Skip to content
Analisis Perkembangan Plot dan Watak dalam Novel Bilik di Hujung Koridor Karya Amelia Hashim
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
  • Utama
  • Titisan Pena
    • Bicara Bahasa
    • Bicara Sastera
    • Sejarah dan Budaya
    • Tokoh
  • Lentera Kreatif
    • Cerpen
    • Puisi
  • Tinta Jawi
    • Puisi Moden
    • Puisi Tradisional
  • Cuit Minda
  • Lensa
  • Info
    • Manual Pengguna
> Titisan Pena > Bicara Bahasa dan Sastera > Bicara Sastera > Analisis Perkembangan Plot dan Watak dalam Novel Bilik di Hujung Koridor Karya Amelia Hashim
Analisis Perkembangan Plot dan Watak dalam Novel Bilik di Hujung Koridor Karya Amelia Hashim
Bicara Sastera

Analisis Perkembangan Plot dan Watak dalam Novel Bilik di Hujung Koridor Karya Amelia Hashim

  • Batrisyia Napiah
  • 20 Oktober 2026
  • DBP Wilayah Utara
  • 8

Novel remaja karya penulis wanita prolifik Kedah, Amelia Hashim, berjudul Bilik di Hujung Koridor telah diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2024. Buku setebal 245 halaman dengan kulit hadapannya yang menampakkan ciri-ciri seram, tentulah menjadi daya tarikan kepada pembaca. Saya sebenarnya tidak kisah dengan semua hal itu, kerana kebiasaannya, apabila saya bertekad untuk membaca, kulit depan bukanlah daya penariknya kepada saya. Begitu juga dengan blurbnya. Saya biasanya akan terus membaca bab pertamanya dahulu kerana pada saya, daya penarik sesebuah novel terletak pada cara pengarang membina jalan cerita sejak awal penceritaan. Konvensional atau tidak plotnya, hal tersebut boleh dikenal pasti melalui bab pertama sesebuah novel.

Bilik di Hujung Koridor mengandungi 16 bab dan dimulai dengan  bab satu yang berjudul “Orientasi”. Saya hampir menemui sebuah lenggok cerita biasa yang menggunakan bentuk yang sering kita temui dalam novel-novel konvensional. Sehingga ke muka surat enam, saya dapat melihat kewujudan watak Quehaiza (Que) yang dalam kepala saya meyakini itulah watak protagonis dalam novel ini, yang akan menjadi pembuka cerita sehingga berlakunya konflik dengan antagonisnya nanti.  Saya terus membaca untuk menemukan impian saya dengan watak antagonis. Namun, setelah Que berada dalam majlis orientasi di Kolej Seni Malaysia (Kesuma) beberapa watak telah dimunculkan oleh Amelia. Ketika itu saya masih yakin Amelia tidak akan mengganggu perkembangan plot ceritanya yang nampaknya masih berjalan secara kronologi. Namun kemunculan nama-nama Piron (Ron), Risyta Adama (Riysta), Waffa Adawiyah (Waffa), Suzzyana (Suzzy),  Siti Aminah (Mein), Nurul Izzaty (Izzaty) dan Ezra Kisara (Ezra) telah menukar tanggapan awal saya, walaupun saya masih percaya bahawa kemunculan semua itu sekadar untuk memenuhkan selera sesebuah novel yang boleh menggunakan banyak watak di dalamnya, sebagai watak sampingan.

Memasuki bab dua “Mahu Jadi Artis”, kelapan-lapan watak yang kebetulan berada di dalam satu dorm itu mula digerakkan oleh Amelia untuk beraksi secara serentak. Plot cerita mula berkembang dalam bab tiga, malah penulis telah menambahkan dua orang lagi watak  Noor Syahirah (Syah) dan Habibah Maisara (Bib) yang tinggal di dorm bersebelahan, yang kemudianya turut sama menjadi penggerak plot cerita ini. Memasuki bab empat  “Delusi”, seorang lagi watak dimasukkan, Hilda rakan kepada Syah dan Bib.  Dalam bab ini saya lihat Hilda juga turut diberikan peranan oleh Amelia untuk menggerakkan plot cerita.

