Anak kecil yang tersembam ketika berlari-lari di ruai rumah panjang itu menarik perhatian seorang lelaki tua yang duduk menyandar pada pintu keluar ke tanju. Ada beberapa helai tikar dihamparkan di atas lantai tanju itu. Tidak lama kemudian, kedengaran suara wanita-wanita dalam lingkungan usia empat puluhan ke enam puluh tahun bersahutan membualkan padi yang akan mereka jemur, telah masuk hari ketiga memandangkan cuaca mendung yang iri hati sejak akhir-akhir ini.
“Apa yang sedang engkau lamunkan itu, Eki? Sudah minum kopi pagi ini?” tanya orang tua yang sebaya dengannya.
Eki tersenyum ditegur oleh Jemat. Jemat, rakan baiknya sejak kecil sehinggalah kini. Telah bergenerasi cucu-cicit Jemat, menandakan betapa teguh dan panjangnya usia persahabatan itu.
“Sudah Urai buatkan, kopi yang sama Las minum sebelum turun ke sekolah,” sahutnya.
“Minum lagi. Ini aku ada bawakan. Penyaram pun ada,” ajak Jemat.
“Rezeki. Untung aku pagi ini,” jawab Eki.
“Jangan malu. Penyaram ini menantu aku yang buatkan. Itulah semalam kami ke pekan, mahu membeli bahan untuk membuat penyaram. Mahal harga barang sekarang,” kata Jemat sambil menuang kopi panas yang masih panas ke dalam cawan kaca lutsinar yang bernombor pada bontot cawan kaca itu. Sudah menjadi kemestian untuk penduduk rumah panjang menulis nombor pada setiap cawan dan pinggan mereka mengikut nombor bilik supaya tahu siapakah pemilik cawan dan pinggan itu dan mengelakkan kekeliruan si empunya.
“Aku minggu lepas ada ke pekan, sekadar berjalan minum kopi di Kedai Makan Ah Seng. Dia juga beritahu gula sudah naik harga. Mahu tidak mahu, dia naikkan lima puluh sen untuk semua harga minuman.”
Jemat menggeleng mendengar kata-kata Eki.
“Oh ya. Jadikah Las ikut pemilihan sepak takraw untuk mewakili sekolahnya?” tanya Jemat. Dia menghirup perlahan-lahan kopi kurang manis yang awal-awal sudah dipesan pada menantunya setiap kali menantunya itu membancuh kopi untuknya. Bukan apa, dia serik sering ke hospital untuk memeriksa penyakit tiga serangkai. Kencing manis, kolestrol dan darah tinggi. Jarang-jarang dia pulang awal jika perlu ke hospital. Paling cepat temu janji dengan doktor itu tamat adalah pada waktu tengah hari. Seawal mana pun dia tiba di hospital untuk mengambil giliran, tetap juga dia menghabiskan berjam-jam di sana sehingga selesai mengambil ubat.
“Dia malu. Sebab belum ada kad pengenalan,” jawab Eki.
“Sudah kalian naik ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara?”
“Sudah, tak terhitung kalinya. Mereka mahukan dokumen yang lengkap,” jawab Eki.
“Cucu kau tu ada potensi besar jika bakatnya ditonjolkan melalui sesi uji bakat itu nanti,” balas Jemat.
“Di sekolah pun dia banyak menolak aktiviti kerana malu tiada kad pengenalan. Hanya ada surat pemohonan sebagai bukti. Itu pun warna kertasnya sudah berubah seperti daun layu. Ke hulu hilir kami bertiga bersama neneknya naik turun pejabat untuk minta diluluskan.”
“Kasihan Las. Sudahlah kematian ibu sejak lahir. Rasanya ibunya juga tiada kad pengenalan diri sebab itulah dia sukar mendapatkan sijil lahir, bukan?”
“Silap kami juga tidak membuat sijil lahir untuk ibunya kerana dia lahir di rumah panjang. Ketika itu, kami anggap itu cuma hal remeh-temeh,” keluh Eki. “Sekarang, ia jadi beban pula kepada cucu tunggal kami. Sudahlah aku semakin tua, apa sahajalah yang aku boleh lakukan dengan umur sebegini. Sudah dibayangi mata tanah yang akan menjadi rumah terakhir badan ini disemadikan. Harap sempatlah isu kad pengenalan Las diselesaikan,” ujar Eki lagi.
