” Lumis terus berleter panjang lebar. Setiap patah kata yang diucapkan bagaikan menikam hati Diyana, namun dia hanya mampu menadah telinga. Dia datang dengan niat yang baik, bukan untuk bertegang leher.
“Mak, saya tahu. Duit anak-anak sudah saya simpan dalam akaun berasingan dan tidak pernah saya usik. Modal untuk memulakan perniagaan ini ialah hasil simpanan saya daripada menjual kerepek dan sayur-sayuran, ditambah sedikit wang pampasan arwah Abang Etus.” Suara Diyana tenang, dia tidak mahu ibu mentuanya terus dibelenggu prasangka atau menyangka dirinya menggunakan hak anak-anak demi kepentingan sendiri.
Lumis mengerutkan dahi. “Jadi, sebenarnya kamu mahu buka perniagaan apa?” Nada suaranya semakin meninggi.
“Saya buka salun, mak.” Sejenak suasana menjadi sunyi. Kemudian …
“Apa?” Suara Lumis meledak. “Kamu sudah hilang akal agaknya!”
“Mak ….”
Lumis mendengus kasar. Dadanya turun naik menahan amarah. Matanya terbeliak memandang Diyana. Andai kemarahannya dibiarkan menguasai diri, mahu sahaja disimbahnya secawan kopi panas yang berada di hadapannya ke wajah bekas menantunya itu.
“Saya sudah uruskan semuanya, mak. Tidak lama lagi salun itu akan mula beroperasi.” Walaupun hatinya terusik dengan sambutan dingin itu, rasa hormat Diyana terhadap ibu mentuanya tidak pernah luntur.
“Sesuka hati kamu, ya? Langsung tak ajak saya berbincang!” Suara Lumis kian meninggi. “Kamu sedar tak? Duit yang kamu gunakan itu datang daripada kematian anak saya!”
Diyana terpaku. Kata-kata itu bagaikan sembilu yang menghiris jauh ke dasar hatinya. Degup jantungnya mulai kencang, sementara tubir matanya mula dipenuhi air mata yang ditahan daripada gugur. Lupakah Lumis bahawa sebahagian wang pampasan itu telah diserahkannya sendiri kepada wanita itu sebagai tanda hormat, kasih dan tanggungjawab terhadap keluarga suaminya?
“Saya yang mengandungkan, melahirkan dan membesarkan Etus dengan penuh susah payah. Sepatutnya saya yang berhak menerima semua wang pampasan itu, bukannya kamu!”
“Mak ….”
“Jangan buat malu keluarga. Kamu sanggup buka salun menggunakan duit hasil titik peluh anak saya!”
Kepala Diyana tertunduk lalu mengusap air mata di pipinya. Suaranya tenggelam dalam sebak, seolah-olah tersekat di kerongkong. Kata-kata kasar itu menghiris hatinya sedalam-dalamnya. Dia sama sekali tidak menyangka ibu mentuanya sanggup melontarkan kata-kata setajam itu. Dia menghela nafas perlahan sebelum bersuara. Dia tahu, apapun penjelasannya tidak akan melembutkan hati Lumis.
“Mak … apa salahnya saya membuka salun?”
“Membazir! Banyak lagi perniagaan yang boleh kamu usahakan. Kenapa mesti salun? Tempat begitu hanya membuka ruang kepada maksiat!”
“Mak! Kenapa mak cakap begitu? Saya mencari rezeki yang halal, mak. Saya tidak akan melakukan perkara yang bertentangan dengan agama. Saya tahu membezakan antara yang baik dengan yang buruk.”
Buat pertama kalinya, Diyana memberanikan diri mempertahankan maruahnya. Suaranya masih lembut, namun kali ini sarat dengan ketegasan. Dia sedar, jika terus berdiam diri, segala prasangka terhadap dirinya akan terus berakar. Kata-kata Lumis meremukkan maruah dan harga dirinya sebagai seorang wanita yang hanya ingin bangkit membina semula kehidupan demi masa depan anak-anak.