Melalui bab lima,  Amelia memasukkan seorang lagi watak. Habibul Rahman yang menjadi kekasih Waffa.  Walaupun watak Habibul Rahman dimatikan  setakat bab ini sahaja, tetapi dia juga punya peranannya yang tersendiri dalam mengembangkan plot.  Manakala dalam bab sembilan dan sepuluh, dua watak yang hampir penting dimasukkan juga, iaitu watak Bakhtiar dan Umi (Syarifah Zaharah Syed Aidid) yang kemudiannya telah membuka pintu plot cerita ini untuk menjadi lebih terbuka. Kedua-dua watak ini kemudiannya bergabung dengan watak Waffa untuk mewujudkan suatu cerita baharu pada bab 13 “Sisipan”.  Kemasukan watak-watak baharu ini bukan sekadar pengisi ruang, tetapi merupakan strategi naratif untuk membina landasan moral yang kukuh sebelum plot cerita mengecil semula dan memuncak ke arah konflik yang lain.

Walaupun saya menjangkakan watak Que akan menjadi peneraju pergerakan plot novel ini, tetapi akhirnya yang lebih ditonjolkan oleh Amelia adalah watak Waffa.  Namun Waffa sendiri tidak muncul sebagai watak utama novel ini.  Waffa yang digambarkan sebagai seorang remaja yang cepat tangan kerana suka mengambil alat solek Suzzy dan memakai baju Risyta tanpa keizinan, malah pernah mencuri jam berjenama milik Suzzy, tetapi akhirnya dia dipertemukan dengan Bakhtiar, orang kanan Umi (Syarifah Zaharah Syed Umar Aidid) pengasas sebuah anak yatim Illa-Annur  yang kaya.  Amelia kemudian menukar watak Waffa menjadi remaja baik yang sudah mula mengenakan tudung dan berpakaian sopan yang menutup aurat, setelah dipilih oleh Umi untuk menjadi model Syarikat Tudung di Butik Umi.  Malah dia juga sudah mula mendekati Que untuk bersembahyang bersama-sama di surau. Penulis menyelitkan nilai keagamaan dan melorongkan watak yang pada awalnya mempunyai sikap negatif yang bertentangan dengan tuntutan agama berubah ke arah kebaikan dan mengamalkan nilai islam yang sejati. 

Kemasukan subplot perniagaan butik Umi dan institusi kebajikan Illa-Annur ini secara sengaja digunakan oleh Amelia untuk memperlahankan tempo naratif selepas ketegangan pada peringkat awal bab. Peralihan latar ini bertindak sebagai ruang kontras moral yang ketara bagi watak Waffa. Amelia secara kritis mengkontraskan tabiat buruk Waffa dengan peranannya yang baharu di dunia luar. Transformasi daripada seorang remaja “cepat tangan” kepada model patuh syariah ini memperlihatkan perkembangan watak bulat yang sangat organik. Impak positif ini tidak berhenti pada dirinya sahaja, perubahan spiritual Waffa yang mula mendekati Que untuk solat berjemaah di surau membuktikan Waffa telah berubah fungsi daripada watak bermasalah kepada watak penyedar dalam plot. Struktur plot berlapis yang sarat dengan nilai ukhrawi ini secara faktanya sengaja dibina oleh Amelia untuk menyediakan paksi moral yang kukuh buat watak Waffa.