“Jangan cakap begitu. Ingat tak kata-kata bapa kau pada kita dulu sebelum pergi berperang dengan musuh? Jangan mundur, selagi masih hidup, selagi itulah masih berjuang,” kata Jemat.
“Ya, aku ingat. Walaupun ketika perut bapa aku telah ditusuk dengan pisau belati komunis, dia tidak menunggu di rumah panjang untuk merawat dirinya. Cukuplah dibalut dengan daun herba untuk menutup luka, dia bangkit menentang dan menyertai peperangan. Semangat arwah bapalah yang selalu aku ceritakan pada Las.”
“Kata bapaku, semangat arwah bapa kau seperti enggang yang sudah bangun tidur. Tidak mamai dan lemah, terus bertenaga untuk terbang. Tepat sekali dengan semangat Dewa Perang kita, Sengalang Burung.”
Eki mengangguk.
Malam itu, tidur Eki tidak dapat menembusi ke dunia mimpi. Dia terlalu risau akan masalah Las. Bagaimana Las akan meneruskan hidupnya jika ketika ini dia seperti seorang warga asing di tanah airnya sendiri? Kalaulah pihak pendaftar kewarganegaraan tahu arwah datuk moyangnya antara pahlawan yang menentang komunis masuk ke kampung mereka, bergadai nyawa demi mempertahankan tanah tercinta dengan darahnya sendiri… Eki kebingungan.
“Las rasa tidak mahu ambil peperiksaan SPM,” kata Las berterus-terang.
“Eh, mana boleh, cu. Las kena ambil. Jika tidak, Las tidak dikira tamat belajar,” jelas Eki. Dia pandang wajah Las tetapi Las seperti mengelak untuk menatap wajah Eki.
“Kalau Las lulus, apa buktinya Las masih boleh meneruskan pelajaran, aki? Untuk isi borang permohonan ke universiti atau kolej sahaja Las tak dapat lepas. Sekarang semua guna sistem dalam talian. Senang cerita, nama Las tak ada dalam negara ini! Langsung tiada!” Nada suara Las tinggi menyebabkan Urai, neneknya yang sedang menyulam selampai, segera menoleh ke arah mereka berdua.
Las tunduk dan terus keluar ke ruai. Eki mengeluh lalu melabuhkan punggung di tepi Urai.
“Budak tu dah putus asa,” kata Eki kepada Urai.
“Kita naik ke pejabat pendaftaran sekali lagi esok? Mungkin kali ini berjaya?” kata Urai.
Eki mengangkat bahu, tidak yakin kerana usaha sebelum ini juga tidak menampakkan hasil. Wang, masa dan tenaga begitu banyak dicurahkan untuk membuat sijil kelahiran dan kad pengenalan cucu tunggal mereka yang yatim piatu itu. Dia lahir tanpa ayah. Lelaki yang membuntingkan ibunya tidak mahu bertanggungjawab ke atas anak itu dan ibunya. Kematian ibunya pula ketika dia masih kecil. Ibu Las, yang juga anak perempuan Eki itu mati akibat dipatuk ular semasa mencari paku-pakis di hutan.
Eki keluar mencari cucunya itu tetapi tidak kelihatan. Lalu, dia melangkah dengan cepat ke hujung ruai, menuju bilik terakhir di rumah panjang itu, bernombor dua puluh tiga. Juga tidak kelihatan kelibat Las. Lemok yang nampak wajah risau Eki memberitahu dia ada melihat Las menuju ke sungai. Eki bergegas mencarinya di sana.
“Las! Las!” panggil Eki.
Las yang duduk di atas batu menoleh. Kakinya direndamkan separuh ke dalam sungai yang jernih, menampakkan ikan kecil sedang menggerumuti jari kakinya sehingga dia berasa geli. Las menggerakkan jari kakinya untuk menghalau pergi anak-anak ikan semah itu.
Eki duduk bersebelahan dengannya.