Lumis seolah-olah terlupa segala pengorbanan Diyana sepanjang bergelar isteri kepada Etus seakan-akan tidak lagi bererti. Bertahun-tahun dia mengabdikan diri kepada keluarga — mengurus rumah tangga, menyediakan makan minum, membasuh pakaian, membesarkan anak-anak dan memikul segala tanggungjawab sebagai seorang suri rumah tanpa pernah merungut.
Hakikatnya, Diyana bukan wanita yang cetek ilmu atau miskin pengalaman. Sebelum mendirikan rumah tangga, dia telah menamatkan pengajian dalam bidang Diploma Kecantikan dan Kesihatan di Universiti Geomatika Malaysia. Malah, selama beberapa tahun dia pernah mengurus sebuah salun kecantikan milik kakak kandungnya di pusat bandar. Semua ilmu dan pengalaman itu tidak pernah hilang. Hanya impiannya terpaksa diketepikan apabila dia memilih untuk mengutamakan rumah tangga dan membesarkan anak-anak bersama Etus.
Baginya, salun itu bakal menjadi sebuah pusat kecantikan dan penjagaan kulit yang menawarkan pelbagai rawatan profesional menggunakan peralatan moden serta produk berkualiti tinggi yang telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Lebih daripada itu, salun tersebut melambangkan harapan untuk membina semula kehidupan, berdikari dan menjamin masa depan anak-anaknya. Barangkali Lumis tidak pernah benar-benar memahami betapa beratnya beban yang terpaksa dipikul Diyana sejak bergelar balu. Pemergian Etus berlaku tanpa sebarang petanda. Terlalu mendadak, sehingga sukar diterima akal.
Ketika menjalankan tugas sebagai Juruteknik Elektrik, Etus terjatuh dari puncak sebuah tiang elektrik. Hentakan kuat di bahagian kepala mengakibatkan kecederaan parah dan pendarahan serius. Dia dikejarkan ke hospital dan bertarung antara hidup dengan mati selama seminggu dalam keadaan koma.
Namun, segala usaha dan doa tidak mampu mengubah takdir. Etus akhirnya menghembuskan nafas terakhir, meninggalkan Diyana bersama-sama tiga orang anak yang masih kecil serta seribu satu impian yang belum sempat mereka kecapi bersama.
Sejak hari itu, Diyana melakukan apa-apa sahaja demi memastikan anak-anaknya tidak pernah terputus makan dan dapat terus bersekolah. Dia menanam pelbagai jenis sayur di sekeliling rumah, membuat kerepek pisang, menghasilkan aiskrim Malaysia, malah sanggup mengambil upah mencuci pinggan mangkuk setiap kali diadakan kenduri atau majlis di rumah penduduk kampung. Tiada pekerjaan yang dianggap remeh baginya. Asalkan halal dan mampu membawa pulang sedikit rezeki, semuanya diterima dengan hati yang reda demi kelangsungan hidup anak-anaknya.
Mengurus segala tuntutan selepas kematian Etus juga bukanlah sesuatu yang mudah. Berbulan-bulan Diyana berulang-alik ke pelbagai jabatan dan agensi bagi menyelesaikan urusan yang sepatutnya. Dengan tiga orang anak yang masih kecil dan belum mengerti apa-apa, dia sedar hanya ada satu bahu yang boleh diharapkan untuk memikul segala beban itu—bahunya sendiri.
Selepas segala urusan tuntutan diselesaikan, Diyana akhirnya menerima wang pampasan PERKESO, sedikit simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) milik arwah suaminya. Baginya, setiap sen merupakan hasil titik peluh Etus sepanjang hayatnya dan amanah yang perlu diurus dengan penuh berhemah demi menjamin masa depan anak-anak mereka.
