Seperti hari-hari kelmarin
perempuan ini tetap membina harapan
berkorban demi bahasa, ilmu dan kepuasan
dilabel perantau keseorangan.
Bertubi ujian mengiringi jejak
hanya bekalan ilmu secupak
usaha terasa diperbudak-budak
dibeban beribu tugas berbeza bijak.
Demi anak didik dia tetap tumbuh
tidak bererti dia sudah kukuh
kebijaksaan disusun bersama halangan
di medan pendidikan.
Kemesraan berayat bersulam bicara
sukarnya mendidik berlainan bahasa
kekeliruan dicantum persamaan dicipta
di hujung bicara.
Perempuan ini mahu terus berbakti
tidak bermakna deritanya berhenti
bangkit jalan terbaik untuk dia mengerti
di penjara dominasi rasa tersakiti.
Kini, jalan dipilih sudah terbuka
ilmu disebar sudah melata
bersama pewaris sudah tercipta
di negara berbeza.
Karya ini adalah © Hak Cipta Terpelihara WadahDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
