Akhir Januari 2025
Tiba-tiba secawan kopi pahit ini terasa manis.
Detik hati kecil seorang lelaki tua yang berusia lewat 60-an, sambil tersenyum dan menikmati secawan kopi dengan rasa aman pada pagi hari yang damai.
Hatinya lapang. Tenang. Bahagia. Aman.
Dia kemudian bersandar tenang di kerusi kopi, di balkoni rumah usang yang ditinggalkan hampir 15 tahun yang lalu dan selama tempoh itu dia hidup sebagai pelarian tanpa negara. Sungguh menyedihkan!
Dia tiba-tiba teringat akan peristiwa pahit yang menyedihkan pada akhir Januari 2011. Sepahit rasa secawan kopi yang ada di tangannya. Hakikatnya, peristiwa itu lebih pahit daripada rasa secawan kopi yang sedang dinikmatinya.
Akhir Januari 2011
Sebenarnya, Perang Saudara di Syria bermula pada akhir Januari tahun 2011. Peristiwa hitam ini ialah hal yang paling menyedihkannya. Bukan hanya dia, tetapi semua bangsa Arab yang pernah hidup aman di Syria. Tidak kira suku atau bangsa atau agama. Sesiapa yang pernah merasai aman di Syria, merasai kepahitan yang sama.
Secara jujur, seingat lelaki tua itu, tarikh yang lebih tepat tercetusnya konflik di Syria, adalah pada 26 Januari 2011.
Ya, inilah tarikh keramat peristiwa berdarah yang melibatkan banyak pihak, baik di dalam mahupun di luar Syria. Konflik ini dimulai dengan sebahagian daripada bantahan yang lebih besar dalam rangka Demonstrasi “Arab Spring” (Revolusi Arab atau Kebangkitan Arab) yang menuntut reformasi politik dan sosial di dunia Arab. Namun demikian, bantahan yang awalnya bersifat ‘aman’ terhadap Presiden Bashar al-Assad telah disambut dengan kekerasan dan mereka yang bangkit membantah dilabelkan sebagai pemberontak. Demikian penerimaan Presiden Syria terhadap protes yang dilaksanakan.
Bantahan untuk menuntut keadilan, namun dianggap sebagai pemberontak yang setara busuknya seperti seorang penjenayah. Demikianlah nasib golongan yang menuntut keadilan. Apabila pembantah dilabelkan sebagai pemberontak, presiden mula bersikap kasar dan kejam. Pada akhirnya, bantahan aman ini berubah menjadi keganasan yang mengakibatkan tercetusnya perang saudara di Syria, yang mengakibatkan kesengsaraan kepada rakyat Syria. Hal ini sungguh memilukannya. Hatinya remuk.
Lelaki lewat usia itu meneguk payah kopi pahit di tangannya. Sulit untuk dia menelan kopi hangat itu kerana kesengsaraan yang dirasai oleh rakyat Syria berasa begitu sakit di hatinya. Dia hakikatnya bersetuju dengan para pemberontak yang melawanPresiden Bashar. Mereka bukan pemberontak!
Ya, benar! Dia bukan pemberontak. Dia menyedari kesilapannya menggunakan perkataan yang tidak sewajarnya diberikan kepadanya dan sebahagian besar rakyat Syria yang turun berdemonstrasi di jalanan pada ketika itu. Hakikatnya, kata yang lebih indah untuk mendefinisikan pemberontak ialah pembantah atau lebih tepat sebagai pejuang kebebasan. Rakyat Syria bangkit menentang Presiden Bashar termasuklah dia, kerana membantah kekejaman rejim Presiden Bashar al-Assad yang tiada hentinya. Kejam!