Plot cerita tentang Waffa akhirnya selesai di situ, biar pun secara kecil-kecilan masih terikat hubungannya dengan rakan-rakannya yang lain di Dorm B itu.  Kemudian timbul pula cerita Syah yang dari awal memang bermusuh dengan Bib dan tidak disukai juga oleh beberapa orang lagi rakannya. Gaya hidup Syah yang ala tomboy itu telah menggerakkan plotnya yang tersendiri. Dia bekerja secara sambilan di Restoran Secret Recipe pada waktu malam, dan akan pulang ketika pintu pagar utama kampus akan ditutup. Kerana tidak mahu mengganggu rakan-rakannya tidur, Syah biasanya akan tidur di surau sebelah dormnya sahaja. Plot yang digerakkan oleh Syah ada pada bab tiga, sembilan dan 12. Melalui penampilan Syah, Amelia memperkenalkan teknik jajaran plot yang membawa dimensi konflik berbeza, iaitu isu identiti gender (gaya hidup tomboi) dan tekanan sosioekonomi. Keputusan Syah untuk bekerja sambilan bagi menyara hidup  menggambarkan sisi watak remaja yang berdikari, namun kepulangan lewat malamnya dan tindakan Syah yang memilih untuk tidur di surau menujukkan konflik diri yang ditanggung, lalu perbuatan tersebut malah dibenci oleh rakan-rakannya yang lain.

Begitu juga dengan watak Izzaty, yang telah menggerakkan plot ceritanya yang bermula pada bab lapan dan bab 14. Kisah hidup Izzaty yang berharap untuk berkahwin dengan Amirul yang berjanji untuk meminangnya selepas pulang dari berkursus di England, tidak kesampaian.  Kehormatannya telah dicabul oleh Amirul, sehingga menyebabkan dia sakit jiwa dan mengalami gangguan mental. Kemasukan watak Izzaty dalam bab lapan dan bab 14  berfungsi sebagai satu kritikan sosial yang tajam terhadap impak buruk pergaulan bebas dan kepercayaan remaja terhadap janji manis duniawi. Kemusnahan masa depan Izzaty akibat dikhianati oleh Amirul yang sepatutnya menjadi lambang lelaki berjaya, malah menjadi titik paling tragis dalam novel ini. Dari sudut perkembangan plot, penderitaan Izzaty berfungsi sebagai lonjakan ketegangan yang memecahkan tempo perlahan daripada bab sebelumnya dengan menaikkan lagi konflik cerita.

Rentetan daripada jajaran plot yang rencam dalam bab-bab terdahulu, Amelia Hashim meledakkan fasa klimaks dan teknik kejutan yang amat drastik menerusi bab 15 “Variasi” dan bab 16 “Istikrar”. Pengenalan hubungan persahabatan yang mengejut antara Syah dan Que pada bab 15 pada awalnya berfungsi sebagai taktik meredakan tempo cerita, sekali gus memberikan ruang rehat emosi kepada pembaca. Walau bagaimanapun, keharmonian singkat ini rupa-rupanya hanyalah bayangan awal yang tragis sebelum plot dilonjakkan ke titik tertinggi. Kematian Syah akibat dirompak yang melatari bab 16 bukan sahaja menjadi peleraian yang memilukan, malah bertindak sebagai kemuncak kepada segala misteri yang menyelubungi persekitaran asrama. Dari sudut perkembangan watak, penutupan cerita ini menyaksikan satu trajektori yang ironik, apabila watak Syah yang digambarkan seorang yang tabah bekerja sehingga pulang lewat malam demi kelangsungan hidup, malangnya rutin bermalam di luar dorm demi akur pada peraturan kampus ini akhirnya meletakkan Syah dalam risiko keselamatan yang meragut nyawanya. Melalui kematian yang tragis ini, Amelia Hashim berjaya menyatukan semula seluruh fokus watak di luar kampus kembali ke dalam ekosistem asrama.