“Kenapa Las? Kenapa cepat kau berputus asa?” tanya Eki kepada cucunya.
“Las rasa, Las banyak kerugian peluang. Kasihan aki dan ini yang menyekolahkan Las. Akhirnya, hidup Las tetap tak ada tujuan,” jawab Las.
“Kau tahu, dahulu aki icit kau, kalau kami terlewat bangun pagi, dia akan simbah kami dengan air. Habis basah tempat pembaringan tidur kami,” cerita Eki padanya. “Kami dulu bangun awal pagi sebelum ayam berkokok, minum kopi dan kadangkala kami hanya duduk-duduk, tidak berbuat apa-apa. Itu pun kami tetap harus bangun awal. Aki icit kau beritahu, jika untuk bangun pagi pun kau susah nak buat, bagaimana hendak menempuh perkara yang lebih mencabar?”
Las tersenyum. Dia mengeluarkan batu kecil yang telah dia kumpulkan semasa dalam perjalanan ke sungai sebentar tadi dari poket seluar. Satu persatu diletakkan di sebelahnya di atas batu besar itu sebelum membalingnya ke sungai.
“Kita tidak seharusnya mudah putus asa. Jika mahu lakukan sesuatu, lakukan sehingga ke garisan penamat. Selesaikan apa sahaja yang telah kita mulakan. Semangat seorang perwira seperti enggang sudah ada dalam diri kita. Orang Iban, sejak dahulu lagi, sifat mereka pantang undur dalam apa-apa jua keadaan. Bangun dan terus berusaha. Capai apa yang kita inginkan.”
Las mengangguk. Dirinya seakan-akan dikembalikan semangat yang hilang.
“Aki, aki!” panggil seorang kanak-kanak.
Itu Boi, cucu Jemat. Di rumah panjang, sudah menjadi kebiasaan yang muda memanggil orang tua lelaki sebagai aki, orang tua perempuan sebagai ini walaupun mereka tidak bertalian darah sebagai tanda hormat kepada mereka.
“Ada orang cari aki dengan Las,” tambah Boi lagi.
Eki mengangguk dan mereka bertiga berjalan menuju ke rumah panjang.
“Itu cikgu sekolah Las. Apa dia buat di sini?” kata Las kepada Eki.
Eki nampak ada tiga orang yang lain bersamanya, berpakaian seragam putih dengan ada sulaman nama pada dada kiri mereka.
“Cikgu, apa tujuan cikgu dan tuan semua datang ke sini mencari kami?”
Cikgu Ahmad tersenyum.
“Selamat petang. Ini datuk Las ya? Sebenarnya, saya bawakan mereka ini dari Pasukan Petugas Khas (PPK) untuk menangani masalah cucu Tok Eki yang tidak mempunyai pengenalan diri. Jika Tok Eki ada mengikuti perkembangan kita di Sarawak, Menteri Dalam Negeri kita telah membentuk pasukan untuk menyelesaikan masalah tiada kad pengenalan, terutamanya dalam kalangan penduduk luar bandar. Saya bantu laporkan kes Las ini kepada mereka sebab saya sayangkan bakat dan potensi besar Las dalam akademik, juga dalam sukan. Saya harap datuk Las tidaklah menolak niat baik kami ini untuk kebaikan masa depan Las juga,” terang Cikgu Ahmad.
Eki tersenyum. Syukur. Doa mereka dimakbulkan.
“Terima kasih, cikgu. Aku memang menerima baik tentang isu ini. Kami berdua baru sahaja berbual tentang masa depan Las. Terima kasih, encik semua. Silakan masuk ke bilik kami yang tak berapa cantik ini. Aku akan berikan segala apa yang dipinta oleh kalian,” pelawa Eki.
Mereka melangkah masuk bersama. Las tersenyum membontoti mereka semua dan yang terakhir masuk ke bilik bernombor lima belas itu. Benar. Selepas ini, dia akan menjadi seperti enggang yang sudah bangun tidur. Bersemangat seperti seorang pejuang!
Glosari
aki kata sapaan untuk datuk, dalam bahasa Iban
aki icit moyang
ini kata sapaan untuk nenek dalam bahasa Iban