Namun, tidak lama selepas wang tersebut diterimanya, Lumis datang menuntut agar separuh daripada wang pampasan itu diserahkan kepadanya. Permintaan itu benar-benar mengejutkan Diyana. Sedangkan setiap ringgit wang tersebut telah dirancang dengan teliti untuk menjamin masa depan tiga orang anak yang kini bergantung sepenuhnya kepada dirinya.
Diyana akhirnya mengalah demi mengelakkan perselisihan menjadi lebih buruk dan menjaga hubungan kekeluargaan, dia memenuhi juga permintaan ibu mentuanya itu. Baginya, harta masih boleh dicari, tetapi sebuah perbalahan yang berpanjangan mungkin akan meninggalkan luka yang lebih sukar untuk dipulihkan. Lalu, Diyana membulatkan tekad. Apa-apa pun yang berlaku, dia harus meneruskan impiannya untuk membuka salun kecantikan itu. Terlalu banyak pengorbanan telah dia lalui untuk sampai ke tahap ini, dan dia tidak akan berpatah balik.
“Saya tetap akan meneruskan perancangan ini, mak. Premis sudah tersedia, peralatan sudah lengkap, begitu juga produk yang akan digunakan. Insya-Allah, salun itu akan mula beroperasi pada awal bulan depan.” Diyana terdiam seketika sebelum menyambung dengan suara yang lebih perlahan. “Kalau mak sudi … saya ingin menjemput mak hadir pada majlis perasmiannya. Kehadiran mak sudah cukup besar ertinya buat saya. Saya lakukan semua ini bukan untuk diri saya semata-mata, tetapi demi masa depan saya dan cucu-cucu mak.”
Sebaik sahaja kata-kata itu terluah, Diyana memandang wajah ibu mentuanya dengan penuh harapan. Walaupun peluang untuk dipersetujui kelihatan tipis, jauh di sudut hatinya masih tersisa secubit harapan agar kasih yang pernah terjalin suatu ketika dahulu mampu bertaut kembali.
“Kamu memang sengaja membelakangkan saya. Sejak terima wang pampasan kematian anak saya, kamu sudah besar kepala!” Wanita itu mendengus kasar sebelum menyambung dengan nada yang lebih tajam. “Saya tidak akan sesekali merestui perniagaan kotor seperti itu!”
Kata-kata itu bagaikan sebilah pisau tajam yang menghiris hati Diyana. “Sampai hati mak cakap begitu …”
Suara Diyana bergetar. Air mata yang sejak tadi ditahan akhirnya gugur membasahi pipi. Dia minta diri dengan hati yang remuk. Bukan sahaja salamnya tidak berbalas, malah huluran tangannya juga dibiarkan sepi tanpa sambutan. Diyana hanya mampu memujuk hati. Mungkin beginilah takdir seorang balu—apabila tempat bergantung sudah tiada, hubungan yang selama ini disangka utuh akhirnya mula retak.
***
ENAM bulan salun milik Diyana beroperasi. Dalam tempoh tersebut, perniagaannya semakin berkembang. Setiap hari, pelanggan datang silih berganti untuk mendapatkan rawatan dan perkhidmatan yang ditawarkan. Sedikit demi sedikit, salun itu mula menempa nama dan mendapat kepercayaan masyarakat.
“Kak Diyana, pelanggan kita makin hari makin ramai!” Suara Lorna, pembantu Diyana di salun, jelas kedengaran ceria. Diyana mengukir senyuman syukur.
“Alhamdulillah.”
Namun, di sebalik kejayaan itu, masih ada satu hati yang belum dapat ditawannya. Lumis tidak pernah sekali pun menjejakkan kaki ke salun milik Diyana. Walau begitu, Diyana tidak pernah memutuskan silaturahim. Sesibuk mana pun mengurus perniagaan, dia tetap meluangkan masa sekali atau dua kali setiap bulan untuk membawa anak-anak menziarahi nenek mereka.