Plot cerita yang digerakkan oleh Amelia Hashim ini melalui Que, Piron, Risyta, Waffa, Suzzy, Mein, Izzaty  dan Ezra yang tinggal bersama-sama di Dorm B, serta dibantu oleh beberapa watak lain seperti Syah, Bib dan Hilda dari dorm sebelah, bersama-sama watak lain seperti Habibul Rahman, Bakhtiar dan Umi, sebenarnya bukanlah suatu tugasan yang mudah.  Hal ini menunjukkan keberanian Amelia menggunakan sudut pandang serba tahu.  Saya yakin tentu susahnya untuk seseorang pengarang mengendalikan cerita melalui sudut pandang ini kerana  pengarangnya harus mengetahui segala sesuatu tentang cerita, termasuk fikiran, perasaan, dan tindakan semua watak yang dipilihnya itu. Pengarang harus memain peranan seperti  “tok dalang” yang mampu menguasai seluruh cerita dan dapat memindah-mindahkan plot yang berlegar antara watak. Namun itulah kemampuan besar Amelia Hashim apabila beliau berjaya menjadikan novel Bilik di Hujung Koridor ini sebagai sebuah novel yang harus dibaca oleh para remaja, bukan sahaja kerana cerita yang disampaikannya itu bertepatan dengan kepelbagaian kehidupan dunia remaja, tetapi juga kerana kemampuan Amelia bercerita melalui plot yang bercapah yang walaupun agak sedikit merumitkan saya yang membacanya, tetapi novel ini tetap menarik untuk dibaca.

Rujukan

Amelia Hashim (2024). Bilik Di Hujung Koridor. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Hasan Baseri Budiman, Zaidin Abadi & Puzi Hadi (2025). Amelia Hashim Sebuah Kembara Diri. Pertubuhan Sanggar Warisan Budaya Melayu Kedah (SWADAYA).

Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Penilaian purata / 5. Kiraan undi:

Tiada undi setakat ini! Jadilah yang pertama menilai kiriman ini.

    Kongsi

Tag

#baimbad (3) #cerpendbp (14) #cerpenkehidupan (8) #dbpselatan (17) #karyasastera (32) #kedah (4) #komsas (3) #penulis (9) #penulisbaharu (36) #puisi #gaza #puisigaza #sajakkemanusiaan #sajakgaza #doauntukgaza (6) #puisialam (6) #puisijawi (7) #puisimoden (25) #sasteramelayu (11) #sasteramoden (4) #sasterasabah (6) #Tunanetra (4) #wadahdbp (17) abuyon (5) adie abd gani (6) anak (3) bahasa (3) cerpen (17) dbpcawangansabah (10) dbpcawangansarawak (31) dbpsarawak (4) dbpwilayahtengah (5) dbpwilayahutara (6) Esei (5) Gurindam (5) Guru (3) hari guru (3) Ketuhanan (4) Kopi (7) palestin (3) penulis sarawak (16) puisi (35) Puisi Islam (8) Puisi Jawi (5) puisi kehidupan (13) rindu (3) sajak (12) Sarawak (5) stephaniejuanitaahlee (4) Warisan Tak Ketara (3)

Ruangan Wadah DBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Yang Berkaitan

Bahasa Abadi di Jiwaku
Puisi

Bahasa Abadi di Jiwaku

  • 20 Jun 2025
  • 202
  • 4.5
Rindu
Puisi

Rindu

  • 5 Julai 2024
  • 228
  • 5
ݢوريندم بولن رمضان
Puisi Tradisional

ݢوريندم بولن رمضان

  • 5 Mac 2024
  • 5
Kesedaran Remaja tentang Kemerdekaan Negara dalam Novel Berlumur Duka
Bicara Sastera

Kesedaran Remaja tentang Kemerdekaan Negara dalam Novel Berlumur Duka

  • 20 Oktober 2025
  • 114
  • 3.5

Ruangan WadahDBP

  • Titisan Pena
  • Lentera Kreatif
  • Tinta Jawi
  • Cuit Minda
  • Lensa

Pautan Penting DBP

  • Laman Web DBP
  • PRPM
  • Klik Web
  • Akademi DBP
  • eJurnal DBP
  • Khidmat Nasihat DBP
  • JendelaDBP

Media Sosial DBP

  • Facebook
  • Instagram
  • Twitter
  • YouTube
  • TikTok
  • Telegram

Hubungi Kami

Menara DBP, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

03-2147 9000

[email protected]

Hak Cipta Terpelihara 2026 © WadahDBP