PAGI itu, Sungai Sarawak beriak tenang , seolah-olah tahu hari ini bukan hari biasa. Dari jauh, deretan khemah putih mula terbentang di tepi Tebingan Kuching. Bendera negeri berkibar megah, suara pengacara majlis kedengaran dari pembesar suara, dan aroma laksa Sarawak berterbangan di udara.
Namun, di bawah permukaan air keruh yang penuh rahsia itu, satu peristiwa besar bakal berlaku — Sidang Buaya Tahunan Sungai Sarawak.
“Sidang bermula jam sembilan tepat! Siapa datang lambat kena denda makan lumpur tiga cedok!” tempik Buaya Besar, yang juga dikenali sebagai Bujang Lemas, pengerusi sidang yang dilantik sejak zaman jeti lama masih papan kayu.
“Jangan risau, tuan pengerusi! Saya dah pastikan semua hadir!” sahut Buaya Lajang, buaya muda yang baru setahun jagung jadi setiausaha. Dia baru belajar menulis dengan menggores lumpur menggunakan ekor — hasil latihan daripada kursus singkat “Tulisan Lumpur Efisien” anjuran Persatuan Buaya-buaya Tempatan (PBBT).
Seekor demi seekor buaya muncul dari permukaan air: Buaya Tabuan, si gemuk yang suka tidur siang; Buaya Pending, yang terkenal suka bergosip; Buaya Matang, si pendiam tapi pandai membuat karangan; dan Buaya Santubong, yang selalu datang lewat tapi memberi alasan paling kreatif.
“Maaf lambat,” kata Buaya Santubong sambil mengibas air dari ekornya. “Ada sekumpulan pelancong Korea tadi buat rakaman TikTok. Kena tunggu mereka habis dulu. Takut nampak saya photobomb.”
“Alasan diterima,” kata Bujang Lemas dengan muka separuh senyum, separuh malas. “Kalau mereka viralkan muka kamu, nanti Jabatan Hidupan Liar panggil sidang tergempar pula.”
Semuanya ketawa.
Bujang Lemas menepuk air tiga kali sebagai tanda sidang bermula.
“Baiklah, saudara-saudara sekulup sungai,” katanya berdehem. “Kita berkumpul hari ini sempena Regatta Sarawak, dan seperti tahun-tahun lalu, manusia akan berpesta di atas air yang kita diami.”
“Dan mereka akan jatuhkan bot juga!” sela Buaya Pending sambil ketawa, menampakkan dua gigi taring yang jarang. “Macam tahun lepas — ada satu pasukan terbalik sebab tekongnya panik tengok kita senyum!”
Seluruh dewan sungai bergema dengan tawa.
“Baik, agenda kita hari ini ada tiga,” sambung Bujang Lemas sambil mengangkat sirip. “Pertama, isu sampah plastik. Kedua, penurunan stok ikan tilapia. Ketiga, cadangan pelan keselamatan Regatta — sebab tahun lepas ada budak jatuh, kita pula yang kena tuduh.”
“Padahal yang tolong tolak dia ke tebing siapa?” tanya Buaya Matang, separuh sedih separuh bangga. “Kita juga!”
Buaya Tabuan bersuara dulu. “Saya nak bangkitkan tentang sampah plastik ni. Dua hari lepas, saya gigit plastik, sangka ikan. Sekali, isinya nasi lemak basi!”
“Untunglah kau dapat nasi lemak,” sela Buaya Pending. “Aku dapat pampers! Ada bau, tapi bukan ikan!”
Semua menutup mulut, menahan ketawa geli.
“Masalah ni serius,” kata Bujang Lemas. “Kalau manusia terus buang plastik, nanti anak-anak kita lahir kepala empat sebab makan mikroplastik.”
“Tapi kalau kepala empat, pandai berenang laju, kan?” usik Buaya Santubong.
“Pandai laju tapi susah pakai topi!” balas Buaya Pending.
Sidang bergema lagi dengan ketawa sampai ada yang tersedak lumpur.
Tiba-tiba, dari celah tebing muncul satu suara kasar, “Hoi, belum undang tapi sudah mula!”
Semua menoleh. Seekor biawak kurus panjang dengan gaya berjalan seperti model menuruni pentas datang mendekat. Dialah Biawak Jantan, atau lebih dikenali sebagai Man Biawak — jurucakap tidak rasmi tebing batu.
“Sidang tanpa jemput saya? Ini sungai kita bersama, bukan milik buaya saja!” katanya sambil menjilat ekor yang berdebu.
Buaya Tabuan memicit hidung. “Man Biawak, kami tak jemput sebab tahun lepas kau curi ikan tilapia yang kami tangkap.”
“Itu bukan curi, itu sampel kajian!” jawabnya penuh gaya. “Saya buat kajian ‘tilapia sebagai sumber tenaga untuk biawak jantan kekal berkarisma’.”
“Karismanya tinggal sisik!” balas Buaya Santubong, disambut gelak tawa berpanjangan.
Akhirnya Bujang Lemas membenarkan Man Biawak duduk.
“Baik, kita teruskan,” katanya. “Agenda kedua — kekurangan ikan tilapia. Ada laporan?”