Para pejuang mendesak Presiden Bashar al-Assad yang memimpin Parti Ba’ath untuk berundur kerana sikap tidak adil pemimpin itu membenarkan parti politik lain diberi hak sama rata dengan bangsa Kurdi, iaitu diberi hak kebebasan akhbar, bersuara dan berhimpun. Hal inilah yang menimbulkan kemarahan Rakyat Kurdi. Secara umumnya, Syria bukanlah negara majoriti berbangsa Kurdi. Namun demikian, orang Kurdi merupakan salah satu kelompok etnik terbesar di negara kami. Majoriti penduduk Syria adalah bangsa Arab, yang membentuk kira-kira 80 peratus daripada populasi penduduk Syria. Orang Kurdi di Syria dianggarkan kira-kira 10-15 peratus, dan mereka mendiami kawasan di wilayah utara dan timur Syria, terutama di daerah yang dikenal sebagai Rojava (Kurdistan Syria).
Salahkah dia bangkit menentang? Itulah hak yang diperjuangkan. Siapa Presiden Bashar yang berani bertindak membelakangkan salah satu kelompok etnik terbesar di negara Syria?
Sebenarnya, sejarah keluarga al-Assad merupakan keluarga tradisional Arab yang miskin dan terdiri daripada kumpulan minoriti dalam kalangan bangsa Arab. Presiden Syria, Bashar al-Assad berasal daripada Syiah bermazhab Alawite, yang merupakan subkumpulan Syiah. Pengikut Alawite juga dikenal sebagai Nusayri, merupakan kelompok minoriti di Syria, namun mereka memiliki pengaruh politik dan kuasa ketenteraan yang kuat, terutama sejak keluarga al-Assad, mengambil alih kekuasaan kerajaan Syria pada tahun 1970-an. Meskipun demikian, dalam konteks politik Syria, para pengikut Alawite yang minoriti ini mulai berasa kuat apabila keluarga al-Assad mengambil alih pentadbiran negara. Sebahagian besar jawatan penting dalam kerajaan dipegang oleh keluarga al-Assad dan pengikut fahaman Alawite di bawah pimpinan Presiden Bashar al-Assad yang mewarisi takhta daripada bapanya, Presiden Hafez al-Assad.
Hakikatnya, semua rakyat Syria mengetahui bahawa pengikut subkumpulan Alawite memiliki keyakinan agama yang berbeza daripada majoriti Muslim Sunni. Setelah menguasai negara, pengikut Alawite mula menjana kebencian dalam kalangan umat Islam Sunni akibat perbezaan mazhab. Hal ini menimbulkan ketegangan yang lebih besar antara rakyat yang berfahaman Syiah dengan Muslim Sunni. Bangsa Kurdi yang berfahaman Sunni membuat bantahan dan mengingatkan presiden untuk lebih waspada terhadap Demonstrasi Arab Spring yang berlaku di Mesir, namun Presiden Bashar mendakwa Syria kebal daripada apa-apa pengaruh atau hal-hal buruk yang berlaku di Mesir.
Kekejaman Rejim Bashar tidak terhenti sehingga berakhir bulan Januari 2011. Ketegangan terus meningkat dan mulai merebak. Lebih menyedihkan lagi, pada 15 Mac 2011, demonstrasi Arab Spring yang bermula di kota Deraa, Syria berakhir dengan tragedi yang menyedihkan. Sekelompok remaja ditangkap dan diseksa oleh pasukan keamanan di bawah pemerintahan Presiden Bashar kerana mereka menulis slogan antipemerintah di dinding sekolah. Demonstrasi ini berkembang menjadi lebih besar serta menuntut reformasi politik, kebebasan dan pengakhiran pemerintahan diktator oleh rejim Presiden Bashar al-Assad.
Akibat peristiwa tersebut, kekerasan dan kekejaman terhadap orang awam terus berlaku. Pada 18 Mac 2011, pasukan keamanan menembak rakyat Syria yang hadir berdemonstrasi di Deraa yang telah menyebabkan beberapa orang awam ditembak mati. Tindakan keras ini memicu bantahan yang lebih besar di seluruh negera. Tindakan kekerasan yang dilakukan oleh pasukan pemerintah inilah yang kemudian menjadi titik awal peralihan daripada demonstrasi aman menjadi konflik yang lebih besar, yang kemudian berkembang menjadi perang saudara yang berlangsung selama bertahun-tahun.