Malangnya, setiap kali mereka datang, Lumis lebih rela mengurung diri di dalam bilik daripada menemui mereka. Sikap dingin itu bagaikan tembok yang semakin hari semakin tinggi, memisahkan kasih seorang ibu mentua daripada menantu dan cucu-cucunya.
“Lorna, petang ini kakak keluar awal sedikit. Kakak ada urusan.”
“Baik, Kak Diyana.”
Diyana memandu terus ke Bank Simpanan Nasional untuk mengeluarkan sejumlah wang. Sebahagian wang itu dimasukkan ke dalam sekeping sampul sebelum disimpan kemas di dalam beg tangannya. Setelah itu dia terus pulang untuk menjemput anak-anaknya.
“Mama, kita hendak ke mana?” tanya anak sulungnya sebelum kereta mulai bergerak.
Diyana mengukir senyuman nipis. “Kita hendak melawat nenek, sayang.”
Anak itu mengeluh perlahan. “Alah … ke rumah nenek lagi? Nenek tak mahu jumpa kita, mama.”
“Betul tu mama. Nenek tak suka kita.”
Kata-kata polos daripada anak sulung dan anak keduanya itu meruntun hati Diyana. Tanpa disedarinya, rupa-rupanya anak-anak itu telah menyimpan luka dan kekecewaan dalam diam.
Dia mengusap lembut kepala anak-anaknya.
“Mungkin hari itu nenek kurang sihat atau ada urusan ….”
Walaupun bibirnya mengukir senyuman, jauh di sudut hatinya dia sendiri tidak pasti sama ada kata-kata itu benar-benar untuk memujuk anak-anaknya atau sekadar menenangkan hatinya sendiri. Dia hanya mampu berdoa agar kunjungan kali ini dapat mencairkan sekeping hati yang telah lama membeku.
Sebelum ke rumah Lumis, Diyana mengajak anak-anaknya singgah di sebuah pasar raya. Di situ, dia membeli pelbagai keperluan dapur, termasuk bahan makanan kering dan basah, bagi mengisi semula bekalan di rumah ibu mentuanya.
Baginya, walau setinggi mana pun tembok yang memisahkan hubungan mereka, tanggungjawab sebagai menantu tidak pernah diabaikan. Selagi masih berpeluang berbakti, dia akan terus melakukannya dengan penuh ikhlas.
Setibanya di rumah Lumis, pintu utama terbuka luas seolah-olah menanti kedatangan mereka. Diyana membuka bonet kereta lalu mengeluarkan satu demi satu beg berisi barang-barang yang baru dibeli. Anak-anaknya segera menghulurkan tangan, masing-masing mengangkat beberapa beg plastik untuk dibawa masuk ke dalam rumah.
Sebaik melangkah ke ruang tamu, ketiga-tiga anaknya berhenti seketika. “Assalamualaikum, nenek ….”
Salam mereka bergema memenuhi ruang rumah yang sunyi, namun tiada sahutan. Mereka saling berpandangan sebelum meneruskan langkah menuju ke dapur, dengan harapan nenek berada di situ.
Usai menyusun semua barang, Diyana bersama anak-anak melangkah ke ruang tamu.
“Nenek … kami datang!” laung anak bongsunya, namun laungan itu hanya disambut sepi.
Mereka mengambil tempat duduk sambil berharap seseorang akan muncul dari bilik tidur. Kipas siling berputar perlahan, menghamburkan bayu yang nyaman, namun langsung tidak mampu meredakan keresahan yang bergelora di dada Diyana.
Minit demi minit berlalu. Penantian yang pada awalnya dipenuhi harapan semakin bertukar menjadi kegelisahan. Sudah lebih setengah jam mereka menunggu. Diyana dan ketiga-tiga anaknya acap kali mengalihkan pandangan ke arah pintu bilik, mengharapkan kelibat yang dinanti akhirnya muncul dengan senyuman daripada wanita yang bergelar ibu mentua dan nenek kepada anak-anaknya itu!