Buaya Matang membuka mulut perlahan. “Saya dapati tilapia berkurang sebab manusia buat pertandingan memancing terlalu kerap. Baru nak bercinta dengan tilapia betina, dah kena kail!”
Man Biawak angkat tangan. “Kalau begitu, saya cadang kita buat kempen kesedaran hidupan sungai. Tajuknya — ‘Kami Pun Nak Hidup!'”
Buaya Pending menyampuk, “Kalau buat poster, jangan guna gambar muka kau. Nanti manusia lari.”
Tiba-tiba, bunyi kuat bergema dari atas sungai.
“Peserta Regatta mula berlepas! Sedia… mulaaaa!”
Air berkocak, riuh suara manusia bersorak dan warna-warna ceria mula menari di permukaan air. Buaya-buaya terdiam seketika, kagum melihat deretan bot panjang meluncur deras.
“Macam ular berpesta,” kata Buaya Lajang.
“Macam nasi goreng kampung — penuh warna!” tambah Buaya Pending.
“Diam semua!” jerit Bujang Lemas. “Kita sedang bersidang rasmi!”
Namun dalam diam, ekornya pun tergerak-gerak — seolah-olah mahu ikut bersorak.
Tiba-tiba, Man Biawak berdiri dengan mata terbeliak.
“Bahaya! Bahaya datang dari hulu sungai!” jeritnya.
Semua buaya bingkas. Air bergelora, lumpur berpusar.
“Apa dia?” tanya Bujang Lemas.
“Saya nampak seekor… Buaya Import!” kata Man Biawak dengan nada dramatik.
“Buaya import?” Semua serentak terkejut.
“Ya! Dari zoo! Katanya dibawa untuk pameran Regatta. Tapi dia lepas dari lori! Katanya nak ambil alih jawatan pengerusi!”
Buaya-buaya mula panik. Buaya Pending mula menjerit, “Kita kena halau! Ini sungai tempatan, bukan antarabangsa!”
Beberapa minit kemudian, dari arah hilir muncul seekor buaya besar berkulit licin dengan leher tergantung tag bertulis ‘Buaya Florida – Pameran Hidupan Eksotik’.
“Hello geng tempatan!” katanya dengan loghat pelik. “Nama I, Floryda bin Croc. Datang lawat Regatta, bukan nak rampas kuasa. Chill la, bro!”
Semua terdiam.
Bujang Lemas berdehem. “Kami sangka kau musuh. Rupanya pelancong.”
Floryda tersenyum. “Takpe, I faham. Biasalah misunderstanding antara spesies. Kat Florida pun banyak buaya sensitif.”
“Eh, kita pun sensitif, tapi lembut hati!” sahut Buaya Tabuan bangga.
Mereka akhirnya bersalaman (atau lebih tepat, bersirip tangan).
Sidang diteruskan dengan lebih damai. Floryda mencadangkan agar mereka menubuhkan “Persatuan Antara Buaya Antarabangsa” untuk bertukar resepi ikan dan teknik renang gaya bebas. Semua setuju — termasuk Man Biawak yang sibuk mengambil gambar swafoto untuk media sosial “TebingGram”.
Namun belum sempat sidang ditangguh, kedengaran jeritan manusia dari atas jeti.
“Buaya! Buaya muncul di tepi sungai!”
Dalam sekelip mata, orang ramai menjerit, kamera terangkat dan polis marin berlari.
“Cepat! Semua selam!” arah Bujang Lemas.
Mereka semua menyelam — kecuali Man Biawak.
Man Biawak, yang sibuk mengambil gambar, tidak sedar dirinya berdiri di atas batu besar. Sekelip mata kemudian, jaring besar dilontarkan oleh pasukan keselamatan.
“Dapat! Kita tangkap buaya!” jerit seorang pegawai.
Man Biawak menjerit, “Hoi! Aku bukan buaya, aku pempengaruh! Lepaslah!”
Tapi nasi sudah menjadi bubur. Dia ditarik naik ke dalam bot, bergambar dengan pelancong dan dibawa ke pusat pameran sebagai “spesies buaya unik tempatan”.
Di bawah air, buaya-buaya hanya mampu ketawa sampai air keluar dari hidung.
“Padan muka Man Biawak!” kata Buaya Pending.
“Rasanya dia akan jadi bintang pameran sampai Regatta tahun depan,” ujar Buaya Santubong sambil tergelak kecil.
Bujang Lemas mengangkat ekor dan berkata, “Sidang ditangguhkan. Tahun depan, kita buat di tempat baharu — bawah jambatan Satok. Senang lari kalau polis datang.”
Semua ketawa, dan Sungai Sarawak kembali beriak tenang — seolah-olah menyimpan rahsia tawa para penghuninya.
Beberapa hari kemudian, gambar seekor “buaya misteri” tular di media sosial. Kapsyen berbunyi:
“Buaya ini pandai senyum. Unik dan jinak!”
Namun hanya penghuni sungai tahu — itu bukan buaya. Itu Man Biawak, jurucakap sidang, kini bintang pelancongan di Regatta Sarawak.
Dan di dasar sungai, buaya-buaya masih ketawa sambil menunggu sidang tahun hadapan.