Suara-suara bantahan rakyat Syria yang bangkit menentang Presiden Bashar al-Assad terus bergema di telinga lelaki tua yang sedang bersandar tenang pada kerusi malas di balkoni rumah satu tingkat yang masih utuh setelah lebih 13 tahun ditinggalkan.
Utuh? Hakikatnya rumah usang itu tidak berdiri sempurna lagi seperti 13 tahun yang lalu. Ada kesan runtuhan kerana letupan bom akibat perang saudara yang terjadi. Namun, setelah dia kembali ke rumah usang ini lagi, lelaki tua itu terus mendiami rumahnya, kerana inilah satu-satunya harta yang dia ada setelah meninggalkan tanah airnya.
Sungguhpun dinding dan bumbungnya roboh separuh, namun struktur bangunan ini masih berdiri kukuh. Dia terus memerhati halaman rumahnya yang lapang, setelah dibersihkan beberapa hari yang lalu. Sebatang pohon zaitun rendang berusia lebih 100 tahun berdiri senget di halaman rumahnya membuatkan dia lebih tenang menghadapi hari-hari mendatang. Setenang pohon zaitun yang gagah bertahan sepanjang 13 tahun perang terjadi.
Ingatannya terus berlegar-legar pada peristiwa akhir Januari 2011. Dia tahu, kebangkitan rakyat Syria berbangsa Kurdi, bangsanya sendiri sama seperti gerakan revolusi di Tunisia dan Mesir apabila para pejuang ini mulai melakukan perarakan, mogok lapar dan memusnahkan harta kerajaan kerana menuntut keadilan daripada pemerintah. Akibat timbulnya bantahan daripada rakyat, beberapa kumpulan gerakan Islam di Utara Syria telah mengambil kesempatan ini dengan melancarkan serangan terhadap kerajaan Presiden Bashar al-Assad.
Perang saudara yang terjadi telah mengakibatkan negara berada dalam keadaan kacau-bilau. Lelaki tua itu menyapu air matanya yang tiba-tiba terasa hangat di pipinya yang berkedut dengan hujung serban yang dipakainya. Hatinya-tiba berasa sakit dan sedih. Dia teringat hari dia terpaksa mengambil keputusan meninggalkan rumah pusakanya, juga meninggalkan tanah air tercintanya, meninggalkan Kota Damsyik yang didiami lebih 46 tahun, bersama-sama keluarganya mencari tempat berlindung yang selamat sehingga tiba di negara jiran, Lubnan dan mula bergelar pelarian.
Menumpang di tanah air orang bagaikan buangan. Hidup dalam kesukaran tanpa kemudahan asas yang cukup. Hidup dengan mengharapkan simpati orang-orang baik dengan serba kekurangan. Demikianlah sebuah kehidupan pada akhir zaman yang sangat keras dan kejam. Namun, memberikan banyak keinsafan dan kesedaran. Dia tetap bersyukur pada Yang Maha Esa.
Ujian merupakan kekuatan. Dia tersenyum, mulai tenang sambil meneguk kopi panas di tangannya dengan rasa syukur atas nikmat keamanan yang dimiliki tanah airnya.
Matanya yang redup terus menitiskan air mata yang hangat. Sehangat kopi pahit yang ada di tangannya. Mengingatkan sebuah peristiwa hitam yang pahit dan menyedihkan pada akhir bulan Januari 2011.
Setelah 60 tahun, tiba-tiba pada akhir bulan Januari tahun ini terasa begitu hangat. Dia menarik nafas lega.
Berdoa dalam hati dengan sesungguhnya.
Moga keamanan ini kekal hingga hari terakhir bertemu dengan Pencipta.